27 November, 2011

Mengapa Pelajar Perlu Terlibat Dalam Aktiviti Ko-Kurikulum di UKM?

Pagi ini sempat tonton youtube ceramah oleh Simon Sinek bertajuk "how leaders inspire action", beliau adalah seorang 'guru' pengurusan organisasi dan motivator yang sudah terkenal dengan idea 'golden circle'.  http://www.youtube.com/watch?v=qp0HIF3SfI4&feature=share

Terima kasih pada saudara Zulhilmi Abd Razak, Exco Keusahawanan JAKSA IZISH yang 'post' klip video ini untuk dikongsi bersama dengan rakan rakan di Facebook IZISH.
Golden Circle (Simon Sinek, 2010)

On Why, How and What
Antara intipati utama idea beliau ialah konsep golden circle yang berkaitan "why, how dan what". Semua konsep ini memang telah kita ketahui secara umum, tetapi beliau berhasil menakrifkan secara sistematik bagaimana konsep ini dapat digunakan dalam perancangan sesebuah organisasi atau kejayaan seseorang individu.

Saya tertarik untuk kaitkan pandangan Simon Sinek dengan isu mengapa pelajar perlu terlibat dalam aktiviti ko-kurikulum di UKM ?

Setiap tahun rekod kelulusan aktiviti pelajar di PPP (dulunya) dan sekarang di JPPEL menunjukkan pelajar UKM menganjurkan hampir 600 aktiviti ko-kurikulum yang berdaftar. Jumlah ini bertambah jika mengambilkira program di kolej, fakulti dan pusat yang dianjurkan secara dalam dan di luluskan di peringkat pengetua, dekan atau ketua program sahaja. Malah ada juga segelintir program pelajar yang dianjurkan tidak mendapat kelulusan mana mana pihak berkuasa UKM pun tetapi tetap dilaksanakan. (Pelajar harus sensitif sebelum mengikuti apa juga program yang tidak berdaftar kerana kegiatan pelajar yang didaftarkan dan mendapat kelulusan sahaja akan dilindungi insuran kelompok UKM dan pelajar akan juga dilindungi di bawah peraturan universiti).

Bayangkan 600 aktiviti setahun atau puratanya 1.35 program setiap hari!. Jika diambil waktu sebenar pelajar di kampus UKM (setelah ditolak cuti sesi, semester dan perayaan utama negara) puratanya meningkat kepada 2.5 program pelajar setiap hari!

Kesan Aktiviti Pada Pelajar UKM
Persoalannya selepas begitu banyak program dan projek anjuran pelajar UKM, ke mana semua ini berakhir? Apakah bilangan projek sebanyak ini akhirnya berjaya meningkatkan kebolehpasaran pelajar UKM? Apakah semua aktiviti  ini telah berjaya meningkatkan softskills pelajar UKM? Apakah semua aktiviti ini berjaya meningkatkan keupayaan bahasa Inggeris, Bahasa Arab atau bahasa Melayu pelajar UKM? atau jika lebih mendalam lagi apakah semua penganjuran aktiviti ini telah berjaya meningkatkan kematangan berfikir, keupayaan kepemimpinan atau perpaduan kaum di kalangan pelajar UKM? Atau sejauh mana pula semua program itu pada akhirnya meningkatkan ketakwaan pelajar kepada Penciptanya. Apakah hanya program kerohanian sahaja untuk tujuan meningkatkan ketakwaan? apakah tidak ada tujuan mempertingkatkan ketakwaan sebagai muslim atau meningkatkan moral dan intergriti pada non muslim di dalam program keusahawanan, akademik, kepimpinan, kesenian, sukan dan sebagainya?

Saya tidak pasti jawapan pembaca, tetapi pada saya tentu ada juga kesan baiknya, cuma pada saya kesannya di tahap yang sangat minima. Sebagai contoh, apakah kita dapat membezakan dengan jelas kualiti graduan UKM jika dibandingkan dengan kualiti graduan kolej swasta pada tahap umur yang sama? Apakah ada imej atau reputasi yang menonjol pada graduan UKM jika dibandingkan dengan graduan IPTS? Itu pada saya tidak jelas perbezaannya, malah dalam isu penguasaan bahasa terutamanya Inggeris, kajian pengesanan graduan KPT (2008 hingga 2010) menunjukkan prestasi penguasaan pelajar UKM masih jauh di belakang hatta dibandingkan dengan graduan kolej swasta sekalipun.

