16 July, 2012

Tazkirah 1: Fikirkan Semula "Mengapa Saya Belajar di Universiti?

Sekarang musim cuti semester di UKM. Hanya pada 2 September 2012 nanti, para pelajar baru akan mula mendaftar pengajian mereka. Seminggu kemudian pelajar lama pula akan mendaftar untuk meneruskan pengajian mereka. Buat masa ini kampus UKM sunyi seketika. Cuma tinggal sebilangan pelajar yang membuat pengajian semester pendek dan juga kumpulan pelajar yang membuat perkampungan untuk projek projek persatuan atau kelab masing masing. Selebihnya 'kebisingan' dalam kampus datangnya dari para kakitangan akademik dan pentadbiran yang sentiasa sibuk dengan tugasan masing masing.

Pada pelajar yang masih berpeluang membaca blog ini samada dalam kampus dan di rumah masing masing, elok dan ambil sedikit masa untuk memikir dan membuat penilaian semula tentang mengapa anda belajar di universiti? Mungkin soalan ini kadang kala tidak perlu difikirkan tetapi jika ada yang ingin merenung sejenak dan cuna mencari jawapan yang anda sendiri inginkan, usaha tersebut sebenarnya sesuatu yang bermakna.

Semua orang yang normal mentalnya akan bercita cita masuk ke universiti. Tanyalah sesiapa juga  jika ada antara pembaca yang kurang percaya. Keinginan ini pula bukan datang sekelip mata. Ia telah dibina sejak bertahun tahun lamanya. Malah ada ibubapa yang sudah merancang supaya anaknya masuk ke universiti sejak anaknya masih dalam kandungan lagi..Ada yang lebih awal, berbincang hal-hal ini semasa di alam percintaan lagi. Apa pun ini membawa satu makna yang sama iaitu semua orang ingin masuk ke universiti.

Kini anda sudah berada di universiti. Anda mungkin telah melepasi satu cabaran yang besar dalam kehidupan anda. Anda telah membawa kegembiraan pada ibubapa, saudara mara dan tentunya kepada diri sendiri. Cabaran seterusnya akan bermula di universiti. Cabaran menjadi seorang mahasiswa/i yang cemerlang. Ukuran cemerlang itu bukan sekadar berasaskan PNGK yang melebihi 3.67 semata mata tetapi juga berupaya meningkatkan potensi diri dalam hal hal yang sama pentingnya dengan kecemerlangan akademik.

Anda juga perlu cemerlang dalam pembangunan sahsiah, moral dan kerohanian. Begitu juga cemerlang dalam soal kemahiran berkomunikasi dan memiliki ciri kepimpinan yang tinggi. Malah lebih hebat jika kecemerlangan itu ditandakan dengan berupaya mewakili universiti, kolej atau fakulti di dalam acara sukan, kesenian, debat, inovasi, kesukarelawanan dan sebagainya.

Data pencapaian akademik pelajar di UKM secara umumnya menunjukkan lebih 60% pencapaian pelajar berada dalam lingkungan PNGK 2.5 hingga PNGK 3.33. Ini bermakna lebih separuh pelajar UKM sebenarnya berada dalam kumpulan yang sederhana. Trend yang sama juga berlaku dalam kebanyakan universiti lain di negara ini. Seolahnya seperti satu lumrah bahawa kumpulan yang sederhana adalah kumpulan yang paling ramai dalam komuniti. Anda mungkin bukan yang prestasi sangat lemah (bawah 2.0) tetapi kebanyakan dari pelajar yang prestasi rendah akan berada dalam kumpulan PNGK 2.0 - 2.5. Apakah anda salah seorang daripadanya?

Maka anda harus bertanya kembali pada diri anda, "inikah keputusan yang selayaknya untuk aku?". Apakah aku telah berusaha sebaik mungkin dengan berbagai cara untuk menjadi cemerlang dalam pengajian di universiti? Atau aku 'terlalai seketika" tentang peranan dan tanggungjawab aku selepas beberapa ketika belajar di universiti. Apakah aku sudah hilang fokus dan tertarik dengan perkara perkara lain di kampus? Apakah aku sedar kesilapan atas kelalaian ini? Apakahaku  patut kembali sedar dan insaf akan apa sebenarnya tujuan untuk aku belajar di universiti? Apakah azam untuk semester akan datang? Kepada siapa aku perlu minta bantuan dan bimbingan? Apakah anda terfikir semua persoalan ini? Jika belum, masa yang sesuai untuk mula berfikir sudah tiba dan anda belum terlambat.

Semua orang dijanjikan kejayaan di dunia dan di akhirat oleh Allah swt selagi mana ada iman, usaha, doa dan tawakkal. Kejayaan juga datangnya dari keikhlasan dan kesungguhan dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab.

Semoga tazkirah pendek ini membuka kembali pemikiran pelajar yang membacanya. Kembali beristiqamah dalam mencari kecemerlangan akademik dan  kecemerlangan insan dan mendapat keredhaan Allah swt.. Pada yang terlalai... Anda belum terlambat..

Wassalam....