Aktiviti khidmat masyarakat dikenalpasti sebagai aktiviti yang paling banyak dianjurkan oleh pelajar UKM sejak dahulu lagi. Malah bagi tahun 2011-2012, rekod di JPPEL menunjukkan aktiviti ini jauh meninggalkan aktiviti aktiviti pelajar yang lain ( hampir 30% aktiviti pelajar UKM adalah dalam bentuk khidmat masyarakat). Manakala 70% lagi adalah aktiviti yang dikongsi oleh kepimpinan, ICT, lawatan sambil belajar, keagamaan, perpaduan, perucapan awam, keusahawanan, inovasi, sukan, keseniaan dan juga badan beruniform.
Dengan kata lain pelajar UKM benar benar berjaya merealisasikan aspirasi pemimpin terdahulu yang membina UKM sebagai sebuah universiti rakyat atau "The People University' di negara ini. Ini juga menunjukan pelajar UKM (tentunya juga dengan sokongan tenaga kerja di HEPA) benar benar telah melaksanakan UKM sebagai sebuah universiti yang ditubuhkan oleh rakyat dan untuk rakyat.
Maka kejayaan pelajar UKM dari segi kuantiti sudah terbukti. Soalnya, bagaimana pula dari segi kualiti penganjuran? atau dari segi keberkesanannya kepada kumpulan sasaran? khususnya kepada masyarakat dan pelajar yang terlibat?
Sejak dahulu khidmat masyarakat mempunyai budaya 'touch and go' dalam penganjurannya. katakanlah, tahun ini persatuan A menganjurkan di kampung X, tahun depan persatuan ini akan di kampung Y dan begitulah seterusnya bertukar tukar tempat sasaran pada setiap tahun. Tujuanya agar lebih banyak kumpulan sasar yang dapat didekati. Jika setiap tahun ada ratusan khidmat masyarakat pelajar UKM yang dianjurkan, maka berubah ubahlah tempat penganjuran tersebut. Temanya juga berbagai. Ada yang berasaskan pendidikan, ada pula berasaskan ekonomi, perubatan dan sebagainya.
Melihat kepada senario ini, timbul pertanyaan, Apa impaknya selain berjaya anjur aktiviti khidmat masyarakat yang begitu banyak? Sukar untuk kita lihat kesannya kertana berubah saban tahun. Cara kerja ini sebenarnya warisan dari bentuk khidmat masyarakat yang diamalkan sejak tahun 1970an lagi.
Ketika itu masih banyak kampung di negara ini, dan kampung maksudnya orang melayu. Era DEB dan perjuangan mahasiswa UKM ketika itu ialah membangunkan orang Melayu yang terpinggir dan ketinggalan di kampung kampung. Hari ini keadaan telah banyak berubah.
Dekad 1980an dan ke atas migrasi Melayu ke bandar telah berlaku dengan pesat. Sekarang orang Melayu sudah ramai di bandar. Ekonomi orang Melayu walaupun masih rendah tetapi jauh lebih baik berbanding dekad 1970an. Hari ini kemiskinan dan kesukaran hidup dihadapi oleh orang kampung dan juga orang bandar. Bukan sahaja Melayu tetapi juga orang Cina dan India.
Malah hari ini semakin ketara isu kanak kanak gelandangan, kanak kanak berisiko tinggi tercicir pendidikan serta maslaha kumpulan ibu ibu tunggal yang terdesak kehidupan mereka yang tinggal di bandar bandar besar. Maka isu kesihatan, hak dan keselamatan hidup, kemiskinan, pendidikan, gejala moral dan sebagainya semakin meruncing di bandar bandar berbanding kampung tradisi.
Bagaimana dengan isu masyarakat kampung? Mereka masih ketinggalan tetapi bukan keperluan mereka untuk mahasiswa jayakan gotong royong dan sekadar bersihkan kubur. Mereka perlukan ilmu dan maklumat tentang banyak perkara. Tentang bagaimana membuat pinjaman perniagaan, bagaimana anak anak mereka memilih kursus pengajian di universiti, bagaimana meningkatkan keselesaan dan penjagaan kesihatan akibat penyakit gaya hidup (lemah jantung, diabetis dan darah tinggi) dan sebagainya. Oleh itu bentuk serta tema khidmat masyarakat mahasiawa UKM harus berubah selari dengan keperluan masyarakat sasaran.
Saya juga melihat bahawa budaya 'touch and go' dalam khidmat masyarakat walaupun baik tetapi impaknya kepada kumpulan sasar agak rendah berbanding dengan aktiviti masyarakat yang bersifat berfokus dan 'berjangka panjang'.
