12 December, 2012

MPP-UKM: Tidak Bersatu Bukan Bermaksud Tidak Boleh Bersama


Terus terang saya katakan, senario kepimpinan MPPUKM sesi ini jauh lebih baik dan matang berbanding sesi lepas. Samada disebelah 'GMUKM' mahupun Aspirasi. Kedua-duanya sangat jauh lebih baik. Jika ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya, tidaklah menjadi satu kerisauan pada saya. Ini adalah pemerhatian dan pendirian saya secara ikhlas.

Nampak jelas di mata saya ( saya pasti sebahagian para pelajar UKM juga melihatnya) bahawa pimpinan kalangan MPP ASPIRASI dan MPP 'GMUKM' (tanda '...' maknanya GMUKM masih belum didaftarkan secara sah di UKM) sedang bekerja keras menambat hati para pengundi UKM. Tidak seperti sesi lalu, ASPIRASI sesi ini berusaha gigih untuk memberikan isyarat pada pengundi bahawa undian mereka bukan sia sia untuk ASPIRASI.

Mereka tahu akan tanggungjawab serta keperluan mereka menjalankan peranan mereka secara bersungguh sungguh. Samada ASPIRASI  yang 'memerintah' atau tidak di Pusanika, mereka nampaknya terus melaksanakan amanah mereka. Tahniah buat MPPUKM ASPIRASI. Malah kesempatan meninjau ke laman blog MPP Aspirasi sesi ini, semakin banyak aktiviti yang dilakukan dan semakin aktif mereka 'turun padang' menemui para warga pelajar UKM.

Pada masa yang sama pimpinan MPP 'GMUKM' juga semakin aktif mendekati hati para warga pelajar UKM. Kemenangan mereka dua sesi berturut turut membuka peluang untuk pelajar UKM menilai kemampuan mereka. Jika tersilap langkah atau 'lupa diri', mungkin akan berakhir cita cita membuat 'hatrick' jika PRK 2013 jatuh ke tangan Aspirasi. Masing masing kumpulan berjaya merancang dan melaksanakan berbagai agenda khusunya agenda kebajikan pelajar. MPP Aspirasi dan 'GMUKM' nampaknya bingkas menjuarai isu keselamatan kampus, isu kemudahan bas, isu kewangan pelajar dan kebajikan pelajar kolej.

Antara pimpinan di kalangan MPP Aspirasi dan MPP 'GMUKM' memang tidak akan bersedia untuk bersatu. Sekurang kurangnya itulah senario sejak puluhan tahun politik kampus wujud di UKM. Saya juga tidak melihat apa untungnya jika mereka bersatu. Atas nama untuk mengelak perpecahan? Pada saya, tidak bersefahaman dalam politik bukan semestinya membawa maksud telah berlaku perpecahan. Dalam BN, UMNO dan 14 parti komponen tidak pernah bersatu menjadi satu parti tunggal sepenuhnya.

Walaupun tidak bersatu, ada antaranya dalam BN sejak merdeka telah bersama. Sudah lebih 50 tahun, konsep bersama tanpa perlu bersatu berjaya direalisasikan oleh BN (dulunya Perikatan). Begitu juga dengan konsep dalam Pakatan Rakyat. Parti PAS, DAP dan PKR boleh sahaja bersama, tetapi itu tidak bermaksud mereka akan bersatu sebagai sebuah parti. Dan saya pasti mereka juga tidak pernah ada niatpun untuk bersatu menjadi satu parti pada masa akan datang.

Persaingan dalam berpolitik kadangkala lebih baik sekadar bersama berbanding bersatu. Saya juga maksudkan hal ini dalam politik kampus. Kepelbagaian kumpulan yang saling bersaingan meraih undi, kadang kala lebih memberikan keuntungan pada para pengundi. Walaupun kadangkala ada pandangan mengatakan tiada penyatuan bermakna ada perpecahan dan pepecahan mengundang kerugian. Saya tidak bersetuju 100 peratus pada pandangan itu. Bergantung dalam konteks mana perbincangan itu dilakukan.

Jika ada dua atau lebih kumpulan pelajar yang bersaing untuk menambat hati pelajar demi meraih undi, tentunya yang paling untung adalah pelajar terbanyak. Masalah mereka didengar, isu mereka dibawa ke atas dan seterusnya sentiasa dimaklumkan perkembangannya. Jika hanya ada satu kumpulan (atau semua kumpulan bersatu), bukan sahaja amalan berpolitik akan mati, pilihanraya sebagai bentuk latihan kepimpinan juga tentunya tidak perlu lagi diadakan.

Tinggal lagi politik persaingan harus sihat dan bermaruah. Harus berintergriti dan bersantun. Tiada celaan, fitnah memburukan peribadi lawan, mengheret isu perkauman dan menggunakan kesucian agama untuk tujuan mengambil kesempatan untuk membina rasa bersalah pada lawan dan para pengundi. Maka persaingan politik yang sihat bukan sahaja mengharmonikan kampus malah meningkatkan keupayaan kepimpinan mahasiswa secara positif. Ini adalah bahagian yang paling sukar dilakukan.

