Beberapa kajian dalam negara menunjukkan pendidikan muzik moden adalah bidang ko kurikulum yang paling kurang dilaksanakan di sekolah sekolah kebangsaan. Hanya beberapa sekolah sahaja yang begitu bersungguh sungguh membangunkan minat pelajar dalam muzik moden. Menariknya hampir semua sekolah ini adalah sekolah berstatus premier.
Sekolah luar bandar dan sekolah kampong hanya boleh 'bermimpi' untuk memiliki pasukan pancaragam atau orchestra sekolah. Mengapa ilmu muzik moden bukan pilihan dan kurang diberikan keutamaan dalam sistem pendidikan kebangsaan di negara kita terutama di sekolah luar Bandar khususnya di kalangan orang Melayu?
Saya mungkin ada tiga jawapan...
Pertama, secara epistemiloginya masyarakat Melayu Islam melihat muzik sebagai mempunyai keutamaan yang rendah dalam Islam. Hukumnya harus, tetapi jika tidak diuruskan dengan baik ia boleh menjadi haram. Dalam Islam muzik tidak pernah bersifat wajib.
Tanpa sedar ramai ibubapa Melayu khususnya memisahkan anak anak mereka dari muzik tanpa memahami bahawa muzik yang baik dan harmoni berupaya menjana minda, bakat dan disiplin yang tinggi.
Kedua, muzik moden sekarang adalah hasil kebijakkan masyarakat barat. Orang Melayu sejak zaman dulu (kecuali elit Melayu) adalah mereka yang datangnya dari kelas petani dan nelayan. Selain beribadat, hidup mereka ditumpukan untuk mencari rezeki untuk keluarga dengan tulang empat kerat. Muzik moden ala-barat bukan cara hidup untuk mereka.
Oleh itu, kita dapat melihat anak anak sekarang -khususnya orang melayu-hanya mengenali muzik yang bersifat popular. Mereka tidak menguasai ilmu ilmu muzik secara tertib. Mereka mungkin minat dengan muzik tetapi kerana tiada ilmu muzik, mereka tidak faham apakah maksudnya menghayati dan menghormati muzik yang sebenar. Oleh itu ramai antara mereka lebih suka kepada penyayni yang cantik atau tampan, dan bukan kerana suara dan irama lagu.
Ketiga, sejak zaman revolusi bermula di barat di pertengahan abad 18, pendidikan bersifat akademik, peperiksaan dan sebagainya telah menolak semua potensi manusia yang lain ke tepi. Oleh itu, muzik, senilukis, tarian, sukan, rekacipta tidak akan sepenting akademik.
Hanya di dekad ini sahaja kita baru mendengar pentingnya bakat pelajar digilap melalui pendidikan di sekolah. Kita juga sekarang sudah mula mendengar pentingnya inovasi dan rekacipta diangkat menjadi teras dalam pendidikan kebangsaan.
Sekurang kurangnya ini melegakan. Allah swt memberikan berbagai bakat dan potensi kepada hambanya sebagai bukti keagungaNya. Tetapi manusia sahaja yang belum mampu meneroka kehebatan penciptaNya..