22 November, 2011

Kisah Pensyarah dan Politik Kampus UKM

Semalam saya sempat minum petang bersama tiga rakan pensyarah sefakulti. Itupun secara kebetulan, kami terserempak di cafe yang sama. Sambil duduk minum berbincang tentang hal keluarga, kesihatan dan juga sedikit sebanyak 'politik fakulti', perbualan kami juga sempat menjenguk politik mahasiswa. Itupun selepas mereka sering juga ke blog ini untuk mengikuti post saya tentang politik mahasiswa.

Menarik sekali bila salah seorang rakan yang agak senior di antara kami berkata " You rasa elok ke student  politic ni? dari dulu I tengok penuh dengan benda yang membuang masa saja? Saya senyum dan membalas "ada juga baiknya, pelajar dapat juga pengalaman berpolitik, lebih lebih lagi yang ada bakat kepimpinan".

Tambah seorang lagi rakan pensyarah yang lain, "Budak-budak ni pun satu, orang suruh datang sini belajar, sibuk pula nak main politik, duit makan pun mak bapak tanggung, sibuk nak ubah dunia". Seorang lagi rakan yang setahu saya tidak pernah belajar di universiti tempatan menambah, "makin teruk aku tengok budak budak ni main politik. Siap lawan pihak pengurusan UKM".

Saya tidak mahu membantah atau menyambung lagi apa yang mereka katakan. Walaupun tak semuanya saya bersetuju dengan mereka, apa yang jelas ada kalangan pensyarah yang seperti tidak bersetuju politik mahasiswa diraikan di UKM.

Sudah lama saya lihat dan perhatikan hal ini. Saya boleh kategorikan pemikiran pensyarah tentang politik mahasiswa kepada dua kumpulan yang utama. Pertama, kumpulan yang bersetuju dan menyokong pelajar diberikan ruang untuk berpolitik dalam kampus. Kumpulan kedua pula tidak bersetuju dengan politik kampus.

Pada kumpulan yang bersetuju, ada dua jenis pula Pertama, pensyarah jenis yang bersetuju meraikan politik kampus agar pelajar mendapat peluang memimpin dan pengalaman tentang amalan demokrasi. Saya selalu beranggapan saya salah seorang ahli akademik yang berpihak kepada pemikiran ini.

Jenis kedua pula pensyarah yang bersetuju dengan politik pelajar sehingga bersedia untuk menjadi 'dalang-dalang' politik kampus. Mereka bukan sahaja bersetuju dengan politik pelajar malah telah terlibat secara langsung sebagai 'dalang' yang mencaturkan politik kampus.

Mereka terlibat di dalam mengaturkan strategi, menentukan calon yang bertanding, memberikan idea untuk manifesto dan sebagainya. Mereka juga adalah orang hubungan antara politik kampus dengan parti politik luar kampus. Mereka ini mempunyai kepentingan yang bersifat peribadi khususnya untuk mendapat penghargaan dan pengaruh daripada pimpinan parti politik di luar kampus. Maka itu, mereka tidak mahu dikenali oleh warga kampus, kecuali di kalangan pimpinan pelajar yang dipergunakan oleh mereka. Mereka bimbang nama mereka menjadi buruk jika diketahui umum dan bimbang cita-cita dan kepentingan mereka akan tergugat.

Bagi kumpulan pensyarah yang tidak bersetuju pula, mereka dengan jelas tidak mahu politik kampus dijalankan. Ada dua alasan utama mengapa mereka mengambil pemikiran ini. Pertama pada mereka bila seseorang pelajar datang ke UKM, tanggungjawabnya adalah untuk belajar dan keluar dengan keputusan yang cemerlang. Bila habis belajar kalau minat dengan bidang politik, silakan. Alasan kedua ialah, pada mereka apa sangatlah yang pemimpin pelajar boleh buat dengan politik kampus sedangkan seperti kata rakan saya tadi "nak makan pun mak bapak yang tanggung, sibuk nak ubah dunia". Pada mereka politik mahasiswa yang dimandatkan pada PMUKM selama setahun tidak sedikit pun akan terkesan di dalam mengubah apa juga. Memang ada kebenarannya kedua dua alasan mereka ini.

Tetapi saya mempunyai pandangan yang berbeza dengan mereka. Saya percaya dengan kata-kata Saidina Umar Al Khattab, "jika ingin melihat pemimpin masa depan lihatlah pemuda hari ini". Politik kampus jika diuruskan dengan niat dan tujuan yang baik akan menjadi satu latihan yang membawa makna yang besar kepada kemajuan negara pada masa depan. Tetapi jika gagal diurus dengan baik, akan pasti pula membawa bencana kepada negara di masa depan. Itu sebabnya politik kampus harus diraikan. menjadi tempat pembelajaran untuk pemuda yang ingin menjadi pemimpin masyarakatnya.

Maka politik kampus jika ingin membangunkan pemimpin yang berkualiti harus diasaskan kepada kemurnian budi, mempraktikkan keikhlasan, mempunyai nilai intelektualisme yang tinggi, dilatih berani bersuara dengan berlapikkan  adab serta berhemah tinggi. Jika tidak begitu sifatnya, politik kampus akan terus mewarisi kebobrokan politik luar kampus yang penuh dengan nista, fitnah, rasuah politik, mempolitikan agama  dan sebagainya. Ruang politik kampus membuka peluang untuk mahasiswa berlatih memahami politik yang baik supaya mereka tahu membezakan yang hak dan yang batil. Ini akan membezakan mereka sebagai pemimpin dengan amalan politik di luar kampus bila tamat pengajian kelak.

Sehingga habis kami minum bersama, saya terus berfikir, mungkinkah kerana pemikiran pensyarah yang sering dikatakan mempunyai keintelektualisme terbaik dalam masyarakat telah menolak politik kampus, anak-anak muda yang bergelar mahasiswa tiada bimbingan dan terus menerus mewarisi politik partisan yang jelas lebih banyak memecah belahkan ummah daripada menyatukannya. Mereka berpolitik di kampus tanpa panduan, bantuan, didikan serta percambahan idea daripada para pensyarah. Mereka kurang input yang bersifat akademik dan mengasah intelektualisme dalam berpolitik di kampus. Apakah sikap 'ignorance' di kalngan ahli akademik juga menjadi salah satu punca mengapa politik di kampus sentiasa penuh dengan muslihat dan permusuhan kerana salah asuh oleh dalang-dalang politik kampus? Nampaknya saya masih perlu terus berfikir..

20 November, 2011

Idealisme Mahasiswa Dan Politik Kampus UKM Akan Hapus Sepenuhnya Pada 2013

Itulah yang saya jangkakan. Saya yakin jangkaan ini akan benar benar berlaku. Melihat situasi semasa, jangkaan ini seperti tidak dapat dielakkan lagi.

Politik kampus ialah kepunyaan mahasiswa. Pihak universiti meraikan politik kampus, maka pilihanraya kampus diadakan. Bukan sedikit wang universiti dan tenaga kakitangan yang digunakan untuk menjayakan pilihanraya kampus pada setiap tahun. Demi mendidik pelajar tentang makna demokrasi dan memberikan pengalaman berkaitan kepimpinan pada pelajar, pihak pengurusan UKM tidak terkecuali meraikan politik kampus.

Politik kampus melibatkan pelajar sepenuhnya samada ada sebagai calon, agen calon, penyokong calon dan pengundi. Selain daripada pelajar yang berdaftar, peraturan pilihanraya kampus tidak membenarkan sesiapapun untuk mencampuri urusan pilihanraya kampus. Tetapi sesiapa yang ingin memberikan pandangan, teguran atau nasihat dipersilakan demi kemaslahatan dan menambahbaik kepimpinan mahasiswa. Itu dibenarkan.

Kewujudan politik kampus melalui perlaksanaan piliharaya kampus membuka ruang untuk pimpinan pelajar menyuarakan pandangan mereka tentang apa sahaja isu samada di peringkat global, nasional lebih lebih lagi isu dalam kampus dari perspektif mereka sebagai mahasiswa. Malah politik kampus memberikan satu dimensi untuk masyarakat umum melihat keberadaan mahasiswa di dalam arus pembangunan negara ini. Masyarakat akan dapat menggunakan pandangan mahasiswa untuk membuat 'check and balance' tentang apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan pembangkang. Kepimpinan mahasiswa adalah dimensi ketiga yang diperlukan oleh masyarakat selain kerajaan dan pihak pembangkang.

AUKU sebelum dan selepas pindaan 2009, melindungi politik kampus dari 'diganggu' oleh politik partisan dari luar kampus. Jika AUKU tidak diadakan, sudah lama politik kampus akan 'dibaham' sepenuhnya oleh politik partisan luar yang ingin membina pengaruh mereka di seluruh pelusuk negara, termasuk dalam kampus. Jika sebelum ini kita telah mendengar penularan pengaruh kepolitikan partisan di dalam jawatankuasa masjid, di dalam JKKK, di dalam persatuan sukan, kini kampus juga akan dilanda oleh gejala kepolitikan partisan.

Ada kalangan mahasiswa yang mengatakan AUKU menyekat hak dan peluang mereka untuk berpolitik atau menunjukkan sokongan pada parti politik luar kampus. Itulah intipati bantahan mereka. Ada yang saya setuju dan ada yang saya tidak setuju. Saya setuju dengan keputusan mahkamah bahawa AUKU jangan digunakan untuk menyekat pelajar berpolitik. Saya juga setuju dengan saranan agar AUKU untuk disemak semula. Tetapi saya tidak bersetuju tiada undang-undang langsung yang menyekat pengaruh politik luar dari masuk ke dalam kampus.

Pada kumpulan yang anti AUKU di UKM, khususnya pimpinan GMUKM-ISIUKM dan PMUKM 2010-2011, mereka juga harus sedar dan bersedia bila AUKU dimansuhkan. Akan wujud tiga implikasi besar bila tiadanya AUKU untuk melindungi politik kampus;

1. Politik kampus akan terhapus dengan sendirinya dan digantikan sepenuhnya oleh politik partisan luar kampus. Pemansuhan peraturan yang berkaitan melarang pelajar terlibat dengan politik luar kampus secara langsung akan memberi ruang seluas luasnya untuk parti politik berada di dalam kampus. Maka akan tiba masanya jentera parti UMNO, PAS, PKR, KITA, MCA, MIC, PBS, PPP dan belasan parti yang lain masuk dan mengupayakan politik partisan di dalam kampus. Setiap parti ini akan berpolitik secara hebat di dalam kampus demi membina pengaruh masing masing. Akan ramai mahasiswa direkrutkan sebagai mewakili parti parti ini di dalam kampus. Oleh kerana mahasiswa tiada pengalaman berpolitik sebagaimana mereka di luar sana, pastilah mahasiswa akan menjadi 'boneka politik', ditunjuk-tunjuk, diajar dan kadang kala akan 'dipergunakan sewenang-wenangnya'. Apa yang penting pada politik partisan ialah mereka bukan sahaja ingin berkuasa di kampus tetapi juga mesti dilihat oleh masyarakat umum mempunyai kuasa di kampus. Idealisme perjuangan mahasiswa akan dilihat sebagai 'sampah' kerana perjuangan politik partisan akan lebih penting dan perlu diutamakan. Apa yang ingin disuarakan oleh mahasiswa, adalah apa yang diizinkan oleh penguasa politik partisan. Kumpulan mahasiswa anti AUKU yang begitu ingin AUKU dihapuskan jangan terlupa bahawa apabila AUKU telah dimansuhkan, bermakna semua parti politik boleh berpolitik di kampus dengan hak yang sama. Mereka mungkin berkata, pihak berkuasa UKM janganlah benarkan parti politik masuk ke kampus, apa masalahnya? Tetapi bukankah itu sudah bercanggah dengan tujuan dan semangat memansuhkan AUKU seperti yang dilaungkan oleh kumpulan anti AUKU ini? Hari ini, GMUKM tidak berpuashati mengapa AUKU melarang mereka memberikan sokongan pada parti pakatan pembangkang, tetapi bila benar benar pindaan dilakukan atau AUKU dimansuhkan terus, jangan pula nanti GMUKM membantah jika parti pemerintah turut masuk ke kampus untuk berkempen dan berpolitik. Jangan pula mereka berkata itu tidak adil dan itu adalah penyalahgunakan kuasa oleh parti yang memerintah. Jangan pula nanti bila GMUKM merasakan bila mereka sudah tidak mampu bersaing kumpulan mahasiswa yang disokong dengan parti yang memerintah, mereka minta AUKU diwujudkan kembali. Demi melindungi perjuangan mahasiswa!

