Kini tinggal kurang empat bulan sebelum piliharaya kampus akan datang diadakan. Secara peraturannya, setiap ahli MPP PMUKM akan tamat perkhidmatannya apabila mereka menamatkan pengajian atau bila cukup tempoh setahun (satu sesi pengajian) berkhidmat. Jika diteliti, MPP PMUKM yang sedang berkhidmat sudah memasuki bulan ke sembilan perkhidmatan mereka bagi sesi ini. Maka akan tiba pilihanraya kampus kembali lagi.
Tujuan utama diadakan piliharaya kampus ialah memberikan ilmu kepada para pelajar yang berkebolehan untuk meningkatkan daya kepimpinan, kemahiran komunikasi dan pengurusan organisasi. Malah lebih daripada itu pengalaman 'seni berpolitik' yang diperolehi ketika proses pilihanraya berlangsung pasti akan banyak meningkatkan kemahiran membuat keputusan para pelajar.
Salah satu elemen 'seni berpolitik' yang terkandung di dalam proses pilihanraya kampus ialah pengalaman menjalankan kempen. Ini sebenarnya salah satu bahagian terpenting di dalam melatih kemahiran kepimpinan terutama berkaitan 'seni mempengaruhi' para pengundi.
Ada dua kaedah berkempen yang biasa diamalkan di UKM sejak dahulu sehingga kini. Pertama, kempen secara lisan dan keduanya secara tulisan. Kempen cara lisan bersemuka dilakukan bila para calon yang layak bertanding memberikan ucapan di dewan kuliah atau di sudut pidato, menyatakan janji serta memberikan harapan kepada para pengundi apa yang akan mereka lakukan jika menang dan biasanya dilakukan secara bersemuka. Manakala kempen lisan secara tidak bersemuka pula dilakukan melalui rakaman video di mana ucapan calon dirakam terlebih dahulu oleh pihak urusetia dan kemudiannya ditayangkan di televisyen di lobi lobi kolej atau fakulti.
Kaedah kedua adalah secara tulisan yang sah seperti melalui pamplet, manifesto dan kadang kala melalui cara yang 'tidak sah' seperti pengedaran surat berantai mahupun surat layang. Kedua-dua kaedah kempen yang telah wujud dalam piliharaya kampus sejak sekian lama di UKM.
Kempen secara lisan dan bersemuka mempunyai banyak kelebihan di dalam meningkatkan daya kepemimpinan seseorang pelajar yang menjadi calon. Kaedah ini melalui ceramah atau pidato seharusnya digalakkan asal sahaja tidak digunakan untuk memburukkan orang lain terutama 'musuh politik' serta mengutarakan perkara-perkara yang sensitif berkaitan persoalan agama, budaya dan kaum yang lain. Oleh itu amalan berpidato terutama di kawasan yang dikhaskan sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh para calon yang layak untuk mengasah bakat perucapan mereka.
Selain menuntut kematangan di kalangan pemidato, para pendengar dan penyokong calon juga seharusnya memiliki tahap kematangan yang baik. Budaya mengeji, mengutuk dan mencela pemidato pihak lawan haruslah dielakkan kerana ini bertentangan dengan amalan murni semua agama. Apa yang penting ialah pelajar harus mendengar dengan teliti, memikirkan pandangan pemidato secara kritikal dan memberikan soalan balas (jika disediakan peluang). Perdebatan idea bertujuan meningkatkan kefahaman kita terhadap sesuatu hal yang mungkin selama ini dilihat hanya dari satu perpektif sahaja. Maka raikanlah.
Kehadiran kempen cara tulisan menggunakan bahan bercetak sebagai wacana berkempen juga amat baik dan seharusnya digalakkan. Tetapi jika dalam berpidato bersemuka kita akan tahu siapa pengucapnya, kewujudan kempen melalui bahan bercetak seharusnya kita tahu siapa penulisnya. Maka kempen politik di kampus sebenarnya bermula dengan rasa tanggungjawab yang tinggi oleh calon dan para penyokongnya. Kita semua tahu bahawa surat layang (surat fitnah) hukumnya haram. Tetapi oleh kerana kesan buruknya fitnah tidak dirasai oleh penulis (penfitnah) , amalan buruk ini berleluasa dalam politik kampus. Mungkin ada yang menganggap tak kanlah sekadar menulis surat layang untuk berpolitik kampus boleh berdosa seperti membunuh pula. Tetapi janganlah kita lupa dan mengambil ringan hal ini. Fitnah adalah fitnah yang tetap hukumnya berdosa.
Maka itu sudah sampai masanya di UKM para calon memulakan sesuatu yang lebih baik. Pilihanraya kampus seharusnya memberikan pendidikan tentang tanggungjawab dalam berpolitik. Satu perkara yang sangat penting tetapi semakin hilang dalam kepolitikan hatta di peringkat politik negara sekalipun. Saya ingin cadangkan supaya para calon yang layak bertanding diberikan kebenaran menghasilkan buletin atau pamplet masing masing. Malah sudah sampai masanya juga semua pimpinan pelajar anjurkan konvensyen untuk berbincang apakah tidak boleh persatuan persatuan pelajar yang sah dibenarkan berkempen untuk calon yang datang dari persatuan masing masing. Pada saya apa salahnya...di dalam meraikan amalan demokrasi di UKM.
Saya juga ingin mencadangkan supaya penggunaan blog diperkasakan oleh kalangan calon yang layak bertanding. Blog adalah 'tool' kempen yang baru dan boleh dijadikan satu latihan berkempen yang lebih dinamik. Kempen melalui rakaman video dan ditayangkan di lobi lobi kolej nampaknya sudah ketinggalan zaman. Seharusnya setiap calon yang bertanding mendaftarkan blog rasmi mereka pada urusetia pilihanraya kampus dan mula berkempen melalui blog berkenaan. Blog menjadikan kempen lebih menarik dan berkesan kerana bukan sahaja dalam bentuk teks, tetapi juga dalam bentuk video dan bersifat lebih interaktif. Ia juga lebih sesuai dengan kehidupan harian pelajar UKM hari ini. Inilah latihan kempen politik cara baru yang harus didedahkan kepada para bakal pemimpin pelajar.
Bayangkan model baru (penggunaan blog rasmi) ini dilaksanakn di UKM dan pastinya akan menjadi perhatian di semua IPTA yang lain. Selain kos operasi yang lebih rendah. kempen melalui blog juga sangat dekat di hati pelajar yang mengundi. Pihak urusetia piliharaya bertanggungjawab mendaftarkan blog rasmi calon dan membuat promosi agar semua pelajar maklum dan melawat blog blog berkaitan pada bila bila masa yang sesuai dengan mereka. Amalan menayangkan video di lobi jelas menunjukkan ia gagal menarik minat kerana para pengundi terpaksa berdiri di lobi dan mendengar ucapan para calon. Ini juga ada kaitannya dengan kesuntukan masa para pelajar yang perlu ke lobi semata-mata untuk mendengar rakaman ucapan tersebut.
Pengunaan blog rasmi calon bukan sahaja menjadi inovasi baru kepada urusetia pilihanraya kampus UKM di dalam menguruskan proses kempen pelajar malah menjadikan kos penyelenggaraan pilihanraya kampus akan lebih rendah berbanding tahun tahun yang lalu. Maka sebagai sebuah universiti yang terkehadapan, ini boleh dianggap sesuatu yang lebih baik di dalam menguruskan pilihanraya kampus untuk para pelajar berbanding dulu.