Kita sekarang dikatakan hidup dalam dominasi generasi Y, satu generasi yang sama sekali berbeza dengan generasi X. Generasi Y yang ditandai dengan pemikiran yang lebih terbuka, ingin kebebasan yang tinggi dalam bersuara dan bertingkahlaku. Generasi Y yang berhadapan dengan fenomena kebanjiran maklumat melampaui keperluaan, maklumat yang tidak lagi teratur disiplinnya serta murah harganya.
Salah satu ciri utama kehidupan generasi Y ialah keinginan yang tinggi untuk bebas bersuara mendapat keadilan. Mengapa? kerana plaform untuk bersuara sudah terbuka. Keinginan untuk bebas bersuara bermula bila kita mempunyai kebebasan untuk memperolehi maklumat. Ini semua sesuatu yang baik dan telah meningkatkan kualiti kehidupan manusia seluruh dunia yang cintakan kebebasan bersuara dan hak individu. Pada muslim, fenomena ini menuntut dan mengajar kita supaya lebih kuatkan ukkhwah sesama Islam dan pada masa yang sama berlaku adil pada semua insan. Apatah lagi kepada yang diberikan amanah sebagai pemimpin.
Apa kaitannya semua hal ini dengan PMUKM? Apa kaitannya meraikan hak, keadilan dan kebebasan bersuara dengan keberadaan PMUKM sebagai suara induk kepada lebih 20,000 pelajar UKM? Apakah PMUKM telah bersikap adil dan meraikan hak pelajar di bawah naungannya. Pimpinan PMUKM dan pelajar seluruhnya harus meneliti senarai semak di bawah untuk menilai apakah PMUKM telah meraikan keadilan, hak dan kebebasan bersuara untuk seluruh pelajar UKM sesi ini. Jika PMUKM telah raikan, kita semua sewajibnya mengucapkan tahniah dan terima kasih tetapi jika belum, PMUKM harus mengambil usaha memikirkan bagaimana keadilan, hak dan kebebasan bersuara ini segera dilaksanakan.
1. Keadilan untuk bukan Islam di PMUKM.
Kisah Pesta Konvo yang hanya seorang pelajar Tiong Hua dan tiada pelajar India sebagai MT Pesta Konvo telah diketahui oleh semua pelajar. Amalan peminggiran kaum yang tidak pernah dilakukan sebelum ini oleh MT Pesta Konvo. Apatah lagi di sebuah universiti yang sangat meraikan perpaduan kaum sebagai teras kebangsaannya. Meminggirkan pimpinan pelajar Tiong Hua dan India di dalam program terbesar pelajar UKM banyak meninggalkan kesan 'berkecil hati' pada pelajar bukan Islam di UKM. Mengapa PMUKM mengambil sikap meminggirkan kumpulan ini sehingga hari ini masih belum terjawab. Jika sambutan Ramadan, Pesta Ang Pow atau Sambutan Deppavali tidak menjemput pelajar dari kaum lain sebagai ajk, memanglah semua sedia maklum, tetapi tidak buat penganjuran Pesta Konvo. Apakah kesannya kepada penglibatan pelajar. Sistem penganjuran projek pesta konvo mengamalkan sistem biro/bahagian. Maka jika hanya seorang sahaja pelajar Tiong Hua sebagai MT pesta konvo, berapa orangkah pelajar Tiong Hua yang akan menjadi ajk ajk kecil? Jumlahnya pasti lebih kecil berbanding 3 atau 4 orang pelajar Tiong Hua menjadi MT seperti tahun tahun yang lalu. Selain Pesto Konvo, apakah lagi program yang melibatkan secara siknifikan pelajar Tiong Hua dan India di PMUKM. Tiada! Janganlah disekalikan penganjuran Pesta Ang Pow, Pesta Tanglung dan Deepavali kerana ianya bukanlah anjuran sebenar PMUKM. Sekadar bernaung di bawah PMUKM semata-mata. Oleh itu, samada GMUKM atau Aspirasi yang memerintah PMUKM selepas ini, keadilan kepada pelajar bukan Islam haruslah dikembalikan kerana itu adalah hak mereka sebagai pelajar UKM.
2. Keadilan untuk pelajar yang bukan dalam kelompok PMUKM-GMUKM-ISIUKM
Pilihanraya kampus memisahkan pelajar UKM kepada tiga kelompok terbesar, kelompok GMUKM, Aspirasi dan pengundi atas pagar. Jumlah pengundi atas pagar adalah kelompok yang paling besar. Keputusan piliharaya kampus yang lalu menunjukkan walaupun GMUKM menang dan menguasai PMUKM tahun ini, peratus yang turun mengundi merosot berbanding tahun sebelumnya. Jumlah perbezaan undi majoriti antara kelompok GMUKM dan Aspirasi juga tidak jauh berbeza. Jika pilihanraya lalu, kubu kuat GMUKM di tahun tiga, Aspirasi pula lebih kuat mendapat sokongan di tahun 1 dan 2. Piliharaya kampus pada tahun 2012 akan lebih menarik bentuk kempennya kerana GMUKM terpaksa bergantung kepada undi pelajar tahun 1 jika mereka ingin terus menguasai PMUKM.
