14 July, 2013

Salah Siapa Wanita Lebih Ramai Berjaya Ke Universiti?

Akhbar hari ini melaporkan peratus pelajar lelaki yang masuk ke IPTA hanya 32% berbanding perempuan 68%. Secara mudahnya setiap sepuluh orang yang berjaya ke universiti, 7 perempuan dan hanya 3 lelaki.

Maka wakil Majlis Profesor Negara mencadangkan supaya senat universiti menggunakan autonomi mereka untuk mewujudkan merit atau dasar yang menyokong lebih ramai pelajar lelaki berpeluang masuk ke universiti. 


Dalam bahasa lain, perlu wujud satu dasar yang dapat mendiskriminasi pelajar wanita supaya kemasukan mereka ke universiti dapat dikurang.

Saya setuju lelaki perlu lebih ramai ke universiti, tetapi bukan dengan cara mendiskriminasikan pelajar wanita. Pemikiran ini sudah ketinggalan.

Dalam sistem pendidikan moden, jantina sudah tidak memberikan apa apa makna yang besar. Memang benar, jantina adalah sesuatu yang nyata tetapi ia tidak boleh dijadikan asas membezakan kebolehan seseorang.

Jika sekalipun 90% yang cemerlang akademik adalah wanita, maka hak dan keupayaan wanita harus dihormati. Adalah satu yang tidak bijak untuk menyatakan kerana lebih ramai wanita pandai dan akan ramai di universiti, maka perlu ada satu dasar diskriminasi yang akan memberikan lebih peluang kepada lelaki.

Dulu, di era 1940an dan sebelumnya, wanita juga telah diletakkan ditahap yang rendah dalam pendidikan. Anak anak perempuan walaupun bijak sering menjadi mangsa jika ibubapa tidak mampu membiayai pelajaran.

Anak lelaki sebaliknya walaupun kurang bijak tetap akan disekolah, atas alasan mereka nanti akan menjadi ketua keluarga. Akhirnya ramai anak anak perempuan yang bijak terrlepas peluang untuk meningkatkan pendidikan mereka. Malang sungguh..

Hari ini, atas alasan yang sama, ada cadangan supaya ada dasar untuk mengurangkan pelajar perempuan walaunpun mereka cemerlang dan menambahkan bilangan pelajar lelaki walaupun prestasi mereka sederhana sahaja.

Sebenarnya kita kena kembali melihat dan memahami apakah sebenarnya yang menyebabkan lebih ramai pelajar perempuan cemerlang berbanding pelajar lelaki di peringkat sekolah.

Seterusnya mengambil tindakan memperbaiki tahap pencapaian pelajar lelaki tanpa menafikan kecemerlangan pelajar wanita. Kemasukan universiti sepatutnya diukur atas dasar kecemeralngan akademik, bukan jantina. Wanita juga seharusnya mendapat peluang dan hak yang sama. Kita boleh berbeza pandangan dalam hal ini.

Yang penting, pelajar yang ketinggalan akademik harus dibantu di peringkat paling awal di sekolah, samada mereka dari keluarga miskin, tidak menguasai bahasa Inggeris, dan sebagainya.

Tidak sepatutnya diwujudkan dasar menafikan hak yang cemerlang mendapatkan hak mereka masuk ke universiti semata mata mendahulukan orang lain atas dasar jantina walaupun kurang cemerlang.

Telah banyak kajian berkaitan hubungan akademik dengan jantina. Secara konsistennya, kajian kajian ini bersetuju bahawa budaya sekolah (baca; sikap guru, pentadbir) yang cenderung melaksnakan pendidikan secara feminisme.

Sementelah pengetua sekolah di Malaysia hampir 70% adalah wanita. Budaya sekolah ini tanpa disedari menjurus memberikan keserasian kepada pelajar wanita berbanding pelajar lelaki.

Keperluan sifat, sikap, bentuk interaksi dalam pengajaran dan pembelajaran adalah berbeza antara lelaki dan perempuan. Malah di dalam keluarga pun, ibu bapa tidak boleh mendidik anak lelaki sebagaimana mereka mendidik anak perempuan.

Bila budaya sekolah tidak menepati fitrah pelajar lelaki, secara umumnya menafikan mereka tidak berpeluang untuk menjadi cemerlang. Betul ramai juga pelajar lelaki yang cemerlang, nasib mereka lebih baik kerana berada dalam budaya sekolah yang memberikan peluang untuk pelajar lelaki cemerlang. Atau mereka berjaya kerana berupaya menyesuaikan diri dengan budaya feminisme sekolah.Tetapi bagaimana dengan kumpulan pelajar lelaki yang rendah pencapaian akademik, nakal, tidak berdisplin, kurang fokus dan tidak minat belajar? Apakah mereka dapat bertahan dengan budaya yang sama?