2. Tiada AUKU maknanya politik kemahasiswaan akan terhapus dan akan digantikan secara radikal oleh politik partisan. Jika politik kampus hingga hari ini masih murni, walau ada kalanya tercalar dengan budaya surat layang dan fitnah, sekurang kurangnya sifatnya masih bagi tujuan pendidikan. Ketiadaan AUKU akan menghilangkan semuanya apa yang kita katakan sebagai pendidikan dalam politik kampus. Apa yang ada ialah budaya berpolitik secara partisan, yang berterusan tanpa henti berpolitik walaupun bukan di musim pilihanraya kampus. Jika perpecahan pelajar UKM pada hari ini sekadar perbezaan pandangan, pasti akan berubah kepada permusuhan politik yang sebenar dengan sokongan parti politik luar kampus. Kata mengata, fitnah, surat layang dan sebagainya akan berleluasa dengan 'didikan sifu' masing masing. Pelajar akan sentiasa bermusuhan kerana dijolok oleh 'sifu' politik luar kampus.

3. Idealisme politik kampus biasanya memperjuangkan kebajikan pelajar di dalam kampus. Soal kenaikan yuran, soal harga makanan yang mahal, soal keselamatan, pengankutan dan sebagainya. Dengan ketiadaan AUKU, semua ini akan ditinggalkan. Isu kebajikan pelajar bukan lagi terpenting  pada pimpinan mahasiswa berbanding bekerja untuk memenangkan parti politik yang menaungi mereka di dalam piliharaya umum atau kecil di luar kampus. Pimpinan mahasiswa akan lebih terarah dengan isu  atau konflik antara parti kerajaan dan parti pembangkang. Kebajikan pelajar UKM bukan lagi keutamaan politik kampus sebagaimana sekarang.

Seperkara yang bermain di fikiran saya, agak lama juga ialah pimpinan GMUKM sering menyatakan mereka adalah kumpulan yang ingin idealisme perjuangan mahasiswa dipertahankan. Slogan pro-mahasiswa menjelaskan keinginan mereka. Tetapi mereka juga adalah kumpulan yang ingin AUKU dimansuhkan supaya GMUKM boleh secara terang-terangan bekerja di bawah telunjuk parti politik di luar kampus. Di satu pihak, GMUKM bercita-cita ingin berdiri sendiri sebagai peneraju kepemimpinan mahasiswa, tetapi di sisi yang lain mereka lebih berminat untuk terikat di bawah kongkongan dan naungan parti politik luar kampus. Seakan ada dualisme di dalam perjuangan mereka untuk menegakkan idealisme perjuangan mahasiswa.

Saya sangat maklum sebagai pimpinan mahasiswa UKM, mereka sebenarnya ingin berdiri sendiri, berjuang dengan cara mereka sendiri. Mereka ingin letakkan Islam sebagai mercu perjuangan mereka, mereka ingin syiar Islam diperkasakan, dan mereka ingin lakukannya dengan cara mereka sendiri. Tetapi 'dalang dalang' politik kampus yang mempunyai pengaruh ke atas GMUKM tidak membenarkan hal ini berlaku. 'Dalang-dalang' ini ingin GMUKM supaya tunduk kepada arahan parti politik di luar kampus. Dalang-dalang ini adalah orang hubungan antara GMUKM dan parti politik di luar sana. Jika idealisme mahasiswa tertegak secara sendiri, itu alamat yang tak baik buat 'dalang dalang' ini. Mereka hilang pengaruh ke atas pimpinan GMUKM dan kewujudan mereka tidak lagi penting kepada pihak parti di luar kampus. Ini sangat mereka khuatirkan. Mungkin pihak pimpinan GMUKM akan menafikan kewujudan dalang-dalang yang telah 'menggunakan' mereka, malah saya juga tidak minta mereka mengiyakannya. Tetapi sebagai seorang yang sudah lama dalam perjuangan kemahasiswaan di UKM, saya memahami situasi dan keberadaan 'dalang dalang' ini di dalam politik kampus di UKM.

Maka pada tahun 2013, bila beberapa peraturan dalam AUKU sudah tiada lagi, janganlah kita harapkan politik perjuangan mahasiswa akan ada seperti hari ini dan sebelumnya. Politik kampus tidak akan ada lagi dalam makna yang sepatutnya. Mahasiswa akan hilang idealismenya dan digantikan dengan perjuangan politik partisan sepenuhnya. Politik kampus akan terhapus sepenuhnya. Yang tinggal hanya namanya..'politik kampus, dari mahasiswa untuk mahasiswa'.

18 November, 2011

Apa Perlunya Sudut Pidato di UKM?

Masih segar dalam ingatan sekitar bulan Julai 2009, ketika bertugas sebagai Timbalan Pengarah Akademik Kolej PPP, saya bersama Timbalan Pengarah PPP yang lain telah dipertanggungjawabkan merangka satu garis panduan untuk mengujudkan Sudut Pidato di UKM. Idea asal program ini datangnya dari Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah. Satu idea yang baik dan sesuai dengan usaha membangunkan kepimpinan pelajar UKM. Bagi menjayakannya kami di PPP berbincang beberapa kali sehinggalah kata putus diambil tentang lokasi, garis panduan, konsep dan design sudut pidato.

Saya adalah orang yang sukakan perkara yang kalau boleh dipermudahkan, jangan disusahkan. Oleh itu, secara peribadi saya merasakan sudut pidato harus dilaksanakan dengan cara yang paling mudah dan ringkas. Jangan dibina satu senarai garis panduan yang 'pelik-pelik' sehinggakan pelajar hilang minat dan semangat untuk berpidato.


Semasa belajar di Universiti London, salah satu aktiviti pagi ahad yang saya tak akan lepaskan ialah bersiar siar di Hyde Park bersama keluarga untuk mendengar warga London berpidato di Speakers' Corner. Setiap pagi ahad akan pasti ada belasan pemidato yang akan berdiri di atas kerusi atau tangga lipat, membicarakan tajuk tajuk yang mereka minati. Bukan pelik juga ada pemidato yang bercakap seorang diri kerana topik yang dikemukan tidak mendapat perhatian audien.

Saya akan bergerak dari seorang pemidato ke pemidato yang lain untuk mencari cari topik yang menarik minat saya. Berbagai isu dibincangkan dari diskriminasi terhadap umat Islam, jihad, demokrasi, kebobrokan kapitalis hinggalah ada juga yang berpidato semata-mata tak berpuas hati kerana tidak diberikan kerja setelah puas ditemuduga! Ada juga yang berpidato tentang isu moral dan isu alam sekitar..semuanya dibenarkan di situ.

Tetapi mereka tidak dibenarkan berpidato yang menyentuh sensitiviti kaum atau agama orang lain. Ada polis bantuan yang bertugas dan akan mengarahkan seseorang pemidato berhenti berpidato dan beredar dari situ bila ada aduan yang sahih diterima.

Speakers' Corner di sana bukan sahaja ada pemidato tetapi juga penyanyi, pelukis, penyair, pelakon,  magician dan tidak ketinggalan penjual snek dan minuman! Maknanya Speakers' Corner disediakan untuk semua orang yang ingin berkreatif samada ingin berpidato atau sebagainya. Mereka semua diraikan pada setiap pagi Ahad di dataran Hyde Park London.

Sebab itu, saya tidak menyokong sudut pidato UKM mempunyai terlalu banyak kerenah birokrasi. Apatah lagi jika ada cadangan di pasangkan CCTV!

Saya membayangkan satu sudut pidato UKM diadakan di  satu dataran yang luas, di mana pelajar atau sesiapa sahaja yang mempunyai hak yang dibenarkan oleh UKM, bebas untuk berpidato, mereka akan berdiri di atas apa sahaja yang membolehkan kedudukan mereka lebih tinggi daripada pendengar (samada di atas tangga lipat, kerusi, benteng atau batu bata) dan mula berpidato. Dan mereka tidak menggunakan pembesar suara. Mengapa? Kerana itu menafikan hak orang lain yang juga ingin berpidato pada waktu yang sama di kawasan berdekatan.


Bercakaplah apa sahaja. Jika mereka merupakan pelajar yang bertanggungjawab, mereka pasti tahu apa yang baik dan apa yang buruk untuk dipidatokan. Sudut pidato juga memberikan peluang untuk pendengar untuk menyoal balas pemidato jika ada yang dirasakan tidak sependapat. Pelajar bukan sahaja bercakap soal politik tetapi isu lain sepertiketaksamaan ekonomi, masalah sosial, Palestin, hak pendidikan dan sebagainya.

Jika mereka cuba menghasut, memfitnah atau memaki hamun orang lain, pendengar akan tahu menilai, jika tidak di kali pertama berpidato pasti pendengar akan membuat penilaian di kali kedua atau seterusnya bila mendengarnya. Sudut pidata juga sebenarnya mendidik pendengar supaya menjadi penerima maklumat yang kritikal.  Percayalah!

Sebab itu hingga hari ini saya tidak cenderung kepada penyediaan sudut pidato UKM yang formal dan fancy kerana ini semua seperti tidak natural dan seperti diada-adakan. Ini juga merencatkan usaha meningkatkan bilangan pemidato yang hebat di UKM dalam jangka panjang.

Sudut pidato UKM mempunyai budaya  agak berbeza. Sudut pidato UKM telah dimonopoli sepenuhnya oleh GMUKM. Segala apa yang dipidatokan  oleh pemimpin GMUKM akan diterima bulat bulat oleh pendengar yang semuanya penyokong tegar GMUKM. Aspirasi, rasanya tidak langsung berani melangkah ke pentas sudut pidato. Bukan kerana tidak ada pimpinan Aspirasi atau TSB yang boleh memberikan pidato tetapi mereka bimbang dengan cara penyokong GMUKM menerima pidato mereka. Jadi mereka lebih bersikap membiarkan sudut pidato di monopoli oleh kumpulan GMUKM. Begitu juga dengan kumpulan kebudayaan, urusetia perucapan umum UKM, kelab dan urusetia dan Jaksa Kolej seperti langsung tidak berminat menggunakan sudut pidato. Maka sudut pidato seperti sudah menjadi 'hak milik' GMUKM sepenuhnya. Ini bukan salah pimpinan GMUKM kerana sudut ini pada awalnya terbuka kepada semua pelajar.

