Gambar ini diambil pada jam sekitar jam 6.00 petang di lobi IZISH |
Budaya membaca membawa kepada budaya lain seperti budaya berhujah dengan bukti dan budaya pemikiran yang kritikal. Malah budaya membaca terutama bahan bacaan yang berkualiti akan dengan jelas membezakan antara individu yang berpengetahuan dengan individu yang bercakap tanpa maklumat. Ibaratnya seperti 'ubi yang diam diam berisi' berbanding "tong yang hanya kuat berbunyi tapi kosong'.
Seminggu yang lalu Star Publication membuat promosi selama tujuh hari dengan mengedar beribu-ribu naskah akhbar Star di semua kolej kediaman UKM. Saya ambil peluang ini untuk melihat sejauh mana budaya membaca bahan yang baik dan percuma ini dimanfaatkan oleh pelajar UKM.
Promosi, makluman dan pemberitahuan telah dilakukan lebih awal oleh kakitangan pejabat kolej dan juga pihak felo. Malangnya bagaimana bentuknya yang diletakkan di awal pagi, begitulah juga bungkusan tersebut terikat kemas hingga ke petang sepanjang program ini. Maka untuk menjayakannya, pihak felo dan kakitangan bertindak dengan mengedarkan surat khabar ini ke blok blok pelajar. Tinjauan menunjukkan hal yang sama berlaku di semua kolej kediaman yang lain. Sayang sekali usaha baik pihak Star ini tidak dimanafaatkan oleh pelajar.
Saya melihat budaya membaca perlukan 'hero' yang berupaya memperjuangkannya di kalangan pemimpin pelajar. Seharusnya memperjuangkan budaya membaca dilakukan bersungguh sungguh selari dengan tuntutan agama Islam. Kita harus berfikir akan hikmahnya ayat yang mula mula diturunkan oleh Allah swt melalui Jibrail a.s kepada Muhammad saw ialah "Bacalah.." Makna benarlah dan besarlah dakwah dalam memperjuangkan budaya membaca ini untuk dilakukan.
Jika ada pelajar yang boleh berdemontrasi, berarak, terjerit terjerit menuntut berbagai perkara, tidak pernah sesiapapun di kalangan pelajar yang ingin mengangkat perjuangan pembudayaan membaca.
Saya kira perjuangan ini satu perjuangan dari pelajar yang pasti berterusan dari usaha memohon diadakan bahan bahan membaca di berbagai tempat di UKM, ruang membaca diperbanyakkan, kempen membaca digerakkan, insentif dan ganjaran membaca hinggalah kepada penubuhan 'Book Club' dan siri siri kritikan buku. Juga jemputan untuk penulis buku datang ke UKM membuat pengisahan pemikiran buku buku tulisan mereka. Boleh dianjurkan juga book sale, sumbangan buku pada nasyarakat luar kampus dan sebagainya.
Sayangnya hal ini tidak berlaku di UKM. Malah juga tidak berlaku di mana mana IPT yang lain. Maka tidak hairanlah jika saya katakan kebanyakan pelajar yang berdemontrasi untuk mansuhkan AUKU pun tidak membaca keseluruhan dokumen tersebut. Apa lagi untuk memahaminya secara bijaksana.
Oleh itu sebaiknya PMUKM, ASPIRASI, ISIUKM, Jaksa Kolej Kediaman dan lain lain persatuan pelajar UKM mulalah mengerakkan perjuangan budaya membaca di UKM. Anjurkanlah sebanyaknya aktiviti yang mengerakkan momentum budaya membaca. Semakin kita banyak membaca semakin berisi pengetahuan dan pengalaman kita. Semakin jauh kita dari sifat sifat "tin tin yang kosong"...bukankah membaca dan mencari pengetahuan baru adalah idea asasnya mengapa sebuah universiti dibina...