26 June, 2012

Siapakah Yang Cemerlang Ko-Kurikulum di UKM?

Berbanding ko-kurikulum, untuk kita memahami makna kecemerlangan akademik di peringkat universiti adalah lebih mudah. Seseorang yang mencapai 3.67 mata PNGK dan ke atas dikategorikan sebagai seorang pelajar yang cemerlang. Semakin hampir seseorang pelajar mencapai mata kepada 4.00 PNGK maka semakin cemerlang pencapaian akademiknya.

Bagaimanapun makna cemerlang lebih sukar untuk difahami dalam ko-kurikulum. Apakah seseorang yang sangat aktif dan menjadi pengarah berbagai projek boleh dikategorikan sebagai cemerlang ko-kurikulum? Atau apakah bila seseorang pelajar mewakili universiti dalam apa-apa acara dikatakan lebih cemerlang daripada pelajar yang sekadar mewakili kolej kediaman atau fakulti. Atau makna cemerlang boleh diukur walaupun dengan hanya satu acara yang disertai oleh pelajar tetapi kerana ia bertaraf antarabangsa maka itu lebih cemerlang berbanding pelajar pelajar yang lain yang tidak berpeluang menyertai aktiviti ko-kurikulum di peringkat antarabangsa.

Maka bila kita ingin mencari siapakah yang cemerlang ko-kurikulumnya di UKM, lebih lebih lagi bila ingin dicalonkan sebagai penerima anugerah atau menerima pengiktirafan dari pihak berkuasa universiti tidak dapat tidak makna dan konsep kecemerlangan ko-kurikulum mestilah jelas, mempunyai piawai yang jelas untuk semua segmen ko-kurikulum.

Kita harus mulakan perbincangan ini dengan;
1) memahami konsep kecemerlangan;
2) memahami kecemerlangan berasaskan sejarah dan falsafah UKM;
3) memahami kecemerlangan berasaskan hala tuju dan keutamaan dlm pembangunan pelajar di UKM.

Konsep kecemerlangan

Umumnya, semua definisi yang dinyatakan oleh mana mana kamus tersohor dan terkini (Oxford, Webster dan Wikipedia) mengaitkan perkataan cemerlang dengan perkataan outstanding dan habit. Maknanya untuk menjadi cemerlang, seseorang mestilah mempunyai tahap keupayaan yang lebih tinggi daripada 'pesaingnya' atau orang lain secara ketara (outstanding). Kedua, tahap yang tinggi dan ketara (outstanding) itu pula bukan hanya sekali tetapi sudah menjadi satu 'habit' kepada seseorang yang cemerlang.

Misalnya kalau seseorang berjaya mewakili UKM dalam debat inter universiti, cemerlang bukan sahaja bermakna dia hanya berjaya mewakili UKM (yang membuktikan beliau seorang yang aktif berdebat berbanding orang lain, tetapi cemerlang bermaksud beliau mampu mewakili UKM berulang kali dan berupaya melatih rakan rakan menjadi pendebat UKM juga. Lebih cemerlang lagi bila beliau juga berjaya memenangi pertandingan tersebut berulang kali sepanjang pengajian di UKM. Dan mendapat pengiktirafan atas kejayaannya.

Dalam falsafah Islam, cemerlang diberikan makna ihsan. Makna ihsan ialah melakukan sesuatu dengan cara yang terbaik bagi tujuan mendapat hasil yang terbaik demi mendapat keredhaan Allah swt. Secara prinsipnya mencari insan atau cemerlang dalam Islam adalah suatu ibadah. Makna ihsan ini jauh lebih baik dan besar  berbanding makna cemerlang yang telah kita warisi dari pemikiran falsafah Greek yang dikenali sebagai 'arete' atau outstanding yang dikaitkan dengan budaya pertandingan dan berusaha mengalahkan orang lain untuk mencapai atau kekal cemerlang.


Jika kita dapat mengunakan istilah ihsan dalam mengkonsepsikan makna kecemerlangan dalam ko-kurikulum, sudah tentu kecemerlangan ko-kurikulum yang ingin dicapai akan mendekatkan diri kita dengan pencipta kita Allah swt.

