03 May, 2012

Elak Burukkan Nama UKM


1.Semalam (Rabu 2 Mei 2012), saya menerima satu laporan yang saya kira penting untuk saya kongsikan dengan pembaca blog ini  yang berminat dengan soal pembangunan pelajar.

2. Kisahnya begini, pagi semalam team Career Expo UKM anjuran IZISH telah pergi ke New Strait Times, Kuala Lumpur untuk menemui pegawai bahagian penajaan jenama NST (namanya saya rahsiakan) seperti temujanji yang telah diaturkan lebih awal.

3.Di sana, setelah dijemput masuk ke pejabat untuk memulakan perbincangan, beliau telah memulakan dengan menceritakan  'bad experience'  beliau semasa berurusan dengan kumpulan pelajar UKM yang menganjurkan satu-satu projek terbesar anjuran pelajar di UKM tahun lalu (saya rahsiakan nama projek tersebut).

4. Malah beliau sudah serik untuk terus bekerjasama dengan para pelajar UKM selepas itu. Katanya" macam itu ke pelajar UKM, bukan sahaja tidak menunaikan apa yang telah dipersetujui semasa perbincangan awal dengan pihak saya, tiada ucapan terima kasih pun atas kerjasama yang telah NST berikan pada projek kumpulan pelajar tersebut". Saya percaya ini adalah pandangan peribadi beliau dan bukannya pandangan syarikat berkenaan.

5.Pengalaman buruk itu menyebabkan beliau tawar hati pada mulanya untuk terus memberikan kerjasama dengan program pelajar UKM. Berkali-kali team Career Expo IZISH memohon maaf kepada pegawai dan kakitangan yang bersama dalam mesyuarat atas perilaku kumpulan pelajar berkenaaan. Malah dilaporkan pada saya bahawa peringkat awal perbincangan, beliau sebenarnya seperti sudah tidak berminat untuk melakukan kerjasama dengan projek Career Expo UKM.

6. Bagaimanapun atas usaha dan kesungguhan team Career Expo, dipendekan cerita mereka berjaya mendapat tajaan ruangan untuk 'coverage' di NST, VARSITI Berita Harian dan Metro. Varsiti misalnya bersetuju untuk menyiarkan 'full page' Career Expo UKM 2012 anjuran IZISH selama dua minggu berturut-turut. Jumlah tajaan ini semuanya bernilai RM 26,000 (bukan tunai). Selain itu, NST juga bersetuju membuka booth pameran mereka di DECTAR, mengadakan sesi temuduga kerjaya serta turut bersetuju membawa beberapa personaliti untuk memeriahkan acara. Semuanya ditanggung sepenuhnya oleh pihak NST.

7. Saya tinggalkan dulu tentang kejayaan team career Expo UKM 2012 anjuran IZISH melunakkan perasaan penaja sehingga akhirnya  berjaya mencapai matlamat mereka di NST. Tahniah untuk mereka. Apa yang lebih merisaukan saya adalah kisah ini menunjukkan wujudnya sentimen atau persepsi yang tidak baik di kalangan majikan atau pihak industri tentang kelemahan pelajar UKM akibat perbuatan dan carakerja pelajar UKM sendiri. Ini mungkin satu contoh terpencil atau mungkin juga contoh yang sebenarnya banyak berlaku sejak sekian lama.


8. Apabila pelajar menganjurkan program, biro yang tidak dapat tidak mesti diwujudkan ialah penjanaan kewangan atau nama lain yang selalu digunakan ialah AJK pemasaran. Kumpulan pemasaran ini biasanya akan keluar ke Bangi, Kajang atau ke Kuala Lumpur untuk membuat pemasaran dan mencari penaja untuk menghasilkan dana projek. Saya juga telah bincangkan dalam entri blog ini beberapa ketika dulu  tentang "Tujuh Cara Mendapatkan Kewangan Projek Pelajar".

9. Sebenarnya, sejak awal 1980an lagi kaedah pemasaran yang sering digunakan oleh pelajar UKM ialah mendapat sumbangan dari kedai ke kedai ala pengakap sekolah. Paling paling hebat, meminta sumbangan dari ahli politik dan orang orang kaya di Kajang. Ini kaedah lama yang sudah tidak sesuai lagi di universiti pada masa sekarang. Konsep pemasaran telah banyak berubah. Hari ini pelajar perlu bersedia melalui empat peringkat dalam membuat pemasaran iaitu;
 i) cadangan pemasaran,
 ii) membuat perbincangan awal,
 iii) sesi perbentangan serta akhirnya;
iv) melakukan perundingan apabila meneriama tawaran penajaan dari pihak syarikat.