Kebetulan, baru baru saya sempat ke sudut pidato UKM kerana meninjau program pelajar di eko- teres niaga. Agak lama juga saya tidak ke sana, rasanya sejak Jun 2010. Rasa sunyi terasa sekali di sudut pidato petang itu. Kedudukan sudut pidato memang menarik, mengadap tali air di belakang Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, bersebelahan dengan eko teres niaga dan akan terbina dibelakangnya nanti sebuah pusat yang bertanggungjawab menguruskan kerjaya dan latihan kepimpinan pelajar di bawah Hepa.


Saya juga berpeluang menonton beberapa klip video di youtube, melihat beberapa pimpinan pelajar GMUKM berpidato. Ada yang petah dan ada juga seperti teragak agak. Sebagai satu latihan berpidato mereka sudahpun melalui satu fasa perucapan umum yang baik. Tahniah pada semua yang telah merasai pengalaman berucap di hadapan khalayak.

Cumanya kita jangan hanya taksub kepada aktiviti berpidato di dalam memeriahkan aktiviti di sudut pidato. Harus juga diberikan peluang kepada pelajar laian untuk menjayakan mini teater, persembahan band akustik, nyanyian solo, tarian, syair, sajak dan pertandingan pantun. Tidak ketinggalan aktiviti berkaitan sukan yang berbentuk persembahan seperti aerobik dan sebagainnya.

Semoga sudut pidato menjadi pusat menjana dan persembahan kreativiti pelajar UKM. Tidak mustahil satu hari nanti menjadi trend untuk pelajar turun setiap pagi ahad untuk mendengar rakan rakannya berpidato di Speakers' Corner UKM. Maka elok sangat kalau Sudut Pidato terus diadakan di UKM, dan diperkasakan demi kebajikan dan pembangunan pelajar UKM. Dengan cara yang paling murah dan mudah. Menarik bukan...

PMUKM Seperti Tidak Berminat dengan Perpaduan Kaum di Kampus UKM

Salah satu identiti UKM ialah memiliki warga pelajar dari berbagai kaum. Selain pelajar melayu, terdapat ramai pelajar Tiong Hua, India, Melanau, Kadazan , Murut, Bidayuh, Iban dan lain-lain. Juga terdapat semakin ramai pelajar antara bangsa khususnya dari China, negara di Timur Tengah serta Afrika.

Identiti ini secara langsung meletakkan UKM untuk bertanggungjawab memberikan pendidikan dan kefahaman kepada semua pelajar tentang identiti kebangsaan. Pada peringkat pengajian, hal ini telah dilaksanakan di PPU dan juga di dalam pengajian di fakulti. Begitu juga melalui aktiviti ko-kurikulum dan aktiviti berpersatuan.

Pada peringkat pimpinan pelajar, bagaimana PMUKM sebagai sebuah badan induk pelajar melaksanakan usaha mereka untuk 'menarik' semua kumpulan etnik pelajar di UKM ini bersatu sebagai satu keluarga besar UKM? Apakah usaha yang telah dilakukan oleh PMUKM untuk meningkatkan tahap dan pengetahuan pelajar Melayu untuk bersama bekerjasama dengan pelajar Cina, India dan Sabah Sarawak (khususnya pelajar yang bukan beragama Islam).

Kita masih tertanya tanya tentang usaha PMUKM sesi ini untuk bekerjasama dengan kumpulan pelajar bukan Islam di UKM. Berapa orangkah wakil pelajar Cina dan India yang benar benar aktif telah diberikan jawatan yang strategik di dalam kabinet PMUKM sesi ini ? Bagaimana pula dengan pemberian jawatan jawatan penting dalam projek projek PMUKM seperti Pesta Konvokesyan yang baru berlalu ?atau program program PMUKM yang akan dijalankan di semester akan datang? Apakah kerana pelajar pelajar ini tidak beragama Islam, PMUKM harus meminggirkan hak serta peranan mereka untuk bersama memberikan sumbangan kepada aktiviti PMUKM.

Cara PMUKM agak berbeza dengan JAKSA kolej kediaman. Jaksa membuka peluang yang seluasnya untuk pelajar bukan Islam terlibat secara aktif di kolej. Penglibatan pelajar bukan Melayu-Islam memang aktif dalam program kebudayaan, khidmat masyarakat, ceramah dan taklimat akademik dan sebagainya di kolej. Tidak dinafikan pimpinan Jaksa berjaya menghilangkan jurang dan perbezaan antara pelajar Islam dan bukan Islam di dalam menjaga kebajikan mereka. Sesuatu yang telah terbukti dan sangat membanggakan.

Bagaimana dengan PMUKM? Apakah ada misalnya pertemuan secara berkala antara pimpinan tertinggi PMUKM dengan wakil pelajar Tiong Hua, India atau antarabangsa di dalam memahami masalah serta keperluan khusus mereka. Saya sempat bertemu dengan beberapa pimpinan pelajar Tiong Hua, pelajar India, wakil pelajar siswazah dan pelajar antarabangsa di UKM dan berpeluang mendengar keluhan mereka dalam banyak majlis yang sempat di hadiri. Soalan yang sama saya utarakan pada mereka, apakah PMUKM telah adakan perjumpaan dengan wakil wakil mereka? Jawapan mereka adalah sama "Tidak ada"., Nampaknya setakat ini pimpinan GMUKM-PMUKM belum berusaha ke arah menjayakan hal tersebut. Pimpinan GMUKM-PMUKM masih 'asyik' dengan aktiviti dalam kelompok tegar GMUKM sahaja.

Sangat jelas PMUKM sudah dimiliki sepenuhnya oleh ISIUKM sehinggakan kebajikan pelajar bukan Islam sudah tidak menjadi agenda dalam perjuangan PMUKM lagi. Mungkin pimpinan PMUKM akan menafikan pandangan ini dengan mengatakan mereka telah berusaha menjaga kebajikan pelajar bukan Islam di UKM. Kita ingin sekali bertanya kembali kepada pimpinan PMUKM, Benarkah? Bila? atau semua usaha ini hanya akan dilaksanakan bila piliharaya kampus semakin hampir demi mendapat undi pelajar bukan Islam untuk terus memenangkan GMUKM. Pelajar bukan Islam di UKM tentu lebih bijak menilai hal ini kerana ini soal kebajikan mereka sendiri.

Pada saya, pimpinan GMUKM-PMUKM seperti tidak ada kemahiran dan kesungguhan untuk mendekati pelajar bukan Islam-Melayu di UKM. Malah seakannya GMUKM ingin mengeluarkan pelajar bukan Islam dari menjadi ahli kepada PMUKM bila tidak mahu memberikan peluang untuk pelajar bukan Islam di PMUKM sesi ini, sedangkan perlembangaan UKM telah menetapkan setiap pelajar adalah ahli sah kepada PMUKM.

Selain program yang berteraskan agama Islam dan untuk pelajar Melayu (penyokong tegar GMUKM), apakah yang telah dilakukan oleh PMUKM untuk mejaga kebajikan pelajar bukan Islam di UKM? Apakah program PMUKM yang mempunyai kontrak pembelajaran(jika ada)  terbuka luas untuk diikuti oleh pelajar bukan Islam. Bagaimana dengan kebajikan pelajar Cina yang tinggal di luar kampus khususnya di jalan Reko dan Hentian Kajang. Apakah kebajikan mereka mendapat perhatian sebagaimana PMUKM menjaga kebajikan pelajar Islam yang tinggal di Teras Jernang? Saya telahpun bertanya pelajar Cina dan India, jelas sekali mereka kecewa kerana hal ini tidak dilakukan oleh pimpinan PMUKM sedangkan mereka bernaung sebagai ahli di bawah  PMUKM.

Jika PMUKM tidak menyedari bahawa semua pelajar  bukan Islam adalah menjadi tanggungjawab mereka, itu tentunya sesuatu yang sangat menyedihkan. Lebih menyedihkan lagi jika pimpinan PMUKM sebenarnya tahu pelajar bukan Islam adalah di bawah amanah mereka tetapi sengaja meminggirkan kewujudan mereka di UKM. Sebagai respons, usaha perpaduan kaum pasti gagal dilakukan oleh PMUKM apabila pelajar bukan Islam tidak dapat merasakan yang mereka dihargai oleh PMUKM. Mereka pasti akan merasakan bahawa kewujudan mereka seperti tidak dialu-alukan oleh PMUKM kecuali ketika untuk mendapatkan undi mereka dalam pilihanraya kampus.

Jika selepas ini PMUKM mula merancang program untuk pelajar bukan Islam, membuka peluang untuk berada di dalam program PMUKM, saya ingin ucapkan tahniah pada PMUKM. Sekurang-kurangnya usaha ini akan mengelakkan salah tafsir oleh bukan Islam seolah-olahnya perjuangan Islam bermakna perlu bersikap tidak adil pada bukan Islam. Sesuatu yang sangat salah dan bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.. Islam itu Adil untuk semua makhluk di muka bumi ini.

16 November, 2011

Isu AUKU? Rupanya Ramai Pemimpin Pelajar Tak Tahu Apa Yang Diperjuangkan.

Saya siarkan rencana yang ditulis oleh Prof Dr.Zaini Ujang, Naib Canselor UTM, seorang ahli akademik yang memahami dengan jelas makna perjuangan politik kampus.


Penulis Tamu: AUKU 2009 membangun kuasa intelektual pelajar
Oleh Dr Zaini Ujang
bhnews@bharian.com.my
2011/11/16

Mahasiswa boleh kekal peranan sebagai ‘komuniti ilmu’, tidak dimanipulasi parti politik 

AKTA Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan 2009) (AUKU 2009) memberi ruang dan peluang kepada komuniti akademik, termasuk mahasiswa untuk menjadi ‘kuasa intelektual’ yang ampuh dan berdaya saing bukan saja di pentas tempatan, malah peringkat global.
Tidak ramai yang cuba memahami bahawa dalam proses penyediaan draf AUKU 2009, sebelum dibawa ke Parlimen, melibatkan pelbagai lapisan serta pandangan masyarakat, termasuklah golongan mahasiswa dan pensyarah pelbagai peringkat. Hasratnya ialah menyediakan landasan kukuh menjadikan institusi pengajian tinggi di Malaysia lebih berdaya saing, mampu menyediakan ekosistem intelektual yang segar, ruang autonomi bersesuaian dengan tanggungjawab menyediakan kualiti pendidikan terbaik dan menyuburkan kemahiran insaniah.
AUKU 2009 adalah suatu peruntukan undang-undang menyeluruh menjelaskan tentang tanggungjawab dan kuasa menteri, penubuhan serta perlembagaan universiti, peruntukan serta bantuan wang dan akaun, penubuhan dan pengambilan tanah untuk universiti, kaedah-kaedah tata tertib sehinggalah tata cara penganugerahan ijazah dan majlis konvokesyen. 

Dari segi kelainannya berbanding AUKU sebelum pindaan 2009, urus tadbir lebih telus dan berkesan dengan kuasa lebih besar diberikan kepada Lembaga Pengarah. Ini memberi ruang untuk berlakunya penurunan kuasa Menteri sehingga dijangkakan menjelang 2015, autonomi penuh akan dimiliki oleh beberapa universiti awam yang sudah bersedia daripada pelbagai sudut termasuk penjanaan dana dan pengurusan modal insan. 

