Petang semalam saya dan pengetua Kolej Aminuddin Baki, sempat minum petang di Pusanika. Selalunya bila ada masa selepas waktu pejabat, saya akan minum petang bersama rakan rakan pengetua di mana mana kedai mamak berhampiran kampus UKM. Tetapi petang semalam agak berbeza. Kami memilih Kiosk Nescafe yang diusahakan oleh pelajar di pusanika.
Seingat saya kiosk ini dah lama di situ. Lebih sepuluh tahun. Maknanya perniagaannya tentulah bagus sehingga boleh terus kekal sehingga hari ini. Kiosk ini adalah asalnya program keusahawanan yang dimulakan oleh Tan Sri Mohd Salleh semasa beliau menjadi TNC HEPA ketika itu. Tapi hari ini saya kurang pasti bagaimana kiosk ini beroperasi. Adakah masih di bawah program keusahawanan pelajar atau dijalankan oleh pelajar sepenuhnya. Tetapi itu bukan soalnya.
Apa yang menarik tentang kiosk ini ialah ada kaitannya dengan kata kata Ybhg TNC HEPA baru baru ini semasa perjumpaan beliau dengan semua YDP Jaksa Kolej Kediaman. "Sudah tiba masanya kita berikan 'kapak' kepada pelajar dan bukannya 'kayu api' lagi", ujarnya dengan memetik peribahasa bangsa Arab tentang pentingnya pemimpin pelajar memahami persaingan dan survival mahasiswa hari ini. Saya setuju dengan pandangan beliau. Tidak boleh selamanya peruntukan aktiviti digunakan dalam bentuk pakai habis. Perlu juga sebahagian peruntukan aktiviti pelajar diberikan keutamaan kepada program keusahawanan. Melalui cara ini penjanaan kewangan walaupun kecil akan berterusan. Pelajar pula mempunyai peluang secara 'hands-on' menjalankan perniagaan. Bukan soal untung rugi yang dititik beratkan tetapi soal kemahiran membuat keputusan, kerja berpasukan, komunikasi dan sebagainya yang ingin dibangunkan. Untung berniaga akan datang bila semua kualiti kerja telah diusahakan, tentunya juga dengan keizinanNya.
Sebab itu saya sangat teruja dengan konsep mikro kredit seperti yang sedang dilakukan oleh sebuah IPTA di selatan tanah air. Pihak universiti tersebut memperuntukan 1 juta ringgit sebagai tabung mikro kredit yang dibiayai oleh program TEKUN untuk pelajar universiti. Saya rasa kita tidak perlu lagi ke peringkat tersebut tetapi harus memulakannya dengan cara yang lebih mudah dan kecil kecilan. Saya lihat ada usaha pelajar kolej yang memulakan perniagaan jualan air dan makanan di acara acara SUKEM baru baru ini. Begitu juga di IZISH ada kiosk EZY dan Izish conner yang menjalankan perniagaan larut malam. Ada juga kolej yang membuka kedai runcit. Ada juga pelajar menjalankan perniagaan top-up, tempahan t-shirt dan sebagainya. Malah ada yang sudah memulakan perniagaan on line menjual aksesori dan juga pakaian.Semua perniagaan ini dijalankan atas dasar minat dan ingin mencari pendapatan tambahan. Mereka komited dengan usaha mereka dan gembira dengan hasil yang mereka perolehi. Politik kampus? "Kami minta maaf, sila duduk di tepi" kata mereka.
Maka saya ada cadangkan kepada pelajar agar terus menpergiatkan lagi program keusahawanan tanpa terus menunggu pihak lain mencadangkan pada mereka. Bayangkan kalau di setiap bus stop dalam kampus ada kiosk pelajar yang menjual barangan keperluan ibarat "mini 7 Eleven". Ada pula kiosk yang mobile sifatnya dan akan dibuka bila ada program di mana mana ada 'crowd' seperti di stadium UKM atau DECTAR.