10. Seringkali rakan rakan saya di syarikat menyatakan pelajar yang berjumpa dengan mereka akan berkata "Syarikat tuan akan mendapat pelepasan cukai", "logo syarikat tuan akan dicetak di banting dan banner" atau "syarikat tuan akan mendapat keberkatan dengan menaja program kami". Saya dan ramai orang tahu itu semua. Pemilik syarikat lebih tahu tentang hal itu. Apa yang ingin mereka inginkan dengar ialah bagaimana dengan memberikan tajaan RM5,000 akan meningkatkan pulangan kepada syarikatnya?

11. Misalnya adakah program ini akan diberikan liputan media peringkat dalam UKM, Bangi, Selangor atau kebangsaan. Bagaimana dengan menaja aktiviti pelajar UKM, syarikat berkenaan dapat adakan 'engagement' dengan pihak universiti (pensyarah, pentadbir UKM etc) atau 'engagement' dengan pihak KPT atau jabatan-jabatan kerajaan lain yang mereka dapat adakan perbincangan perniagaan seterusnya.

12. Di UKM setiap tahun hampir 1000 projek dianjurkan setiap tahun. Separuh daripada jumlah itu melibatkan aktiviti pemasaran di syarikat syarikat. Amat malang bila kumpulan pemasaran ini gagal membawa imej serta persepsi yang baik kepada para pihak industri dan syarikat di luar sana. Bayangkan kalau yang pergi membuat pemasaran tidak boleh berkomunikasi dengan baik, etika berpakaian yang lemah, tidak menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan baik dan tiada keyakinan diri. lebih malang proposal yang dibawanya tidak jelas, format yang tidak tersusun dan yang paling utama tidak dapat menerangkan apakah faedah yang akan syarikat dapat apabila memberikan tajaan pada projek berkenaan.


13. Begitu juga dengan kemahiran menggunakan telefon untuk tujuan pemasaran aktiviti. Sebagai orang yang inginkan dana, kitalah yang seharusnya belajar kemahiran untuk memberi keyakinan pada pihak syarikat. Cara pertuturan dalam telefon (pembukaan dan penutup), cara perundingan serta strategi mendapat keputusan terbaik harus mempunyai kemahiran.

14. Jika anda berjaya mendapat tajaan, itu baik untuk projek anda, tetapi ia juga baik kerana anda berjaya membina reputasi pelajar UKM di mata syarikat. Jika anda gagal mendapat tajaan kerana kelemahan anda, ini juga akan menyebabkan pelajar UKM mendapat tempias dan persepsi negatif di mata majikan. (Saya sedar tidak mendapat tajaan juga boleh disebabkan oleh faktor lain seperti syarikat tidak punya peruntukan, program tidak selari dengan jenama syarikat atau sasaran pasaran yang bukan untuk generasi muda seperti mahasiswa- itu harus di terima sebagai bukan kelemahan kita sendiri).

15. AJK Pemasaran projek adalah DUTA kebolehpasaran mahasiswa UKM. Kehebatan anda membawa persepsi yang positif di kalangan majikan tentang graduan UKM. Di IZISH misalnya, telah dianjurkan "Bengkel Pemasaran Projek Pelajar" sejak dua tahun yang lalu. Kumpulan sasarannya ialah bakal bakal JAKSA dan juga pengarah kelab IZISH. Di dalam bengkel ini, peserta diberikan modul latihan komunikasi interpersonal berkaitan pemasaran, kemahiran perbentangan produk/projek untuk penajaan, kemahiran perundingan dan penyediaan surat pengahrgaan dan laporan eksekutif projek untuk penaja yang telah bekerjasama.

16. Para peserta disedar apabila mereka ke syarikat untuk berbincang, membentangkan dan berunding berkaitan pemasaran projek, mereka bukan hanya pergi sebagai AJK projek tetapi sebagai DUTA pelajar UKM. Merekalah  yang akan membina persepsi tentang graduan UKM di mata majikan. IZISH tidak mempunyai peruntukan yang besar untuk menganjurkan bengkel yang lebih kerap bagi manafaat lebih ramai pelajar UKM. Jika ada, tentunya usaha meletakkan persepsi positif majikan kepada graduan akan boleh diusahakan secara berterusan. Bayangkan jika bengkel ini dianjurkan dengan kualiti yang tinggi dan menghasilkan  perserta yang berkemahiran tinggi dalam membuat pemasaran aktiviti pelajar, kita pasti dilandasan yang baik.  Kalau pelajar yang ada kemahiran pemasaran berjumpa dengan majikan di 200 syarikat setahun, sudah tentu 'duta duta ini' akan berjaya memberiakn persepsi positif pada para majikan bahawa UKM mempunyai graduan yang terbaik di negara ini.

Semua pelajar mempunyai tanggungjawab menaikkan nama baik dan citra UKM dan pada masa yang sama elak burukkan nama UKM.