AUKU selepas pindaan 2009 juga memberi peluang kepada komuniti akademik, termasuklah mahasiswa untuk lebih kreatif dan inovatif bagi menjalankan pelbagai kegiatan untuk menyediakan diri menjadi ‘pekerja ilmu’ dalam persekitaran ekonomi dunia yang semakin pantas berubah dari segi corak pekerjaan dan penjanaan kekayaan. 

Selain itu, AUKU 2009 memberi mandat agar komuniti akademik mempunyai wibawa sendiri dalam pembangunan negara. Perkhidmatan universiti sebagai ahli akademik diberi pengiktirafan tinggi, sementara aktivisme mahasiswa dilindungi daripada pengaruh luar yang boleh menjejaskan peranan mereka sebagai ‘komuniti ilmu’. Itulah sebabnya Bahagian III (Seksyen 15) diperkenalkan iaitu berkaitan ‘pelajar atau pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar bersekutu dengan persatuan, dsb.’ 

Satu-satunya peruntukan yang menjadi pertikaian dan sering kali disalah anggap ialah Seksyen 15 (1) (a) yang melarang mahasiswa menjadi ahli ‘mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia’. 

Mengapa larangan ini diperkenalkan? 

Larangan ini diperkenalkan supaya komuniti akademik terutama mahasiswa dapat mencorakkan wibawa dan identiti sendiri. Peruntukan tersebut adalah isyarat bahawa mahasiswa perlu bangun dan bergerak sendiri secara penuh keyakinan diri, tanpa didominasi, ditunjuk arah, apatah lagi terikut-ikut dengan budaya dan peraturan politik kepartian semasa berada di universiti. 

Sebagai Naib Canselor, saya mengharapkan peruntukan AUKU 2009 boleh menjadikan komuniti akademik, termasuk mahasiswa sebagai golongan yang menjadi alternatif kepada tata cara, pendapat dan idealisme politik kepartian. Saya mengharapkan mahasiswa mempunyai jati diri sendiri, idea yang diadun sendiri dan berani membangunkan falsafah politik yang tidak terikat kepada percaturan politik luar kampus. 

Idealnya, politik mahasiswa adalah politik yang didokong oleh dapatan ilmu dan perkongsian bersama sarjana dan warga kampus yang sentiasa menghayati resam ilmu dengan melakukan kajian dalam pelbagai dimensi ilmu. Atas kepentingan pengembangan ilmu menerusi penyelidikan mereka bebas melakukan gerak kerja dan aktiviti ilmiah termasuklah berkaitan aspek politik, termasuk membabitkan parti politik. 

Kuasa mahasiswa ialah kuasa ilmu kerana mereka berada di persada ilmu, di kalangan komuniti yang mendaulatkan budaya ilmu. Pengaruh mahasiswa ialah pengaruh ilmu kerana mereka adalah pencinta ilmu. Kualiti pergerakan mahasiswa ialah kualiti ilmu kerana dengan ilmu mereka boleh membuat pilihan dan penilaian yang lebih adil dan saksama. 

Justeru tanpa terikat kepada mana-mana parti politik maka membolehkan mahasiswa lebih mudah memaju diri dan organisasi menggunakan neraca ilmu untuk membuat pertimbangan yang lebih bijaksana. Memang suara dan idealisme politik kepartian adalah suatu realiti dan mempunyai peranan dan pengaruhnya yang tersendiri. 

Maka mahasiswa boleh menjemput mana-mana kelompok politik, dengan persetujuan pihak universiti, untuk berbincang dan berbahas tentang pelbagai isu semasa. Mahasiswa boleh bersetuju dan membantah pendirian politik mana-mana parti politik. Sementara itu, mahasiswa juga perlu mempelajari idealisme politik tetapi dari sudut pengkayaan ilmu, bukan kaderisasi politik. 

Dengan demikian, ketika berada di kampus, tanpa terikat kepada mana-mana idealisme atau syarat keahlian politik kepartian maka mahasiswa mempunyai ruang dan kesempatan untuk membina idealisme sendiri. Memang sepatutnya semua warga kampus termasuklah mahasiswa perlu berada di hadapan, bukan menjadi pengikut dari segi pengembangan idea, pemahaman terhadap persekitaran global dan setempat, dan menyediakan alternatif. 

Malang sekali seandainya pergerakan mahasiswa terpesona dengan suara dan gagasan politik kepartian, apatah lagi jika sekadar menjadi pengikut setara dengan status keahlian peringkat cawangan. Lebih malang lagi kerana sebagai ahli sesuatu pertubuhan politik, banyak peraturan dan tata cara yang terpaksa dipatuhi. Ini lebih ketara jika ada perbezaan pandangan mahasiswa dengan pandangan rasmi parti yang mungkin menyebabkan seseorang ahli dikenakan tindakan disiplin. 

Justeru marilah kita menghayati semangat dan budaya ilmu bahawa sepanjang menuntut ilmu terutamanya di kampus maka kita perlu mematuhi pelbagai adab dan resam untuk menjadi komuniti ilmu yang sejati. Komuniti ilmu tidak bererti kita meletakkan diri pada kedudukan luar realiti. Sebaliknya komuniti ilmu menjadikan ilmu sebagai petunjuk, pedoman dan landasan dalam tindakan kita. 
Kerana dengan komitmen kepada budaya ilmu barulah kita dapat memperteguh wibawa dan membangunkan ‘kuasa intelektual’ sebagai penyuluh zaman! 

15 November, 2011

PMUKM dan Kisah Jaguh Kampung

Pagi tadi jam 10.00 pagi, saya dikunjung oleh pimpinan SIFE UKM. Agak lama juga saya tidak berpeluang bertemu dengan urusetia SIFE UKM. SIFE atau Students in Free Enterprise merupakan satu kelab yang beroperasi di lebih 40 buah negara di dunia, khususnya negara maju. Matlamat SIFE adalah mengalakkan inovasi keusahawanan untuk kemajuan sejagat terutama kepada kumpulan masyarakat yang mempunyai status sosio ekonomi yang rendah.

Saya masih ingat ketika 2004 saya banyak berurusan dan membantu SIFE UKM bila saudara Jerry Lian Jian (sekarang alumni pelajar IZISH) menjadi presidennya. Tahun 2005 mencatat sejarah juga team UKM berjaya ke US untuk mewakili Malaysia bersama UiTM. Selepas 2006, saya tidak lagi berpeluang terlibat dengan team SIFE dan saya dengar khabar team ini semakin hilang dari arus kegiatan pelajar di UKM. Hari ini tiba -tiba mereka muncul kembali di hadapan saya!

Perbincangan saya pagi tadi bersama team SIFE membuka peluang untuk saya kembali memberikan pandangan dan nasihat pada mereka. Tahun ini SIFE World Cup diadakan di Kuala Lumpur, tahun depan pada Oktober 2012, akan diadakan di Washington DC. Saya harap team UKM akan berada di sana menikmati  musim sejuk bersalji sambil mengumpul pengalaman membentang idea keusahawanan mereka ke peringkat dunia.

Di Malaysia sejak beberapa tahun lepas pasukan UTP Tronoh adalah pasukan yang dianggap kuat dan pencabar utama. UKM sebenarnya mempunyai peluang yang sangat cerah kerana kita mempunyai prasarana dan sistem sokongan yang jauh lebih baik daripada IPT tersebut. SIFE UKM hanya perlukan perancangan yang lebih baik untuk menjadi yang pasukan terbaik dalam SIFE kebangsaan pertengahan tahun depan.

Setahu saya, urusetia SIFE, AIESEC, UN-Club, I-Club, Sahabat AQSA, Kelab Inovasi UKM dan sebagainya adalah di bawah pengawasan PMUKM secara langsung. Maknanya, PMUKM mempunyai tanggungjawab memastikan kelab kelab ini beroperasi dan bergiat aktif di dalam menjayakan pembangunan pelajar UKM. Melalui kelab-kelab ini, PMUKM sebagi badan induk bertanggungjawab merancang, mengawal selia serta memudahcarakan program program yang akan dianjurkan.

Malangnya, hal ini seperti terlepas pandang oleh PMUKM sebagai badan induk. Mereka (MPP PMUKM) mengikut biro-biro yang telah disusun tidak mempunyai daya dan 'pengaruh' untuk mengawal selia semua kelab kelab di UKM. Kecuali pengaruhnya kepada beberapa persatuan fakulti dan ISIUKM, PMUKM seperti hilang daya memimpin pada kelab dan urusetia yang tidak berada di dalam kelompok GMUKM.

Maka itu, sebagai badan induk yang diberikan status yang pelembagaan UKM, PMUKM harus keluar dari kepompong hanya untuk kelompok GMUKM sahaja dan mula memimpin pelajar UKM seluruhnya.

Ketika pengurusan UKM mula bergerak menjadi pemain di peringkat antarabangsa, PMUKM juga harus seiring mengerakkan persatuan, kelab dan urusetia pelajar di bawahnya untuk  mengadakan program yang lebih besar dan selari dengan tranformasi UKM. Sedih bila tahun ini PMUKM tidak bersedia menganjurkan program 'outbound mobility' sedangkan pimpinan Jaksa Kolej telah ke luar negara untuk menjayakan program tersebut. Sekadar rekod (IZISH ke Universiti di Melbourne dan Universiti Hong Kong. KAB ke Oxford University dan Seoul University, KDO ke NUS dan NTU). Begitu juga dengan KUO, KIY, KRK dan KPZ yang telahpun mendapatkan geran program mobiliti Outbound masing masing daripada HEPA UKM.

Saya percaya ketidakmampuan PMUKM berpunca daripada sikap tidak berupaya untuk keluar daripada zon selesa sebagai pemimpin pelajar. Mereka lebih suka dilihat berkot dan bertali leher ketika musim pilihanraya, bersalam dengan semua orang di kampus (walaupun kebanyakan mereka tak kenal), tetapi bila amanah sudah diserahkan mereka tidak mempunyai keupayaan untuk menguruskannya. Maka itu kekallah mereka di dalam zon selesa masing masing dengan kelompok penyokong tegar mereka sahaja.

Mempunyai kepimpinan pelajar yang tidak bersedia keluar dari kepompong atau zon selesa sememangnya amat merugikan pelajar UKM. Banyak insentif dan peluang gagal diraih apabila pimpinan pelajar tidak terdedah kepada jaringan luar, khususnya luar negara. Sebagai contoh para pelajar tentunya ingin tahu apakah kehendak majikan syarikat multi nasional hari ini bila ingin mendapatkan kakitangan yang baru untuk syarikat mereka. Jika ada MPP PMUKM yang mempunyai jaringan baik dengan para kakitangan syarikat multinasional, ini akan banyak membantu para pelajar.

Sebagai contoh, pengalaman Jaksa IZISH menjemput ketua jabatan sumber manusia Syarikat Mercedez Benz (M) dan Hitachi (M) baru baru ini menunjukkan ramai pelajar bersetuju mereka telah mendapat banyak input baru yang tidak ada dalam dewan kuliah ataupun ketika menganjurkan aktiviti pelajar. Banyak kriteria yang kita harapkan pelajar perolehi dalam kuliah dan semasa beraktiviti rupanya berbeza dengan apa kehendak majikan di luar sana. Kita harus bersedia menghadapi situasi ini. PMUKM seharusnya menjadi pemudahcara kepada persediaan ini untuk mengkehadapankan para pelajar UKM dan bukannya membawa peklajar UKM ke belakang.

