23 November, 2011

Dua Cabaran Utama Pelaksanaan Kontrak Pembelajaran (LC) di UKM

Satu perkara yang menarik tentang ko-kurikulum di UKM ialah kesungguhan para pentadbir tertinggi universiti bersikap dinamik dan terbuka di dalam mencari kaedah terbaik membangunkan soft skills para pelajarnya. Malah apa yang dilakukan oleh pihak HEPA UKM biasanya sering menjadi trend setter kepada universiti universiti lain yang lebih muda di negara ini.

Terbaru, Kontrak Pembelajaran (Learning Contract-LC) diperkenalkan bagi mengantikan Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) bagi menguruskan ko-kurikulum di UKM. Sehingga ini, Kontrak Pembelajaran (LC) untuk ko-kurikulum ini telah dilaksanakan sepenuhnya di semua peringkat pusat pembelajaran di UKM (fakulti, kolej etc.). Melalui pendekatan LC,  pelajar wajib menyelesaikan 8 kredit pembelajaran sebagai sebahagian daripada melengkapkan 120 kredit pengajian keseluruhannya.

Cabaran LC
Ada dua cabaran besar yang sering saya fikirkan, sekurang-kurangnya pada peringkat IZISH. Cabaran pertama, bagaimana memastikan kecekapan pengurusan LC demi kebajikan pelajar IZISH supaya kolej  dapat memastikan setiap pelajar di IZISH mempunyai sekurang-kurangnya satu projek yang telah mempunyai akreditasi status LC untuk semester ini. Alhamdullillah, rekod terkini menunjukkan semua pelajar tahun satu di IZISH  telah pun mendaftar dan mempunyai projek yang mempunyai LC. Hampir 90% daripada pelajar di IZISH telah mendaftar untuk menyertai projek yang dianjurkan oleh Jaksa (MEP) IZISH, manakala 10% lagi telah mendaftar untuk menyertai projek di Pusat Kebudayaan UKM dan juga Pusat Sukan UKM.

Apa yang mesti dicapai ialah sebelum semester ini tamat, semua pelajar IZISH berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 2 kredit kokurikulum masing masing. Ada pelajar yang mendaftar 2 kredit dan ada juga pelajar yang mendaftar 4 kredit. Saya ingin merakamkan penghargaan pada seluruh warga kerja IZISH (timbalan pengetua dan pasukan felo IZISH) dan juga JAKSA (MEP)  IZISH yang bersungguh-sungguh memastikan semua pelajar IZISH mempunyai projek masing masing yang mempunyai LC.  Saya pasti semua kolej UKM juga melakukan hal yang sama. Tetapi pada yang pelajar yang belum ada projek atau pelajar yang tinggal di luar kampus mereka haruslah segera mempunyai projek LC masing masing.

Cabaran kedua yang lebih besar sifatnya ialah bagaimanakah untuk memastikan perlaksanaan LC benar-benar membangunkan soft skills para pelajar UKM. Pihak PAP telah berusaha memberikan kefahaman agar pelajar bersedia mengamalkan LC demi membangunkan soft skills mereka. Sekurang kurangnya penerangan ini akan membantu pelajar memahami tujuan LC dan pelajar tidak mengambil sikap untuk segera menyelesaikan 8 kredit LC semata mata supaya mereka tidak perlu aktif lagi di dalam kegiatan ko-kurikulum selepas itu. Maka cabaran ini sebenarnya lebih kritikal sifatnya berbanding cabaran pertama berkaitan pengurusan LC.

Proses, Hasil dan Output
Bagi menangani cabaran kedua ini, para pelajar pada peringkat paling asas harus memahami tiga perkara di dalam LC iaitu proses pembelajaran (learning process), hasil pembelajaran (learning outcomes) dan output pembelajaran (learning output). Secara mudah, untuk seseorang pelajar mendapatkan 2 kredit, beliau perlu melibatkan diri dengan satu projek yang mempunyai status LC yang bernilai 2 kredit (rujuk dengan pengarah projek untuk mengetahui nilai kredit LC setiap projek). Di IZISH misalnya, pihak MEP telah menguruskan dengan pihak PAP untuk mendapatkan status LC tersebut. Ada projek bernilai 1 kredit dan ada yang bernilai 2 kredit. Oleh itu pelajar yang mendaftar dengan projek Jaksa (MEP) IZISH secara langsung telah mempunyai nilai kredit LC masing masing.

