06 June, 2012

Jayakan Dakwah Keselamatan di UKM

"Salam Sejahtera, jika anda perhatikan kenderaan anda telah diletakkan dengan cara yang salah kerana menghalang aliran lalulintas. Anda mungkin anggap ini adalah perkara kecil. Bagaimanapun perilaku anda ini telah menyebabkan kesulitan pada orang lain. Anda pasti kecewa kalau orang lain melakukan perkara yang sama pada anda. Bertimbang rasa dan berusahalah untuk memberikan kesejahteraan pada orang lain kerana itu adalah satu perbuatan yang mulia. Apa pun alasan anda, perbuatan ini tetap sesuatu yang salah. Berusahalah berubah untuk juga memikirkan kesejahteraan orang lain. Semoga anda juga dirahmati" 


Sekian. Terima Kasih 
Ikhlas dari Pengetua IZISH


Foto oleh Ybhg TNC HEPA bertarikh 6 Jun 2012:
 Pelanggaran Peraturan Jalanraya dalam Kampus UKM 
Nota ini mungkin pernah diterima oleh beberapa orang pelajar  IZISH. Puncanya mereka meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan. Samada di kawasan yang menghalang lalulintas dalam kolej atau pun kereta yang diletakkan di tempat parking motosikal.

Saya sendiri menyimpan beberapa salinan nota ini di dalam kereta saya dan bila berjumpa dengan 'mangsa' saya akan selitkan nota ini di bilah 'wiper' kereta atau di dalam tempat barang motosikal mereka.

Petang ini, Ybhg TNC HEPA mengutarakan isu yang hampir sama. Beliau telah 'post' gambar sebuah kereta yang diletakkan di kawasan yang tidak sepatutnya (speed level) di kampus UKM. Saya setuju budaya negatif ini jika tidak dibendung akan menjadi sesuatu yang sangat sukar dikawal pada masa depan.

Pihak keselamatan UKM telah melakukan berbagai usaha dengan apa yang mereka terdaya. Memberikan nasihat sudah, memberikan amaran juga sudah. Clamp dan mengeluarkan saman juga sudah. Tetapi ini seperti tidak ada hujungnya. Tentunya tidak adil untuk hanya menyerahkan tanggungjawab ini pada pasukan keselamatan UKM sahaja. Dengan jumlah pelajar yang mencecah lebih 20,000 dan ribuan buah kereta dan motosikal, semua orang harus bersama sama bertanggungjawab dengan perilaku mereka sendiri.

Pada yang berduit, mungkin saman RM50 akan mereka bayar, asal sahaja dengan mudah meletakkan di kenderaan paling hampir dengan tempat yang ingin mereka tuju dalam kampus walaupun secara salah. Apatah lagi kalau sekadar kuliah seminggu sekali bagi pelajar sarjana dan ijazah lanjutan secara separuh masa yang telah lama bekerja. Tetapi duit ringgit tidak boleh dijadikan alasan untuk 'mengampunkan' kesalahan mereka.

Pada saya budaya menghormati dan mematuhi undang undang jalanraya dalam kampus ini harus dibangunkan dan diwar warkan kembali. Kisah menyayat hati pelajar di kolej Ungku Omar yang meninggal akibat rempuhan kenderaan seharusnya menjadikan kita lebih tekun dalam meningkatkan tahap keselamatan jalanraya kampus. Malang tidak perlu berbau, ajal juga tidak perlu kita undang, tetapi kealpaan kita sudah cukup untuk mentakdirkan semua itu.

Saya percaya ramai yang akan berkata..cukup cukuplah berkempen, berprogram tentang keselamatan jalan raya dan sebagainya, tak akan berubah punya perangai warga UKM ini. Pi mai pi mai tang tu juga jawabnya..

Saya punya pandangan yang berbeza. Dakwah keselamatan dan kesejahteraan hidup ini harus kita pertingkatkan dari masa ke semasa, dengan berbagai cara. Jika dulu berbagai kempen, program dan penguatkuasaan telah dilakukan, hari ini dan seterusnya pun amalan ini harus dilakukan.

Sebab itu saya mengesyorkan di IZISH mulai semester depan PROGRAM KESEJAHTERAAN KOLEJ akan dilaksanakan. Kes pelanggaran peraturan jalanraya dalam kolej (e.g. kesalahan meletak kenderaan, pelajar yang tidak menggunakan laluan pejalan kaki yang disediakan), kes kecurian laptop dan sebagainya menunjukkan sesuatu secara besar besaran harus dilakukan di IZISH. Pihak UKM telah memasang kunci pendua di pintu bilik, pihak kolej dari masa ke semasa sentiasa mengingatkan langkah langkah keselamatan, tetapi pelajar sendiri perlu lebih prihatin dengan keselamatan diri dan barangan mereka.

Dokumen perancangan KESEJAHTERAAN KOLEJ telahpun disediakan dan akan dijadikan dalam bentuk pamplet untuk diedarkan pada semua warga IZISH pada semester depan. Program KESEJAHTERAAN KOLEJ adalah sebahagian usaha kesepaduan sosial yang telah dirangka oleh Majlis Felo IZISH. Saya sangat percaya usaha mensejahteraan kehidupan pelajar sama pentingnya dengan usaha pembangunan akademik dan softskills para pelajar melalui aktiviti kolej.

Apa gunanya pencapaian akademik dengan PNGK 4.0, aktiviti LC lengkap 8 kredit tetapi cara meletak kenderaan pun masih mementingkan diri sendiri. Apa gunanya juga setimbunan sijil sijil ko kurikulum kalau pelajar masih ke kuliah dengan membiarkan lampu dan kipas angin terpasang di bilik seharian.

Cabaran ini tentunya sangat besar pada pengurusan kolej dan majlis felo IZISH. Berkat usaha semua termasuk MEP dan ketua blok, dakwah ini pasti akan dijayakan juga nanti...Insyallah