Selesai berbincang tadi, saya bersyukur kerana team SIFE UKM mula bersemangat untuk merancang untuk menyertai SIFE World Cup di Washington Oktober 2012. Tidak mudah untuk mereka tetapi tidak juga mustahil untuk mereka lakukan. Senior mereka dalam SIFE UKM telahpun melakukannya dulu. Jaksa Kolej dan AIESEC UKM juga telah banyak menjayakan program mereka di peringkat antarabangsa. Mereka semua telah berjaya keluar dari stigma 'jaguh kampung'. PMUKM bila lagi?

14 November, 2011

Izinkan Sahaja Mahasiswa Berpolitik. Apa Salahnya?

Mahasiswa seharusnya menyokong keputusan kerajaan negeri Selangor yang telah menetapkan gaji minima semua kakitangan kerajaan negeri pada RM1,500 dalam pembentangan bajet 2012 peringkat negeri minggu lalu.. Mahasiswa juga harus menyatakan sokongan pada usaha pemansuhan PPSMI yang di lihat bukan sahaja mencabar jatidiri kebangsaan tetapi juga menyebabkan jurang pencapaian akademik pelajar semakin melebar. Mahasiswa juga seharusnya memberikan sokongan pada program HIMPUN sebagai tanda protes kepada usaha mencabar kesucian Islam di negara ini. Mahasiswa juga seharusnya bersama dan memberikan sokongan penuh kepada program ETP dan GTP yang sedang diusahakan oleh pihak kerajaan pusat demi kebaikan rakyat.

Sebagai mahasiswa yang mempunyai idealisme perjuangan berasaskan keintelektualan, mereka tidak boleh mengira siapa, parti atau kumpulan mana yang menjayakan sesuatu dasar atau program kepada rakyat. Samada parti yang diberikan kuasa memerintah ataupun parti yang diberikan mandat untuk membangkang. Sebagai mahasiswa, soal APA dan bukannya SIAPA yang sepatutnya dijadi kayu ukur untuk menyatakan sokongan. Asal sahaja sesuatu itu memberikan kebaikan dan kesejahteraan pada rakyat terbanyak, mahasiswa perlu menyatakan sokongan mereka. Begitu juga jika ada pihak yang cuba melaksanakan sesuatu yang buruk dan merosakkan masyarakat, maka mahasiswa harus bangun menentang atas semangat yang sama, demi kesejahteraan rakyat.

Acapkali, perjuangan mahasiswa dikaitkan secara terus kepada parti yang berpolitik di luar kampus. Bukan rahsia lagi bila GMUKM dikaitkan dengan parti pakatan pembangkang dan TSB dikaitkan dengan parti yang memerintah. Mungkin akan ada yang menafikannya tetapi hakikatnya begitulah. Ketaksuban kumpulan kumpulan ini memberikan sokongan total kepada parti politik di luar kampus akhirnya menjerumuskan idealisme mahasiswa kepada kelesuan, tiada pendirian sendiri dan menjadi alat tunggangan parti politik luar kampus. Kalau ditanya apakah punca kelesuan idealisme perjuangan mahasiswa hari ini, jawabnya ialah ketaksuban menyokong secara membuta tuli kepada parti luar kampus oleh pimpinan mahasiswa.

Oleh itu idealisme perjuangan mahasiswa perlukan satu transformasi secara menyeluruh. Mereka harus bangun dan berdiri sendiri. Mereka perlu kukuh dengan semangat juang mereka sendiri. Mereka perlu membina jati diri kemahasiswaan. Lantang bersuara tetapi penuh hikmah dan sopan. Mencadang dengan idea yang bernas dan segar. Membantah dengan alas budi dan susila. Mahasiawa mesti menyatakan yang benar dan bersedia menentang keburukan atas nama kebenaran yang diasaskan dengan ilmu dan keintelektualan. Mahasiswa adalah golongan yang telah diiktiraf mempunyai kemampuan intelektualan yang lebih baik dari rakan rakan mereka yang tidak berpeluang menjejak kaki ke menara gading. Terserah bagaimana mereka ingin dilihat sebagai golongan yang intelek.Oleh itu nilai intelektualisme sahajalah yang akan menjadi kayu ukur keupayaan mahasiswa hari ini berbanding kumpulan sebaya yang lain di luar kampus. Bukannya atas perkara-perkara lain.

Sebagai mahasiswa mereka perlu sensitif tentang apa sahaja ketidakadilan kepada rakyat, penindasan oleh golongan kaya dan berkuasa, rasuah, pembaziran, ketaksamarataan peluang ekonomi, kembali kepada kehidupan keagamaan, isu alam sekitar, masalah sosial dalam masyarakat, isu kemiskinan, hak mendapat peluang pendidikan yang lebih baik, kemudahan perkhidmaran kesihatan dan penyediaan pengangkutan yang lebih selesa. Ini adalah asas kepada perjuangan mahasiswa. Begitu juga dengan hal hal yang lain khususnya yang berkaitan dengan kesejahteraan masyarakat. Perjuangan mahasiswa mestilah bersandarkan kepada apa yang benar dan baik untuk dirinya, keluarganya, agama dan masyarakat seluruhnya.

Oleh itu pada peringkat yang paling asas, mahasiswa harus memahami falsafah dan sejarah universiti di mana mereka belajar bagi membina idealisme perjuangan. UKM misalnya, ditubuhkan sebagai sebuah universiti rakyat untuk rakyat. Maka sebagai mahasiswa UKM, apa sahaja yang difikirkan baik kepada rakyat samada dilakukan oleh pihak kerajaan atau pihak pembangkang haruslah disokong. Maka isu transformasi ekonomi untuk rakyat menjana pendapatan yang lebih tinggi dan usaha meringankan beban kos hidup rakyat, harus disokong.

Begitu juga dengan usaha yang dilakukan oleh pihak pembangkang yang mengarah kepada usaha penambahbaikan kepada sistem pentadbiran pihak kerajaan dan bantuan kepada rakyat. Mahasiswa juga harus bersuara tentang isu rasuah dan perlakuan yang tidak mempunyai integriti. Begitu juga dengan perkara yang berkaitan pembaziran wang rakyat yang telah dibuktikan di mahkamah atau Jabatan Audit Negara, dasar-dasar yang merugikan rakyat seperti PPSMI, kewujudan sekolah vernakular yang tidak membawa kepada perpaduan, kurangnya peruntukan untuk masyarakat luar bandar berbanding di bandar, isu kebajikan kumpulan minoriti. Isu kebajikan kumpulan petani, nelayan serta buruh yang daif kehidupan mereka. Malah laporan Ketua Audit negara baru baru ini diumumkan sepatutnya dijadikan forum perbincangan oleh mahasiswa.

Mahkamah telah memutuskan apa yang sepatutnya di dalam hal yang berkaitan Seksyen 15 AUKU baru baru ini. Kita semua harus menghormati keputusan tersebut sejujurnya. Maka itu, samada Seksyen 15 di dalam AUKU masih relevan atau tidak pada masa depan, ia bergantung sepenuhnya kepada niat mahasiswa di dalam memperjuangkan idealisme mereka. Tentunya keputusan mahkamah baru baru ini membuka ruang seluasnya kepada mahasiswa bergerak aktif di dalam hal hal politik di arus perdana, tetapi jika mereka tersilap langkah, ketiadaan seksyen 15 AUKU ini juga sebenarnya akan mematikan idealisme perjuangan mahasiswa di kampus. Bayangkan jika politik kampus yang bertujuan mendidik mahasiswa tentang demokrasi tulen sudah bercampur dengan politik negara yang cenderung kepada politik menghalalkan cara, apa yang akan berlaku. Ruang politik manakah akan hilang identitinya. Saya tak fikir politik kampus akan terus segar lagi,  dan apa yang akan berlaku ialah akhirnya kepimpinan mahasiswa akan menjadi 'kuda tunggangan' kepada aturan politik luar kampus.

Maka itu pada saya, seksyen 15 AUKU masih relevan dan perlukan sedikit sebanyak pindaan. Misalnya walaupun pelajar dibenarkan berpolitik di luar kampus secara langsung, mereka masih tidak boleh dibenarkan membawa masuk apa juga program, aktiviti, logo dan sebagainya yang berkaitan parti politik ke dalam kampus. Jika politik luar kampus membicarakan soal dasar dan pembangunan rakyat, politik dalam kampus seharusnya lebih bersifat menjaga kebajikan pelajar di kampus dan jika perlu turut membuat jangkauan ke luar kampus. Sebenarnya suara mahasiswa yang ingin sangat aktif berpolitik di luar kampus tidaklah begitu ramai. Yang ramainya itu sebenarnya sekadar ikut-ikutan sahaja. Tetapi sebagai pelajar dan warganegara, hak mereka masih perlu diraikan. Maka saya tertarik dengan semangat yang dikatakan oleh  Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifudin, "izinkan sahaja mahasiswa berpolitik". Apa salahnya?

13 November, 2011

PMUKM Perlu Dahulukan Kebajikan Pelajar, Kemudian Barulah Berpolitik

Sesebuah persatuan mahasiswa IPT ditubuhkan atas satu agenda yang sama; memperjuangkan kebajikan semua pelajar yang bernaung di dalam persatuan mahasiswa tersebut. Oleh itu kejayaan atau kegagalan sesuatu persatuan mahasiawa di ukur berdasarkan sejauh manakah mereka dilihat telah melaksanakan amanah tersebut.  Pelajar juga harus mengambilkira faktor ini sebagai faktor utama sebelum memberikan undi mereka kepada mana mana kumpulan di dalam piliharaya kampus.

Bila Aspirasi kalah pada piliharaya yang lepas, dikatakan salah satu yang menjadi berpunca kegagalan mereka kegagalan menguruskan kebajikan pelajar. Tetapi kebanyakan pimpinan Aspirasi waktu itu tidak bersetuju. Mereka berpendapat mereka sudahpun melakukan yang terbaik untuk para pelajar. Tetapi pelajar berpendapat sebaliknya dan memberikan undi mereka pada GMUKM. Tahun ini PMUKM dikuasai oleh GMUKM. Sekali lagi isu kebajikan akan tetap menjadi ukuran keupayaan PMUKM di bawah GMUKM. Jika pelajar mempunyai persepsi PMUKM tahun ini tidak berupaya menguruskan kebajikan pelajar, nasib GMUKM akan sama seperti Aspirasi tahun lalu.

Ini menunjukkan kebanyakan pelajar ingin melihat PMUKM harus menguruskan kebajikan pelajar terlebih dahulu sebelum berpolitik. Pelajar dengan kuasa undi yang mereka ada ingin melihat pimpinan PMUKM berkeupayaan menyelesaikan atau sekurang kurang dilihat berusaha sedaya upaya membantu menyelesaikan masalah mereka. Ada isu kebajikan yang boleh diselesaikan oleh PMUKM, dan ada juga isu kebajikan yang memerlukan PMUKM perlu dilihat cuba menbantu menyelesaikannya.

