15 May, 2012

AJK MATK 16: Anda Berjaya Tunaikan Cabaran...Tahniah

Post kali ini saya ingin tujukan khas buat team MATK 16 IZISH. Terlebih dahulu izinkan saya merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan menganjurkan MATK 16 tahun ini dengan penuh gilang gemilang pada 13 Mei 2012 lepas.
Saya masih ingat dengan jelas mesyuarat kali pertama yang diadakan antara saya dan seluruh team MATK 16. Hadir bersama timbalan pengetua dan para felo kolej iZISH. Saya mengusulkan dua perkara untuk MATK 16 harus berbeza dengan MATK sebelumnya. Pertama, saya mencabar mereka di dalam mesyuarat ketika itu agar MATK 16 diadakan di luar kampus UKM. Bukan kerana DECTAR tidak ngah atau sebagainya tetapi semata mata untuk memberi cabaran baru pada team MATK 16, saya berharap cabaran ini akan dapat mendedahkan mereka situasi berorganisasi yang lebih 'tegang' sehingga mereka terpaksa bekerja lebih kuat dan sentiasa cekal menghadapi berbagai ujian untuk menjayakannya.
Kedua, saya mengusulkan supaya mereka merancang persembahan yang tidak hanya untuk berhibur semata-mata tetapi dimasukkan juga input pendidikan kepimpinan dan seumpamanya.
Saya menelah tentunya dua usul ini akan 'mengugat' keyakinan AJK MATK 16. Apatah lagi sejak sekian lama 'dinner' kolej kediaman UKM tidak pernah berubah format penganjurannya.
Benar telahan saya. Sebahagian daripada ajk MATK 16 seperti keberatan pada mulanya. Mungkin di dalam benak fikiran mereka berkata "Mengapa perlu bersusah payah, DECTAR kan dah ada? Dalam DECTAR segala kelengkapan dah tersedia. tak tahulah apa yang pengetua nak sebenarnya". Saya jangkakan begitulah 'suara hati' mereka.
International Students @ iZISH MATK 16

Bagaimanapun  saya ingin mengucapkan rasa bangga dan tahniah pada MEP, Pengarah MATK dan seluruh AJK tertinggi yang mengambil keputusan untuk cuba menerima cabaran ini. Mereka juga kelihatan pada mulanya agak risau kalau-kalau cabaran ini sangat berat untuk mereka penuhi.
Dari bulan ke bulan mereka mula bekerja. Saya pantau dan lihat dengan teliti pekembangan mereka. Para felo menjadi tempat di mana saya mendapatkan laporan serta mengetahui masalah yang mereka hadapi. Tentulah soal kewangan menjadi soal yang paling mencabar. Sewa Dewan Seri Endon Putrajaya sahaja sudah menjangkau angka yang sangat besar.
Selain itu, mereka juga berhadapan cabaran  untuk menyakinkan pelajar iZISH untuk bersama bukan sahaja sekadar menghadiri tetapi menyertai tema makan malam tersebut. Soal pengangkutan ke Dewan Sri Endon juga cabaran harus diselesaikan, begitu juga dengan merencanakan bentuk persembahan yang tidak hanya sekadar berhibur tetapi juga harus memberikan input pendidikan.
MEP@iZISH Dinner 2012
Beberapa kali juga saya didatangi oleh para AJK yang mengeluh berbagai masalah yang mereka hadapi. Jika saya bertanggungjawab memberikan cabaran, tentunya saya juga perlu bertanggungjawab memastikan mereka mendapat bimbingan dan motivasi. Itulah yang saya lakukan dari masa ke semasa.
Akhirnya terbukti pada malam 13 Mei 2012, mereka berjaya melakukannya dengan baik sekali. Malah tidak keterlaluan saya katakan ini antara MATK iZISH yang terbaik pernah dianjurkan. Kedua dua cabaran saya, mereka tunaikan dengan bergaya sekali. Saya percaya mereka dapat memahami dan menilai sekarang apa maksudnya 'satisfaction' yang sering saya katakan apabila mereka berjaya selesai melakukan sesuatu yang pada mulanya dianggap sukar dan mustahil.
Tentunya dalam apa juga kejayaan yang kita capai, akan ada 'rumah siap pahat berbunyi'. Itu lumrah yang tidak dapat kita elakkan. Malah saya sering mengharapkan ada orang sebegini wujud dalam kehidupan saya. Mereka ini penting untuk melatih psikologi, esteem dan kepercayaan saya pada diri sendiri. Jika manusia jenis ini tidak ada, pada siapa lagi yang saya harapkan untuk berlatih membina hati yang tabah dan cekal dalam menghadapi hari mendatang. Janganlah AJK MATK 16 marah atau kesal dengan sikap orang sebegini (kalau ada) tetapi ucapkan terima kasih pada mereka kerana memberi peluang untuk anda membina keyakinan diri.
Pada Team MATK 16, tahniah yang seikhlasnya dari saya...well done.

Anuar Ahmad
Retreat HEPA UKM 2012,
Allson Klana Resort
Seremban