14 July, 2013

Salah Siapa Wanita Lebih Ramai Berjaya Ke Universiti?

Akhbar hari ini melaporkan peratus pelajar lelaki yang masuk ke IPTA hanya 32% berbanding perempuan 68%. Secara mudahnya setiap sepuluh orang yang berjaya ke universiti, 7 perempuan dan hanya 3 lelaki.

Maka wakil Majlis Profesor Negara mencadangkan supaya senat universiti menggunakan autonomi mereka untuk mewujudkan merit atau dasar yang menyokong lebih ramai pelajar lelaki berpeluang masuk ke universiti. 


Dalam bahasa lain, perlu wujud satu dasar yang dapat mendiskriminasi pelajar wanita supaya kemasukan mereka ke universiti dapat dikurang.

Saya setuju lelaki perlu lebih ramai ke universiti, tetapi bukan dengan cara mendiskriminasikan pelajar wanita. Pemikiran ini sudah ketinggalan.

Dalam sistem pendidikan moden, jantina sudah tidak memberikan apa apa makna yang besar. Memang benar, jantina adalah sesuatu yang nyata tetapi ia tidak boleh dijadikan asas membezakan kebolehan seseorang.

Jika sekalipun 90% yang cemerlang akademik adalah wanita, maka hak dan keupayaan wanita harus dihormati. Adalah satu yang tidak bijak untuk menyatakan kerana lebih ramai wanita pandai dan akan ramai di universiti, maka perlu ada satu dasar diskriminasi yang akan memberikan lebih peluang kepada lelaki.

Dulu, di era 1940an dan sebelumnya, wanita juga telah diletakkan ditahap yang rendah dalam pendidikan. Anak anak perempuan walaupun bijak sering menjadi mangsa jika ibubapa tidak mampu membiayai pelajaran.

Anak lelaki sebaliknya walaupun kurang bijak tetap akan disekolah, atas alasan mereka nanti akan menjadi ketua keluarga. Akhirnya ramai anak anak perempuan yang bijak terrlepas peluang untuk meningkatkan pendidikan mereka. Malang sungguh..

Hari ini, atas alasan yang sama, ada cadangan supaya ada dasar untuk mengurangkan pelajar perempuan walaunpun mereka cemerlang dan menambahkan bilangan pelajar lelaki walaupun prestasi mereka sederhana sahaja.

Sebenarnya kita kena kembali melihat dan memahami apakah sebenarnya yang menyebabkan lebih ramai pelajar perempuan cemerlang berbanding pelajar lelaki di peringkat sekolah.

Seterusnya mengambil tindakan memperbaiki tahap pencapaian pelajar lelaki tanpa menafikan kecemerlangan pelajar wanita. Kemasukan universiti sepatutnya diukur atas dasar kecemeralngan akademik, bukan jantina. Wanita juga seharusnya mendapat peluang dan hak yang sama. Kita boleh berbeza pandangan dalam hal ini.

Yang penting, pelajar yang ketinggalan akademik harus dibantu di peringkat paling awal di sekolah, samada mereka dari keluarga miskin, tidak menguasai bahasa Inggeris, dan sebagainya.

Tidak sepatutnya diwujudkan dasar menafikan hak yang cemerlang mendapatkan hak mereka masuk ke universiti semata mata mendahulukan orang lain atas dasar jantina walaupun kurang cemerlang.

Telah banyak kajian berkaitan hubungan akademik dengan jantina. Secara konsistennya, kajian kajian ini bersetuju bahawa budaya sekolah (baca; sikap guru, pentadbir) yang cenderung melaksnakan pendidikan secara feminisme.

Sementelah pengetua sekolah di Malaysia hampir 70% adalah wanita. Budaya sekolah ini tanpa disedari menjurus memberikan keserasian kepada pelajar wanita berbanding pelajar lelaki.

Keperluan sifat, sikap, bentuk interaksi dalam pengajaran dan pembelajaran adalah berbeza antara lelaki dan perempuan. Malah di dalam keluarga pun, ibu bapa tidak boleh mendidik anak lelaki sebagaimana mereka mendidik anak perempuan.

Bila budaya sekolah tidak menepati fitrah pelajar lelaki, secara umumnya menafikan mereka tidak berpeluang untuk menjadi cemerlang. Betul ramai juga pelajar lelaki yang cemerlang, nasib mereka lebih baik kerana berada dalam budaya sekolah yang memberikan peluang untuk pelajar lelaki cemerlang. Atau mereka berjaya kerana berupaya menyesuaikan diri dengan budaya feminisme sekolah.Tetapi bagaimana dengan kumpulan pelajar lelaki yang rendah pencapaian akademik, nakal, tidak berdisplin, kurang fokus dan tidak minat belajar? Apakah mereka dapat bertahan dengan budaya yang sama?

13 July, 2013

Mutu Pendidikan Kebangsaan: Apakah Anda Berpuashati?

Setiap tahun sekitar 8 ribu orang lepasan IPG dan IPT bersedia untuk mula bertugas di sekolah sekolah menengah dan rendah seluruh negara. Malangnya sekitar 2,500 sahaja yang berjaya di'posting' ke sekolah. Manakala 5,000 terpaksa menunggu giliran bertahun untuk dihantar bertugas. Ada antaranya telah pun berputus asa.

Di dalam akhbar hari ini, alasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri 2 KPM, mengapa keadaan ini berlaku ialah bila kerajaan meluluskan umur persaraan dari 55 tahun ke 58 tahun sekitar 2008 dan kemudiannya ditingkatkan ke 60 tahuntahun lalu. Bila umur persaraan penjawat awam termasuk guru dinaikkan, secara teorinya akan berlaku lambakan lepasan IPG dan IPT yang tidak boleh diposting.

Saya tidak melihat alasan ini sesuatu yang tepat dan boleh diterima sepenuhnya. Alasan seperti ini tidak akan menyelesaikan masalah.

Kemeneteraian pendidikan sejak dahulu selalu mewar warkan ingin menjadi negara yang maju dan hebat sistem pendidikannya. Itulah juga impian dan cita cita yang disokong oleh seluruh rakyat negara ini.Maka kita bersetuju bila pihak kerajaan telah ambil Sweden sebagai contoh.

Sweden diiktiraf mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia. yang kedua diiktiraf terbaik ialah Singapura.

Di Sweden nisbah guru pelajar ialah 1:15 orang. Atau dalam kata mudah guru mengajar di dalam kelas yang secara purata mempunyai 15 pelajar sahaja. Di Malaysia guru terpaksa mengajar secara puratanya 40-45 pelajar di dalam satu kelas.

Jika pendidikan kita ingin maju seperti Sweden, kita harus mempunyai nisbah guru per pelajar yang lebih kecil dan munasabah. Oleh itu jika kita mengambil contoh Sweden 1:15 maka kita memerlukan sekali ganda guru untuk berkhidmat di sekolah.

Hari ini ada sekitar 400 ribu, sepatutnya kita mempunyai 800 ribu guru.Kita sebenarnya mengalami kekeurangan guru, bukannya lebihan guru. Kita juga mengalami kekurangan sekolah.

Maka kita sebenarnya masih jauh dari mengejar kecemerlangan negara yang maju dalam pendidikan di dunia. Kita mungkin berkata kekurangan peruntukan kewangan, atau kekurangan pusat latihan guru atau juga kekurangan segala galanya.

Tetapi alasan seperti ini semakin sukar dipercayai oleh rakyat yang melihat pendidikan adalah satu pelaburan yang sangat penting.

