Pada 22 Jun lalu saya ada menulis di dalam blog ini tentang pemikiran lama dan budaya kronisme dalam berpersatuan di kalangan pelajar UKM. Ada beberapa email yang saya terima yang menyatakan pandangan mereka. Ada yang bersetuju bahawa budaya kronisme telah lama wujud dalam cara pelajar UKM berpersatuan. Ada juga yang tidak bersetuju kerana pada mereka kerana adanya budaya kronisme inilah persatuan dan kelab dapat terus survive. Terserah pada pembaca untuk menilainya sendiri.
Kali ini saya ingin kongsi pandangan saya tentang kemahiran berorganisasi dan juga perubahan yang perlu dilakukan oleh pemimpin persatuan pelajar UKM. Mungkin ada baiknya saya mulakan dengan sedikit latarbelakang terlebih dahulu.
Apabila UKM mula ditubuhkan pada awal 1970an, tiga fakulti yang menjadi kumpulan pertama ialah Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sastera dan Fakulti Sains. Bilangan pelajar UKM ketika itu tidak ramai. Setiap kali pengambilan baru hanya sekitar 150 orang sahaja.
Pelajar ini kemudiannya mula menubuhkan persatuan pelajar masing masing di fakulti dengan niat untuk menjalankan aktiviti serta menjaga kebajikan ahli masing masing. Persatuan ini kemudiannya bertambah selari dengan perkembangan bilangan fakulti dan jabatan pengajian di UKM. Kemudiannya JAKSA juga ditubuhkan di kolej kolej sebagai badan yang menjaga kebajikan para pelajar kolej kediaman.
Hari ini terdapat hampir 195 buah persatuan, kelab, urusetia dan Jaksa yang diwujudkan di UKM. Semua organisasi ini ditadbir urus oleh JPPEL yang bertindak di bawah arahan HEPA. Ada akta dan peraturan universiti yang dikaitkan dengan perjalanan organisasi pelajar ini. Pada era 1970an , organisasi pelajar UKM bergerak aktif bukan sahaja di dalam kampus malah kadang kala menjangkau hingga ke luar kampus bila berkaitan isu kemasyarakatan dan antarabangsa.
Maka tidak dinafikan bahawa kerangka organisasi, struktur jawatan dan governan persatuan pelajar UKM sangat taksub dan 'terkongkong' oleh kerangka lama organisasi pelajar yang diasaskan pada era 1970an lagi. Malah nama nama jawatan yang ada sekarang juga masih kekal dan terus digunakan sehingga ke hari ini. Ini tidak menjadi satu masalah dan boleh diteruskan tetapi ada isu lain yang lebih besar dan harus ditangani bersama oleh pemimpin persatuan pelajar UKM akibat perubahan yang berlaku dalam masyarakat.
Perubahan Masyarakat dan Impak pada Persatuan Pelajar UKM
Terdapat tiga perubahan besar yang menuntut pemimpin mahasiswa UKM supaya mula segera bermuhasabah dan melihat semula objektif, halatuju dan cara mereka memimpin persatuan di bawah tanggungjawab mereka.
1. Impak globalisasi: istilah ini sangat biasa digunakan hingga kadangkala sudah tidak memberikan kesan kepada pemikiran sesetengah daripada kita. Biar saya permudahkan. Globalisasi boleh bermaksud dalam dua dimensi; fizikal dan maya. Secara fizikal, UKM telah menerima pelajar tempatan dan antarabangsa dari seluruh pelusuk dunia. Pelajar tempatan di era 1970 hampir kebanyakannya datang dari satu kelompok yang hampir sama. Misalnya pelajar ketika itu dari kumpulan ekonomi atasan dan sederhana. Jarang sangat dari kalangan yang sangat sangat miskin. Ketika itu untuk mendaftar sahaja sudah memerlukan wang yang agak besar. Tiada tabung biasiswa yang besar atau PTPTN seperti sekarang. Hari ini pelajar di UKM datangnya dari pelbagai kelompok. Ada yang kaya, sederhana dan miskin. Ada yang normal dan ada yang dari kalangan istimewa dan berkeperluan khas (OKU). Ada yang datang dari bandar besar, desa kampung dan sangat pendalaman. Mereka mempunyai nilai dan pemikiran yang berbeza antara satu dengan yang lain. Begitu juga dengan kehadiran pelajar antarabangsa di UKM yamg tidak ada satu masa dulu. Mereka juga membawa pemikiran budaya, nilai dan cara hidup mereka yang tersendiri ke UKM. Soalnya bagaiman pemimpin persatuan UKM menangani perubahn demografi ini di UKM. Apakah boleh diabaikan begitu sahaja seolah olah tiada perubahan yang berlaku? Atau sudah sampai masanya latihan intensif untuk mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan kepimpinan berkaitan menguruskan keperluan multi kumpulan mula diberikan pada kepimpinan persatuan pelajar UKM.
