Sekarang warga pelajar UKM akan memasuki minggu yang penuh kesunyian. Masing masing dengan dunia masing masing. Semua sibuk menyiapkan assingment, tugasan, kertas kerja dan sebagainya. Siang dan malam. Makan, tidur dan rehat apatah lagi bersantai bukan lagi menjadi keutamaan. Malah semakin ramai mula 'matikan buat sementara' facebook, twitter dan segala macam 'mainan' yang sejak sekian lama 'memakan masa' mereka. Ada yang menyesal dan merasakan bahana 'membuang masa' yang berlebihan di facebook dan internet. Saya pernah tulis di blog ini tidak berapa lama dulu sebagai mengingatkan pelajar dengan tajuk "pelajar ukm jangan membuang masa'. Apapun masa yang ada harus digunakan sebaiknya..better late than never..
Saya tinggalkan hal itu. Sebenarnya pelajar UKM tidak pernah terlewat selagi mereka belum bergraduan. Hanya bila bergraduan sahaja barulah ada yang rasa beruntung dan ada yang rasa rugi atas masa yang mereka gunakan semasa di UKM dulu.
Pagi ini saya terima berita beberapa pelajar UKM yang graduat dua tahun lepas sedang menghadiri 'majlis konvo' mereka sempena menerima sijil GIATMARA dalam kemahiran sulaman dan bakery. Rasa bangga dan sedih datang sekaligus dalam hati saya. Bangga kerana setelah 4-5 tahun belajar dan bergraduan di UKM, mereka masih ingin meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang yang tidak mereka terokai semasa di UKM dulu. Sedih bila memikirkan setelah begitu lama di UKM, rupa rupanya ijazah sarjana muda yang mereka perolehi GAGAL membantu mereka mendapat pekerjaan yang sesuai sehingga terpaksa mengikuti sijil kemahiran di GIATMARA. Apakah selama bertahun tahun belajar di UKM dulu, ijazah tersebut terpaksa disorokkan begitu sahaja dan mencari peluang bekerja dengan sijil kemahiran GIATMARA!
Saya harap pelajar UKM yang sedang bertungkus lumus menelaah pelajar lebih bersedia menghadapi hari depan mereka. Mereka bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik tetapi juga harus hebat dalam kemahiran berkomunikasi (ada yang masih belum faham maksud kemahiran komunikasi. Maksud mudahnya ialah bijak berkomunikasi mengikut konteks. Bagaimana berkomunikasi di dalam tutorial, di dalam seminar, di talian telefon, di dalam bilik temuduga, berbual bersama orang tua, berinteraksi bersama pensyarah, bersantai bersama rakan rakan, berhubungan bersama majikan dan sebagainya. Harus kita faham bahawa setiap konteks memerlukan kemahiran berkomunikasi yang berbeza beza).
Percaya atau tidak bahawa, majikan hari ini lebih cenderung untuk melihat kemahiran personal ini berbanding kecemerlangan akademik semata mata. Majikan khususnya di syarikat multinasional sudah tahu bahawa sistem pendidikan di malaysia sangat terikat dengan sistem pembelajaran berasaskan hafalan, memorization, exam oriented dan sebagainya. Mencari pelajar yang cemerlang akademik dalam acuan 'rote-learning' bukan sesuatu yang sukar. Tetapi mencari pelajar yang mempunyai kemahiran komunikasi, bijak membuat keputusan, tahan saingan, bijak menguruskan tekanan, memiliki karisma kepimpinan jauh lebih sukar. Ini memerlukan gabungan antara bijak akademik (mampu aplikasi ilmu dalam kuliah) serta bakat yang terserlah.
Soalnya kemahiran ini bukan hanya ada di dalam dewan kuliah dengan sekadar mendengar kuliah para pensyarah. pelajar harus melibatkan diri dengan berbagai aktiviti luar dewan kuliah. Terlibat dengan aktiviti kampus, terlibat dengan politik kampus yang sihat, aktif dalam khidmat masyarakat dan kesukarelawanan, keusahawanan dan sebagainya. kemahiran ini juga tidak diperolehi sekelip mata, sekadar terlibat dalam satu dua aktiviti sahaja. Perlu konsisten dan bersungguh sungguh. Juga tidak cukup sekadar terlibat hanya untuk suka suka, atau hanya untuk melengkapkan LC semata mata!
Tidak salah mengikuti apa juga sijil kemahiran pasca bergraduan, samada di GIATMARA, kolej komuniti, kolej teknikal, atau apa sahaja. Soalnya mengapa tidak segera tingkatkan kemahiran interpersonal semasa di UKM. Tingkatkan nilai diri supaya lebih beketerampilan, bijak berkomunikasi (khususnya bahasa kedua samada bahasa Inggeris, Arab atau Mandarin). Bukankah itu lebih baik dan selari dengan usaha memperolehi ijazah sarjana muda dalam bidang masing masing?
Apapun semuanya terpulang pada diri sendiri, tepuk dada tanya selera. Bagaimana dan apakah yang anda ingin untuk masa depan anda selepas bergraduan nanti? Apapun yang pasti setiap dari anda harus bersedia dari sekarang..saya maksudnya SEKARANG...SELAMAT TAHUN BARU 2013..