Maka, untuk menerima alasan bahawa had umur menjadi punca guru tidak di'posting'kan bukanlah sesuatu yang menarik. Kita sebenarnya masih kekurangan sekolah, kita juga sebenarnya kekurangan guru bukan sebaliknya...

Membina Jati Diri Bangsa...Apakah Sistem Pendidikan Kita Semakin Tersasar?

Saya menjunjung Kasih atas titah YM Dr Raja Nazrin Shah supaya pendidikan kenegaraan dimulakan sejak peringkat awal di sekolah. 

Pendidikan Kenegaraan telah diperkenalkan di sekolah sejak awal merdeka lagi. Dulu ada subjek Tatarakyat, kemudian ditukar menjadi Sivik. Kemudian diturunkan taraf menjadi nilai kewarganegaraan dalam subjek sejarah. Sejak 2004 diubah menjadi subjek pendidikan kewarganegaraan. Mulai 2008 diubah menjadi pendidika sivik dan kewarganegaraan.

maknanya, subjek kenegaraan (atau nama lain yang masih sama isikandunganya) telah begitu lama diperkenalkan dalam sistem pendidikan kita.

Jadi apa masalahnya sehingga kita merasakan warganegara kita sudah semakin hilang nilai nilai kenegaraan?

Saya cenderung untuk menyatakan bukan isu subjek kenegaraan. Ini adalah isu latar pengetahuan sejarah dan pendekatan mengajar.

Pertama, sebelum seseorang boleh difahamkan tentang kenegaraan, kewarganegaraan atau hidup bermasyarakat, mereka tidak dapat tidak mestilah tahu, faham serta menerima sejarah negara terlebih dahulu. Tanpa kefahaman atau jika seseorang menolak sejarah negara, subjek kenegaraan-kewarganegaraan tidak akan mencapai tujuannya. 


Oleh itu subjek sejarah adalah asas untuk menjayakan ilmu kenegaraan. maka, cuba kita soal "Aoakah semua rakyat Malaysia menerima, faham atau jelas tentang sejarah negara kita? Soal siapa penduduk asal tanah Melayu? 

Soal siapa pejuang menentang penjajah? Soal siapa yang sedia bersetuju menerima kewarganegaraan tanpa syarat masyarakat Cina dan India di Tanah Melayu dulu? Soal apa itu Perlembagaan Persekutuan Malaysia? Soal institusi Raja Melayu dan juga demokrasi berparlimen.

Anak anak di sekolah juga kena tahu tentang betapa besar sumbangan orang Cina dalam usaha membuka bandar bandar baru di seluruh Malaya, hari ini kita kenal bandaraya KL, Ipoh, Seremban, JB, Taiping dan berbagai lagi yang dibuka oleh orang Melayu dan dikembangkan oleh orang CIna.


Begitu juga sumbangan orang India yang menjadi tulang belakang ekonomi getah yang menjadi teras ekonomi Malaya, dan orang Melayu yang menjadi tentera dan polis yang menjaga keamanan Malaya dari ancaman komunis yang memilih untuk mengangkat senjata menentang kerajaan Malaysia yang baru merdeka.

Kedua, soal kaedah mengajar subjek kenegaraan. Sejak sekian lama kaedah satu hala bercirikan doktrinisasi digunakan untuk menyampaikan mengapa kita perlu sayang kepada negara. hari ini kaedah itu bukan lagi kaedah yang diterima untuk membina rasa sayang dan bangga sebagai rakyat Malaysia. anak anak disekolah harus dibangunkan kritikal thinking, logical thinking untuk membina rasa sayang dan bangga mereka pada negara Malaysia.

Inilah sebenarnya cabaran yang harus difahami oleh para pengubal kurikulum pendidikan sejarah dan kenegaraan. Ini jugalah yang seharusnya dikuasai oleh para guru di sekolah.

Memartabatkan Pendidikan Agama...

Membaca akhbar beberapa hari lalu, dilaporkan Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat keputusan menambahkan bilangan Kelas Aliran Agama (KAA) di beberapa buah sekolah menengah. 

Ini antara tindakan kementerian pelajaran yang saya anggap bijak dan saya sokong sepenuhnya. Kita sebenarnya sudah tidak perlu sistem sekolah menengah Agama (SMA) yang dipisahkan dengan sekolah menengah aliran biasa (SMK). 

Kelas Aliran Agama (KAA) merupakan satu usaha yang menghasilkan pelajar Islam yang holistik. Kita ingin lebih ramai teknokrat melayu-Islam yang cemerlang. Memisahkan aliran agama daripada aliran kebangsaan sejak sekian lama bukan satu langkah yang bijak.

Penjajah Inggeris adalah perancang kepada kewujudan sistem pendidikan melayu tiga aliran. Sejak dulu, orang melayu ada yang dari Aliran agama, aliran Melayu dan aliran Inggeris. Sejak sekolah rendah hinggalah ke pengajian tinggi. Maka ada pelajar aliran agama yang ke Mesir, Mekah dan Madinah, aliran melayu pula ke SITC Tanjung Malim, dan aliran Inggeris ke England.

Maka terpisahlah orang Melayu kepada tiga latar pemikiran agama iaitu pemikiran Islam radikal, Islam Sederhana dan Melayu Islam ala-Barat.

Sebagai orang Islam, orang melayu harus segera kembali bersatu di bawah satu sistem pendidikan. orang melayu harus mula membina pendidikan yang menerima kemajuan dunia dan akhirat dan tidak lagi amalkan sistem pendidikan kolonial yang memisahkan antara aliran.

Jika di tanya, apakah Kelas aliran agama akan berjaya dilaksanakan di sekolah kebangsaan,, saya akan berkata " pasti berjaya dengan Izin Allah swt, tapi bukan sekarang, kita kena tunggu anak anak keluaran KAA yang berjaya ini mula berkerjaya dan bekeluarga, mereka akan pula menghantar anak anak mereka ke sekolah yang mengabungkan keilmuan dunia dan keilmuan untuk akhirat. ketika itu, barulah kita akan nampak kejayaannya KAA. Sehingga tibanya waktu itu, berdoa, bersabar dan istiqamah untuk menjayakannya...

Membina Pendidikan Holistik: Di Mana Sebenarnya Kita?

Beberapa kajian dalam negara menunjukkan pendidikan muzik moden adalah bidang ko kurikulum yang paling kurang dilaksanakan di sekolah sekolah kebangsaan. Hanya beberapa sekolah sahaja yang begitu bersungguh sungguh membangunkan minat pelajar dalam muzik moden. Menariknya hampir semua sekolah ini adalah sekolah berstatus premier. 

Sekolah luar bandar dan sekolah kampong hanya boleh 'bermimpi' untuk memiliki pasukan pancaragam atau orchestra sekolah. Mengapa ilmu muzik moden bukan pilihan dan kurang diberikan keutamaan dalam sistem pendidikan kebangsaan di negara kita terutama di sekolah luar Bandar khususnya di kalangan orang Melayu?

Saya mungkin ada tiga jawapan...

Pertama, secara epistemiloginya masyarakat Melayu Islam melihat muzik sebagai mempunyai keutamaan yang rendah dalam Islam. Hukumnya harus, tetapi jika tidak diuruskan dengan baik ia boleh menjadi haram. Dalam Islam muzik tidak pernah bersifat wajib.

Tanpa sedar ramai ibubapa Melayu khususnya memisahkan anak anak mereka dari muzik tanpa memahami bahawa muzik yang baik dan harmoni berupaya menjana minda, bakat dan disiplin yang tinggi.