Isu keselamatan diri dan hartabenda pelajar boleh diselesaikan oleh PMUKM melalui usaha kempen kesedaran kepada pelajar, tetapi akan dilihat membantu bila bekerjsama dengan pihak keselamatan UKM dan pentadbiran kolej kediaman. Isu kawalan harga makanan di kafetaria boleh diselesaikan oleh PMUKM dengan cara 'boikot' membeli barangan/makanan yang tiada tanda harga atau membuka kiosk atau cafe 'penimbal' di depan PMUKM di bangunan Pusanika. Jika mereka bersama pihak pentadbiran kolej dan jaksa memantau harga makanan, itu akan dilihat sebagai satu usaha membantu pelajar walaupun tidak sampai ke peringkat menyelesaikannya.

Bagaimana dengan isu gangguan binatang liar tiga serangkai (monyet, anjing dan khinzir) di kampus? Isu park & ride? isu kekurangan dan kelewatan jadual bas dalam kampus? isu aktiviti pelajar yang semakin tidak berimpak tinggi ? isu kenaikan yuran pengajian dan penginapan pelajar, isu kemudahan penginapan di beberapa kolej yang masih kurang berbanding kolej lain di UKM, isu keciciran akademik di kalangan pelajar, isu moral dan etika berpakaian, isu kemudahan sukan, isu khusus berkaiatan perpaduan kaum (berkaitan agama, budaya dan bahasa) di kalangan pelajar Tiong Hua dan pelajar India, isu kebajikan pelajar antarabangsa,  isu kewangan dan urusan PTPTN, isu perkhidmatan wifi jaring dan sebagainya.

Semua ini dan banyak lagi isu kebajikan pelajar sebenarnya adalah hakikat mengapa PMUKM diwujudkan; sebagai wadah perantara antara pelajar dan pihak pengurusan UKM. Bagaimana semua isu ini diuruskan oleh PMUKM? Tentulah ada yang telah dan sedang diuruskan oleh PMUKM, dan tentunya juga masih banyak yang belumpun diperjuangkan oleh PMUKM.

Malangnya PMUKM sejak akhir akhir ini seperti tenggelam punca dan hilang arah tuju di dalam menguruskan kebajikan pelajar. Isu kebajikan pelajar mula dikesampingkan tetapi keinginan berpolitik kampus pula yang membuak sehingga menjadi teras perjuangan PMUKM. Maka kepimpinan PMUKM lebih banyak membicarakan hal hal berkaitan politik dan semakin hilang suara berkaitan hal hal kebajikan pelajar dalam UKM. Tanpa menolak sebagai mahasiswa mereka boleh membicarakan isu-isu politik dalam dan luar kampus, tetapi harapnya janganlah sampai "anak di pangkuan mati kelaparan, walaupunpun kera di hutan nak disusukan".

PMUKM samada di pihak GMUKM ataupun Aspirasi harus insaf bahawa amanah dan tanggungjawab mereka adalah pada pelajar UKM. Maka mereka harus mengutamakan kebajikan pelajar dan merancang bagaimana usaha menjaga kebajikan ini dapat dijayakan.

Menjaga kebajikan pelajar bukan sekadar menjadi penyampai aduan semata-mata. Kalau inilah sifat pemimpin pelajar UKM, tidaklah selayaknya mereka boleh digelar pemimpin pelajar. Sebagai pemimpin pelajar mereka harus ada keupayaan untuk berfikir bagaimana untuk menyelesaikan masalah secara baik dan harmoni.

UKM telah melalui berbagai perkembangan sejak menjadi universiti penyelidikan. Malah sebahagian perjuangan mahasiawa di zaman saya sebagai pelajar dulu kini telah diuruskan dengan lebih baik oleh pihak UKM. Jika dulu perjuangan pimpinan pelajar berkaitan isu kemudahan penginapan kolej yang lebih banyak, penyediaan pengangkutan bas, memperjuangkan penyediaan kemudahan sukan (stadium baru) dan pusat riadah, penyediaan sistem kaunter yang lebih mesra pelajar dan sebagainya, semua hal ini telah diuruskan dengan baik oleh pihak UKM secara beransur ansur.

Akibatnya PMUKM sejak beberapa tahun ini seperti sudah hilang 'modal' di dalam menguruskan kebajikan pelajar. Bila tidak ada lagi modal berkaitan kebajikan pelajar, PMUKM seperti mencari cari isu lain yang kurang penting sebagai mengalihkan ketidakupayaan mereka mengendalikan isu kebajikan pelajar UKM. Maka itu mereka mula melihat isu-isu luar kampus, khususnya di peringkat nasional dan cuba menjadi jurucakap kepada pihak pihak luar. Menyedari kelemahan mahasiswa sebagai satu kumpulan  tidak gemarkan sesuatu yang bersifat 'konvensional, rigid atau skema', maka amalan kepembangkangan kepada pihak pemerintah dijadikan asas perjuangan mereka. Ini tidak juga menjadi persoalan asal sahaja keinginan untuk membangkang itu lahir dari idealisme perjuangan mahassiawa dan bukannya menjadi alat kepada pihak lain. Sebagai rakyat, kita dijamin hak untuk menyatakan apa yang ingin kita katakan, itu kebebasan hak asasi kita. tetapi kita juga harus matang untuk menghormati hak orang lain yang secara majoriti telah memilih sesebuah kerajaan. Kita boleh sahaja tidak bersetuju dengan pilihan majoriti rakyat negara ini, tetapi mestilah menghormati keputusan tersebut. Bila tiba harinya untuk anda mengundi, undilah mengikut selera dan keinginan anda. Itu diraikan.

Tetapi sebelum semua itu berlaku, insaf dan kembalilah mencari jalan untuk menguruskan kebajikan pelajar dengan lebih baik di dalam kampus. Isu pelajar semakin hari semakin kompleks. PMUKM harus boleh memyelesaikan isu isu kebajikan pelajar yang sedia ada. Silalah merancang untuk meneliti semua isu ini. Tetapi tentunya tidak adil jika hanya isu kebajikan yang dihadapi oleh kelompok atau kroni PMUKM sahaja diuruskan. Harus juga diuruskan kebajikan semua pelajar UKM. Misalnya jika seorang dua rakan di dalam kelompok PMUKM yang mengadu tidak dapat penginapan dikolej diperjuangkan oleh PMUKM, mengapa pula puluhan pelajar Cina, India dan pelajar bukan dalam kelompok yang dipindah kolej tidak pula diperjuangkan. Setiap tahun ratusan pelajar dipindahkan dari kolej kolej lingkungan satu ke kolej Keris Mas dan Zaaba kerana memberikan peluang kepada penginapan pelajar tahun satu, tetapi bantahan yang diterima dari PMUKM hanya meliputi pelajar yang berada di dalam kelompok penyokong GMUKM-PMUKM sahaja. Tidak disebutkan pun tentang memperjuangkan kebajikan pelajar Cina atau India yang dipindahkan ke kolej yang lain.

Sudah sampai masanya PMUKM mendahulukan kebajikan pelajar sebelum mereka mula berpolitik. Mulalah membuka ruang untuk semua pelajar berada bersama PMUKM, bukan setakat untuk 300 orang penyokong tegar GMUKM sahaja. Jemputlah kumpulan Aspirasi untuk sama sama berfikir bagaimana untuik memgiruskan kebajikan semua pelajar UKM. Ajaklah sekali wakil pelajar antarabangsa yang juga sangat memerlukan kebajikan mereka dibantu oleh PMUKM. Semoga PMUKM kembali menjadi sebuah persatuan oleh semua pelajar dan untuk semua pelajar. Bukan hanya untuk kelompok mereka sahaja.

11 November, 2011

Bezanya Politik Islam dan Islam yang di Politikkan

Mantan Presiden Majlis Peguam mungkin seorang yang tinggi pengetahuannya tentang hak asasi manusia, tetapi ilmu yang tinggi tidak dilengkapi dengan karektor yang terpuji. Bila beliau memberikan sokongan penuh kepada penganjuran Seksualiti Merdeka, sangat kelihatan seperti ada yang tidak kena. Jelas sekali perjuangan hak asasi manusia telah diperalatkan untuk beliau mendapat sokongan politik. Perjuangan hak asasi manusia menjadi sudah tidak suci lagi bila dicampuradukkan dengan hal yang menjijikan.

Seluruh lapisan masyarakat bersyukur kerana program Seksualiti-Merdeka telah di batalkan. Apa pun alasan pihak penganjur tentang perlunya program seumpama itu perlu diteruskan, pihak kerajaan dan pihak polis telah memutuskan program ini di luar norma dan nilai masyarakat Malaysia. Ironinya, asas kepada keinginan luarbiasa penganjur meneruskan progarm ini ialah "kita perlu menghormati hak asasi manusia". Begitulah dalil sembrono penganjur program ini.

Inilah contohnya bila sesuatu yang baik kalau disalahgunakan akan membawa keburukan. Kita semua menjunjung kebebasan hak asasi manusia. Soal menghormati hak asasi individu seperti bebas mengamalan agama masing masing, bebas mengamalkan budaya komuniti masing masing, berhak mendapat peluang pendidikan, berhak mendapat perlindungan keselamatan individu yang dijamin undang undang, bebas untuk  memiliki harta dan jaminan keselamatan harta benda dan berbagai lagi hak asasi manusia perlu dipertahankan. Tetapi kebebasan hak asasi manusia walau sebagaimana bebas pun haruslah diasaskan kepada nilai dan norma budaya masyarakat setempat.

Penganjur 'kebebasan orientasi seksualiti' ini beranggapan pengamalan seks adalah hak dan kepunyaan individu. Lantas orang lain tidak perlu kisah dengan apa yang mereka ingin lakukan. Mereka pasti tahu tetapi sengaja ketepikan kerana nafsu (termasuk nafsu untuk meraih sokongan politik) bahawa perbuatan seksualiti songsang selain ditegah oleh semua agama dan ajaran, juga membawa masyarakat ke dalam kancah penyakit kelamin dan jangkitan HIV. Seks songsang juga meruntuhkan sistem dan institusi sosial (kekeluargaan, perkahwinan, nasaf dan kesepaduana masyarakat).  sesebuah masyarakat yang membenarkan perbuatan seumpama ini berleluasa akan pasti ditimpa mala petaka bila sampai masanya.

Maka sebebas manapun hak asasi manusia yang ingin diperjuangkan, mestilah di bawah payung nilai dan norma masyarakat. Di Malaysia, setiap warganegaranya meletakkan ajaran agama sebagai satu nilai dan cara hidup, maka hak asasi itu haruslah di dalam ruang agama yang diamalkan. Islam sebagai agama negara ini dengan jelas menolak perbuatan terkutuk ini, maka haruslah jangan ada orang yang mengaku Islam cuba mengatakan perjuangan hak asasi manusia lebih tinggi daripada peraturan agama Islam. Malah Islam sendiri telah mengariskan hak asasi yang cukup sempurna sifatnya untuk umatnya membangunkan kehidupan yang terbaik dan berkualiti di dunia dan akhirat.

Itulah penting semua orang memahami bahawa apa pun perkara termasuklah kebebasan hak asasi manusia adalah di bawah agama. Jika begitulah,kedudukan Islam itu juga lebih tinggi dari politik. Jika pun Islam mengharuskan politik, perlaksanaan politik itu haruslah dalam nilai yang dianjurkan oleh Islam. Islam tidak pernah sekali-kali membenarkan pengunaan kata-kata kesat, fitnah lisan atau pengedaran surat layang, rasuah politik untuk tujuan memenangi kuasa politik. Jika ini dilakukan meskipun atas nama perjuangan Islam, maka tinggalkanlah. Islam itu lebih utama dari politik. Tidak mungkin sebaliknya. tidak molek bila Islam dijadikan alat atau bahan untuk kita berpolitik, lebih lebih lagi untuk memperolehi kuasa.

