14 June, 2012

Nasihat Buat Pelajar UKM...

Saya adalah antara segelintir mahasiswa yang berkahwin masa belajar. Satu keputusan yang sukar tetapi berbaloi bila difikir sekarang. Beberapa rakan yang mengambil keputusan yang sama juga merasa begitu.

Tetapi bukan kisah 'indahnya berumahtangga' itu yang ingin saya sampaikan kali ini. Walaupun ada kena mengena juga. Seperti rakan rakan yang berkahwin semasa belajar, secara total cara kami berfikir tentang kehidupan berubah sama sekali selepas berumahtangga. Semuanya kerana tanggungjawab sebenar telah bermula bila melangkah ke alam berumahtangga.

Jika dahulu ibubapalah tempat mengadu jika 'kekeringan' duit, bila sudah berkahwin harus berfikir untuk punya pendapatan sendiri. Malu rasanya jika masih meminta minta pada ibubapa sedangkan sudah menjadi suami isteri. Maka belajar dan bekerja sambilan menjadi pilihan utama dan terakhir. Selain tumpukan sepenuhnya pada pelajaran, pemikiran masa depan menjadi lebih jelas tentang apa, bagaimana dan kenapa keputusan yang cemerlang dalam akademik harus dicapai. (jangan pula ini menjadi alasan pada pelajar yang membaca untuk cepat berumahtangga!).

Tanggungjawab yang semakin besar menyebabkan masalah yang dahulunya sebelum berkahwin dilihat besar telah menjadi sangat kecil. Tanggungjawab yang besar menyebabkan pandangan hidup kami lebih jelas. Jika dulu terasa demam terus berkira kira untuk tidak hadir kuliah, bila sudah berkahwin bukan sahaja demam malah apa juga rintangan pasti tetap ke kuliah dan ke tempat kerja. Jika dahulu sebelum berkahwin sibuk dengan cerita politik kampus, bermain dan berbual kosong selepas menelaah pelajaran, selepas kahwin hal hal sebegitu bukan lagi menjadi keutamaan. Bukan kerana tidak penting tetapi tanggunjawab baru ini menyebabkan sesetengah isu mula menjadi remeh. Paling utama ialah untuk mencapai kecemerlangan akademik, menjadi suami yang punyai pendapatan sendiri dan memastikan keluarga dalam suasana yang baik.

Moralnya pengalaman kecil ini ialah bila kita ada tanggungjawab yang lebih besar yang perlu kita pikul, segala masalah, rintangan dan cabaran yang satu masa kita katakan besar, akan menjadi kecil dan tidak utama lagi.

Saya bawakan kisah hidup ini untuk menyatakan bahawa kita sebagai pelajar di universiti harus mula melihat perkara perkara yang penting dan besar. Pada masa yang sama jangan sekali kali membesar besarkan perkara yang kecil. Isu makanan mahal, bas lambat, jalan berlubang, penat, letih, benci kawan yang suka mengata, malas, ketagihan FB, internet perlahan dan lain lain sebenarnya adalah isu yang hanya besar pada mereka yang tidak punyai pandangan hidup dan masa depan yang jelas. (jangan terasa hati bila saya berkata begitu!). Tetapi bukan maksudnya isu isu ini tidak perlu diselesaikan..ia masih perlu diselesaikan..

Oleh itu, ada bezanya pelajar yang ada pandangan hidup yang jelas dengan pelajar yang kabur dan lebih suka membiarkan keadaan yang menentukan masa depannya. Bayangkan ada pelajar yang menulis di FB sedih seharian semata-mata sebiji jerawat tumbuh di wajahnya. Ada yang sanggup ponteng kelas untuk bermain permaian online di internet. Ada juga yang sanggup tidak ke kuliah kerana lewat sedikit. Kononya takut dimarahi pensyarah.

Ada pula yang tidak kuliah kerana tidak ada baju yang sesuai atau tudung yang tidak sedondon dengan baju. Ada yang sanggup gunakan wang PTPTN untuk berhibur sedangkan wang tersebut sepatutnya digunakan untuk membeli bahan pembelajaran. Mungkin itu wang pelajar sendiri, gunakanlah tetapi pada yang jelas pandangan hidup pasti mereka akan menyimpan untuk digunakan pada saat  saat yang sangat diperlukan...

Kesungguhan untuk mencapai kecemerlangan dalam apa juga bidang pun bermula dengan pandangan masa depan yang jelas. pelajar UKM harus melihat perkara yang lebih besar dalam kehidupan masa depan mereka. Jangan biarkan perkara yang remeh temeh menjadi kekangan kepada melaksanakan tanggungjawab anda...belajar..belajar...belajar..