Kedua, muzik moden sekarang adalah hasil kebijakkan masyarakat barat. Orang Melayu sejak zaman dulu (kecuali elit Melayu) adalah mereka yang datangnya dari kelas petani dan nelayan. Selain beribadat, hidup mereka ditumpukan untuk mencari rezeki untuk keluarga dengan tulang empat kerat. Muzik moden ala-barat bukan cara hidup untuk mereka.

Oleh itu, kita dapat melihat anak anak sekarang -khususnya orang melayu-hanya mengenali muzik yang bersifat popular. Mereka tidak menguasai ilmu ilmu muzik secara tertib. Mereka mungkin minat dengan muzik tetapi kerana tiada ilmu muzik, mereka tidak faham apakah maksudnya menghayati dan menghormati muzik yang sebenar. Oleh itu ramai antara mereka lebih suka kepada penyayni yang cantik atau tampan, dan bukan kerana suara dan irama lagu.

Ketiga, sejak zaman revolusi bermula di barat di pertengahan abad 18, pendidikan bersifat akademik, peperiksaan dan sebagainya telah menolak semua potensi manusia yang lain ke tepi. Oleh itu, muzik, senilukis, tarian, sukan, rekacipta tidak akan sepenting akademik.

Hanya di dekad ini sahaja kita baru mendengar pentingnya bakat pelajar digilap melalui pendidikan di sekolah. Kita juga sekarang sudah mula mendengar pentingnya inovasi dan rekacipta diangkat menjadi teras dalam pendidikan kebangsaan.

Sekurang kurangnya ini melegakan. Allah swt memberikan berbagai bakat dan potensi kepada hambanya sebagai bukti keagungaNya. Tetapi manusia sahaja yang belum mampu meneroka kehebatan penciptaNya..

Pendidikan Kita Masih Ketinggalan?

Saya cenderung untuk menyatakan pendidikan yang diberikan pada anak anak kita di sekolah masa kini masih tidak selari dengan keperluan mereka untuk mempersiapkan diri pada masa sekarang dan masa depan. Tanpa menafikan pendidikan berkaitan kemahiran asas pendidikan 4M masih penting, masih banyak ruang ilmu hidup yang lain belum dikuasai oleh pelajar. 

Misalnya, pendidikan kita masih tiada ilmu berkaitan undang undang, hak dan jaminan keselamatan diri dan hartabenda. Anak anak kita masih tidak diberikan kefahaman ttg hal ini. Hingga dewasa mereka tiada ilmu ttg apakah hak mereka sebagai warganegara. Misalnya, apa maksudnya jaminan kebebasan bersuara?

Begitu juga dengan soal pengetahuan kepenggunaan. Sedih bila melihat anak anak di sekolah naif tentang hak hak mereka sebagai pengguna, pemakanan yg baik untuk kesihatan.

Anak anak di sekolah juga tidak diberikan kemahiran pengurusan kewangan. Mereka bila membesar tidak dapat membezakan antara keperluan dan kehendak. Pendidikan juga ilmu membina tabiat. Tentunya, kita tidak terkejut bila ramai yg berhutang along dan kad kredit, kerna mereka tidak habit menguruskan kewangan sejak kecil.

Kita mengeluh bila setiap hari rakyat kita bertelagah tentang politik. Hatta selepas piliharaya pun, kemelut politik tak juga selesai. Saya tak terkejut kerana ahli politik kita tidak pernah pun disekolahkan pengetahuan demokrasi semasa di sekolah dulu. Malah, mereka sebenarnya lebih dahulu mengenali ilmu politik, kemudian baru belajar dan mengenal demokrasi.

Oleh itu, kurikulum kita harus sentiasa dianjurkan untuk berubah sesuai dengan zaman dan keperluan pelajar.

Pendidikan Punca Bangsa Melayu Berpecah Belah?

Saya terima satu email yang berkongsi pandangan beliau tentang sekolah dan perpaduan. Di hujung emailnya diakhiri dengan soalan, " Pada pandangan tuan mustahilkah untuk bangsa Melayu bersatu?

Saya akui soalan ini sukar. Kalau mudah dijawab tentulah kemelut "Melayu Bersatu" sudah lama diselesaikan.

Dalam sejarah orang Melayu, pernah dulu bangsa ini bersatu dan pernah juga berpecah belah. Di kala Inggeris mula ingin menjajah pada awal abad ke 19, perebutan kuasa di kalangan Raja Melayu di Perak dan Selangor telah pun memecah belahkan orang Melayu.

Di masa Malayan Union pula, suasana berubah. Orang Melayu bersatu hati hingga berjaya menafikan Malayan Union dilaksanakan walaupun secara moralnya British dan Kuasa Berikat baru sahaja menang WWII. Hebat sungguh orang Melayu ketika itu sehingga berjaya menafikan kuasa empayar British. Malangnya, banyak anak anak di sekolah tak belajar secara mendalam hal ini dan memandang sepi kejayaan kesatuan bangsa Melayu ketika itu.

Pada saya tidaklah mustahil orang Melayu boleh bersatu, tetapi jalan untuk bersatu sangat sukar. Saya bagi salah satu halangannya dari sisi pendidikan.

Perpecahan orang Melayu adalah satu perwarisan. Tetapi bukanlah satu sumpahan. Kita mewarisinya dari generasi sebelum kita. Orang Melayu sejak dulu dialirkan perpecahan melalui tiga bentuk pendidikan. Pendidikan Agama (pondok dan madrasah), pendidikan sekolah Melayu dan pendidikan Inggeris (Free School). Tiga tiganya mendidik orang Melayu perkara yang berbeza. sangat berbeza.

Pendidikan Islam tentulah berbeza dengan pendidikan Inggeris, Manakala aliran sekolah Melayu ketika itu tidak ke mana pergi. Pendidikan Islam jika hebat akan ke Madinah, Mesir dan Turki, Melayu lulusan Sekolah Inggeris pula akan ke England atau sekurang kurangnya ke Raffles College Singapura.

Sekolah aliran Melayu, kalau nak ke sekolah menengah kena ambil peperiksaan Cambridge, kebanyakkan akan gagal. Sedikit sahaja yang berjaya. oleh itu, aliran Melayu paling tinggi akan ke SITC Tanjung Malim. Keluar bertugas sebagai guru. Itupun tak ramai.

Asas Pendidikan ialah membina pemikiran dan latar alam pandangan seseorang. Bila ke sekolah agama, latarnya tentulah Islam yang utama, bila ke sekolah Inggeris lain pula yang diutamakan. Begitu sifatnya, sehingga aliran pendidikan ini telah memecahbelahkan pemikiran generasi bangsa Melayu dulu.

Maka ada pemimpin Melayu terasnya pemikiran Islam, ada pula pemimpin Melayu terasnya pemikiran pembangunan, tak kurang juga pemimpin Melayu dari sekolah melayu, dan kerana mereka merasa tertindas dengan dasar penjajah, pemimpin keluaran sekolah Melayu lebih cenderung berfikiran radikal.

Apa yang jadi seterusnya?

Jadilah Melayu itu tiga golongan yang berpecah, satunya simbolnya UMNO, satu lagi wajahnya PAS dan satu lagi yang radikal diwakili oleh KMM,PUTERA,API, AWAS dan sebagainya; tetapi kerana radikal, semua lenyap selepas merdeka).

