Sekolah Malaysia?
- Setahu saya, Malaysia merupakan satu satunya negara di dunia yang mengiktiraf sekolah vernakular di dalam sistem pendidikan kebangsaan. Malah semua sekolah ini dibiayai pula menggunakan peruntukan negara. Tidak ada negara lain di dunia yang melaksanakan dasar seperti ini termasuklah negara yang kononnya memperjuangkan kebebasan hak asasi dan kebebasan suara individu sepenuhnya.
- Malah negara maju pun tidak mengiktiraf sekolah etnik minoriti di dalam sistem pendidikan kebangsaan dan hanya diluluskan sebagai sekolah pensendirian dengan biaya sendiri. Data statistik KPM 2012 menunjukan terdapat 1,294 buah sekolah rendah Cina dan 523 buah sekolah rendah Tamil. Malah telah dijanjikan akan ditambah lagi dari tahun ke tahun akan datang. Apa kesannya? Apakah usaha ini akan menjadikan bangsa Malaysia akan menjadi kenyataan? Saya fikir kita tidak akan ke mana mana dalam soal membina satu bangsa Malaysia untuk satu masa yang lama lagi?
- Bila Penyata Pelajaran Barnes 1950 dicadangkan, dasar ini meletakkan semua sekolah sebagai sekolah kebangsaan yang akan menggunakan bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Dasar ini telah ditentang oleh orang bukan Melayu sehingga akhirnya dasar ini gagal dilaksanakan sepenuhnya. Begitu juga dengan Ordinan Pelajaran 1952. Juga gagal dikuatkuasakan.
- Penyata Pelajaran Razak 1956 yang mengambil sikap berlembut telah membenarkan sekolah vernakular diteruskan asalkan mereka menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah juga semakin dilupakan.
- Hari ini pelajar Cina yang ke sekolah Cina sejak sekolah rendah, kemudian ke sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan kemudian ke luar negara samada ke Taiwan, Hong Kong atau China. yang berada akan ke universiti di negara barat atau ke Australia. Mereka tidak berpeluang kenal kawan kawan Melayu dan India lagi.
- Anak Melayu yang bersekolah aliran agama juga tidak berpeluang mengenali budaya orang Cina dan India. Hari ini sistem pendidikan kita seperti sudah hilang pengaruhnya di dalam membina satu rupa bangsa Malaysia yang kita harapkan.
- Saya tahu pihak KPM mencuba berbagai cara lain untuk menjayakan perpaduan termasuk Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP), Sekolah Wawasan dan sebagainya. Tetapi percayalah untuk membina bangsa Malaysia yang sebenar, kita kena berkata benar bahawa kita hanya ada satu cara..iaitu membina satu pendidikan satu aliran untuk semua. Sekolah Malaysia untuk anak anak Malaysia...
- Sekolah kebangsaan juga harus diubah menjadi sekolah Malaysia bukan sekolah untuk orang Melayu sahaja. Sekolah kebangsaam juga harus mengajar Bahasa Mandarin, Tamil dan Arab pada semua pelajarnya.
- Membina sekolah Malaysia bukan sahaja akan menyatukan anak anak Malaysia tetapi juga semua ibubapa mereka. Apakah kita tidak mahu menjadi satu bangsa Malaysia yang memahami antara satu sama lain?