Siapa Akan Anjurkan Hari Kerjaya UKM 2012?
- Seingat saya dulu, selain Pesta Konvo, Hari Kerjaya adalah program yang ditunggu-tunggu oleh pelajar UKM. Jika Pesta Konvo meraikan pelajar yang bergraduan, Hari Kerjaya bertujuan menyediakan peluang untuk pelajar mendapatkan maklumat terus dari majikan dan juga untuk ditemuduga.
- Pernah satu ketika pada tahun 1992, Hari Kerjaya UKM dirasmikan sendiri oleh Tun Dr Mahathir, ketika itu merupakan Perdana Menteri. Bayangkanlah betapa besar program ini dan beruntungnya pelajar UKM ketika itu yang berpeluang memperolehi maklumat terkini tentang alam pekerjaan. Malah ketika itu ramai juga yang terus ditawarkan pekerjaan walaupun masih di tahun akhir kerana keupayaan mereka menyakinkan majikan bahawa mereka adalah calon yang paling sesuai untuk ditawarkan jawatan.
- Itu kisah dulu, sejak beberapa tahun ini hari kerjaya tidak lagi menjadi kemuncak program pelajar UKM. Kalau dulu Urusetia Kerjaya merupakan salah satu urusetia yang 'popular' di UKM selain PMUKM dan Jaksa kolej Kediaman, hari ini semua itu tinggal kenangan.
- Laporan Pengesanan Graduan KPT (2007-2010) menunjukkan walaupun jumlah pelajar yang cemerlang di IPTA bertambah dari tahun ke tahun, peratus yang memperolehi pekerjaan pada enam bulan pertama selepas bergraduan semakin merosot. Dengan kata lain, jika berdasarkan data yang ada, seolahnya graduan IPTA (termasuklah UKM) semakin kurang diminati oleh majikan khususnya di dalam sektor swasta. Secara khususnya syarikat multinasional dan antarabangsa.
- Antara sebabnya ialah syarikat-syarikat ini lebih cenderung mengambil graduan IPTS samada di kalangan IPTS yang mempunyai MOU dengan syarikat syarikat mereka atau kerana dikatakan mereka tidak berpuashati dan ragu-ragu dengan tahap komunikasi bahasa Inggeris di kalangan pelajar IPTA.
- Beberapa kajian yang dilakukan oleh KPT juga menunjukkan majikan swasta cenderung menawarkan pekerjaan kepada graduan IPTS dengan sebab sebab yang sama sejak beberapa tahun lalu.
- Apa yang patut pemimpin pelajar UKM lakukan tentang isu kebolehpasaran graduan UKM? Biarkan sahaja atau bersedia untuk lakukan sesuatu demi menjaga kebajikan pelajar UKM seluruhnya?
- UKM sebagai sebuah universiti tidak mempunyai peranan menawarkan pekerjaan kepada para graduannya. Tetapi UKM mempunyai peranan untuk menyediakan graduannya bersaing di dalam mendapatkan pekerjaan. Maka itu pihak pengurusan UKM telah menyediakan peruntukan yang besar di dalam menganjurkan program-program meningkatkan soft skills pelajar di sepanjang pengajian mereka. Malah pengenalan Kontrak Pembelajaran juga satu usaha untuk memastikan para pelajar UKM bersedia menempuh persaingan alam persaingan pekerjaan.
- UKM telah laksanakan peranannya.Tetapi pelajar UKM juga perlukan satu program Hari Kerjaya. Ini adalah di dalam tanggungjawab persatuan pelajar UKM. PMUKM misalnya sebagai badan induk pelajar boleh melaksanakan tanggungjawab ini demi kebajikan pelajar. Begitu juga dengan urusetia urusetia yang lain seperti UPSM dan Urusetia Kerjaya sendiri. Malangnya belum kelihatan semua usaha tersebut sehingga hari ini.
- Menginsafi bahawa program sepenting ini tidak mendapat tempat di kalangan persatuan induk pelajar, Jaksa IZISH telah bersetuju untuk menghantar satu proposal bagi menganjurkan UKM Career Day pada pihak JPPEL. Program ini akan dilaksanakan oleh IZISH sekitar bulan Mei 2012 akan datang.
- Sebagai 'promosi' awal, pihak urusetia IZISH akan membawa masuk 50 buah syarikat swasta dan multinasional selama tiga hari bertempat di Dectar UKM. Bagaimanapun sektor awam dan jabatan kerajaan tidak akan dijemput atas dua faktor. Pertama, kajian menunjukkan penawaran pekerjaan di sektor swasta meliputi hampir 80% berbanding hanya 20% di sektor kerajaan. Kedua, untuk membuka ruang baru agar majikan sektor swasta lebih mengenali institusi UKM dan dapat melihat keupayaan sebenar pelajar UKM. Secara langsung ini diharap dapat meningkatkan reputasi graduan UKM di mata majikan pada masa masa akan datang.
- Selain pameran oleh syarikat, akan diadakan ceramah kerjaya, sesi temuduga, forum dan bengkel. Semua ini akan dikendalikan oleh para wakil syarikat yang telah dikenalpasti. Misalnya Ketua Jabatan Sumber Manusia Mercedec Benz (M) dan juga Ketua Jabatan Sumber Manusia Hitachi telah bersetuju untuk menjadi panel ceramah berkaitan "Graduan Dari Persepktif Majikan Sektor Swasta".
- Selain syarikat swasta, akan turut membuat pameran ialah NGO NGO berdaftar. Tujuannya ialah selain membina pekerjaan, pelajar juga harus mempunyai keupayaan 'social responsibility' pada masyarakat dan negaranya. Mendapat maklumat pekerjaan adalah untuk kemajuan individu, dan mendapat maklumat dan mendaftarkan diri dengan NGO adalah untuk menyumbang pada masyarakat.
- AJK di kalngan pelajar IZISH telah dibentuk di bawah exco Jaksa IZISH. Tahniah pada sdr Jonathan yang akan dibantu oleh felo penasihat Cik Stephanie, Cik Badariah, Encik Iejan sdr Chang Ee, Cik Liza dan Cik Roova. Kertas Kerja telah dihantar, borang LC juga sedang disediakan. Kita doakan agar Jaksa IZISH akan berjaya memberikan sumbangan kecil penuh bermakna kepada kebajikan pelajar UKM seluruhnya. Tentunya dengan cara mereka sendiri. Terimakasih saya ucapkan pada mereka semua.
- Jemputlah ke Dectar nanti!