Izinkan saya memulakan tulisan ini dengan berkata "Bersedekah satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam". Selagi terdaya, kita akan terus bersedekah untuk kemaslahatan umat Islam di seluruh dunia.
Petang tadi selepas solat maghrib, saya bersama sama warga pelajar di Masjid UKM untuk satu majlis penyerahan sumbangan jawatankuasa UKM4Palestine pada wakil Aqsa Syarif Berhad dan wakil Aman Palestin. Semua sumbangan ini kemudiannya akan disalurkan kepada saudara Islam di Palestine.
Saya juga ingin ambil kesempatan di awal penulisan ini untuk merakamkan ucapan tahniah pada sekretariat UKM4Palestine yang telah berjaya mengumpul dana sumbangan berjumlah lebih RM40,000 dari warga UKM Bangi dan KKL serta masyarakat sekitar Bangi, Kajang, Putrajaya dan sebagainya.
Ini satu usaha yang tiada tolok bandingnya dalam menyatakan sokongan kita terhadap perjuangan membebaskan bumi dan rakyat palestine dari cengkaman kaum yang dilaknat oleh Allah swt, iaitu kaumYahudi berideologi Zionis di Israel.
Atas asas keperimanusian dan atas nama kesucian Islam, kutipan dana dijalankan oleh sekumpulan pemimpin pelajar UKM yang berbeza pandangan politik (ISIUKM dan ASPIRASI), berbeza matlamat dan tujuan tertubuhnya persatuan (JAKSA, Persatuan Fakulti) dan atas nama perseorangan telah melakukan sesuatu yang murni dan berani. Mereka berbincang, berpakat dan akhirnya wujud sebuah jawatankuasa bertindak yang bertemakan UKM4Palestine.
Kerana tujuan pakatan ini jelas, berfokus serta ikhlas, mereka berjaya mengumpulkan dana seperti yang diharapkan (malah dengan izin dan rezeki Allah swt, melebihi daripada sasaran awal). Insyaallah semua dana yang terkumpul akan diserahkan kepada badan yang akan menyalurkannya kepada saudara saudara Islam di bumi Palestine.
Tiada kata yang dapat kita bayangkan betapa kejam serta tiada keperimanusiaan manusia yahudi Zionis membunuh, mendera dan menyiksa kehidupan umat Islam termasuk kanak kanak dan wanita di Palestine.Kita membaca umat Islam bukan sahaja ditindas, tersiksa, terpinggir serta dimusuhi di Palestine.
Pada ketika Palestine memerlukan sokongan dan bantuan umat Islam seluruh dunia, kita juga menerima berbagai kisah bagaimana umat Islam dengan begitu sedih disiksa, didera, dibunuh dan diperlakukan dengan begitu sadis di Syria, Rohingya dan beberapa kawasan di Afrika. Semua kisah ini dapat kita tonton di youtube pada setiap hari. Ini juga perlukan bantuan, pembelaaan serta perhatian dari seluruh umat Islam, termasuk juga mahasiswa dan warga UKM.
Tentu sahaja kita boleh mengutip dana setiap kali kisah mereka dihebahkan oleh media. Seperti biasa, setiap kali serangan besar besaran tentera Zionis ke atas Palestine, pasti akan ada usaha kutipan sumbangan dijalankan di negara ini. Sejak dari dulu begitulah caranya. Soalnya sekarang, dengan berbagai isu seperti Rohingya, Syria dan sebagainya, mampukan dana secara besar besaran akan terus dikutip oleh kita?
Maka selain dengan mengumpulkan sumbangan, kaedah lain harus dicari. Kaedah yang lebih konsisten, berterusan serta tidak menghilangkan keinginan penyumbang memberikan sumbangan.
Sudah sampai masanya pelajar UKM yang berusaha mendapatkan dana kepada umat palestine memikirkan sesuatu yang lebih berdaya maju. Di Malaysia kita sudah ada berbagai NGO yang berhubung terus dengan pertubuhan di Palestine. Tetapi kita perlukan lebih banyak NGO yang boleh mengumpulkan dana sebanyak mungkin dan secepat mungkin.
Maka itu, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah perlunya satu bentuk perniagaan/keusahawan sosial yang dipopularkan oleh Muhammad Yunos (penerima Nobel Keamanan) di bumi UKM ini. Pelajar UKM melalui Sahabat Aqsa perlu memulakan perniagaan untuk saudara di Palestine.
Mulakanlah apa juga perniagaan yang mudah dan baik, dari menjual makanan, pakaian terpakai, perkhidmatan dan sebagainya. Keuntungan bersih akan dijadikan sumbangan kepada rakyat Palestine.
Jika dahulu kolej menganjurkan hari keluarga kolej dengan berbagai jualan, pada masa depan hari keluarga kolej seharusnya didedikasikan untuk mengumpulkan sumbangan demi umat Islam di seluruh dunia. Beberapa kolej termasuk IZISH telah memulakannya pada tahun tahun yang lalu. Tetapi aktiviti sebegini sifatnya tidak tekal dan berterusan. Maka sekretariat UKM4Palestine dan Sahabat Aqsa UKM harus diperkasakan agar usaha seperti ini dapat dipertingkatkan.
Kita biasa mendengar nama nama perniagaan seperti Oxfam, The Charity Shop dan sebagainya di barat. Di negara ini usaha ini walaupun ada tetapi masih banyak ruang untuk dipertingkatkan. Semoga pelajar UKM akan mempelopori usaha ini di peringkat IPTA Malaysia.
Sehingga tibanya waktu itu, sekalung tahniah untuk sekretariat UKM4Palestine yang telah mencapai objektif pakatan mereka.