03 June, 2012

Pilihanraya Kampus UKM 2012: Politik Hujah Atau Politik Telagah?

Bermula dengan debat bersejarah antara Shabery Chik dan Anwar Ibrahim, kita mula dihidangkan dengan debat Soi Lek vs Guan Eng dan Rafizi vs  Khairy. Malah kita juga berkemungkinan besar akan mendengar pusingan kedua debat Soi Lek dan Guan Eng.

Saya secara peribadi seperti ramai orang yang cintakan keamanan menyokong usaha ini. Ini satu budaya baru yang sukar ibubapa kita dapat nikmati suatu masa dulu.

Malah jika debat politik boleh dikembangkan, biarlah setiap bulan/minggu dianjurkan debat ini di media elektronik arus  perdana. Elok juga sebaik sahaja tamat siaran berita perdana jam 8 malam, kita di hidangkan dengan debat politik yang bermutu berbanding terpaksa menghadap tv menonton lawak minggu ini atau program tv picisan yang di beli dari barat.

Aktiviti debat membawa bersama budaya berhujah. Berbeza dengan ceramah politik yang lebih membawa budaya bertelagah. Cuba dengar ceramah politik oleh mana-mana ahli politik di Youtube. Mereka cenderung untuk memburukkan lawan politik yang kadangkala secara berlebihan daripada menceritakan apakah kebaikan yang ingin mereka bawa kepada rakyat. Bila berceramah, prosesnya hanya satu hala, sedangkan bila berdebat prosesnya ada dua hala.

Sekali dua mendengar ceramah sebegini mungkin menghiburkan tetapi jika diulang ulang makian, kutukan serta penggunaan perkataan yang kasar, sebagai pendengar kita akan mula merasakan 'keceluparan dan kebodohan' ahli politik semakin lama semakin ketara.

Generasi muda terutama yang berpelajaran tinggi sudah muak dengan bentuk ceramah sebegini. Generasi muda inginkan satu persembahan maklumat yang lebih berkualiti, berterus terang dan mempunyai kebijakan yang tinggi. Mereka sudah hilang selera dengan ceramah yang dipenuhi dengan caci cerca dan maki hamun tanpa hujung pangkal. Kalau pun ada generasi muda yang masih minat dengan ceramah politik murahan sebegitu, biasanya mereka adalah di kalangan yang tidak berdaya pemikiran tinggi. Golongan sebegini pasti akan ada dalam mana mana kelompok masyarakat.

Itu kisah di luar kampus. Di dalam kampus, saya yakin pelajar di IPTA termasuk di UKM juga perlu berubah dalam menjayakan demokrasi kampus. Pertama, bangunkan idealisme perjuangan mahasiswa sendiri, bukannya masih terus menerus menjadi 'keldai politik' pihak luar kampus. Kedua, ubahlah cara berpolitik dari asyik bertelagah tentang hal yang remeh temeh kepada politik berhujah yang dinamik dan penuh keharmonian.

Hari ini pertelagahan berterusan termasuk di alam siber memburukkan lagi keadaan. Saya lihat ramai penyokong kedua-dua front politik kampus UKM  (kononnya pro kerajaan dan pro-pembangkang) mengharapkan pimpinan mahasiswa dapat berpolitik atas kapasiti mereka sebagai mahasiswa sepenuhnya. Malangnya oleh kerana kepimpinan kampus yang berada di tingkat tertinggi kepimpinan pelajar terlalu taksub dengan gaya politik di luar kampus, harapan murni ini seperti mustahil untuk dijayakan.

Para pelajar UKM tentunya ingin melihat para pimpinan politik kampus bersaing secara sihat dengan aturan penuh disiplin dalam mengamalkan demokrasi yang tinggi. Keupayaan berhujah diutamakan, politik bertelagah diketepikan. Menonton ceramah di Speakers' Corner kadang kala kelihatan lebih menjurus kepada pembinaan budaya bertelagah berbanding budaya menghujah di UKM.

Pelajar UKM tahu, kedua dua front dalam kampus ada kekuatan dan ada kelemahanya. Soalnya bagaimana kedua-dua kumpulan ini boleh berunding dan bermusyawarah secara baik untuk berkerjasama dalam hal-hal yang dipersetujui dan berhujah secara matang dengan perkara perkara yang tidak ada persetujuan bersama. Biarlah para pelajar yang mendengar hujah-hujah pemimpin pelajar yang menentukan apakah pilihan yang patut mereka buat..