Bila GMUKM menang tahun ini, seperkara yang sangat ketara dilakukan ialah mereka terus melebarkan pemisahan kelompok kelompok ini di dalam mencaturkan aktiviti mereka. Secara jelas aktiviti PMUKM berlegar di antara ISIUKM dan beberapa persatuan fakuliti yang lain. Walaupun beberapa anak negari juga menyokong perjuangan GMUKM, mereka kurang mendapat perhatian PMUKM sebagaimana ISIUKM. Manakala persatuan persatuan lain (mengikut rekod JPPEL 2011, UKM mempunyai 197 buah persatuan, urusetia, sekretariat yang berdaftar dan bernaung di bawah PMUKM). PMUKM-GMUKM nampaknya telah 'menghukum' persatuan persatuan yang tidak bersamanya di dalam piliharaya dengan cara meminggirkan mereka sepenuhnya walaupun sepatutnya semua persatuan ini adalah di bawah tanggungjawab PMUKM. Oleh itu, kerajaan pelajar yang akan datang samada dikuasai GMUKM atau Aspirasi, kembalikanlah keadilan dengan mengadakan dasar yang bersifat inklusif supaya semua persatuan pelajar mendapat pembelaan tanpa mengira samada mereka telah bersama atau tidak di dalam piliharaya kampus UKM.
Adalah tidak adil juga untuk mendakyahkan hanya GMUKM sahaja di UKM ini yang memperjuangkan Islam, orang lain tidak dan malah dikatakan pula menjadi musuh Allah. Sirah Nabi membuktikan musuh Allah ialah orang munafik, musyrik dan bukan Islam yang menentang Islam. Apakah di UKM ini kumpulan Aspirasi itu sifatnya sama seperti musyrik dan munafik dan harus dimusuhi? Apakah pengurusan UKM juga sifatnya seperti musuh Allah dan harus diperangi? Ini hanya urusan politik kampus, jika pun ingin memenangi piliharaya kampus dan ingin memperjuangkan Islam secara politik, lakukanlah dengan cara yang benar dan baik. Islam tetap kedudukannya di atas politik. Bagaimana rasanya bila orang lain menuduh pimpinan GMUKM-PMUKM sebagai 'musuh Allah' bila membenarkan konsert maksiat dianjurkan di pesta konvo baru baru ini? Tentulah pimpinan PMUKM akan menolak tuduhan itu dan "berkata tidak adil kami dituduh sebagai musuh Allah kerana hal yang sebegitu". Alhamdullillah, tiada sesiapa pun menuduh mereka sedemikian rupa, sehinggalah sekarang. Tetapi jika kumpulan Aspirasi atau TSB yang anjurkan konsert sedemikian rupa, pengalaman yang lalu telah membuktikan akan adanya boikot, demontrasi, dan tuduhan bahawa 'Aspirasi jadikan bumi UKM penuh maksiat' oleh GMUKM. Inilah modal politik sempit yang kadang kala 'memakan tuannya' sendiri. Kembalilah bermuhasabah mengapa Allah turunkan ujian sedemikian pada GMUKM? Tentunya untuk GMUKM kembali kepada perjuangan Islam yang sebenar. Terus mempraktikkan 'dakwah Islamiyah melalui politik' dan bukannya mempolitikkan dakwah dan Islam untuk kepentingan politik semata-mata.
3.Keadilan untuk pelajar antarabangsa UKM
UKM mempunyai hampir 5,000 pelajar antarabangsa. Terdapat 7 persatuan pelajar antarabangsa di UKM. Antara yang paling aktif ialah pelajar Indonesia, China, Iraq, Iran, Palestin dan Oman. Kerana status mereka ialah pelajar UKM, secara langsung mereka juga adalah ahli kepada PMUKM. Malangnya di dalam beberapa perjumpaan yang saya adakan bersama pelajar antarabangsa, semua pimpinan persatuan pelajar antarabangsa langsung tidak kenal organisasi PMUKM dan juga tidak kenal pimpinan utama dalam PMUKM. Maka isu kebajikan pelajar antarabangsa langsung tidak mendapat tempat untuk diperjuangkan oleh PMUKM. Isu penginapan luar kampus, isu keselamatan dan isu penganjuran aktiviti pelajar antarabangsa. Tahniah kepada beberapa Jaksa kolej yang menganjurkan aktiviti untuk pelajar antarabangsa di kolej masing masing. Untuk rekod, Jaksa IZISH mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti untuk pelajar antarabangsa di UKM antaranya trip ke Pulau Pinang, Melaka, Malay Heritage Carnival dan program homestay di Temerloh Pahang. AJK penganjurnya adalah pelajar tempatan dan sebahagiannya pelajar antarabangsa. Pada masa depan, mana mana kumpulan yang akan memenangi piliharaya kampus khususnya pada 2012, eloklah diwujudkan sekretariat pelajar antarabangsa di bawah biro antarabangsa PMUKM. Mungkin ini boleh dimulakan di dalam manifesto piliharaya masing masing nanti.