Maka itu Rasulullah hingga tiba waktu kewafatan,  baginda tidak mengumumkan siapakah sahabat yang akan mengantikan baginda sebagai ketua umat Islam.  khutbah terakhir baginda juga lebih menekankan soal menguatkan akidah kepada Allah swt., seruan menjaga keluarga dan juga masyarakat. Politik walaupun perlu tidak pula menjadi keutamaan di dalam khutbah terakhir baginda. tetapi yang lebih dipentingkan ialah soal akidah demi menguatkan ummah.

Maka itu pada saat ini, kita harus sedar ada bezanya antara politik Islam dan Islam yang dipolitikkan. Politik Islam akan diisi dengan kemurniaan hubungan sesama manusia untuk mendapat keredhaan Allah swt. Sesiapa pun musuh politik bila sesama Islam akan tetap bersaudara,  sesiapa pun musuh politik jika bukan Islam akan tetap dihormati selagi mereka tidak memusuhi Islam.

Namun, oleh kerana secara sejarahnya kita telah menerima amalan demokrasi barat sebagai acuan berpolitik, kita sepertinya terperangkap dalamnya tanpa sedar. Secara analoginya jika kita makan nasi, seharusnya nasi di letakkan di dalam pinggan bukannya mangkuk atau cawan, Jika kita makan sup, supnya tidak boleh di dalam piring yang leper. Begitulah juga halnya dengan amalan politik demokrasi barat dan politik Islam. Jika politik Islam hendak diisi ke dalam acuan politik ala barat, keadaannya pasti sukar. Demokrasi barat meletakkan keputusan majoriti sebagai asas politik. Maksudnya dijalankan pilihanraya atau 'public opinion', mana mana kumpulan yang mendapat paling banyak undi atau sokongan akan diangkat sebagai pemimpin. Soal betul atau tidak di pihak majoriti tidak menjadi isu. yang penting majoriti. Semakin besar majoriti maka semakin kuatlah seseorang ahli politik. Maknanya demokrasi ala barat menetapkan bilangan atau angka sebagai asas.

Politik Islam agak berbeza. Saidina Ali r.a. pernah berkata "Sesuatu yang batil jika sudah terlalu besar boleh sahaja kelihatan seperti satu kebenaran". Maknanya jika bilangan menjadi asasnya, tidak semestinya ini akan membawa kita kepada jalan yang betul juga. Islam meletakkan ketakwaan kepada Allah swt sebagai asas kepada apa juga aktiviti insan termasuklah berpolitik. Sebab itu politik Islam janganlah disamakan dengan politik ala barat sepenuhnya. Jika politik ala barat mengamalkan persaingan untuk merebut kuasa, menganjurkan permusuhan sebagai motivasi berpolitik, merancang untuk menjatuhkan lawan sebagai modal politik,melakukan kecaman, cacian atau penghinaan sebagai senjata berpolitik, sesungguhnya politik Islam bergerak dalam arah yang sangat berbeza. Politik Islam menganjurkan musyawarah, ikhlas dan tertib dalam berpolitik dan menjalankan kuasa politik, sentiasa insaf dan takut kepada pembalasan Allah swt dalam membuat keputusan berpolitik. Jika politik Islam menggunakan acuan demokrasi barat ala-masyarakat sekular memang sukar untuk politik Islam dilihat sebagai sempurna dan lengkap untuk dijayakan.Politik Islam mempunyai kaedah dan tertib yang berbeza dengan cara politik demokrasi barat hari ini.

Oleh itu, pemimpin mahasiswa di UKM punya peranan besar di dalam menjadikan politik Islam sebagainya yang sepatutnya. Jika kita ada model ekonomi Islam vs model ekonomi konvensional berasaskan riba, kita ada pendidikan Islam vs pendidikan barat berasaskan sekularisme, maka seharusnya kita juga boleh membina satu model politik Islam yang unggul sebagai alternatif kepada politik demokrasi ala-barat.

Sebagai permulaan,  kita tentu boleh terus menggunakan politik demokrasi ala-barat tetapi berlunaskan nilai nilai murni yang terkandung dalam ajaran agama. Maknanya ahli politik teruskanlah berpolitik secara model demokrasi ala-barat tetapi meletakkan agama (e.g. Islam) sebagai payung. Semua perkara yang menjuruskan kepada penggunaan agama sebagai alat bagi tujuan berpolitik, tinggalkanlah. Misalnya memilih hanya ayat ayat al Quran yang menguntungkan politik kumpulan mereka sahaja. Begitu juga dengan kaedah buruk berpolitik seperti mencerca, menghina dan menghasut para pengundi membenci musuh politik mereka. Harapnya jangan ada pula yang sanggup menghukum bahawa orang lain tidak Islam atau musuh Allah kerana hanya tidak sependapat dengan cara pemikiran mereka. Hal sebegini tidak membawa kebaikan kepada pengamalan politik Islam yang sebenarnya.

Pelajar universiti boleh menjadi peneraju kepada usaha ini. Pelajar perlu menolak kumpulan yang menggunakan agama bagi mendapat sokongan pengundi tetapi harus mula menyanjung tinggi usaha mana-mana juga kumpulan pelajar yang mengamalkan politik berteraskan nilai baik yang dianjurkan oleh agama. Sebenarnya Bila agama dipolitikkan mudah kita baca tandanya, misalnya jika musuh politik melakukan sesuatu maka mereka akan katakan itu sesuatu yang haram dan berdosa, tetapi jika mereka anjurkan perkara yang sama akan dikatakan 'harus dan untuk tujuan berdakwah secara perlahan lahan'.

Begitu juga kalau di dalam kempen piliharaya dianjurkan bahawa perjuangan kumpulan mereka berlandaskan agama yang akan membawa pencerahan dan keadilan pada semua kaum, tetapi bila berkuasa ada kumpulan minoriti terutama bukan seagama dengan mereka akan dipinggirkan. Jika sebelum menang mereka berjanji menjaga kebajikan semua pengundi tetapi bila telah memenangi pilihanraya, hanya kelompok mereka sahaja yang diperkuatkan. Inilah contoh mudah bahawa agama telah di politikkan.

Dan pada masa yang sama juga walaupun mengakui perjuangan mereka berteraskan agama, sebenarnya mereka masih bersetuju untuk mengamalkan budaya politik permusuhan sebagaimana yang dianjurkan oleh politik demokrasi ala- barat. Inilah juga makna yang sering mereka sebut sebagai "politik yang ambil agama separuh dan tinggalkan separuh".

10 November, 2011

Tujuh Andaian Awal Pilihanraya Kampus UKM 2012

Setelah membuat tinjauan secara umum berkaitan pilihanraya kampus UKM dalam beberapa tahun lalu khususnya antara tahun 2008-2010, maka dapat dibuat tujuh andaian awal tentang pilihanraya kampus UKM untuk tahun 2012.

1. Peratus pelajar yang turun mengundi pada 2012 akan berkurangan di kalangan pelajar pra siswazah, sedikit meningkat di kalangan pelajar siswazah dan pelajar antarabangsa. Jika tahun ini jumlah turun mengundi sekitar 70%, (antara tahun 2005-2007, jumlah peratus turun mengundi secara purata mencatat sekitar 86%, cuma catatan tertinggi ialah pada tahun 2005 melebihi 90%), jumlah ini akan berkurangan dengan banyak pada tahun depan. Antara sebab utama ialah sejak tahun lepas semua hal berkaitan proses pengundian diserahkan kepada pihak fakulti, walaupun dianjurkan di kolej kediaman. Maka jika dulu pelajar digalakkan oleh pihak kolej untuk turun mengundi sebagai satu proses pendidikan demokrasi, mulai pilihanraya lepas semua pelajar bebas memilih untuk turun atau tidak dalam menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Kedua, aktiviti mengundi tidak tertakluk kepada kontrak pembelajaran. Maka bagi pelajar yang terlalu berfokus kepada aktiviti berkredit berasaskan kontrak pembelajaran, beratur panjang untuk mengundi akan dianggap satu pembaziran masa dan tenaga. Juga wujud ramai pelajar yang mula melihat politik kampus sebagai tidak bermanafaat, membuang masa serta mengujudkan permusuhan sesama pelajar.

2. Peratus undi majoriti untuk GMUKM akan berkurang. GMUKM telah menguasai PMUKM pada tahun ini. Undi kemenangan yang mereka perolehi sebenarnya adalah undi protes yang diberikan oleh pengundi atas pagar UKM. Salah satu faktor protes ialah prestasi PMUKM di bawah ASPIRASI pada 2009 yang dilihat kurang menyerlah di dalam menjaga kebajikan pelajar. Selain undi protes, undi simpati juga memainkan peranan terhadap kemenangan GMUKM tahun ini. Simpati atas usaha yang bersungguh sungguh oleh jentera GMUKM sedikit sebanyak telah membuka hati para pengundi untuk memberikan undi mereka kepada GMUKM. Selain itu pengundi juga memberikan undi simpati dengan konsep 'perjuangan Islam' yang di bawa oleh GMUKM. Tetapi tahun ini agak berbeza sedikit. setelah melihat prestasi hambar PMUKM (ISIUKM lebih terserlah kemampuan mereka), kebanyakan pengundi atas pagar akan pasti menilai semula undi mereka untuk diberikan pada GMUKM tahun depan.

3. GMUKM akan kehilangan undi pelajar Tiong Hua dan India dalam jumlah yang besar. Berbeza dengan harapan besar yang dipertaruhkan oleh pelajar Tiong Hua bila menyokong GMUKM tahun ini,  pimpinan PMUKM nampaknya kurang memberikan komitmen untuk menjaga kebajikan pelajar Tiong Hua dan India. Misalnya hanya seorang sahaja pelajar Tiong Hua dilantik dalam MT Pesta Konvo. Kewujudan beliau dilihat sebagai 'hiasan PMUKM' semata-mata. Jika dahulu terdapat sekurang kurang 3 hingga 5 MT Pesta Konvo di kalangan pelajar Tiong Hua dan 1 atau 2 di kalangan pelajar India, hal ini tidak berlaku dalam pesta konvo tahun ini. Kesannya besar sekali. semua ketahui bahawa pelajar Tiong Hua mempunyai kekuatan dalam urusan pemasaran, promosi dan penjanaan tajaan untuk pesta konvo yang sudah sudah, tetapi apabila mereka tidak diberikan kepercayaan, pesta konvo tahun ini mengalami defisit yang agak besar.

4. Jika ASPIRASI segera meningkatkan usaha mereka, undi mereka akan meningkat dalam jumlah yang besar. Dua perkara yang harus dilakukan segera oleh ASPIRASI ialah pertama, menyediakan manifesto yang berfokus kepada kebajikan pelajar UKM. Kedua, menyediakan set calon yang berwibawa, memiliki prestasi akademik yang baik dan mempunyai pengalaman dalam menganjurkan projek. Sebenarnya ramai sekali kalangan pelajar yang berbakat sebagai pemimpin terutamanya di kalangan pimpinan persatuan, kolej dan urusetia MMP. Mereka walaupun tidak berminat dengan politik kampus secara langsung tetapi berkeupayaan menjadi pemimpin pelajar di peringkat PMUKM. Berbeza dengan GMUKM yang telah ditentukan calon mereka secara mutlak di peringkat MT Mampu, calon Aspirasi biasanya ditentukan oleh MPP ASPIRASI. Jika ini dapat dilakukan oleh Aspirasi dengan segera, undi simpati pengundi atas pagar akan cenderung memberikan undi mereka pada ASPIRASI berbanding pada GMUKM. Tetapi jika hal ini tidak dilakukan dengan segera, undi akan tetap diperolehi oleh pihak GMUKM.

