17 May, 2012

iZISH Mula Kuatkuasa Pemakaian Kad Kolej Mulai Khamis 17 Mei 2012

Dalam sebulan sahaja sudah dua kali berlaku kecurian di iZISH (kali pertama 18 April 2012 dan kali kedua hari ini 16 Mei 2012). Pelajar yang menjadi mangsa, kehilangan laptop mereka bersama semua kerja kerja akademik yang perlu di siapkan. Pihak kolej sangat kesal dan sedih atas apa yang menimpa para pelajar iZISH. Kejadian buruk ini telah merosakkan semua usaha untuk menjadikan iZISH sebuah kolej yang tenang, aman dan sejahtera.

Pihak kolej tidak mempunyai kemampuan untuk menukarkan semua pintu pelajar dengan tombol tombol baru yang lebih baik kualitinya. Kolej tiada peruntukan kewangan. Walaupun itulah yang sangat ingin saya lakukan sejak sekian lama.

Setelah sering menasihatkan pelajar agar lebih berhati hati selepas kecurian yang pertama bulan lalu, kebanyakan pelajar telah mengambil langkah langkah yang dinasihatkan. Mereka telah mengunci pintu setiap kali keluar bilik samada ke cafetaria, ke kuliah hatta ke bilik kawan sekalipun. Mereka telah lakukan semuanya. Tapi kes kecurian masih berlaku.

Mengapa?
1. Seperti kes yang pertama, kes kali ini juga bukan kes curi tetapi kes pecah bilik dan curi. Maksudnya penjenayah ini telah membuat jenayah yang lebih agresif berbanding satu masa dulu dahulu. Semua bilik terbabit diumpil dan ada yang dipecahkan kunci mangga. Ini menunjukan perlakuan mencuri semakin serius kerana telah dirancang lebih awal oleh penjenayah.

2. Semua bilik pelajar di iZISH direka mempunyai kepingan kaca di atas pintu bilik. Tujuannya dulu adalah untuk pencahayaan bilik. Malangnya rekaan ini menjadikan penjenayah ini berpeluang mengintip bilik sebelum memecah pintu bilik tersebut. Dengan hanya mengintip, si penjenayah akan tahu samada pelajar ada di dalam bilik berkenaan atau tidak.

3. Semua laptop yang hilang dilaporkan diletakkan di atas meja belajar. Masalah timbul bila si penjenayah mengintip dari atas pintu, mereka dapat melihat keseluruhan bilik pelajar. Mereka akan dapat melihat laptop di atas meja belajar dan sebagainya. Tetapi bagi satu kes di mana laptop tiada di atas meja kerana pemiliknya menyimpan di dalam almari, bilik beliau tidak dipecahkan walaupun sudah ada tanda untuk dipecahkan. Mungkin selepas mengintip, si penjenayah tidak nampak apa apa yang berharga, beliau membatalkan niat memecahkan bilik berkenaan.

4. Pintu bilik pelajar di iZISH boleh dibuka secara mudah dengan menggunakan kad nipis e.g kad top up telefon. Tiga tahun lalu pihak kolej telah mengadakan gotong royong 'memaku' semua ruang antara pintu dan tombol untuk mengelakkan penggunaan kad yang dilarikkan untuk membuka pintu. Malangnya semasa tinjauan di buat, kebanyakan bilik sudah dikeluarkan paku oleh pelajar kerana di kalangan pelajar sendiri ada yang menggunakan kad untuk masuk ke bilik mereka. Mungkin bukan pelajar sekarang tetapi pelajar pelajar sebelum ini yang menghuni bilik berkenaan.

Bagi mengatasi isu ini, pihak pengurusan iZISH akan segera melaksanakan peraturan mewajibkan pemakaian kad kolej mulai hari ini (17 Mei 2012). Tentunya keputusan ini satu tindakan yang tidak popular tetapi perlu dilakukan untuk meningkatkan keselamatan pelajar di iZISH.

Pada peringkat awal, kuat kuasa pematuhan pemakian kad kolej ini akan dilakukan dengan nasihat, teguran serta amaran. Seterusnya akan melalui dendaan (minimum RM5.00) sebagaimana yang ditentukan dalam Arahan Kolej Kediaman UKM. Pemakaian kad ini wajib pada semua warga kolej termasuk pengetua, felo, kakitangan dan para pelajar. Para pekerja pencucian juga akan diwajibkan memakai kad identiti yang dikeluarkan oleh pihak kolej. saya juga membenarkan pelajar membuat teguran jika pengetua atau mana mana felo/staf pejabat iZISH yang tidak memakai kad kolej mulai hari ini.

Kedua, pihak kolej akan menyediakan perkhidmatan peti simpanan untuk para pelajar iZISH di pejabat pentadbiran kolej. Pelajar boleh menyimpan laptop/barangan berharga di pejabat kolej dengan menyerahkannya di kaunter pejabat. Pihak pejabat akan memberikan kad akuan terima kepada pemilik laptop. Mereka boleh mengambil barangan yang disimpan dengan menyerahkan kembali kad akuan terima pada pihak pejabat. Perkhidmatan ini percuma dan disediakan khususnya pada pelajar yang mengikuti program/keluar kampus/kuliah yang tidak memerlukan laptop di bawa bersama. Perkhidmatan ini akan dimaklumkan pada semua pelajar sebaik sahaja peti simpanan yang dibeli tiba di iZISH.