14 December, 2012

Trek Kesihatan Kampus: Agenda Pertama IZISH Bagi Tahun 2013


Tangga IZISH
Nada blog kali ini sedikit berbeza. Saya ingin berkongsi apa yang ingin kami di IZISH UKM lakukan pada awal 2013. Mungkin boleh juga dikatakan satu azam baru buat kami. 

IZISH melalui Pelan Strategik 2011-2013 menyatakan hasratnya untuk menjadi sebuah kolej yang mengamalkan amalan lestari dalam kehidupan para warganya. Usaha ini sedang berterusan dan telah menunjukkan kejayaanya. Selain menerima pengiktirafan sebagai kolej lestari, penganjuran beberapa aktiviti pelajar yang mendukung usaha ini telah berjaya dilaksanakan.

Oleh itu bagi tahun 2013, agenda pertama IZISH ialah melaksanakan satu program menaiktaraf  kawasan tangga IZISH sebagai satu ikon IZISH kolej lestari dan akan dinamakan sebagai TREK KESIHATAN IZISH-UKM.

Kaedah pelaksanaan

a) Fasa I (Januari-Februari 2013) – ZON HERBA

Pada sesiapa yang pernah berkunjung ke IZISH dengan berjalan kaki pasti akan melalui satu tangga yang agak panjang untuk ke Pusanika. Saya difahamkan jumlah anak tangganya melebihi 200. Pada yang tidak biasa, memanjat anak anak tangga ini memang melelahkan. Tetapi ini juga satu latihan fizikal yang sangat baik dan sesuai sekali.

Dalam program ini, kawasan tangga IZISH akan dibahagikan kepada empat bahagian utama, mewakili setiap blok pelajar IZISH (Merah, Biru, Kuning dan Hijau).

Satu gotong royong perdana akan dijalankan untuk membersihkan kawasan tangga ini mengikut zon yang ditetapkan mengikut rumah pelajar IZISH. Seterusnya setiap rumah pelajar akan menanam sekumpulan pokok pokok bertemakan tumbuhan herba secara berkelompok mengikut blok masing masing. Konsep herba yang dicadangkan ialah zon herba  masakan, zon herba perubatan, zon herba penjagaan kulit dan zon herba penjagaan kesihatan. Semua zon akan dilabelkan pokok pokok herba seperti nama pokok, asal usul herba, kegunaan dan faedah pada manusia serta maklumat unik tentang pokok berkenaan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

b) Fasa Dua (Februari-Mac 2013)-  ZON MAKLUMAT PENYAKIT

Fasa ini akan memberikan maklumat kesihatan kepada pengguna tangga. Misalnya jumlah kalori yang dibakar selepas memanjat tangga IZISH, input penyakit gayahidup (zon penyakit jantung, zon penyakit diabetis, zon darah tinggi dan zon obesiti )

c) Fasa Tiga (Mac 2013) :  PROMOSI TANGGA IZISH SEBAGAI “TREK KESIHATAN 
                                           KAMPUS’

Penyediaan Pamplet, poster dan banner yang akan mempromosikan tangga IZISH sebagai Trek Kesihatan Kampus. Perasmian juga akan diadakan bagi mengesahkan program ini di peringkat UKM. Setiap blok pelajar akan menjadikan zon masing masing sebagai zon angkat mereka.



Contoh Lanskap Zon Herba Trek Kesihatan IZISH-UKM


Input Kesihatan dan Kelestarian akan diletakkan sepanjang trek kesihatan IZISH UKM.