Kita sedang warisi perpecahan ini. Tak ada sesiapa pun pemimpin Melayu yang berani mengubah aliran pendidikan ini. Maka kita masih lihat sekolah rakyat, sekolah pondok, madrasah dan sekolah agama akan terus bercambah di negara ini. Sekolah kebangsaan juga pasti akan terus berkembang juga. maknanya perpecahan semakin membesar.

Apa yang boleh dilakukan? Bolehkah kita satukan semua sekolah supaya orang melayu belajar di satu sekolah yang sama? Kalau ada pemimpin Melayu (samada UMNO atau PAS) yang boleh lakukan, saya kira soalan samada Melayu bolehkah bersatu pasti akan terjawab.

Jadi sebelum mendesak wujudkan sekolah satu aliran untuk orang Melayu, Cina dan India, eloklah diselesaikan dulu aliran pendidikan yang sejak sekian lama telah memecahkan bangsa Melayu.

Tapi jangan lupa, banyak lagi sebab lain bangsa Melayu berpecah belah! Menarik sungguh....

Bila Anak- Anak Yang DiGelapkan Masa Depan Atas Nama "Agama"...

Kisah anak anak mengutip derma dan membuat jualan minyak angin, kismis kotak dan tisu telah sering kali kita dengar. Saya pasti sudah ramai antara kita yang berjumpa dengan mereka di merata tempat. 

Menariknya , hampir semua kanak kanak ini datang dari satu sekolah yang sama, Sekolah Tahfiz Amal Jalan Kangkung, Kuala Kedah. Pada sesiapa yang pernah menggunakan jalan bawah Yan Kuala Kedah, mereka akan nampak papan tanda kecil sekolah ini (jalan bawah ialah istilah sesetengah orang Kedah bagi jalanraya lama dari Yan hingga ke Padang Besar, jalan dua hala yang agak kecil dihiasi pemandangan perkampungan dan sawah padi). Terdapat pekan kecil seperti Sedaka dan Dulang di sepanjang jalan ini. Saya sering gunakan jalan ini bila ke Alor Setar.

Sekolah tahfiz ini tidak berdaftar walaupun dikatakan telah lebih sepuluh tahun beroperasi. Alasan yang diberikan kenapa tidak berdaftar, permohonan telah ditolak oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dan Jabatan pendidikan Kedah. Tetapi walau pun sudah berkali kali diarahkan tutup, mereka tetap beroperasi seperti biasa.

Biasalah, siapa peduli dengan majlis Agama, bukan sahaja sekolah haram beroperasi, banyak yang haram lain masih boleh beroperasi walaupun sudah berkali kali diserbu dan di sita. sekolah ini daif dan serba kekurangan. Sebenarnya banyak sekolah sedemikian bertaburan di seluruh Malaysia.

Biasanya pemilik sekolah dan pengajar adalah mereka di kalangan lulusan sekolah pondok. sempat menyelia beberapa pelajar yang membuat tesis tentang sekolah jenis ini.

Saya tak minat sentuh tentang soal itu, tetapi lebih terkesan dengan masa depan anak anak sekolah tidak berdaftar ini. Dimaklumkan sekarang ada seramai 128 orang belajar disana. hampir semuanya anak anak yatim. Kebanyakkan dikatakan mempunyai masalah pembelajaran, bukan akibat masalah fizikal tetapi tidak ada kemahiran serta sokongan pembelajaran yang baik.

Mereka bukan sahaja berhadapan dengan isu masalah pembelajarn tetapi 'dipaksa' mengutip sumbangan untuk membiayai operasi sekolah berkenaan. Mungkin ini jalan terakhir pihak sekolah untuk menyelesaikan masalah kewangan sekolah.

Apa pun, Akta Pelindungan Kanak Kanak tidak membenarkan anak anak dikerah bekerja untuk mendapat pendapatan. Walaupun akta membenarkan anak anak membantu ibubapa bekerja jika diperlukan.

Jelas sekali pelanggaran akta telah berlaku pada naka anak ini. saya pasti bukan ratus malah ribuan kanak kanak di seluruh Negara sedang menghadapi paksaan yang sama di sekolah sekolah jenis tidak berdaftar ini.

Apa masa depan mereka? Sebagai individu kita akan terus bersedekah dan menderma, tetapi isu ini tidak akan selesai dengan setakat menderma dan bersedekah sahaja. Saya mengharapkan suatu undang undang perlindungan anak anak yatim diperkenalkan dalam negara kita, dan yang paling penting mesti dikuatkuasakan sepenuhnya.

Jika kita boleh membina Sekolah Asrama Penuh Berprestij yang dihuni semakin banyak dihuni oleh anak anak orang kaya dan orang besar, harapnya pemimpin kita tidak boleh lupa untuk membina asrama yang sama untuk anak anak yatim dan piatu...bukankah itu matlamat pendidikan negara, membina pendidikan untuk semua?

Pendidikan Politik di Sekolah, Bersediakah Pelajar Kita?

Di dalam kurikulum Pendidikan Kewarganegaraan dan Sivik di sekolah, disebut tentang amalan demokrasi dan piliharaya. Tetapi tidak disentuh tentang konsep UNDI ANDA ADALAH RAHSIA. Undi rahsia adalah satu ciri yang menjadi syarat utama di dalam melaksanakan pilihanraya yang adil. 

Amalan undi rahsia ini kadangkala tidak difahami oleh pelajar. Cuba kita tanya mereka "Mengapa undi perlu rahsia?" Apa jawapan yang kita akan dapat?

Mungkin jawapan yang paling ramai dan mudah dijawab ialah supaya orang lain tak tahu apa yang kita undi. Tanya lagi mengapa kita tak mahu orang lain tahu apa yang kita undi?

Maka kita akan dapat berbagai jawapan, misalnya untuk elak perselisihan faham. tak nak kawan atau keluarga kecil hati jika undi kita dan mereka berbeza.

Sebenarnya amalan undi rahsia adalah asas menghormati hak asasi dan mempertahankan pelaksanaan demokrasi. Jika undi tidak rahsia, kita mungkin dipaksa, diarah, diugut atau sebagainya untuk mengundi calon bukan pilihan anda.

Maka kita kena faham mempertahankan amalan undi rahsia adalah asas kepada setiap warganegara yang layak untuk mendapatkan hak bersuara dalam sebuah negara demokrasi.

Malangnya ramai pelajar tidak tahu hal ini....

Benarkah Pengangguran Graduan kerana 'Softskills' Yang Lemah?

Dilaporkan dalam Majalah Time, pengangguran graduan di Eropah semakin serius. Spain hanya 60% graduan bekerja, Portugal 55%, Greece paling kritikal, hanya 40%. Di China, Star hari ini melaporkan hanya 45-55% sahaja dari 7 juta graduan yang tamat pengajian pada tahun 2012 telah bekerja.

Di Malaysia, rekod pengesanan graduan KPT menunjukan purata IPTA menunjukkan antara 65-75% telah bekerja dalam tempoh enam bulan pada tahun 2012. Kadar bekerja IPTS lebih tinggi sekitar 80% graduannya telah bekerja dalam tempoh enam bulan selepas konvokesyen. Dijangkakan kadar kebolehkerjaan graduan IPT di negara ini akan jatuh bagi tahun 2013-2014 kerana penguncupan ekonomi dunia. Ini juga akan dialami oleh semua negara di dunia (cuma kadarnya berbeza beza)

Saya utarakan isu ini untuk kita sama sama memahami isu sebenar sebelum membuat rumusan yang salah. Kita sering digambarkan punca utama graduan menganggur atau tidak ditawarkan peluang pekerjaan kerana masalah bahasa Inggeris dan kelemahan softskills graduan.