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh pelajar ialah mengisi borang LC dan secara sedar menyatakan dan menulis apakah soft skills yang ingin dipertingkatkan oleh mereka di dalam projek tersebut. Seterusnya berjumpalah dengan penyelia masing masing untuk mereka nyatakan komitmen meningkatkan softskills yang telah dipilih. Langkah seterusnya ialah memulakan aktiviti projek dari terlibat di dalam pertemuan, mesyuarat AJK, perbincangan dengan pihak JPPEL, berbincang dengan pihak luar UKM dan sebagainya. Misalnya jika seseorang pelajar  bersetuju untuk menjadi AJK pemasaran projek, maka aktiviti seperti menyediakan surat penajaan, menelefon syarikat untuk mendapatkan tajaan, membuat temujanji dengan syarikat yang berminat, membuat pembentangan cadangan kepada wakil syarikat, menguruskan prosedur pembiayaan dengan pihak Bendahari UKM dan sebagainya adalah PROSES PEMBELAJARAN di dalam melengkapkan komitmen LC.

Semasa melakukan semua proses pembelajaran ini, pelajar secara sedar harus belajar bagaimana untuk meningkat cara dan kemahiran berkomunikasi, kemahiran mendengar, kemahiran pembentangan, kemahiran berunding dan sebagainya. Apabila seseorang pelajar telah melalui proses tersebut dan sedar beliau telah meningkatkan kemahiran kemahiran tersebut, maka itulah hasil pembelajaran yang telah diperolehi oleh mereka. Bila selesai membentangkan cadangan mereka dan pihak penaja bersetuju memberikan tajaan, maka tajaan tersebut dinamakan output pembelajaran. Semakin banyak proses pembelajaran dilalui oleh pelajar, maka akan semakin tinggi hasil pembelajaran dan semakin banyak output pembelajaran diperolehi.

Katakanlah, seorang pelajar berjaya membentangkan cadangan penajaan kepada 10 syarikat (maknanya 10 kali proses pembelajaran berlaku), ini juga bermaksud 10 kali pelajar tersebut mendapat pengalaman untuk hasil pembelajarannya dan jika 5 daripada 10 syarikat setuju memberikan tajaan itu bermaksud 5 output pembelajaran telah berjaya diperolehi.

Jika pelajar benar benar faham pendekatan LC, beliau akan sedaya upaya memperbanyakkan proses pembelajaran supaya dengan itu mereka dapat meningkatkan hasil pembelajaran masing masing. Secara tidak langsung juga output pembelajaran juga akan bertambah dengan sendirinya.

Terdapat lapan hasil pembelajaran utama yang perlu dibangunkan, oleh itu pelajar harus bijak di dalam memilih proses pembelajaran yang berbeza bagi setiap aktiviti projek yang mereka sertai. Jika ingin meningkatkan hasil pembelajaran kemahiran komunikasi maka mereka harus serta aktiviti pemasaran, promosi, pengacaran majlis, mempengerusikan mesyuarat dan sebagainya. Jika mereka ingin meningkatkan hasil pembelajaran berkaitan membuat keputusan maka mereka seharusnya melaksanakan aktiviti seperti pengurusan kewangan projek, penyelaras protokol dan penyelaras program/event. Pihak penyelia pelajar, felo dan  pimpinan pelajar peringkat PMUKM atau JAKSA haruslah bersedia memberikan bimbingan di dalam membantu pelajar membuat keputusan di dalam menentukan bentuk aktiviti yang diperlukan oleh pelajar.

Jika semua ini dapat dilaksanakan, barulah impak pembangunan soft skills akan terhasil melalui pelaksanaan LC di dalam ko-kurikulum di UKM. Di IZISH, kami akan terus berusaha demi kebajikan pelajar.