12 May, 2012

Peranan Felo Kolej Kediaman Semakin Penting, Segeralah 'Bangun Dari Tidur'

Antara post 'Ilmu Mutu dan Budi' yang paling banyak menerima 'hit' dari pembaca ialah rencana yang bertajuk "Ramai Felo Kolej Yang 'Tertidur'. Kisah itu juga telah banyak membuka perbincangan antara saya dengan felo felo kolej kediaman bila kami bertemu dalam beberapa acara rasmi UKM.

Ada kalangan felo yang bersetuju istilah 'tertidur' sesuai digunakan untuk segelintir felo yang mereka kenali tetapi mereka tiada upaya untuk 'mengejutkan' felo felo yang sedang 'tidur' itu.

Di dalam usaha kepengetuaan kolej kediaman kini yang ingin meningkatkan peranan kolej kediaman sebagai sebuah kolej akademik (maksudnya kolej akan menjadi tempat pelajar melakukan aktiviti yang berkredit, ada progarm akademik, forum dan sebagainya) peranan felo tidak dapat tidak harus diperkasakan sesegera mungkin.

Institusi felo adalah tulang belakang pembangunan pelajar di kolej kediaman. Kolej yang memiliki pasukan felo yang komited, berkemahiran luas dalam penganjuran projek dan jelas fungsinya sebagai seorang felo semasa berada di dalam kolej pasti akan berupaya meletakkan kolejnya sebagai sebuah kolej yang cemerlang.

Bagaimanapun jika pasukan felo kolej tidak komited, kurang mahir dengan aktiviti pelajar (membimbing usaha untuk penajaan, protokol, prosedur permohonan dan pelaporan projek etc) pasti akan menggagalkan usaha kepengetuaan kolej tersebut untuk meningkatkan kecemerlangan kolej. Itu amat malang sekali...

Walaupun pembangunan pelajar sedang melalui proses tranformasi aktiviti di UKM, di dapati masih ada segelintir  felo yang tidak dapat menyelami halatuju tranformasi ini sebaiknya. Maka tentulah tidak menghairankan kalau ada program dan aktiviti pelajar yang menekankan hasil pembelajaran atau mempunyai skala besar dilihat sebagai sesuatu  yang membebankan oleh felo felo berkenaan.

Saya mengenali ramai felo yang komited dengan tanggungjawab mereka. Mereka sentiasa berusaha tanpa mengira waktu dan tenaga di kolej kolej untuk terus membimbing para pelajar. Semoga usaha mereka beroleh kejayaan.

iZISH bertuah kerana mempunyai pasukan felo yang komited, jelas peranan mereka serta mempunyai halatuju yang ingin mereka capai sebagai seorang felo dalam membangunkan pelajar iZISH. Setiap felo di iZISH mempunyai projek yang mendapat sentuhan bimbingan mereka sendiri. Ada yang menguruskan pentadbiran Unit Pembangunan Insaniah (uPIN), ada yang terlibat dengan nic kelestarian kolej, nic kesepaduan kolej, UKM Career Expo 2012, pengurusan pelajar antarabangsa iZISH, program keusahawanan (iZISH Corner) dan aktiviti kesenian pelajar.

Dengan dibantu Pelan Strategik IZISH 2011-2013 serta penubuhan uPIN, pasukan felo iZISH pastinya akan menjadi pelopor kepada usaha usaha baru kepada pembangunan pelajar. Semoga usaha mereka akan sedikit sebanyak 'mengejutkan' felo felo yang masih 'tertidur' di UKM. Terima kasih team felo iZISH atas usaha yang diberikan...