KSU KPT Dato Rahim Mohd Noor pernah menyebut hal ini semasa beliau hadir ke majlis jamuan menghargai peserta khidmat masyarakat anjuran UKM dan KPT di Johor tahun lepas. Menurut beliau, adalah lebih baik jika satu-satu persatuan pelajar di UKM yang ingin mengadakan khidmat masyarakat memilih satu kumpulan sasaran (samada satu kampung, satu taman perubahan, satu NGO seperti rumah anak yatim/orang tua, satu isu seperti anti dadah, anti rokok, HIV dan sebagainya). Seterusnya secara konsisten dan berjangka panjang menjayakan khidmat masyarakat dalam tema tersebut. Ibarat menggunakan kanta pembesar untuk membakar sesuatu, semakin ditumpukan kepada satu titik cahaya matahari, kepanasannya akan lebih terasa berbanding tidak ada penumpuan.
Saya setuju dengan pandangan beliau. Bayangkan kalau di UKM ada 100 persatuan yang saban tahun menganjurkan khidmat masyarakat secara konsisten berkaitan isu, tema atau kumpulan sasar yang terfokus dan sama, maka semakin tinggi keberkesanan yang dapat dicapai melalui khidmat masyarakat tersebut. Ini tentunya memerlukan idea dan sokongan semua pihak khususnya pihak yang menguruskan aktiviti pelajar di UKM.
Bagaimana pula dengan keberkesanan kepada pelajar UKM yang terlibat? kita perlu ada strategi untuk meningkatkan keberkesanan ini. Seperti yang pernah saya sebut dalam tulisan saya yang baru lalu, setiap aktiviti pelajar perlu ada peringkat peringkat pembangunannya sebagaimana aktiviti pasukan PALAPES, SUKSIS, SISPA dan PBSM.
Konsep ini juga terpakai kepada pelajar yang terlibat dengan aktiviti khidmat masyarakat. Bayangkan bila seseorang pelajar telah memilih khidmat masyarakat sebagai ko kurikulumnnya, beliau akan mula melibatkan diri sebagai peserta khidmat masyarakat di tahun satu pengajian. Mungkin dua aktiviti khidmat masyarakat di dalam dan luar kampus pada semester pertama sebagai pendedahan awal. belaiu akan memperolehi 2 kredit (1 kredit x 2 aktiviti) hasil penglibatan dalam dua aktiviti tersebut.
Di semester yang kedua beliau akan terlibat dalam satu aktiviti khidmat masyarakat (bertaraf universiti/kolej/fakulti) dengan memegang jawatan (2 kredit). Di semester ketiga, beliau akan terlibat di peringkat negeri atau kebangsaan (2 kredit), manakala di semester yang keempat beliau akan mula melibatkan diri dalam khidmat masyarakat di peringkat antarabangsa -tidak semesti keluar negara (2 kredit).
Dan setiap pelajar di tahun akhir akan berdaftar sebagai ahli dengan sekurang kurang satu NGO luar kampus bagi meneruskan aktiviti khidmat masyarakat mereka. Malah perlu ada usaha untuk memastikan setiap pelajar UKM yang menjalankan aktiviti ko-k berteraskan khidmat masyarakat memiliki sijil, pengiktirafan atau lesen sebagai seorang sukarelawan profesional.
Jika melihatkan bilangan pelajar yang terlibat dengan aktiviti khidmat masyarakat pada tahun 2011-2012, saya membayangkan UKM mampu mengeluarkan hampir 1,000 sukarelawan berdaftar dengan NGO yang sah pada setiap tahun. Tentunya dalam pelbagai bidang khidmat masyarakat, dari pencinta hidupan liar, pencinta alam sekitar, pendidikan, perubatan dan kesihatan, ICT, dakwah dan agama, hak asasi, hak penguna dan berbagai bidang lagi.
Ilmu yang diperolehi dalam khidmat masyarakat pastinya tidak terhenti sebaik sahaja selesai khidmat masyarakat tetapi berterusan dalam kehidupan mereka jika mereka berdaftar dengan NGO. Lebih manis bila semakin ramai graduan UKM akan terlibat dengan khidmat masyarakat di peringkat antarabangsa samada di Palestine, Afrika, negara negara dunia ketiga dan negara negara yang ditimpa bencana.
Bayangkan sepuluh tahun akan datang jika usaha ini berterusan, jumlah sukarelawan UKM pasti akan mencecah puluhan ribuan orang...hebatkan aktiviti pelajar UKM...