08 July, 2012

Pemikiran Semula Sistem Latihan Kepimpinan Pelajar di UKM


Kesempatan bersama dengan pemimpin pelajar IZISH dalam Bengkel "Leading Leadership" di Cherating hujung minggu ini membawa saya kepada satu kesimpulan yang penting tentang bagaimana seharusnya saya melihat dan menanggap pemikiran orang muda.

Selama ini dalam kebanyakan masanya, ramai orang mempunyai satu pandangan yang stereotype bahawa orang muda kurang pengalaman dan mereka tidak dapat membawa idea yang besar kepada pembangunan sesebuah organisasi.

Oleh kerana kuatnya mindset sebegitu, acapkali pandangan orang muda walaupun didengari, biasanya tinggal sebagai sesi perbincangan sahaja. Dalam konteks universiti misalnya, pandangan orang muda sentiasa akan di lihat kurang relevan apabila membicarakan agenda mentranformasikan universiti menjadi sebuah unversiti yang unggul. Orang muda akhirnya sekadar menjadi subjek kepada perubahan yang ingin dilakukan, tidak lebih daripada itu.

Saya seperti kebanyakan orang lain pernah juga dulu mempunyai pemikiran sedemikian. Tetapi hal ini telah berjaya saya tangani dengan sentiasa melihat idea orang muda sama pentingnya dengan idea orang lain yang lebih berpengalaman.

Tentunya juga di kalangan orang muda ini pun mempunyai tahap yang berbeza dari segi kualiti penaakulan dan kematangan mereka. Ada yang begitu tinggi hujah mereka dalam sesuatu hal yang besar, ada pun yang hampir tiada idea tentang hal hal yang sama. Misalnya jika kita membicarakan academic freedom, ada pelajar yang bukan sahaja boleh memahaminya secara harfiahnya sahaja tetapi lebih jauh melihatnya secara konstruktif. Tetapi ada yang pangsung tidak memahaminya.

Maka sudah sampai masanya pihak pembuat keputusan sesebuah organisasi membuka ruang yang lebih besar kepada penglibatan orang muda di dalam memberikan sumbangan idea untuk penambahbaikan organisasi. UKM misalnya telah memulakan Konvensyen Mahasiswa UKM sebagai platform penjanaan idea baru dari pemimpin pelajar. Kolej dan fakulti juga sebolehnya boleh juga memulakan agenda yang sama dalam kapasiti masing masing. Setuju dengan pandangan Perdana Menteri bahawa era masa kini, pihak  pengurusan organisasi bukan lagi pihak yang mengetahui semuanya. Kita kena berkongsi dengan semua pihak bekepentingan untuk menjadikan organisasi yang kita wakili terus maju ke hadapan.

Pada masa yang sama pemimpin pelajar juga harus bersedia mentranformasikan diri mereka sendiri. Mereka harus mula berlatih menjana idea yang lebih pragmatik, kemahiran berhujah yang lebih menyakinkan, kemahiran penyediaan kertas cadangan dengan sokongan fakta dan analisis yang lebih komprehensif dan semasa. Jika ini dapat dilakukan maka keberadaan mereka untuk menyumbang idea dalam sesebuah organisasi seperti UKM pasti akan lebih dirasakan. Dan mereka harus banyak membaca...

Atas sebab ini, saya cenderung mencadangkan modul latihan kepimpinan pelajar dan latihan tentang cara mereka memposisikan kepemimpinan mereka dalam kampus UKM perlu disemak dan ditambahbaik. Keperluan ini semakin mendesak jika kita melihat pesatnya perubahan yang sedang berlaku di dalam kampus dan di luar kampus.

Di dalam kampus tranformasi UKM untuk meletakkan UKM sebagai antara universiti terbaik di dunia menjelang 2018 sedang berjalan. Percambahan idea sebagai pengisian menjayakan impian ini sedang berlaku di peringkat tertinggi pengurusan, di fakulti, institut dan kolej kediaman. Soalnya bagaimana hal yang sama didedahkan kepada kepemimpinan pelajar di UKM. Apakah latihan, kursus, bengkel dan dialog yang telah dijalankan memberikan impak kepada pemimpin pelajar di UKM?

Perubahan di luar kampus juga sedang berlaku. Literasi politik, kesedaran pentingnya warga negara berpartisipati dalam agenda pembangunan sedang rancak berlangsung di seluruh pelusuk negara. Jika dulu pihak kerajaan sahaja yang menentukan semuanya apa yang boleh atau tidak boleh dibangunkan, hari ini rakyat juga sudah terdedah kepada menyuarakan pandangan dan tuntutan mereka.

Soalnya sejauh mana pemimpin mahasiswa UKM diberikan latihan untuk melihat perkembangan di luar UKM secara lebih objektif, tidak memihak berdasarkan kepartian politik tetapi lebih kepada mencari kebenaran yang terbaik untuk pembangunan rakyat dan negara.

Kursus pengajian di fakulti tidak menghidangkan 'menu' untuk menyediakan latihan kepimpinan ini pada para pemimpin pelajar. Mereka harus bersedia mencipta ruang dan mencari peluang sendiri untuk meningkatkan kepimpinan mereka. Ruang berpersatuan adalah antara yang terbaik di UKM. Dengan lebih 190 persatuan, kelab, Jaksa dan sebagainya, hampir 3000 pelajar UKM mendapat peluang meningkatkan kemahiran kepimpinan mereka di pelbagai peringkat jawatan yang diwujudkan.

Soalnya bersediakan pemimpin pelajar membuat perubahan dan bersedia menyumbang untuk menjadikan UKM sebagai sebuah universiti yang terbaik di negara ini dan di peringkat antarabangsa? Saya yakin di UKM, kita ada ramai pemimpin muda yang telah bersedia...