4.Keadilan untuk pelajar siswazah UKM
Satu perkara yang baru di dalam piliharaya kampus UKM tahun ini ialah penglibatan pelajar siswazah di dalam piliharaya kampus UKM. Mereka kini boleh menjadi calon dan juga mengundi. Malangnya, keberadaan mereka di dalam PMUKM seperti tidak membawa apa apa makna kepada kebajikan pelajar siswazah seluruhnya. UKM mempunyai hampir 8 ribu pelajar siswazah pada hari ini. Malangnya mereka tidak mendapat keadilan sewajarnya di dalam perjuangan PMUKM sesi ini. Seperti ada yang tidak kena di dalam kaedah PMUKM mendekati pelajar siswazah. Samada mereka tidak mempunyai keupayaan menguruskan pelajar siswazah atau pelajar siswazah sendiri yang merasakan PMUKM sebagai sudah tidak relevan pada mereka. Maka itu sesiapa pun yang menguasai PMUKM pada 2012, pengurusan kebajikan siswazah harus menjadi agenda besar PMUKM. Bukan sahaja jumlah pelajar siswazah akan semakin membesar tetapi keberadaan siswazah akan memberikan ruang dan peluang kepada MPP PMUKM mencari cabaran yang lebih menarik untuk menjadi pimpinan pelajar UKM.
5.Keadilan untuk pihak pengurusan universiti
PMUKM harus berlaku adil pada pihak pengurusan UKM. Mengapa? PMUKM sebagai satu badan yang mendapat mandat pelajar untuk menjadi suara mereka seharusnya mengambil sikap mengadakan hubungan yang baik dengan pihak pengurusan UKM. Sebagai sebuah badan pengurusan universiti, samada PMUKM ingin mengambil sikap berbaik-baik atau bermusuhan, itu langsung tidak menjadi hal. Setiap tahun akan ada kumpulan baru yang akan memimpin PMUKM. Maka setiap kali itulah juga buku baru PMUKM akan di buka. Jika berbaik baik, banyaklah perkata yang dapat dijayakan bersama, jika ingin memusuhi pihak pengurusan UKM maka banyaklah perkara yang PMUKM tidak dapat lakukan demi kebajikan pelajar UKM.
Pihak pengurusan adalah satu badan yang bebas, tetapi ada pihak -pihak yang menghasut pelajar kononnya pihak pengurusan 'tidak bebas'. Dulu bila kumpulan Aspirasi menguasai PMUKM, pimpinan GMUKM menuduh calon Aspirasi menang kerana mendapat sokongan pihak pengurusan UKM. Jelas tuduhan ini tidak berasas bila tahun ini calon GMUKM pula yang menang dan kuasai PMUKM. Jika benarlah calon Aspirasi disokong oleh pihak pengurusan UKM, sudah pasti GMUKM tidak akan menguasai PMUKM sebagaimana hari ini. Inilah politik sempit namanya. Menuduh dan memburukkan sesiapa sahaja hatta pihak pengurusan UKM pun dibabitkan sama.
Mudah sahaja untuk kita faham tindakan ini. Dulu 'dalang dalang' politik kampus mengajar supaya pimpinan GMUKM kaitkan kononnya pihak pengurusan UKM menyokong calon Aspirasi supaya pengundi simpati dengan pejuangan mereka yang kononnya pro-mahasiswa. Akan kelihatanlah seolah olah GMUKM seperti kumpulan yang independent. Tetapi bila calon GMUKM menang dan bimbang akan dituduh mendapat sokongan pengurusan UKM oleh kumpulan Aspirasi, 'dalang dalang' ini dengan segera mengajar pimpinan PMUKM supaya memusuhi pengurusan UKM. Maka imej independent akan kekal pada GMUKM. Tetapi sekarang bila GMUKM menang piliharaya kampus UKM, semua pelajar UKM sedar bahawa pihak pengurusan UKM tidak bersikap menyebelahi mana mana kumpulan politik pelajar. Ini semua adalah dakyah 'dalang dalang' politik kampus semata-mata, dan dakyah mereka gagal diteruskan bila GMUKM berjaya. Dulu bila Aspirasi menang, itu kerana sokongan pihak pengurusan UKM, jadi bila calon GMUKM menang siapa pula yang menyokong mereka? Pihak pengurusan UKM juga? nampaknya dalang dalang politik terpaksa mencari isu baru untuk terus memburukkan pengurusan UKM di mata pelajar.
Sebenarnya pendirian pihak pengurusan UKM sangat jelas dalam hal kepolitikan pelajar. Pengurusan UKM adalah sebuah badan profesional yang bekerja untuk pembangunan universiti, terbuka dan bebas sepenuhnya dari politik kampus UKM. Pengurusan UKM juga sedar masa dan tenaga yang ada harus ditumpukan kepada pembangunan UKM khususnya berkaitan penyelidikan dan pengajaran. Apalah sangat kesannya dengan mencampuri urusan politik pelajar yang akan hanya berkuasa setahun di Pusanika. Pada pihak pengurusan UKM, sesiapa pun yang menang dalam piliharaya kampus, itu adalah keputusan yang telah dibuat oleh pelajar. Harus dihormati oleh semua.