01 June, 2015

PAYUNG MERAH UKM: ANTARA CITRA, BAKAT dan POTENSI..

(1) Menarik bila mendengar pelajar saya bercakap soal kursus Citra. Berbagai kisah dan warna. Dan akhirnya saya sampai pada kesimpulan bahawa ramai mahasiswa UKM masih tidak jelas konsep Citra yang cuba diperkenalkan oleh UKM untuk dialami oleh para mahasiswanya. Saya tidak berhajat menulis tentang Pusat Citra kerana itu di luar bidangkuasa saya. Saya hanya ingin berkongsi pandangan peribadi sebagai pendidik tentang apa dan bagaimana mahasiswa UKM harus membina citranya.

(2) Sebagai pengenalan, saya rasa ada baiknya mahasiswa  memahami dahulu tiga perkara sebelum mula bercakap soal pembinaan Citra. Kenali dahulu apa makna POTENSI, BAKAT dan CITRA.

(3) Potensi adalah sesuatu yang dianugerahkan pada manusia oleh Allah swt. Semua insan pasti berpotensi. Ada orang tahu sejak kecil apa potensinya. Ada orang yang tidak tahu sampai mati apa potensinya. Adalah menjadi tugas ibubapa, guru, sekolah hinggalah pensyarah di universiti untuk menunjukkan apakah potensi seseorang itu.

(4) Sayangnya ramai yang tidak berpeluang dibantu sehingga akhirnya mereka tidak tahu dan tidak yakin apakah potensi mereka. Ada orang potensinya menjadi artis, ada pula potesninya menjadi ahli sukan, ada pula sasterawan, ada usahawan, ada potensinya menjadi ahli politik atau apa sahaja. Potensi harus dipupuk dalam diri seseorang supaya timbul kepercayaan dalaman seseorang bahawa beliau ada BAKAT.

(5) Berbeza dengan potensi yang perlu dibantu oleh orang lain, BAKAT sangat berkait dengan kepercayaan dalaman seseorang. Ramai orang yang berpotensi tidak berjaya dapam hidup kerana mereka sendiri tidak percaya yang mereka berbakat. Ada orang bakatnya dalam sukan, ada dalam bahasa, ada dalam muzik, lukisan, berniaga, komunikasi, debat, rekacipta dan sebagainya. Yang penting mahasiswa MESTI percaya dalam diri sendiri yang mereka berbakat. Jika tidak berjaya menanamkan rasa percaya, maka bakat tidak akan muncul, ianya kekal sekadar satu potensi sahaja.

(6) Seseorang boleh punyai banyak potensi. Begitu juga ada orang yang percaya mereka punya lebih dari satu bakat. Di sinilah peranan Pusat Citra bermula. Seseorang yang punyai berbagai bakat, harus memilih sekurang kurangnya satu bakat yang paling dia percaya untuk menjadikan bakat itu adalah Citra dirinya. Misalnya seseorang yang berbakat dalam sukan boleh bermain hoki, bolasepak dan larian 100m. Dan dari bakat itu dipilih bahawa yang paling rapat dengannya ialah larian 100m. Maka itulah citranya.

(7) Itulah yang UKM cuba lakukan. Pelajar yang baru masuk ke UKM mesti tahu bakatnya. Dan sepanjang di UKM, mereka harus memilih bakat manakah untuk dijadikan citra dirinya.

(8) Dan peranan Pusat Citra ialah membantu pelajar kenalpasti apakah bakat yang akan dicitrakan. Dan seterusnya dengan bantuan Pusat Citra melalui latihan, modul dan aktiviti sepanjang pengajian maka bakat yang telah dicitrakan itu akan diperkasakan menjadi "Red Umbrella"  (payung merah).

(9) Katakanlah seorang pelajar masuk UKM punya bakat berbahas dan bersajak. Setelah melalui bimbingan Pusat Citra, bakat yang yang dikenalpasti untuk dicitrakan ialah berbahas. Maka citra berbahas ini akan diperkasakan dengan dihantar sertai pertandingan bahas di peringkat kebangsaan, Asean mahupun dunia. Maka jika sudah sampai ke situ, citra berbahas itu sudah menjadi 'payung merah'.

(10) Sekarang jika ditanya apakah payung merah anda? jawapan anda pasti lebih baik. Anda tidak akan lagi ragu-ragu bila anda sudah dapat bezakan antara apa itu potensi, bakat, citra dan 'payung merah'. Dan saya yakin anda adalah graduan yang hebat bila anda sudah berjaya capai "payung merah" anda sebelum tamat pengajian di UKM.