Makna kecemerlangan dalam ko-kurikulum juga bukannya berdasarkan kuantiti sahaja tetapi lebih kepada kualiti. Berapa bilangan aktiviti yang disertai, berapa bilangan pertandingan atau berapa bilangan projek yang dianjurkan tidak boleh dijadikan sebagai asas utama yang menjelaskan kecemerlangan seseorang sepenuhnya. Cukuplah pencapaian kuantiti dijadikan sebagai markah bonus dalam kita memberikan pengiktirafan kepada kecemerlangan seseorang dalam ko-kurikulum.

Kita seharusnya menumpukan kepada kualiti, impak dan kejayaan seseorang dalam perjuangan mengangkat bidang ko-kurikulum yang disertai. Seseorang yang menceburi dalam ko kurikulum keusahawanan, mula berniaga di tahun satu sehingga berjaya membuka perniagaaan sendiri di tahun akhir dengan menghasilkan beberapa usahawan lain dibawahnya tentu lebih cemerlang daripada seseorang yang menghadiri berpuluh puluh seminar, konvensyen atau lawatan berkaitan keusahawanan tetapi tidak mempunyai perniagaan sendiri apatah lagi menghasilkan usahawan usahawan muda di bawahnya bimbingannya.

Kecemerlangan berasaskan sejarah dan falsafah UKM

Kita di UKM mempunyai falsafah universiti yang cukup seimbang. Paduan antara iman dan amal serta amal yang bermanafaat..." memberikan makna yang cukup mendalam jika diteliti dan dibuat penaakulan. Sememangnya setiap orang yang menjejak kaki ke UKM samada sebagai tenaga akademik, pentadbiran, pelajar dan alumni harus menyerap falsafah ini.

Sejarah kita juga sangat berkait dengan berbakti kepada masyarakat. Kita bukan sahaja sebuah "The National University" tetapi juga mendukung amanah sebagai "The People University". Maka itu kecemerlangan ko-kurikulum pelajar kita harus mempunyai teras teras kemasyarakatan.

Maka itu seseorang pelajar yang dikatakan cemerlang juga harus memiliki semangat untuk menterjemahkan falsafah "The People's University" ini dalam kegiatan ko kurikulumnya. Sebagai satu contoh mudah, bagaimana seseorang pelajar yang belajar di UKM dengan ilmu yang diperolehi sehingga mencapai PNGK yang cemerlang berupaya menyulami kehebatan ini dengan sahsiah yang hebat dan moral yang tinggi.  Beliau akan dilihat sebagai cemerlang apabila mempunyai agenda dan tindakan yg jelas untuk berbakti kepada masyarakat. Tanpa mengira samada seseorang pelajar itu terlibat dengan ko kurikulum badan beruniform, sukan, kesenian, kepimpinan, keusahawanan atau sebagainya, mestilah ada elemen aktiviti kemasyarakatan yang pernah dilakukan sepanjang pengajian di UKM. Tak kiralah samada untuk masyarakat dalam kampus, lebih lebih lagi untuk masyarakat di luar kampus.

Kecemerlangan berasaskan hala tuju dan keutamaan UKM

UKM mempunyai keutamaan dan halatuju yang jelas apa yang ingin dicapai pada masa depan. Seseorang pelajar yang diiktiraf cemerlang ko kurikulum seharusnya tidak hanya memenuhi keperluan individunya semata mata. Misalnya selain mencapai PNGK yang tinggi, tidak cukup dengan hanya berjaya selesaikan 8 kredit ko-kurikulum semata. Beliau juga harus menyumbang kepada pembinaan kepada CITRA UKM. Misalnya tentunya mewakili UKM atau negara jauh lebih cemerlang pencapaiannya berbanding mewakili kolej atau fakulti sahaja. Begitu juga dengan memenangi apa juga pertandingan di peringkat tertinggi sehingga ke peringkat antarabangsa tentunya lebih baik dari sekadar menyertai atau mewakili semata mata.

Ada bezanya antara pelajar yang cemerlang dengan pelajar yang aktif. Mungkin bilangan yang aktif adalah lebih ramai berbanding dengan cemerlang. Dan ada bezanya antara cemerlang sebagai penganjur program dengan cemerlang sebagai peserta yang 'outstanding'.

Sebenarnya sesiapa sahaja di kalangan pelajar tanpa mengira apa bangsanya, agamanya, budayanya, fakultinya atau kolejnya....tetap mempunyai hak untuk cemerlang ko-kurikulum di UKM...Kita harus cemerlang dalam acuan dan cara kita sendiri..semuanya bermula dengan benar benar mengenali diri sendiri sedalam dalamnya...