01 June, 2015

HANG JEBAT

Dari pantai Klebang saya sempat ke Makam Hang Jebat. Mungkin ada yang tidak tahu bahawa Makam
Jebat sejak dulu bernesan satu. Mitosnya kerana memberi ini sebagai tanda bahawa Jebat pernah mendehaka pada Sultan Melaka.
Kubur warna putih ini pula di bina oleh Sultan Acheh yang bangga dengan kepahlawanan Jebat selepas era penjajahan Belanda.
Sebenarnya, sudah beberapa kali saya ke sini, tapi kali ini barulah saya bernasib baik sempat berjumpa sendiri dengan 'penjaga setia' makam lagenda Melayu ini. 
En Abdul Wahab, berumur sekitar awal 50an sudah sejak awal 80an telah menjadi penjaga makam ini. Beliau menjaga makan ini sukarela. Tanpa bayaran. Kalau ada yang ingin bersedekah seringgit dua, beliau terima.
Sifatnya yang pemalu berubah bila mula berbicara tentang Hang Jebat. Beliau menjadikan Hang Jebat idolanya. Sejarah dan kisah hidup Jebat mampu diperincikan satu persatu.
Bila beliau berbicara tentang prinsip Jebat yang sangat tegas dalam mempertahankan kebenaran, beliau semangat sekali. Hujah beliau, mengapa walaupun Taming Sari sudah di tangan Jebat, bukan tindaknya untuk membunuh raja Melayu walaupun Jebat mampu berbuat begitu. Cerita Wahab, nampak patriotik sungguh beliau pada Jebat.
Kerana prinsip atas kebenaran juga, Taming Sari diserahkan kembali pada Tuah. Akhirnya Jebat mati, walaupun sebenarnya Jebat boleh menang.
Saya pengubal kurikulum sejarah KPM. Saya juga pensyarah sarjana pendidikan sejarah di UKM. Tetapi saya akui saya tidak mampu menjamin bolehkah anak anak sekolah yang belajar sejarah pada akhirnya akan membina rasa patriotik yang mendalam seperti mana 'penjaga setia' makam Jebat ini. 
Kita sebenarnya sudah semakin kurang insan berjiwa Melayu seperti Abdul Wahab ini...