Salah satu topik yang agak kontroversi dalam matapelajaran sejarah di sekolah ialah berkaitan semangat kebangsaan (nasionalisme). Apa yang kontroversi? Ada dua. Pertama, penyimpangan makna nasionalisme atau semanagat kebangsaan, dan keduanya mengapa dalam negara kita telah wujud kepelbagaian bentuk semangat nasionalisme.
Makna nasionalisme yang menyimpang.
Sebelum merdeka makna nasionalisme kita mungkin tidak menjadi isu. Sejarah negara kita penuh dengan episod menentang penjajahan, menentang komunisme dan sosialisme kiri memudahkan kita memberikan makna kepada apa itu nasionalisme pra merdeka. Kita mungkin boleh sahaja menggunakan takrif nasionalisme barat dari Stuart Hall, John Amstrong, Anthony Smith atau yang lain untuk menjelaskan nasionalisme pra merdeka. Malah itulah makna yang digunakan oleh para sarjana tempatan sejak sekian lama.
Selepas merdeka, takrifan yang tidak berubah itu sudah tidak tepat sebenarnya, malah dalam beberapa situasi, bila menggunakan makna nasionalisme barat ia telah memecahbelahkan rakyat khususnya orang Melayu.
Barat mentakrifkan nasionalisme sebagai sifat yang memisahkan urusan agama dan kenegaraan. Nasionalisme takrifan barat menggunakan kerangka sekular. Urusan agama dipisahkan untuk membenarkan urusan kenegaraan berjalan lancar. Itu cara dan takrifan mereka, atas sejarah yang mereka lalui dari era kegelapan dan era kebangkitan (Renaisance).
Malangnya, di negara ini takrifan begitu telah menyebabkan bangsa kita berpecah. Di satu ketika, sekitar tahun 80an, label kafir diberikan pada orang Melayu yang menyokong parti berteraskan kebangsaan dan tidak membetikan undi pada parti yang perjuangkan Islam.
Akibatnya bangsa Melayu berpecah belah, adik abang bergaduh, ibu anak bermasam muka, suami isteri bercerai berai, masyarakat bermusuh, kata mengata dan tuduh menuduh bermaharajalela. Puncanya, atas dasar "aku perjuangkan agama, kamu perjuang kebangsaan. Aku Islam, kamu nasionalis yang sekular".
Hakikatnya tidak begitu. Bila negara ini dibentuk hasil merdeka, agama Islam dinyatakan sebagai agama rasmi negara, maknanya agama tidak pernah dipisahkan dari urusan kenegaraan. Dasar kebudayaan Kebangsaan juga meletak asas agama dalam rukun dasarnya. Bila Rukunegara pula dibina, teras pertama ialah Kepercayaan kepada Tuhan. Maknanya urusan beragama menjadi teras pertama kerukunan bernegara. Ini memberikan maksud yang jelas bahawa nasionalisme atau semangat kebangsaan kita di negara ini adalah diasaskan kepada agama. Berbeza sekali dengan piagam, perlembagaan dan takrifan nasionalisme buatan barat.
Jadi bertahun tahun lamanya bangsa Melayu bertelagah kerana mereka amal, faham dan bulat bulat telah terima pakai takrifan nasioalisme barat yang menyimpang dari sejarah dan budaya masyarakat kita. Hakikatnya orang Melayu memperjuangkan hal yang sama. Tidak ada bezanya antara mereka.
Jika kita ingin lihat bangsa Melayu bersatu, kita kena betulkan hal ini, kita perlu takrif kembali dan perhalusi naratif nasionalisme yang lebih terangkum dengan agama yang tersulam dengan persekitaran sejarah dan budaya kita.