Dewan Seri Endon Putrajaya |
Oleh itu mengapa tahun ini iZISH ingin anjurkan 'dinner college' di luar kampus, di Dewan Seri Endon yang letaknya di Putrajaya. Selain jaraknya yang jauh, terpaksa pula menanggung kos sewa dewan yang mahal, urusan pengangkutan bas serta peralatan teknikal yang terpaksa di sewa. Para AJK MATK terpaksa berhempas pulas menjana kewangan untuk menampung kos penganjuran. Yuran pelajar serta peruntukan kolej hanya sekitar 25% sahaja daripada kos keseluruhan penganjuran. AJK terpaksa mencari dana luar sebanyak 75% untuk menjayakan penganjuran malam jamuan ini. Apa rasional dan sebabnya MATK 16 ingin dianjurkan di sana?
Tentu ramai orang berfikir lebih baik wang yang ada gunakan sahaja di DECTAR. Itu lebih mudah dan itu lebih menjimatkan. Mungkin itulah pandangan ramai, tetapi tidak pada saya, orang yang sering 'mencabar' keupayaan pelajar iZISH. Bukan kerana DECTAR tidak hebat atau bersejarah, DECTAR adalah satu dewan penuh keramat. Bagaimanapun untuk menjadi hebat seseorang pelajar perlu melalui pelbagai cabaran. Tentunya dibimbing dan disokong sepenuhnya agar tidak hilang arah dan motivasi.
Dengan peruntukan awal yang sangat kecil, AJK MATK 16 belajar bekerjasama, belajar membuat keputusan yang sukar, berlatih berkomunikasi dan berunding, berfikiran kreatif serta belajar menguruskan orang lain, diri sendiri dan paling utama masa mereka. Tentunya menganjurkan jamuan di luar kampus UKM menuntut para AJK MATK 16 bekerja lebih kuat kerana cabarannya yang jauh lebih sukar jika dianjurkan di DECTAR.
Pada saya, jika terpaksa memilih antara kos duit dan pembangunan pelajar, saya 100% tanpa teragak akan memilih pembangunan pelajar. Dalam membangunkan pelajar, tidak ada istilah membazir. Asal sahaja bukan untuk tujuan yang tidak jelas maksudnya.
Acara yang akan dianjurkan pada 13 Mei 2012 nanti tentunya gilang gemilang. Para AJK yang ketika ini sedang berkerja kuat pasti akan tersenyum puas melihat hasil kerja mereka. Meraka pasti datang berjumpa saya dan berkata, " Pengetua, lihat kami sudah berjaya menerima cabaran pengetua".
Tentunya saya juga akan tersenyum gembira atas kejayaan mereka melalui segala susah dan senang sepanjang menganjurkan MATK 16 sejak setahun lalu, Semua kesukaran ini akan memberikan pengalaman yang cukup berharga, jauh lebih mahal dari kos penganjuran malam jamuan itu sendiri. Pada semua AJK Jamuan tahuan iZISH ke 16, ingin saya ucapkan tulus dari hati saya, "saya bangga dengan anda semua".
Sehingga tibanya malam gilang gemilang tersebut, teruskan usaha anda...