Jika inilah faktor utama, tentunya negara Eropah yang lebih luas tahap penguasaan bahasa Inggersi serta softskillsnya tidak akan melalui isu pengangguran graduan yang tinggi. saya pasti semua graduan mempunyai softskills, cuma ada yang sedar potensi dan ada yang tidak sedar.

Isu pengangguran ialah isu ekonomi. Di kala ekonomi berkembang graduan yang lemah serba serbi tetap juga bekerja. Di era 1970an hingga sebelum 1983 dan antara 1985-1993, selemah lemah graduan juga boleh bekerja, kerana ketika itu negara sedang mengalami perkembangan ekonomi yang besar. Dasar Perindustrian, Dasar Pandang Ke Timur dan Dasar Persyarikatan Malaysia menyokong kebolehpekerjaan graduan.

Sejak kelembaban ekonomi melanda dunia, kebanyakan syarikat sangat berhati hati menambah tenaga sumber manusianya. Bukan sahaja sektor swasta, sektor kerajaan sekarang juga telah mengambil langkah yang sama.

Apabila keadaan ekonomi yang menguncup, pengambilan sumber manusia pasti dikecilkan atau dibekukan, pihak majikan dan ketua jabatan mula 'mencipta' pelbagai alasan untuk merasionalisasikan tindakan mereka. Maka isu bahasa Inggeris, kelemahan komunikasi, kurang daya saing dan sebagainya mula muncul. saya setuju semua alasan ini relevan dan perlu diberikan perhatian serius. Tetapi alasan alasan ini adalah faktor penyokong sahaja kepada masalah pengangguran graduan. Faktor utamanya tetap penguncupan-kelembaban ekonomi.

Bila keadaan ini berlaku, sikap berhati hati majikan menyebabkan 'expectation' mereka meningkat. Mereka hanya memilih graduan yang memenuhi citarasa mereka. keupayaan berbahasa Inggeris dan mandarin diutamakan. Keupayaan menguasai budaya majikan menjadi lebih penting. majikan lebih selesa memilih graduan yang berkongsi budaya yang sama dengan mereka. Kajian yang dibentangkan oleh penyelidik UM (rujuk anuar-ahmad.blogspot.com) menunjukkan majikan Cina lebih selesa memilih graduan Cina sebagai pekerja mereka. Ini ada biasa. Tiada ada salahnya.Mana mana majikan tanpa mengira kaum apa pun pasti akan mengambil keputusan yang paling mereka selesa.

Graduan Melayu tentunya kumpulan graduan yang paling terkesan dengan senario ini. Pasaran kerja swasta di Malaysia di kuasai 85% majikan Cina. Apakah graduan Melayu mampu memecahkan persoalan ini? saya fikir sangat sukar. Keadaan hanya akan lebih baik bila kerajaan bijak merancang untuk meransang ekonomi suoaya kembali berkembang, pasaran ekonomi menjadi bertambah baik, dan ini menyebabkan majikan memerlukan lebih ramai tenaga kerja. Peluang pelajar Melayu akan bertambah cerah.samada mahir atau tidak softskills mereka.

Sekarang, kita sudah mula mendengar beberapa istilah yang lebih baru dalam merasionalisasikan pengangguran graduan, misalnya pengurusan bakat (talent management), keusahawanan (entrepreneurship) dan inovasi (innovation).

Makna Pendidikan Yang Dilupakan...

Kita selalu kaitankan seseorang yang melakukan sesuatu yang salah sebagai tidak mempunyai pendidikan. Misalnya, kita katakan si pembuang sampah sebagai pengotor dan tidak ada pendidikan. Kita juga akan kata pemandu yang memandu tidak mengikut peraturan jalanraya sebagai tidak mempunyai pendidikan. betulkah?

Tujuan pendidikan ialah menjadikan seseorang berupaya menggunakan potensinya. Untuk itu, sekolah dibangunkan untuk memudahkan seseorang belajar membangunkan potensinya. Sebab itu, di sekolah kita ada para guru, pihak pengurusan sekolah, bilik darjah, kurikulum dan sebagainya.

Jika tujuan untuk membangunkan potensi gagal di capai, maka kita boleh katakan tujuan pendidikan dan tujuan persekolahan juga gagal dilaksanakan.

Manusia dilahirkan dengan fitrah atau potensi. sejak lahir, kita sudah dianugerahkan akal untuk berfikir, pancaindera untuk mengeluarkan bunyi, merasa, mencium bauan, mendengar dan sebagainya. Tangan dan kaki juga dianugerahkan untuk melakukan berbagai kerja dan aktiviti.

Pendidikan adalah pendekatan mendidik untuk memastikan semua fitrah/potensi tadi digunakan sebaik mungkin. Semakin tinggi pendidikan semakin kuat keupayaan seseorang menggunakan potensinya.

Maka di sekolah kita diajarkan bahasa (lisan dan tulisan), nombor (mengira) dan berinteraksi dengan orang lain. Apakah tanpa pendidikan seseorang berupaya menggunakan fitrahnya. Jawabnya Ya. Tanpa pendidikan pun seseorang masih berupaya menggunakan fitrahnya, tetapi tidak menggunakannya secara berilmu.

Hari ini ramai pelajar dan juga sebahagian guru sudah tidak lagi mengutamakan tujuan tujuan ini. Tujuan pendidikan untuk membangunkan potensi sudah dilapisi oleh tujuan tujuan sekunder seperti mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Pada guru pula, kerjaya guru dilihat sebagai mata pencarian. Bukan lagi sebagai pembangun potensi.

Tidak hairanlah jenis guru sebegini akan hilang sabar dan akan mula merotan, mencubit, menampar dan memaki hamun pelajar yang tidak mencapai apa yang diajarkannya.

Tanpa dia sedar hukuman kepada pelajar sebenarnya berpunca kegagalannya memahami bagaimana sepatutnya beliau membangunkan potensi pelajar. Mungkin latihan perguruan dulu tidak pernah mendedahkan mereka kepada hal ini.

Saya menolak apa juga teori yang mengatakan ada kumpulan pelajar pandai dan ada kumpulan pelajar bodoh. Sebenarnya, yang ada ialah kegagalan kita memahami potensi pelajar dan kita memaksa pelajar 'mencapai' potensi yang tidak ada padanya. Sebab itu mengamalkan "satu kurikulum untuk semua" adalah sesuatu yang sangat lapuk sifatnya.

Maka masalah pun bermula. Pendidikan sudah tidak lagi dilaksanakan untuk tujuan membangunkan potensi. Pelajar tidak lagi diberikan ilmu kemahiran tentang membangunkan moralti, rasionaliti mahupun logik. Apa maksudnya?

Kita berhadapan dengan satu generasi yang akan ada banyak maklumat dan info tetapi mereka tidak mampu menjana semua maklumat tersebut untuk menjadi ilmu. Ilmu bukan sekadar fakta, tahu yang betul dan yang salah.

Ilmu juga merujuk kepada perilaku intervensi dan inovasi. Ilmu akan menjadikan sesuatu yang betul itu bermanafaat. Oleh itu, mempunyai banyak maklumat tetapi tidak mampu menjadikannya ilmu tidak akan mengubah apa apa, bukan!

Jika kita melihat seorang graduan universiti yang masih membuang sampah merata-rata, apakah boleh kita katakan beliau berpendidikan? Jawabnya ya tetapi beliau seorang tidak berilmu. Apabila kita lihat seorang buruh menegur perbuatan graduan yang membuang sampah merata-rata, apakah beliau seorang yang berilmu, jawapanya Ya walaupun tidak tinggi pendidikannya.

