Salah satu identiti UKM ialah memiliki warga pelajar dari berbagai kaum. Selain pelajar melayu, terdapat ramai pelajar Tiong Hua, India, Melanau, Kadazan , Murut, Bidayuh, Iban dan lain-lain. Juga terdapat semakin ramai pelajar antara bangsa khususnya dari China, negara di Timur Tengah serta Afrika.
Identiti ini secara langsung meletakkan UKM untuk bertanggungjawab memberikan pendidikan dan kefahaman kepada semua pelajar tentang identiti kebangsaan. Pada peringkat pengajian, hal ini telah dilaksanakan di PPU dan juga di dalam pengajian di fakulti. Begitu juga melalui aktiviti ko-kurikulum dan aktiviti berpersatuan.
Pada peringkat pimpinan pelajar, bagaimana PMUKM sebagai sebuah badan induk pelajar melaksanakan usaha mereka untuk 'menarik' semua kumpulan etnik pelajar di UKM ini bersatu sebagai satu keluarga besar UKM? Apakah usaha yang telah dilakukan oleh PMUKM untuk meningkatkan tahap dan pengetahuan pelajar Melayu untuk bersama bekerjasama dengan pelajar Cina, India dan Sabah Sarawak (khususnya pelajar yang bukan beragama Islam).
Kita masih tertanya tanya tentang usaha PMUKM sesi ini untuk bekerjasama dengan kumpulan pelajar bukan Islam di UKM. Berapa orangkah wakil pelajar Cina dan India yang benar benar aktif telah diberikan jawatan yang strategik di dalam kabinet PMUKM sesi ini ? Bagaimana pula dengan pemberian jawatan jawatan penting dalam projek projek PMUKM seperti Pesta Konvokesyan yang baru berlalu ?atau program program PMUKM yang akan dijalankan di semester akan datang? Apakah kerana pelajar pelajar ini tidak beragama Islam, PMUKM harus meminggirkan hak serta peranan mereka untuk bersama memberikan sumbangan kepada aktiviti PMUKM.
Cara PMUKM agak berbeza dengan JAKSA kolej kediaman. Jaksa membuka peluang yang seluasnya untuk pelajar bukan Islam terlibat secara aktif di kolej. Penglibatan pelajar bukan Melayu-Islam memang aktif dalam program kebudayaan, khidmat masyarakat, ceramah dan taklimat akademik dan sebagainya di kolej. Tidak dinafikan pimpinan Jaksa berjaya menghilangkan jurang dan perbezaan antara pelajar Islam dan bukan Islam di dalam menjaga kebajikan mereka. Sesuatu yang telah terbukti dan sangat membanggakan.
Bagaimana dengan PMUKM? Apakah ada misalnya pertemuan secara berkala antara pimpinan tertinggi PMUKM dengan wakil pelajar Tiong Hua, India atau antarabangsa di dalam memahami masalah serta keperluan khusus mereka. Saya sempat bertemu dengan beberapa pimpinan pelajar Tiong Hua, pelajar India, wakil pelajar siswazah dan pelajar antarabangsa di UKM dan berpeluang mendengar keluhan mereka dalam banyak majlis yang sempat di hadiri. Soalan yang sama saya utarakan pada mereka, apakah PMUKM telah adakan perjumpaan dengan wakil wakil mereka? Jawapan mereka adalah sama "Tidak ada"., Nampaknya setakat ini pimpinan GMUKM-PMUKM belum berusaha ke arah menjayakan hal tersebut. Pimpinan GMUKM-PMUKM masih 'asyik' dengan aktiviti dalam kelompok tegar GMUKM sahaja.
Sangat jelas PMUKM sudah dimiliki sepenuhnya oleh ISIUKM sehinggakan kebajikan pelajar bukan Islam sudah tidak menjadi agenda dalam perjuangan PMUKM lagi. Mungkin pimpinan PMUKM akan menafikan pandangan ini dengan mengatakan mereka telah berusaha menjaga kebajikan pelajar bukan Islam di UKM. Kita ingin sekali bertanya kembali kepada pimpinan PMUKM, Benarkah? Bila? atau semua usaha ini hanya akan dilaksanakan bila piliharaya kampus semakin hampir demi mendapat undi pelajar bukan Islam untuk terus memenangkan GMUKM. Pelajar bukan Islam di UKM tentu lebih bijak menilai hal ini kerana ini soal kebajikan mereka sendiri.
Pada saya, pimpinan GMUKM-PMUKM seperti tidak ada kemahiran dan kesungguhan untuk mendekati pelajar bukan Islam-Melayu di UKM. Malah seakannya GMUKM ingin mengeluarkan pelajar bukan Islam dari menjadi ahli kepada PMUKM bila tidak mahu memberikan peluang untuk pelajar bukan Islam di PMUKM sesi ini, sedangkan perlembangaan UKM telah menetapkan setiap pelajar adalah ahli sah kepada PMUKM.
Selain program yang berteraskan agama Islam dan untuk pelajar Melayu (penyokong tegar GMUKM), apakah yang telah dilakukan oleh PMUKM untuk mejaga kebajikan pelajar bukan Islam di UKM? Apakah program PMUKM yang mempunyai kontrak pembelajaran(jika ada) terbuka luas untuk diikuti oleh pelajar bukan Islam. Bagaimana dengan kebajikan pelajar Cina yang tinggal di luar kampus khususnya di jalan Reko dan Hentian Kajang. Apakah kebajikan mereka mendapat perhatian sebagaimana PMUKM menjaga kebajikan pelajar Islam yang tinggal di Teras Jernang? Saya telahpun bertanya pelajar Cina dan India, jelas sekali mereka kecewa kerana hal ini tidak dilakukan oleh pimpinan PMUKM sedangkan mereka bernaung sebagai ahli di bawah PMUKM.
Jika PMUKM tidak menyedari bahawa semua pelajar bukan Islam adalah menjadi tanggungjawab mereka, itu tentunya sesuatu yang sangat menyedihkan. Lebih menyedihkan lagi jika pimpinan PMUKM sebenarnya tahu pelajar bukan Islam adalah di bawah amanah mereka tetapi sengaja meminggirkan kewujudan mereka di UKM. Sebagai respons, usaha perpaduan kaum pasti gagal dilakukan oleh PMUKM apabila pelajar bukan Islam tidak dapat merasakan yang mereka dihargai oleh PMUKM. Mereka pasti akan merasakan bahawa kewujudan mereka seperti tidak dialu-alukan oleh PMUKM kecuali ketika untuk mendapatkan undi mereka dalam pilihanraya kampus.
Jika selepas ini PMUKM mula merancang program untuk pelajar bukan Islam, membuka peluang untuk berada di dalam program PMUKM, saya ingin ucapkan tahniah pada PMUKM. Sekurang-kurangnya usaha ini akan mengelakkan salah tafsir oleh bukan Islam seolah-olahnya perjuangan Islam bermakna perlu bersikap tidak adil pada bukan Islam. Sesuatu yang sangat salah dan bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.. Islam itu Adil untuk semua makhluk di muka bumi ini.