Membaca akhbar beberapa hari lalu, dilaporkan Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat keputusan menambahkan bilangan Kelas Aliran Agama (KAA) di beberapa buah sekolah menengah.
Ini antara tindakan kementerian pelajaran yang saya anggap bijak dan saya sokong sepenuhnya. Kita sebenarnya sudah tidak perlu sistem sekolah menengah Agama (SMA) yang dipisahkan dengan sekolah menengah aliran biasa (SMK).
Kelas Aliran Agama (KAA) merupakan satu usaha yang menghasilkan pelajar Islam yang holistik. Kita ingin lebih ramai teknokrat melayu-Islam yang cemerlang. Memisahkan aliran agama daripada aliran kebangsaan sejak sekian lama bukan satu langkah yang bijak.
Penjajah Inggeris adalah perancang kepada kewujudan sistem pendidikan melayu tiga aliran. Sejak dulu, orang melayu ada yang dari Aliran agama, aliran Melayu dan aliran Inggeris. Sejak sekolah rendah hinggalah ke pengajian tinggi. Maka ada pelajar aliran agama yang ke Mesir, Mekah dan Madinah, aliran melayu pula ke SITC Tanjung Malim, dan aliran Inggeris ke England.
Maka terpisahlah orang Melayu kepada tiga latar pemikiran agama iaitu pemikiran Islam radikal, Islam Sederhana dan Melayu Islam ala-Barat.
Sebagai orang Islam, orang melayu harus segera kembali bersatu di bawah satu sistem pendidikan. orang melayu harus mula membina pendidikan yang menerima kemajuan dunia dan akhirat dan tidak lagi amalkan sistem pendidikan kolonial yang memisahkan antara aliran.
Jika di tanya, apakah Kelas aliran agama akan berjaya dilaksanakan di sekolah kebangsaan,, saya akan berkata " pasti berjaya dengan Izin Allah swt, tapi bukan sekarang, kita kena tunggu anak anak keluaran KAA yang berjaya ini mula berkerjaya dan bekeluarga, mereka akan pula menghantar anak anak mereka ke sekolah yang mengabungkan keilmuan dunia dan keilmuan untuk akhirat. ketika itu, barulah kita akan nampak kejayaannya KAA. Sehingga tibanya waktu itu, berdoa, bersabar dan istiqamah untuk menjayakannya...