Saya terima satu email yang berkongsi pandangan beliau tentang sekolah dan perpaduan. Di hujung emailnya diakhiri dengan soalan, " Pada pandangan tuan mustahilkah untuk bangsa Melayu bersatu?
Saya akui soalan ini sukar. Kalau mudah dijawab tentulah kemelut "Melayu Bersatu" sudah lama diselesaikan.
Dalam sejarah orang Melayu, pernah dulu bangsa ini bersatu dan pernah juga berpecah belah. Di kala Inggeris mula ingin menjajah pada awal abad ke 19, perebutan kuasa di kalangan Raja Melayu di Perak dan Selangor telah pun memecah belahkan orang Melayu.
Di masa Malayan Union pula, suasana berubah. Orang Melayu bersatu hati hingga berjaya menafikan Malayan Union dilaksanakan walaupun secara moralnya British dan Kuasa Berikat baru sahaja menang WWII. Hebat sungguh orang Melayu ketika itu sehingga berjaya menafikan kuasa empayar British. Malangnya, banyak anak anak di sekolah tak belajar secara mendalam hal ini dan memandang sepi kejayaan kesatuan bangsa Melayu ketika itu.
Pada saya tidaklah mustahil orang Melayu boleh bersatu, tetapi jalan untuk bersatu sangat sukar. Saya bagi salah satu halangannya dari sisi pendidikan.
Perpecahan orang Melayu adalah satu perwarisan. Tetapi bukanlah satu sumpahan. Kita mewarisinya dari generasi sebelum kita. Orang Melayu sejak dulu dialirkan perpecahan melalui tiga bentuk pendidikan. Pendidikan Agama (pondok dan madrasah), pendidikan sekolah Melayu dan pendidikan Inggeris (Free School). Tiga tiganya mendidik orang Melayu perkara yang berbeza. sangat berbeza.
Pendidikan Islam tentulah berbeza dengan pendidikan Inggeris, Manakala aliran sekolah Melayu ketika itu tidak ke mana pergi. Pendidikan Islam jika hebat akan ke Madinah, Mesir dan Turki, Melayu lulusan Sekolah Inggeris pula akan ke England atau sekurang kurangnya ke Raffles College Singapura.
Sekolah aliran Melayu, kalau nak ke sekolah menengah kena ambil peperiksaan Cambridge, kebanyakkan akan gagal. Sedikit sahaja yang berjaya. oleh itu, aliran Melayu paling tinggi akan ke SITC Tanjung Malim. Keluar bertugas sebagai guru. Itupun tak ramai.
Asas Pendidikan ialah membina pemikiran dan latar alam pandangan seseorang. Bila ke sekolah agama, latarnya tentulah Islam yang utama, bila ke sekolah Inggeris lain pula yang diutamakan. Begitu sifatnya, sehingga aliran pendidikan ini telah memecahbelahkan pemikiran generasi bangsa Melayu dulu.
Maka ada pemimpin Melayu terasnya pemikiran Islam, ada pula pemimpin Melayu terasnya pemikiran pembangunan, tak kurang juga pemimpin Melayu dari sekolah melayu, dan kerana mereka merasa tertindas dengan dasar penjajah, pemimpin keluaran sekolah Melayu lebih cenderung berfikiran radikal.
Apa yang jadi seterusnya?
Jadilah Melayu itu tiga golongan yang berpecah, satunya simbolnya UMNO, satu lagi wajahnya PAS dan satu lagi yang radikal diwakili oleh KMM,PUTERA,API, AWAS dan sebagainya; tetapi kerana radikal, semua lenyap selepas merdeka).
Kita sedang warisi perpecahan ini. Tak ada sesiapa pun pemimpin Melayu yang berani mengubah aliran pendidikan ini. Maka kita masih lihat sekolah rakyat, sekolah pondok, madrasah dan sekolah agama akan terus bercambah di negara ini. Sekolah kebangsaan juga pasti akan terus berkembang juga. maknanya perpecahan semakin membesar.
Apa yang boleh dilakukan? Bolehkah kita satukan semua sekolah supaya orang melayu belajar di satu sekolah yang sama? Kalau ada pemimpin Melayu (samada UMNO atau PAS) yang boleh lakukan, saya kira soalan samada Melayu bolehkah bersatu pasti akan terjawab.
Jadi sebelum mendesak wujudkan sekolah satu aliran untuk orang Melayu, Cina dan India, eloklah diselesaikan dulu aliran pendidikan yang sejak sekian lama telah memecahkan bangsa Melayu.
Tapi jangan lupa, banyak lagi sebab lain bangsa Melayu berpecah belah! Menarik sungguh....