Menarik bukan......

Meritokrasi Dan Orang Melayu...


  1. Isu meritokrasi antara isu yang paling lama di dalam pendidikan negara. isu ini bermula bila istilah Bumiputera diwujudkan selari dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970. 
  2. DEB diperkenalkan sebagai mekanisme mengelakkan tragedi 13 Mei 1969 berulang. Dalam usaha menjernihkan hari malang 13 Mei, DEB dibangunkan sebagai mekanisme ekonomi, manakala pengenalan konsep Barisan Nasional pula adalah mekanisme politik. Alhamdullilah walaupun tidak menyeluruh, kedua duanya berjaya dilaksanakan seadanya (tidak sepenuhnya berjaya sehingga 1990).
  3. Sejak itulah (1970), isu meritokrasi menjadi isu besar dalam menyatupadukan masyarakat Malaysia. Orang melayu diberikan sedikit keistimewaan bumuputera sesuai dengan perlembagaan persekutuan, manakala orang bukan Melayu juga mendapat keistimewaan dalam bentuk kerakyatan pukal.
  4. Adalah salah jika dikatakan dengan keistimewaan bumiputera, orang Melayu sudah berjaya. hakikatnya bukan Melayu sejak merdeka terus menguasai ekonomi Tanah Melayu. 
  5. Data pendapatan 2012 menunjukkan pendapatan bulanan orang Melayu secara purata sekitar RM3,500, India RM4,500 manakala orang Cina sudah menjangkau lebih RM6,000 sebulan. Pemilikan ekuiti juga menunjukkan oarng Melayu jauh di belakang berbanding orang Cina. 
  6. Oleh itu memegang status bumiputera tidak memberikan apa apa kelebihan ekonomi kepada orang Melayu. Dan jika kita selidiki data pendapatan orang Melayu, kita akan lihat jurang Melayu kaya dan Melayu miskin masih sangat besar. Tetapi kerana sibuk dengan politik merebut kuasa, usaha merapatkan jurang ini tidak pernah dilakukan secara besar besar di kalangan pimpinan Melayu.
  7. Jangan kita lupa, perpecahan orang Melayu juga boleh berlaku bila orang miskin Melayu merasakan ketidakadilan pada mereka disebabkan oleh orang melayu kaya. Perpecahan bangsa kerana isu ekonomi kadangkala lebih sukar ditangani berbanding perpecahan politik.
  8. Sebab itu isu meritokrasi harus ditangani dengan bijak. Saya setuju meritokrasi dilaksanakan pada orang Melayu. Tetapi hanya pada Melayu kaya, Melayu bijak dan Melayu cemerlang. 
  9. Pada Melayu miskin, meritokrasi hanya akan menjauhkan mereka dalam arus perdana negara. Mereka akan tersisih dan ketinggalan. Mereka perlukan bantuan sepertimana DEB dahulu.
  10. Orang bukan Melayu juga bukan semuanya kaya dan berjaya. Ramai yang miskin dan daif. Ada penanam sayur kecilan, pemandu lori, pekerja kilang atau mengambil upah harian. Mereka juga harus dibantu. Meritokrasi tidak akan menjayakan masa depan mereka dan anak anak mereka. 
  11. Makanya, melaksanakan meritokrasi adalah sesuatu baik, demi kesinambungan kecermerlangan individu dan kehebatan bangsa, tetapi melaksanakannya pada yang tidak berupaya adalah satu ketidakadilan yang harus dielakkan.

Pendidikan Islam: Apakah Kita Sudah Benar-Benar Menjayakannya?


  1. Universiti Islam pertama adalah Universiti Al Azhar di Mesir yang ditubuhkan pada tahun 970M. University Oxford pula ditubuhkan pada tahun 1026M dan merupakan universiti pertama di kalangan negara penutur bahasa Inggersis. Maksudnya, setengah abad selepas Al Azhar di tubuhkan barulah University Oxford dibangunkan. 
  2. Di Malaysia, sistem pendidikan Inggeris hanya bermula pada tahun 1826 di Pulau Pinang. Sedangkan sistem pendidikan Islam telah bermula di Tanah Melayu sejak tahun 1421 bila guru guru agama mula mengajar ilmu Islam di perkarangan istana Sultan Muhammad Syah di Melaka. 
  3. Begitulah saya ingin gambarkan betapa pendidikan Islam jauh lebih maju dan awal kewujudannya berbanding pendidikan Inggeris pada masa dahulu. Malangnya bangsa Melayu dan orang Islam di negara ini tidak yakin dengan sistem pendidikan Islam apatah lagi cuba mempertahankannya. 
  4. Hari ini tanpa ragu ragu kita telah menerima amalan pendidikan barat sebagai teras pendidikan kebangsaan. Pun begitu di sana sini, ditampalkan istilah insan, syumul, kurikulum bersepadu dan nilai murni sebagai memenuhi hasrat Islamnya pendidikan kita. 
  5. Hakikatnya pendidikan kita masih kukuh warisan Inggeris. Kerangka ilmu kolonial masih menjiwai teras ilmu pendidikan kita. Displin ilmu psikologi pendidikan, sosiologi pendidikan, perancangan kurikukum, amalan penilaian, ilmu pedagogi dan amalan pentadbiran pendidikan kita tekal patuh berteorikan pemikiran pendidikan barat.
  6. Tanpa kita eedar, istilah pendidikan Islam telah kita sempitkan kepada pendidikan agama Islam semata mata, juga hanya dirujuk berkaitan ilmu fardu ain dan kifayah, serta ilmu ilmu hadis, fekah dan sebagainya. Sudah tidak lagi merujuk kepada bidang ilmu pendidikan yg lebih besar dan luas.
  7. Untuk kembali menjiwai ilmu pendidikan Islam yang sebenar, kita akan terpaksa mengambil puluhan tahun lagi. Rasanya tidak termampu di lakukan dengan masa yang singkat. Malah masyarakat Islam di negara ini pun sudah selesa dengan ilmu pendidikan warisan kolonial, ramai juga antara mereka yang sudah tidak dapat membayangkan lagi apa itu konsep pendidikan Islam....apatah lagi membezakannya dengan ilmu pendidikan barat...

Mengapa Sistem Pendidikan Kita Masih Belum Cemerlang di Mata Dunia?

Sweden diiktiraf sebagai negara yang paling berjaya membangunkan sistem pendidikan rendah dan menengah. Malah hampir semua negara scadinavia berada di kedudukan 10 buah negara terbaik di dunia dalam melaksanakan pendidikan rendah dan menengah. Singapura di tangga kedua. Malaysia belum berada di kalangan 10 buah negara terbaik dunia. Kita di tangga ke 21 pada tahun 2011-12. 

Apa masalahnya  pendidikan kitasehingga  tidak boleh berada di kalangan 10 negara terbaik di dunia? tentunya banyak tetapi ada tiga yang utama ialah:

1. Saiz kelas kita terlalu besar sehingga tumpuan guru terlalu mencapah. Fokus pelajar juga kurang. Bayangkan kelas kita memiliki jumlah pelajar antara 40 hingga 50 orang pelajar. Nisbah optima ialah 1 guru: 25 pelajar. 
Kita tahu keadaan kelas yang panas, padat dan tidak kondusif akan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dijayakan sepenuhnya. Sekolah SBP dan berstatus premier pula diberikan kemudahan yg sangat baik. Tetapi kemasukan ke sekolah sebegini sangat terhad. Tidak hairanlah 10 sekolah terbaik SPM tahun lalu datangnya dari sekolah sekolah sebegini.

