13 July, 2013

Siapa Yang Berusaha, Dialah Yang Berjaya..


  1. Jika dikira secara kasar, UKM menghasilkan hampir 800 pelajar tahun satu hingga tahun akhir yang mencapai PNGK berkelas pertama (3.67-4.00). Ini satu jumlah yang besar. Mereka ini jika terus kekal cemerlang hingga akhir pengajian adalah kumpulan pelajar yang akan dihapuskan pembayaran balik PTPTN sepenuhnya. 
  2. Maksudnya, mereka berjaya mendapat hak mereka supaya yuran pengajian mereka diberikan secara percuma kerana yuran mereka telah dibiayai sepenuhnya oleh wang rakyat yang diuruskan oleh pihak kerajaan Malaysia.
  3. Saya setuju dan sokong langkah pemansuhan pembayaran balik PTPTN ini kerana ia adil pada yang cemerlang akademik dan mereka yang kuat berusaha. Wang rakyat adalah hasil titik peluh rakyat. Apabila digunakan di bawah Tabung PTPTN, tentunya rakyat akan gembira jika cukai yang dikenakan oleh kerajaan kepada mereka digunakan untuk tujuan memberikan biasiswa kepada yang cemerlang di universiti.
  4. Jika seseorang tidak cemerlang akademik, tetapi cemerlang dalam bidang lain seperti sukan, kebudayaan, kepimpinan, inovasi, keusahawanan dan sebagainya, mekanisme yang sama juga boleh digunakan pakai dan disetarakan. Misalnya jika seseorang pelajar IPT mewakili dan memenangi kejohanan sukan bertaraf dunia, seharusnya juga mereka boleh dikecualikan dari membayar kembali hutang PTPTN.
  5. Malah pada saya, pada kumpulan yang cemerlang ini, disamping surat tahniah dan pengecualian bayaran balik PTPTN, surat tawaran bekerja dengan badan kerajaan juga boleh terus diberikan. Terserahlah kalau mereka menerima atau menolak tawaran tersebut. Jika mereka menerima, itu akan meningkatkan bilangan pegawai kerajaan yang memiliki prestasi akademik dan bakat yang cemerlang. Jika mereka menolak, itu maksudnya mereka bersedia untuk pergi lebih jauh lagi.
  6. Bagaimana pula dengan yang mendapat pinjaman PTPTN tetapi gagal cemerlang di IPT? Itu tandanya mereka tidak cukup kuat berusaha (kecuali ada sebab sebab yang tidak dapat dielakkan). Mengapa wang rakyat harus dibazirkan untuk menyokong pengajian pelajar yang tidak kuat berusaha? Bukankah itu pilihan mereka? tentunya mereka wajib membayar semula jumlah wang rakyat yang mereka pinjam.
  7. Pada masa yang sama, sistem sokongan IPT bagi pelajar boleh mencapai kecemerlangan juga perlu diwujudkan. Kaunseling akademik dan pembelajaran, kemahiran motivasi kendiri, pengurusan masa dan sebagainya perlu diberikan pada pelajar yang lemah. Jika semua sudah ada, masih gagal, pelajar kena melihat diri mereka sendiri.
  8. Jika kita tinjau, kumpulan pelajar bukan Melayu merupakan kumpulan yang paling ramai meraih 'keistimewaan' tidak perlu membayar kembali hutang PTPTN. Sebaliknya, seperti biasa pelajar Melayu pula yang peratusan yang paling besar perlu membayar kembali hutang PTPTN sepenuhnya. 
  9. Di saat pasaran kerja swasta yang semakin 'meminggirkan' graduan Melayu, mereka juga terikat untuk membayar hutang PTPTN sepenuhnya kerana gagal cemerlang dalam pengajian...