Maka pada saya tiada salahnya ada dua atau tiga atau empat kumpulan pelajar yang berpolitik secara sihat dan penuh demokrasi di peringkat PRK UKM. Apa yang penting semua yang berpolitik meletakkan teras perjuangan ialah memartabatkan UKM, berlumba lumba menjaga kebajikan mahasiswa dan menganjurkan aktiviti untuk meningkatkan iman, ilmu dan amal seperti yang yang digagaskan dalam falsafah UKM. Maka jika ada berbagai bentuk kreativiti dan inovasi berpolitik secara bermaruah dalam meningkatkan sokongan para pengundi UKM. Teruskanlah...

Saya sudah lihat bukti bukti awal kebersamaan ASPIRASI, 'GMUKM' dalam cara mereka berpolitik. Malah dalam membuktikan kematangan politik, kumpulan MPP Aspirasi, MPP 'GMUKM' dan juga di kalangan pimpinan JAKSA Kolej Kediaman (yang agak dingin dengan MPP sesi lalu),  atas usaha dan kesedaran sendiri telah berjaya bermesyuarat serta mendapat persetujuan bersama sama untuk berganding bahu mengumpulkan dana sebanyak RM 20,000 serta meningkatkan semangat membantu Palestine di kalangan warga UKM (difahamkan telah mencapai lebih kurang RM21,000 sejak rencana ini mula ditulis).

Tanpa rasa sangsi siapa yang akan 'keuntungan politik' atas usaha murni ini, semua pihak dari kumpulan Aspirasi, JAKSA Kolej, ISIUKM, persatuan Fakulti dan 'GMUKM' bergerak bersama, walaupun mereka tidak bersatu. Saya rasa pimpinan pelajar UKM sudah menunjukan iltizam akan membina politik yang matang di UKM. Tahniah untuk semua. Kesannya mereka berjaya mencapai matlamat pengumpulan dana, semua pihak memberikan sokongan dan ini saat saat yang membangggakan semua pihak khususnya pihak pengurusan UKM.

Tentunya ujian terbesarnya bukan sekarang tetapi bila musim PRK 2013 tiba nanti. Ketika itu sekali lagi semua pimpinan khususnya Aspirasi dan'GMUKM' akan diuji  untuk menunjukkan kematangan politik bermaruah mereka. Sejauh mana pimpinan mahasiswa UKM boleh menunjukan arah baru budaya kepolitikan akan diperhatikan oleh semua pihak. Harapnya nanti bila tiba musim PRK 2013, jangan pula ada kumpulan tertentu yang akan katakan kejayaan pengumpulan dana UKM4Palestin ini adalah usaha mereka sahaja dan menafikan usaha orang lain. Harapnya jangan jadi begitu.

Sehingga tibanya PRK 2013, teruskan usaha memberikan perkhidmatan terbaik pada warga UKM. Saya sebenarnya sentiasa berdoa dan  ingin sekali melihat budaya 'berdebat' yang ada sekarang ditranformasikan menjadi budaya berdiskusi. Misalnya atas tajuk "MEMPERKASA KEBAJIKAN PELAJAR UKM", wakil MPP GMUKM dan wakil MPP Aspirasi dapat membentangkan agenda mereka kepada pelajar.

Dalam berdiskusi tiada yang menang atau kalah. Yang ada ialah gabungan idea terbaik. Cuma pelajar yang menonton dapat melihat kewibawaan idea di kalangan ASPIRASI dan 'GMUKM'. IZISH sejak dulu sentiasa terbuka untuk menjadi tuan rumah kepada diskusi sebegini. Mungkin pimpinan 'GMUKM' dan pimpinan 'ASPIRASI' boleh bersetuju untuk membentang idea mereka di pentas IZISH.

Dalam berdiskusi, tidak perlu salah menyalah antara satu sama lain. Tak perlu menyatakan 'aku benar, engkau salah". Adalah lebih baik membina pemikiran berdiskusi seperti "ini idea dan agenda kami, saudara saudari dengar, lihat dan fikirkan dan bandingkan dengan idea mereka". Pengundi UKM sudah bijak dan mereka boleh berfikir mana yang lebih baik. Biarkan mereka membuat keputusan dan ini satu penghormatan kepada kebijaksanaan pengundi.

Isu Palestin membuktikan pimpinan MPPUKM yang berbeza pandangan boleh bersama. Tentunya tidak sukar untuk semua pimpinan ASPIRASI dan 'GMUKM'  bersama menjadikan persaingan dalam PRK 2013 sesuatu yang dihormati, sekalipun tiada keinginan untuk mereka semua bersatu.....