Kita selalu kaitankan seseorang yang melakukan sesuatu yang salah sebagai tidak mempunyai pendidikan. Misalnya, kita katakan si pembuang sampah sebagai pengotor dan tidak ada pendidikan. Kita juga akan kata pemandu yang memandu tidak mengikut peraturan jalanraya sebagai tidak mempunyai pendidikan. betulkah?
Tujuan pendidikan ialah menjadikan seseorang berupaya menggunakan potensinya. Untuk itu, sekolah dibangunkan untuk memudahkan seseorang belajar membangunkan potensinya. Sebab itu, di sekolah kita ada para guru, pihak pengurusan sekolah, bilik darjah, kurikulum dan sebagainya.
Jika tujuan untuk membangunkan potensi gagal di capai, maka kita boleh katakan tujuan pendidikan dan tujuan persekolahan juga gagal dilaksanakan.
Manusia dilahirkan dengan fitrah atau potensi. sejak lahir, kita sudah dianugerahkan akal untuk berfikir, pancaindera untuk mengeluarkan bunyi, merasa, mencium bauan, mendengar dan sebagainya. Tangan dan kaki juga dianugerahkan untuk melakukan berbagai kerja dan aktiviti.
Pendidikan adalah pendekatan mendidik untuk memastikan semua fitrah/potensi tadi digunakan sebaik mungkin. Semakin tinggi pendidikan semakin kuat keupayaan seseorang menggunakan potensinya.
Maka di sekolah kita diajarkan bahasa (lisan dan tulisan), nombor (mengira) dan berinteraksi dengan orang lain. Apakah tanpa pendidikan seseorang berupaya menggunakan fitrahnya. Jawabnya Ya. Tanpa pendidikan pun seseorang masih berupaya menggunakan fitrahnya, tetapi tidak menggunakannya secara berilmu.
Hari ini ramai pelajar dan juga sebahagian guru sudah tidak lagi mengutamakan tujuan tujuan ini. Tujuan pendidikan untuk membangunkan potensi sudah dilapisi oleh tujuan tujuan sekunder seperti mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Pada guru pula, kerjaya guru dilihat sebagai mata pencarian. Bukan lagi sebagai pembangun potensi.
Tidak hairanlah jenis guru sebegini akan hilang sabar dan akan mula merotan, mencubit, menampar dan memaki hamun pelajar yang tidak mencapai apa yang diajarkannya.
Tanpa dia sedar hukuman kepada pelajar sebenarnya berpunca kegagalannya memahami bagaimana sepatutnya beliau membangunkan potensi pelajar. Mungkin latihan perguruan dulu tidak pernah mendedahkan mereka kepada hal ini.
Saya menolak apa juga teori yang mengatakan ada kumpulan pelajar pandai dan ada kumpulan pelajar bodoh. Sebenarnya, yang ada ialah kegagalan kita memahami potensi pelajar dan kita memaksa pelajar 'mencapai' potensi yang tidak ada padanya. Sebab itu mengamalkan "satu kurikulum untuk semua" adalah sesuatu yang sangat lapuk sifatnya.
Maka masalah pun bermula. Pendidikan sudah tidak lagi dilaksanakan untuk tujuan membangunkan potensi. Pelajar tidak lagi diberikan ilmu kemahiran tentang membangunkan moralti, rasionaliti mahupun logik. Apa maksudnya?
Kita berhadapan dengan satu generasi yang akan ada banyak maklumat dan info tetapi mereka tidak mampu menjana semua maklumat tersebut untuk menjadi ilmu. Ilmu bukan sekadar fakta, tahu yang betul dan yang salah.
Ilmu juga merujuk kepada perilaku intervensi dan inovasi. Ilmu akan menjadikan sesuatu yang betul itu bermanafaat. Oleh itu, mempunyai banyak maklumat tetapi tidak mampu menjadikannya ilmu tidak akan mengubah apa apa, bukan!
Jika kita melihat seorang graduan universiti yang masih membuang sampah merata-rata, apakah boleh kita katakan beliau berpendidikan? Jawabnya ya tetapi beliau seorang tidak berilmu. Apabila kita lihat seorang buruh menegur perbuatan graduan yang membuang sampah merata-rata, apakah beliau seorang yang berilmu, jawapanya Ya walaupun tidak tinggi pendidikannya.
Menarik bukan......