2. Beban guru yang melampaui keupayaan mereka. Walaupun guru dikatakan sudah dikurangkan beban tugas mereka, hakikatnya beban guru masih dilambakkan dengan kerja kerja bukan pengajaran dan pembelajaran. PBS misalnya menyebabkan motivasi kerja guru menurun kerana terpaksa menggunakan masa di luar waktu sekolah menyiapkan laporan para pelajarnya. Begitu juga dengan tugasan ko kurikulum yang dilihat kertelaluan akibat budaya para pengetua mengejar atau cuba mengukuhkan gelaran pengetua cemerlang mereka.

3. Banyak kajian menunjukkan kegagalan pelajar di peringkat menengah berpunca kelemahan mereka di peringkat rendah di dalam menguasai asas asas disiplin. Misalnya kelemahan asas di dalam membaca, menulis dan mengira. Masih ramai pelajar yang gagal menguasai konsep asas matematik, bahasa melayu, bahasa Inggeris, begitu juga dengan kemahiran membaca dan menulis. Mereka tetap naik kelas dan akhirnya menyambung pelajaran diperingkat sekolah menengah. Intervensi, pemulihan pembelajaran dan proses pengayaan kemahiran asas 3M bukan sesuatu yang siknifikan dalam sistem pendidikan kita. Guru tidak dilatih secara intensif untuk hal hal sebegini. 


4.Tidak hairan jika selepas 11 tahun belajar Bahasa Inggeris masih ramai mahasiswa yang gagal membina satu ayat yang lengkap dalam bahasa tersebut. Begitu juga ramai kalangan pelajar bukan Melayu masih gagal menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan dengan baik. Masih ramai juga pelajar muslim yang tidak berupaya membaca Al Quran dengan baik. Malah kita tidak terkejut jika masih banyak yang pelajar muslim yang gagal membaca Al Fatihah dengan sempurna biar pun sudah lama menamatkan pendidikan formal mereka.

Sekolah Malaysia?


  1. Setahu saya, Malaysia merupakan satu satunya negara di dunia yang mengiktiraf sekolah vernakular di dalam sistem pendidikan kebangsaan. Malah semua sekolah ini dibiayai pula menggunakan peruntukan negara. Tidak ada negara lain di dunia yang melaksanakan dasar seperti ini termasuklah negara yang kononnya memperjuangkan kebebasan hak asasi dan kebebasan suara individu sepenuhnya. 
  2. Malah negara maju pun tidak mengiktiraf sekolah etnik minoriti di dalam sistem pendidikan kebangsaan dan hanya diluluskan sebagai sekolah pensendirian dengan biaya sendiri. Data statistik KPM 2012 menunjukan terdapat 1,294 buah sekolah rendah Cina dan 523 buah sekolah rendah Tamil. Malah telah dijanjikan akan ditambah lagi dari tahun ke tahun akan datang. Apa kesannya? Apakah usaha ini akan menjadikan bangsa Malaysia akan menjadi kenyataan? Saya fikir kita tidak akan ke mana mana dalam soal membina satu bangsa Malaysia untuk satu masa yang lama lagi
  3. Bila Penyata Pelajaran Barnes 1950 dicadangkan, dasar ini meletakkan semua sekolah sebagai sekolah kebangsaan yang akan menggunakan bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Dasar ini telah ditentang oleh orang bukan Melayu sehingga akhirnya dasar ini gagal dilaksanakan sepenuhnya. Begitu juga dengan Ordinan Pelajaran 1952. Juga gagal dikuatkuasakan.
  4. Penyata Pelajaran Razak 1956 yang mengambil sikap berlembut telah membenarkan sekolah vernakular diteruskan asalkan mereka menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah juga semakin dilupakan. 
  5. Hari ini pelajar Cina yang ke sekolah Cina sejak sekolah rendah, kemudian ke sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan kemudian ke luar negara samada ke Taiwan, Hong Kong atau China. yang berada akan ke universiti di negara barat atau ke Australia. Mereka tidak berpeluang kenal kawan kawan Melayu dan India lagi. 
  6. Anak Melayu yang bersekolah aliran agama juga tidak berpeluang mengenali budaya orang Cina dan India. Hari ini sistem pendidikan kita seperti sudah hilang pengaruhnya di dalam membina satu rupa bangsa Malaysia yang kita harapkan. 
  7. Saya tahu pihak KPM mencuba berbagai cara lain untuk menjayakan perpaduan termasuk Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP), Sekolah Wawasan dan sebagainya. Tetapi percayalah untuk membina bangsa Malaysia yang sebenar, kita kena berkata benar bahawa kita hanya ada satu cara..iaitu membina satu pendidikan satu aliran untuk semua. Sekolah Malaysia untuk anak anak Malaysia...
  8. Sekolah kebangsaan juga harus diubah menjadi sekolah Malaysia bukan sekolah untuk orang Melayu sahaja. Sekolah kebangsaam juga harus mengajar Bahasa Mandarin, Tamil dan Arab pada semua pelajarnya.
  9. Membina sekolah Malaysia bukan sahaja akan menyatukan anak anak Malaysia tetapi juga semua ibubapa mereka. Apakah kita tidak mahu menjadi satu bangsa Malaysia yang memahami antara satu sama lain?

Siapa Yang Berusaha, Dialah Yang Berjaya..


  1. Jika dikira secara kasar, UKM menghasilkan hampir 800 pelajar tahun satu hingga tahun akhir yang mencapai PNGK berkelas pertama (3.67-4.00). Ini satu jumlah yang besar. Mereka ini jika terus kekal cemerlang hingga akhir pengajian adalah kumpulan pelajar yang akan dihapuskan pembayaran balik PTPTN sepenuhnya. 
  2. Maksudnya, mereka berjaya mendapat hak mereka supaya yuran pengajian mereka diberikan secara percuma kerana yuran mereka telah dibiayai sepenuhnya oleh wang rakyat yang diuruskan oleh pihak kerajaan Malaysia.
  3. Saya setuju dan sokong langkah pemansuhan pembayaran balik PTPTN ini kerana ia adil pada yang cemerlang akademik dan mereka yang kuat berusaha. Wang rakyat adalah hasil titik peluh rakyat. Apabila digunakan di bawah Tabung PTPTN, tentunya rakyat akan gembira jika cukai yang dikenakan oleh kerajaan kepada mereka digunakan untuk tujuan memberikan biasiswa kepada yang cemerlang di universiti.
  4. Jika seseorang tidak cemerlang akademik, tetapi cemerlang dalam bidang lain seperti sukan, kebudayaan, kepimpinan, inovasi, keusahawanan dan sebagainya, mekanisme yang sama juga boleh digunakan pakai dan disetarakan. Misalnya jika seseorang pelajar IPT mewakili dan memenangi kejohanan sukan bertaraf dunia, seharusnya juga mereka boleh dikecualikan dari membayar kembali hutang PTPTN.
  5. Malah pada saya, pada kumpulan yang cemerlang ini, disamping surat tahniah dan pengecualian bayaran balik PTPTN, surat tawaran bekerja dengan badan kerajaan juga boleh terus diberikan. Terserahlah kalau mereka menerima atau menolak tawaran tersebut. Jika mereka menerima, itu akan meningkatkan bilangan pegawai kerajaan yang memiliki prestasi akademik dan bakat yang cemerlang. Jika mereka menolak, itu maksudnya mereka bersedia untuk pergi lebih jauh lagi.
  6. Bagaimana pula dengan yang mendapat pinjaman PTPTN tetapi gagal cemerlang di IPT? Itu tandanya mereka tidak cukup kuat berusaha (kecuali ada sebab sebab yang tidak dapat dielakkan). Mengapa wang rakyat harus dibazirkan untuk menyokong pengajian pelajar yang tidak kuat berusaha? Bukankah itu pilihan mereka? tentunya mereka wajib membayar semula jumlah wang rakyat yang mereka pinjam.
  7. Pada masa yang sama, sistem sokongan IPT bagi pelajar boleh mencapai kecemerlangan juga perlu diwujudkan. Kaunseling akademik dan pembelajaran, kemahiran motivasi kendiri, pengurusan masa dan sebagainya perlu diberikan pada pelajar yang lemah. Jika semua sudah ada, masih gagal, pelajar kena melihat diri mereka sendiri.
  8. Jika kita tinjau, kumpulan pelajar bukan Melayu merupakan kumpulan yang paling ramai meraih 'keistimewaan' tidak perlu membayar kembali hutang PTPTN. Sebaliknya, seperti biasa pelajar Melayu pula yang peratusan yang paling besar perlu membayar kembali hutang PTPTN sepenuhnya. 
  9. Di saat pasaran kerja swasta yang semakin 'meminggirkan' graduan Melayu, mereka juga terikat untuk membayar hutang PTPTN sepenuhnya kerana gagal cemerlang dalam pengajian...