Semua ini boleh dilakukan bila ada kemahuan serta sokongan. Pihak Kolej terutamanya sangat menyokong usaha ini. Pihak JPPEL dan HEPA pastinya melihat program seumpama ini sesuatu yang sangat baik. Malah PAP tentu tidak keberatan memberikan kredit kepada program keusahawanan melalui kontrak pembelajaran. Akhirnya ilmu perniagaan pelajar dapat, softskills berkembang dengan cepat, pendapatan bertambah dan kredit pengajian juga diperolehi.
Maka dengan pendapatan ini pelajar akan lebih gembira dan selesa belajar. Ini juga berkaitan dengan pemimpin pelajar. Sampai bila pemimpin pelajar ingin mewarisi kemahiran sebagai pengadu masalah, hari ini mereka harus boleh bangun dan berjuang sebagai penyelesai masalah pelajar. Walaupun tidak semua, sebahagian pun sudah memadai.
Saya pernah mencadangkan pada PMUKM (kumpulan dulu) supaya ruang di depan pejabat PMUKM yang luas itu diadakan cafe PMUKM yang bersifat santai. Ada meja kerusi seperti cafe, ada jualan minuman panas dan sejuk juga kek, buah dan makanan segera pada pelajar. Cuba kita ke Pavilion KL, Starbuck yg dibina sangat sempit ruangnya tetapi mereka tetap berniaga. UKM ada ribuan pelajar yang mengunjungi Pusanika setiap hari, pasti ramai yang berminat untuk duduk dan minum di cafe milik PMUKM. Pastinya suasana depan PMUKM akan lebih meriah, PMUKM juga dapat jana kewangan hasil keuntungan jualan serta memberi peluang pelajar untuk belajar berniaga.
Saya masih ingat semasa belajar di Universiti London, saya selalu ke cafe milik student union untuk berbincang tentang kuliah dan assingment dengan kawan kawan sambil minum kopi secawan dua. Cafe Uno namanya, menjadi port utama pertemuan para pelajar universiti berkenaan. Malah kami akan ketahui segala promosi program aktiviti pelajar universiti melalui papan kenyataan yang disediakan di cafe tersebut. Kedai makan? Maaf sebab kami selalu boikot kerana harganya yang tinggi dan tidak sepadan dengan kuantiti makanan. Harga di cafe Uno lebih murah, harga pelajar!
Sebab itu dari terus mengadu harga makanan kafetaria yang tinggi sejak bertahun tahun lalu, lebih baik PMUKM buka satu cafe untuk pelajar yang ingin dapatkan makanan dengan harga pelajar yang sebenar di UKM. Tiada salahnya pun, atas nama kebajikan pelajar. saya akan turun menikmatinya jika dibuka nanti. Kadang kala dalam menjaga kebajikan pelajar berkaitan kawalan harga makanan yang mahal di UKM, PMUKM elok guna teori persaingan (demand & supply). Bila cafe milik PMUKM boleh sediakan makanan ringkas yang jauh lebih murah, semua kafetaria di UKM (khususnya di pusanika akan turut turunkan harga makanannya secara drastik dan lebih kekal). Tindakan ini lebih kuat kesannya dari terus menerus merayu mereka menurunkan harga makanan seperti yang sering diadukan oleh PMUKM sekarang.
Pada yang dah bermula berniaga diucapkan tahniah, dan pada yang belum lagi mulakanlah dengan menyediakan proposal dan rancangan perniagaan. PMUKM seharusnya boleh membantu dengan mengadakan bengkel "Asas Memulakan Perniagaan", "Bengkel Penyediaan Rancangan Perniagaan Kecil" atau "Bengkel Menjana Idea Perniagaan Dalam Kampus". PMUKM berpeluang membuktikan keprihatinan mereka bila berjaya membantu pelajar menjana pendapatan tambahan. Ingin juga saya tanya pada GMUKM yang kononya memperjuangkan Islam, bukankah menjalankan perniagaan itu juga satu Sunnah? Mengapa tidak ada langsung usaha seperti ini dalam intisari manifesto perjuangan GMUKM?