09 May, 2012
Setiap Pelajar iZISH Akan Terima Dokumen Transkrip Aktiviti Dari Pihak Kolej
Salah satu inovasi yang telah dilakukan oleh pihak pengurusan iZISH melalui majlis felo sejak sesi lalu ialah mengeluarkan satu dokumen yang dinamakan Transkrip Aktiviti Pelajar Kolej Antarabangsa Ibu Zain UKM kepada semua pelajar prasiswazah iZISH.
Bagaimana proses pengeluaran Transkrip Aktiviti Pelajar iZISH dilakukan?
Semua penyertaan pelajar dalam aktiviti yang didaftarkan di iZISH atau aktiviti yang mendapat kelulusan JPPEL akan di rekodkan senarai nama AJKnya oleh pengarah projek. Selepas tamat projek tersebut, senarai nama pelajar (mengikut projek) kemudiannya akan diserahkan kepada felo iZISH yang bertanggungjawab dengan sistem rekod aktiviti pelajar di Unit Pembangunan Insaniah (uPIN).
Langkah seterusnya, felo yang bertanggungjawab dengan penyediaan transkrip akan menyediakan satu senarai penuh nama mengikut aktiviti untuk disahkan di dalam mesyuarat Majlis Felo. Setelah itu, senarai penuh aktiviti, jawatan, hadiah, anugerah yang diterima dan pencapaian tertinggi seseorang pelajar akan dijadikan dalam bentuk transkrip aktiviti pelajar. Pihak pengetua kemudiannya akan membuat perakuan di transkrip berkenaan.
Transkrip ini akan diserahkan pada pelajar pada setiap hujung sesi. Pengumuman akan dibuat oleh pejabat kolej lebih awal supaya pelajar dapat menerimanya sebelum peperiksaan akhir selesai. Harapannya dengan adanya transkrip ini, pelajar iZISH mempunyai kelebihan berbanding pelajar lain yang hanya mempunyai sijil aktiviti. Penggunaan transkrip ini memudahkan pihak majikan meneliti secara lebih menyeluruh potensi serta keaktifan pelajar iZISH.
Pada masa yang sama pihak kolej juga akan menyimpan satu salinan transkrip aktiviti pelajar sebagai rujukan dan rekod kolej. Dengan cara ini pembangunan pelajar iZISH juga dapat dibimbing secara lebih baik. Malah penggunaan rekod transkrip ini juga lebih memudahkan pihak majlis felo iZISH untuk mengenalpasti individu pelajar yang difikirkan layak untuk menerima anugerah atau penghargaan di peringkat kolej di malam jamuan tahunan.
Transkrip ini dari masa ke semasa akan dipertingkatkan kualiti material dan rekabentuknya oleh pihak kolej. Semoga usaha pihak pengurusan kolej dan majlis felo iZISH ini dihargai oleh semua pelajar iZISH.
Pastikan anda (pelajar iZISH) mendapatkan transkrip anda sebelum bercuti nanti...