5. Pelajar Tiong Hua dan India akan cenderung memilih ASPIRASI berbanding GMUKM. Berdasarkan pengalaman mereka diketepikan oleh PMUKM tahun ini, jelas pelajar Tiong Hua dan India akan lebih cenderung memilih Aspirasi. Ini juga bergantung kepada apakah janji yang akan ditawarkan oleh GMUKM-PMUKM untuk pilihanraya kampus akan datang pada pelajar Tiong Hua dan India. Misalnya pemberian bilangan jawatan dalam PMUKM sesi depan atau jawatan tambahan dalam pesta konvo akan datang. Tetapi pengalaman yang lepas lepas menunjukkan janji akan tinggal janji kerana semua komitmen yang dijanjikan oleh GMUKM pada pelajar bukan Islam biasanya tidak akan direstui oleh kepimpinan tertinggi MAMPU.

6. GMUKM dijangka berpeluang mempertahankan kuasa mereka di Pusanika jika status quo kepada apa yang ada sehingga hari ini tidak berubah, walaupun peratus undi majoriti mereka dijangka akan berkurangan dengan banyak. Berdasarkan kekuatan jentera piliharaya sehingga kini, GMUKM mempunyai kelebihan berbanding ASPIRASI. Mereka mempunyai kumpulan pelajar wanita yang sangat komited dengan perjuangan GMUKM. Bilangan pelajar lelaki tidak begitu ramai dan biasanya lebih kepada 'pembakar' semangat seperti penceramah, ketua kumpulan kecil dan sebagainya untuk mengukuhkan kumpulan jentera muslimat GMUKM. GMUKM menggunakan sepenuhnya kekuatan muslimat di dalam menggerakan jentera akar umbi. Muslimat adalah 'alat' utama kejayaan GMUKM dalam piliharaya yang lalu. Proses pengkaderan ahli GMUKM juga telah dilakukan lebih awal, ada antaranya bermula di bulan pertama semester ini. Malah ada yang telah dimulakan lebih awal sejak matrikulasi lagi! Sebahagiannya melalui facebook sebelum pelajar mendaftar diri sebagai pelajar UKM. Pelajar antarabangsa timur tengah juga cenderung memberikan undi kerusi PPS pada GMUKM, lebih mudah kerusi PPS dikuasai oleh GMUKM jika ASPIRASI gagal mendapatkan calon terbaik dan popular di sana. 

7. ASPIRASI akan mempunyai peluang yang lebih besar untuk menguasai Pusanika dengan syarat mula melakukan tranformasi secara besar besaran, terutama melakukan penjenamaan semula ASPIRASI ( mendapat sokongan TSB, pelajar Tiong Hua, India dan pengundi atas pagar). Jika ini semua berjaya dilakukan kemenangan tahun depan lebih memihak kepada mereka. Faktor siapa calon juga akan menentukan kemenangan ASPIRASI. Malah mereka juga sebenarnya lebih berpeluang untuk mendapat undi pelajar antarabangsa (China dan Indonesia). Oleh itu ASPIRASI mempunyai kelebihan tahun depan berbanding GMUKM yang telah tercalar akibat prestasi hambar PMUKM di dalam menguruskan kebajikan dan aktiviti pelajar selain hanya berjaya menjaga dengan baik 'anak emas' mereka ISIUKM.

08 November, 2011

Kempen Pilihanraya Kampus UKM Semakin Ketinggalan

Kini tinggal kurang empat bulan sebelum piliharaya kampus akan datang diadakan. Secara peraturannya, setiap ahli MPP PMUKM akan tamat perkhidmatannya apabila mereka menamatkan pengajian atau bila cukup tempoh setahun (satu sesi pengajian) berkhidmat. Jika diteliti, MPP PMUKM yang sedang berkhidmat sudah memasuki bulan ke sembilan perkhidmatan mereka bagi sesi ini. Maka akan tiba pilihanraya kampus kembali lagi.

Tujuan utama diadakan piliharaya kampus ialah memberikan ilmu kepada para pelajar yang berkebolehan untuk meningkatkan daya kepimpinan, kemahiran komunikasi dan pengurusan organisasi. Malah lebih daripada itu pengalaman 'seni berpolitik' yang diperolehi ketika proses pilihanraya berlangsung pasti akan banyak meningkatkan kemahiran membuat keputusan para pelajar.

Salah satu elemen 'seni berpolitik' yang terkandung di dalam proses pilihanraya kampus ialah pengalaman menjalankan kempen. Ini sebenarnya salah satu bahagian terpenting di dalam melatih kemahiran kepimpinan terutama berkaitan 'seni mempengaruhi' para pengundi.

Ada dua kaedah berkempen yang biasa diamalkan di UKM sejak dahulu sehingga kini. Pertama, kempen secara lisan dan keduanya secara tulisan. Kempen cara lisan bersemuka dilakukan bila para calon yang layak bertanding memberikan ucapan di dewan kuliah atau di sudut pidato, menyatakan janji serta memberikan harapan kepada para pengundi apa yang akan mereka lakukan jika menang dan biasanya dilakukan secara bersemuka. Manakala kempen lisan secara tidak bersemuka pula dilakukan melalui rakaman video di mana ucapan calon dirakam terlebih dahulu oleh pihak urusetia dan kemudiannya ditayangkan di televisyen di lobi lobi kolej atau fakulti.

Kaedah kedua adalah secara tulisan yang sah seperti melalui pamplet, manifesto dan kadang kala melalui cara yang 'tidak sah' seperti pengedaran surat berantai mahupun surat layang. Kedua-dua kaedah kempen yang telah wujud dalam piliharaya kampus sejak sekian lama di UKM.

Kempen secara lisan dan bersemuka mempunyai banyak kelebihan di dalam meningkatkan daya kepemimpinan seseorang pelajar yang menjadi calon. Kaedah ini melalui ceramah atau pidato seharusnya digalakkan asal sahaja tidak digunakan untuk memburukkan orang lain terutama 'musuh politik' serta mengutarakan perkara-perkara yang sensitif berkaitan persoalan agama, budaya dan kaum yang lain. Oleh itu amalan berpidato terutama di kawasan yang dikhaskan sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh para calon yang layak untuk mengasah bakat perucapan mereka.

Selain menuntut kematangan di kalangan pemidato, para pendengar dan penyokong calon juga seharusnya memiliki tahap kematangan yang baik. Budaya mengeji, mengutuk dan mencela pemidato pihak lawan haruslah dielakkan kerana ini bertentangan dengan amalan murni semua agama. Apa yang penting ialah pelajar harus mendengar dengan teliti, memikirkan pandangan pemidato secara kritikal dan memberikan soalan balas (jika disediakan peluang). Perdebatan idea bertujuan meningkatkan kefahaman kita terhadap sesuatu hal yang mungkin selama ini dilihat hanya dari satu perpektif sahaja. Maka raikanlah.

Kehadiran kempen cara tulisan menggunakan bahan bercetak sebagai wacana berkempen juga amat baik dan seharusnya digalakkan. Tetapi jika dalam berpidato bersemuka kita akan tahu siapa pengucapnya, kewujudan kempen melalui bahan bercetak seharusnya kita tahu siapa penulisnya. Maka kempen politik di kampus sebenarnya bermula dengan rasa tanggungjawab yang tinggi oleh calon dan para penyokongnya. Kita semua tahu bahawa surat layang (surat fitnah) hukumnya haram. Tetapi oleh kerana kesan buruknya fitnah tidak dirasai oleh penulis (penfitnah) , amalan buruk ini berleluasa dalam politik kampus. Mungkin ada yang menganggap tak kanlah sekadar menulis surat layang untuk berpolitik kampus boleh berdosa seperti membunuh pula. Tetapi janganlah kita lupa dan mengambil ringan hal ini. Fitnah adalah fitnah yang tetap hukumnya berdosa.

Maka itu sudah sampai masanya di UKM para calon memulakan sesuatu yang lebih baik. Pilihanraya kampus seharusnya memberikan pendidikan tentang tanggungjawab dalam berpolitik. Satu perkara yang sangat penting tetapi semakin hilang dalam kepolitikan hatta di peringkat politik negara sekalipun. Saya ingin cadangkan supaya para calon yang layak bertanding diberikan kebenaran menghasilkan buletin atau pamplet masing masing. Malah sudah sampai masanya juga  semua pimpinan pelajar anjurkan konvensyen untuk berbincang apakah tidak boleh persatuan persatuan pelajar yang sah dibenarkan berkempen untuk calon yang datang dari persatuan masing masing. Pada saya apa salahnya...di dalam meraikan amalan demokrasi di UKM.

Saya juga ingin mencadangkan supaya penggunaan blog diperkasakan oleh kalangan calon yang layak bertanding. Blog adalah 'tool' kempen yang baru dan boleh dijadikan satu latihan berkempen yang lebih dinamik. Kempen melalui rakaman video dan ditayangkan di lobi lobi kolej nampaknya sudah ketinggalan zaman. Seharusnya setiap calon yang bertanding mendaftarkan blog rasmi mereka pada urusetia pilihanraya kampus dan mula berkempen melalui blog berkenaan. Blog menjadikan kempen lebih menarik dan berkesan kerana bukan sahaja dalam bentuk teks, tetapi juga dalam bentuk video dan bersifat lebih interaktif. Ia juga lebih sesuai dengan kehidupan harian pelajar UKM hari ini.  Inilah latihan kempen politik cara baru yang harus didedahkan kepada para bakal pemimpin pelajar.

Bayangkan model baru (penggunaan blog rasmi) ini dilaksanakn di UKM dan pastinya akan menjadi perhatian di semua IPTA yang lain. Selain kos operasi yang lebih rendah. kempen melalui blog juga sangat dekat di hati pelajar yang mengundi. Pihak urusetia piliharaya bertanggungjawab mendaftarkan blog rasmi calon dan membuat promosi agar semua pelajar maklum dan melawat blog blog berkaitan pada bila bila masa yang sesuai dengan mereka. Amalan menayangkan video di lobi jelas menunjukkan ia gagal menarik minat kerana para pengundi terpaksa berdiri di lobi dan mendengar ucapan para calon. Ini juga ada kaitannya dengan kesuntukan masa para pelajar yang perlu ke lobi semata-mata untuk mendengar rakaman ucapan tersebut.

Pengunaan blog rasmi calon bukan sahaja menjadi inovasi baru kepada urusetia pilihanraya kampus UKM di dalam menguruskan proses kempen pelajar malah menjadikan kos penyelenggaraan pilihanraya kampus akan lebih rendah berbanding tahun tahun yang lalu. Maka sebagai sebuah universiti yang terkehadapan, ini boleh dianggap sesuatu yang lebih baik di dalam menguruskan pilihanraya kampus untuk para pelajar berbanding dulu.