Pendidikan Bahasa Arab: Mengapa kita pinggirkan?


  1. Saya menyambut baik usaha kerajaan negeri Perak semalam yang bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi untuk menubuhkan sebuah Institut bahasa Arab di bawah seliaan Kolej Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar. 
  2. Sebenarnya sudah berbelas buah institut, fakulti, jabatan, sekolah dan pusat yang mengembangkan bahasa Arab di Malaysia sejak merdeka. Tetapi pendidikan bahasa Arab masih bersifat eksklusif dan tidak dimasyarakatkan sepenuhnya. seolahnya ia milik ulama dan orang yang berpengajian agama.
  3. Isu kelemahan bahasa Arab sangat kritikal, tetapi yang selalu diutarakan ialah isu kelemahan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia. Perjuangan pengukuhan Bahasa Melayu pun tidak sehebat saranan mengukuhkan bahasa Inggeris.
  4. Lama dulu sekitar tahun 1928, R.O Winstedt, pengetua SITC dan kemudiaanya menjadi Timbalan Pengarah Pelajaran Malaya pernah melakukan satu kajian tentang pendidikan orang Melayu dan merumuskan bahawa anak anak orang Melayu mempelajari Al Quran tetapi hampir kebanyakan mereka sekadar menghafal tetapi tidak faham kandungan al Quran. 
  5. Mereka bersungguh sungguh melakukan hafalan tetapi tidak menggunakan Al Quran sebagai panduan hidup. Pelajar lebih meniru apa yang dilakukan oleh guru guru mereka tanpa berfikir. 
  6. Al Quran akhirnya tinggal sebagai kitab upacara agama semata mata. Digunakan bila ada keramaian atau majlis sahaja. Yang membaca pun sekadar membaca tanpa memahami maksudnya. 
  7. Saya setuju dengan beliau dalam hal ini. Sebagaimana saya juga bersetuju dengan tindakan O.T Dussek (pengetua SITC sebelum Winstedt) yang bersungguh sungguh memulakan gerakan menanamkan semangat nasionalisme di kalangan pelajar melayu supaya menuntut kemerdekaan tanah Melayu. 
  8. Pada saya, bahasa Arab wajib dimasyarakatkan dalam kalangan orang Melayu. Menguasai bahasa Arab bermaksud menguasai bahasa Al Quran, dan menguasai ilmu Al Quran bermakna menguasai tuntutan Islam. 
  9. Berapa ramai yang mendirikan solat, membaca surah Al Fatihah dan surah lazim tanpa memahami maknanya? dari mana datangnya khusyuk jika tidak tahu maknanya? Cukupkah khusyuk dengan bacaan yang merdu sahaja?
  10. Kerajaan BN Perak telah melakukan sesuatu yang tepat. Juga kepada semua kerajaan negeri lain yang memang telah ada yang menubuhkan institusi yang sama.

Bukan Mudah Siswa Universiti Untuk Menjadi Usahawan


  1. Di dalam akhbar minggu lepas, Menteri 2 KPM mengesyorkan graduan mula mencipta pekerjaan dan tidak lagi mencari pekerjaan. Saya setuju ini syor yang baik dan seharusnya di sokong. Bila fikir lagi di lapis kedua, Apa maksudnya mencipta pekerjaan? Apakah graduan mencipta pekerjaan sekadar untuk diri sendiri atau juga bermaksud mencipta pekerjaan untuk orang lain?
  2. Mencipta pekerjaan mungkin bermaksud menjadikan graduan seorang usahawan, peniaga barangan atau penyedia perkhidmatan. Maksudnya, untuk menjayakan saranan menteri ke 2 KPM ini, kita sebenarnya mula bercakap soal modal dan pengalaman yang diperlukan oleh graduan. Sekarang, cabaran (baca: masalah) bermula. 
  3. Tiga jenis perniagaan di Malaysia yang boleh diceburi oleh graduan iaitu franchise, IKS dan pengerai. Jika ingin memulakan franchise modal permulaan bagi franchise tempatan antara 150K -450K (rujuk web 7eleven, Chatime, Oldtown) manakala yang bertaraf antarabangsa (1.2m-4m). Rata rata graduan (baca graduan melayu) tidak mampu sediakan modal sebesar itu dan tidak ada bank yang sanggup membiayai pinjaman mereka). 
  4. Maka franchise jelas bukan untuk mereka dan mereka harus berfikir beralih ke bentuk perniagaan yang kedua iaitu IKS. Untuk memulakan IKS (termasuklah cafe atau kedai makan), modal permulaan antara 25k hingga 500k. IKS boleh bermula di belakang rumah hingga ke tahap kilang. Berbeza dengan franchise yang peratus kejayaan sangat tinggi, IKS penuh dengan persaingan khususnya dari kalangan yang telah lama dan telah berjaya. 
  5. Untuk memulakan perniagaan IKS kerepek bersaiz sederhana sekalipun, modal yang diperlukan mencecah 25k, itu juga bergantung kepada jenama barangan/perkhidmatan dan pengalaman pemasaran. Masalah utama perniagaan IKS selain persaingan kualiti pembuatan, juga persaingan pemasaran dan harga yang sangat kompetetif. Ilmu usahawan ini tidak diajarkan di universiti kecuali kepada kalangan graduan ekonomi dan perniagaan. 
  6. Jika franchise dan IKS sukar dilakukan, graduan akan mula pula berfikir ke bentuk perniagaan yang ketiga, berniaga gerai. Ini yang paling murah kosnya (1k-15k), tidak perlukan pengalaman dan ilmu pengurusan yang tinggi. Tetapi persaingan sangat banyak. Rata rata mereka juga tidak memiliki ilmu pengurusan. 
  7. Memang ramai graduan yang sudah melakukannya, kita boleh jumpa mereka di pasar malam, pekan hari atau di uptown berniaga berbagai barangan dan makanan. 
  8. Soalnya inikah yang disyorkan oleh KPM untuk graduan kita? Apa strategi KPM untuk memberikan pendedahan supaya lebih ramai graduan memulakan franchise dan IKS?