01 June, 2015

Melayu dan Masa Depan...

(1) Mengimbau kembali sebahagian buku buku di koleksi saya berkaitan orang Melayu, khususnya berkaitan politik Melayu, pemikiran orang melayu dan bagaimana pemimpin bangsa Melayu memposisikan masa depan bangsanya, saya jadi keluh kesah.

(2) Meneliti tulisan tulisan yang ada, saya sampai ke satu kesimpulan yang agak pahit.

(3) Orang Melayu sudah tahu dan telah diberikan kefahaman dan percaya bahawa bumi Malaysia ini asalnya mereka yang punya. Istilah 'sons of soil' yang membawa maksud 'pribumi' cukup menjelaskan situasi tersebut.

(4) Orang Melayu sebagai pribumi rupa rupanya memahami makna keRAJAan (konsep kerajaan payungi bangsa)  tidak sama dengan kerajaan (goverment) sepertimana yang difahami oleh masyarakat bukan Melayu. (Baca buku Milner bertajuk "The Malays")

(5) Apa natijahnya bila digabungkan kefahaman pribumi dan keRAJAan pada orang Melayu. Jawabnya wujud situasi 'kebergantungan'. Orang Melayu telah bergantung sepenuhnya pada kerajaan dan menentukan hidup mereka. Mereka bergantung sepenuhnya pada kerajaan untuk majukan ekonomi dan keselesaan hidup mereka. Mereka berpayung sepenuhnya pada keRAJAan yang mereka faham.

(6) Sebab itu bila Malayan Union 1948 dicadangkan, bangsa Melayu menentang sebab mereka bimbang keRAJAan akan dihapuskan. Begitu juga bila DEB diperkenalkan dengan istilah bumiputera digunakan, orang Melayu jadi gembira kerana mereka melihat itu dasar keRAJAan yang memayungi bangsa mereka.

(7) Semakin hari sikap kebergantungan ini semakin membesar. Orang Melayu hanya berjaya bila ada dasar dan usaha oleh kerajaan. Secara individu, segelintir sahaja yang berupaya. Kebergantungan ini ada risikonya. Jika kerajaan itu kuat dan bijak keRAJAan-nya, nasib bangsa Melayu akan terbela. Tetapi ada juga ketikanya kerajaan lemah keRAJAan-nya. Dan kebergantungan orang Melayu pada keRAJAan menjadi terumbang ambing.

(8) Kebergantungan inilah jika kita teliti menjadi sebab orang Melayu suka berpolitik, suka berpecah belah, sanggup apa sahaja untuk merebut kuasa. Malah atas rasa kebergantungan ini jugalah Frank Swettenham pernah menjelaskan punca mengapa bangsa Melayu dilabelkan malas, suka berpoya dan tidak serius dengan hasil kerja mereka.

(9) Dan sikap untuk bergantung inilah juga menjadi sebab apa sahaja kelemahan atau kegagalan orang Melayu, tudingan akan dihalakan pada pihak kerajaan. DEB contoh terbaik.

(10) Orang Bukan Melayu pulan melihat sebuah kerajaan sebagai government. Tidak ada kebergantungan pada sebuah kerajaan. Kerajaan memberikan khidmat pada rakyat. Rakyat harus berusaha sendiri jika ingin maju.

(11) Samada kerajaan lemah perancangannya atau kuat pentadbirannya, itu tidak pernah akan menjejaskan rakyat untuk terus berjaya. Kerja kuat, disiplin dan kuat menyimpan yang tentukan kejayaan. Bukan bergantung pada kerajaan. Jika kerajaan kuat dan bijak, ekonomi dijana dengan baik, ini nilai tambah pada hasilkerja individu yang kuat.

(12) Apakah orang Melayu sekarang semakin kurang kebergantungan mereka pada kerajaan? Jawabnya tidak. Walaupun mereka sudah berpendidikan tinggi, sudah ada yang kaya, sudah ada yang berjaya, kebergantungan masih kuat. Misalnya orang Melayu tidak akan setuju istilah dan hak bumiputera dihapuskan. Tidak sama sekali. Itu pada yang kaya.

(13) Orang Melayu miskin lebih lebih lagi kebergantungan mereka. Mereka tetap mahukan kuota biasiswa pendidikan diwujudkan, mereka tetap mahu bantuan kerajaan atas nama bumiputera diteruskan.

(14) Apa akan jadi pada sikap bangsa Melayu yang berterusan ingin bergantung kepada keRAJAan? Jika sesebuah kerajaan itu kuat keRAJAan-nya, orang Melayu akan ada masa depan yang baik tetapi jika kerajaan semakin lemah keRAJAan-nya, gelaplah masa depan orang Melayu.

(15) Apakah tindakan terbaik? Ada dua pilihan. Pertama, setiap individu Melayu harus segera keluar dari ruang kebergantungan dan mula berfikir sebagai seorang yang lebih berdikari. Anak anak Melayu harus kuat belajar dan mendapat tempat ke pengajian tinggi bukan atas namanya Melayu. Peniaga Melayu berjaya kerana kerja kuat bualn kerana namanya Melayu. Ahli politik Melayu berjaya bukan kerana namanya Melayu tetapi kerana kebijakkan mengurus dan majukan negara.

(16) Pilihan kedua, perkukuhkan keRAJAan dalam kerajaan. Dan Itu sebenarnya lebih mudah untuk dijayakan.

Penelitian yang lebih mendalam berkaitan situasi yang hampir sama telah dilakukan oleh Nur Atiqah​ di dalam tesis PhD beliau berkaitan pemahaman secara sosiologi konsep kewarganegaraan yang difahami oleh orang Melayu dan bukan Melayu. Dan bagaimana mereka bertingkahlaku dalam ruang politik, ekonomi dan sosiobudaya atas kefahaman mereka yang berbeza. Cukup
menarik..