Oleh itu, idea Simon Sinek (2010) boleh digunakan di dalam merancang semula cara pemimpin pelajar menganjurkan aktiviti di dalam persatuan mereka. Tambahan pula semangat di dalam Kontrak Pembelajaran (LC) selari dengan idea yang dikemukan oleh beliau dan pastinya akan banyak membantu dalam hal ini.

Sejak dahulu, apa yang  diamalkan oleh pemimpin pelajar apabila memimpin sesebuah persatuan samada di PMUKM, fakulti, JAKSA atau sebagainya ialah segera memikirkan apakah (What) projek yang akan dianjurkan sebaik sahaja sahaja mereka memegang amanah. Setelah mengenalpasti apakah (what) projek, barulah akan dirancangkan bagaimana (how) projek itu akan dijalankan. Persoalan mengapa (why) projek itu dianjurkan sangat kurang difikirkan.

Jika pun ada jawapannya kepada mengapa, ianya akan ditentukan oleh persoalan bagaimana (How). Sebagai contoh mengapa (why) persatuan anak negeri menganjurkan khidmat masyarakat di negeri masing masing kerana itulah projek tradisi persatuan mereka. Mengapa kolej anjurkan hari keluarga kerana itulah yang telah dilakukan oleh para senior mereka pada tahun tahun sebelumnya. Oleh kerana ini adalah projek tradisi, ada contoh atau pengalaman senior yang boleh diguna semula dan akan memudahkan segala urusan ajk.

Jika kita membaca buku The Death of Why tulisan Susan Baker (2007), kita akan berjumpa dengan kenyataan ada dua bentuk why secara umum iaitu why yang bersifat ekstrinsik dan why yang bersifat instrinsik. Why ekstrinsik ialah yang bersifat jawapan luaran ( mengapa berniaga, jawapnya mencari untung, mengapa perlu belajar, jawapnya untuk mencapai keputusan peperiksaan yang cemerlang, mengapa berkelakuan baik, jawapnya supaya dilihat dan dipuji baik atau tidak dirotan). Why intrinsik pula lebih bersifat dalaman dan subjektif (mengapa berniaga; jawapnya untuk mengenal potensi diri, untuk menerima cabaran, untuk membuat kebajikan bila memperolehi keuntungan, mengapa belajar, jawapnya untuk ingin mencari ilmu, ingin meningkatkan kemahiran diri etc.). Malah pada yang muslim, why instrinsik ini akan sampai ke tahap yang lebih mendalam bila melakukan sesuatu perkara kerana ingin semata-mata mendapat keredaan Allah S.W.T

Penganjuran Ko-Kurikulum Perlu Perubahan
Maka itu, pemimpin pelajar harus merubah cara mereka menganjurkan program aktiviti pelajar dengan memulakan pemikiran why, diikuti dengan how dan what. Misalnya pemimpin pelajar perlu bertanya pada diri sendiri dan rakan rakan ajk mengapa aktiviti khidmat masyarakat hendak dilakukan. jawapannya secara intriksik ialah meningkatkan kemahiran bekerja dengan pelajar lain, ingin meningkat komunikasi dengan orang yang baru dikenali di luar kampus atau ingin meningkatkan kemahiran membuat keputusan yang tepat. Why ekstrinsik pula ialah ingin membantu keluarga yang miskin, membantu pendidikan anak anak kampung yang memerlukan dan sebagainya.

Apabila kita jelas tentang mengapa, barulah kita akan lebih jelas bagaimana program ini akan dijalankan. Misalnya untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, bagaimana program ceramah akademik, ceramah keibubapaan, ceramah keusahawanan desa, program gotong royong dan sebagainya akan dianjurkan.

Apabila tujuan dan caranya sudah jelas (why maka pakejkan semua program-program tersebut sebagai satu projek. Pada tahap ini kita akan mampu menjawab persoalan 'what' iaitu apakah projek yang akan kita anjurkan. Malangnya masih ramai pemimpin pelajar UKM yang saya lihat tidak dapat bezakan antara maksud aktiviti, program dan projek bila menyediakan kertas kerja!

Sesuai dengan itu juga, Kontrak Pembelajaran telah diwujudkan sejak awal tahun ini bagi membantu pelajar di dalam hal ini. Kontrak Pembelajaran juga utamakan hasil pembelajaran (penyataan komitmen kepada mencapai "why intrinsik dan why ekstrinsik"). Oleh itu, pelajar harus mengutamakan pencapaian hasil pembelajaran ini (why), dan tidak sekadar menganjurkan apa sahaja aktiviti ko-kurikulum tanpa tujuan yang jelas selepas ini.