Secara maya, globalisasi menyebabkan pelajar UKM menerima bermacam maklumat sehingga mereka kadang kala tidak lagi memerlukan sekumpulan pelajar (persatuan pelajar) membantu mereka untuk mendapat penjelasan. Malah jika diteliti hari ini semua pelajar UKM sudah boleh mengemukakan pandangan dan aduan mereka terus kepada pihak pengurusan UKM tanpa perlu melalui persatuan pelajar lagi sebagaimana dahulunya. Kedua-dua perubahan ini (fizikal dan maya) menyebabkan bentuk organisasi persatuan pelajar yang diwujudkan sejak era tahun 1970an sudah tidak relevan sepenuhnya. Atau jika masih kekal, persatuan tersebut akan gagal mendapat keahlian dan kurang sokongan di dalam melaksanakan aktiviti aktiviti kerana tidak selari dengan citarasa serta kehendak kebanyakan pelajar UKM. Hari ini persatuan perlu diorganisasikan mengikut keperluan semasa. Maka tidak hairan bila saya sering mendengar keluhan pemimpin persatuan pelajar yang kesal kerana program mereka tidak ramai yang hadir dan sertai berbanding dahulu. jadi apakah kemahiran baru yang perlu ada pada pimpinan UKM. Misalnya bagaimana dengan pencernaan budaya inovasi, perundingan dan penghasilan lebih banyak role model dapat dijayakan.
2. Impak perubahan nilai politik dan kesaksamaan hak. Persatuan pelajar UKM yang ditubuh di era 1970an sangat terikat dengan pemikiran dan acuan kepolitikan luar kampus. Ketika itu istilah NGO dan 'tea party' mungkin kurang atau tidak pernah di dengari oleh sesiapa pun. Hari ini budaya kepolitikan telah berubah. Masyarakat baru sudah melihat politik dalam konteks demokrasi total dan bukan lagi demokrasi ala-feudalisme. Jika dahulu bila pak menteri atau sebarang orang yang berjawatan penting bertandang ke UKM, segala bentuk keraian dengan protokol yang kadang kala membazir diadakan. Hari ini sudah ada yang berubah. Malah kita dapat lihat betapa santainya YAB Perdana Menteri bila berjamu selera bersama pelajar di Teres Niaga UKM tahun lalu. Malah kehadiran Menteri dan Timbalan Menteri sekarang dilihat penting dan sentiasa dialukan sebagai menyokong mereka menjalankan tugas dan peranan mereka sebagai badan eksekutif untuk kelancaran pengurusan negara. Maka cara kerja persatuan pelajar yang kadangkala 'berlebihan' berprotokol di dalam menerima tetamu tidak lagi menjadi sesuatu yang diutamakan dan acara sedemikian mula dijauhi oleh pelajar terbanyak. Sebaliknya fokus utama ialah kepada menjayakan urusan kerja. Begitu juga dengan soal persamaan hak. Kalau dulu seorang presiden atau Yang Dipertua melihat diri mereka sebagai ketua yang memberikan arahan untuk dilaksanakan oleh anak anak buah, hari ini mereka harus melihat diri mereka sebagai 'pekerja' kepada kesejahteraan pelajar UKM.
3. Impak Kebolehpasaran: Penguasaan ekonomi dunia dalam era selepas millenium dilihat sebagai menjadi milik pihak swasta bukan lagi kerajaan. Kerajaan mula mengecilkan kakitangan baru manakala pihak swasta mula melebarkan pengambilan pekerja baru bagi memenuhi keperluan syarikat mereka. Sayrikat swasta mempunyai budaya kerja mereka sendiri dan kadangkala dikenali sebagai budaya korporat. Pengusaan budaya kerja korporat akan menjadi sesuatu yang sangat penting dan perlu dimulakan lebih awal sebelum seseorang masuk ke alam pekerjaan.Oleh itu pendedahan awal misalnya, komunikasi yang berkesan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah sangat kritikal. dan harus dimulakan di peringkat berpersatuan. Begitu juga kemahiran menyediakan kertas cadangan yang berkesan (pendek dan padat) dan cara berkesan membentangnya. Sebagai orang yang akan pemimpin syarikat, pelajar UKM juga perlu terdedah secara berterusan dengan amalan keberkesanan berorganisiasi, kemahiran membuat keputusan, kemahiran merancang halatuju dan pelan tindakan. Ini semua adalah elemen baru dan sangat penting diterapkan dalam kemahiran berorganisasi semasa berpersatuan di UKM. Malah trend terbaru menuntut kemahiran inovasi, kemahiran membuat engagement, kemahiran perundingan dan sebagainya. Tidak dapat tidak semua hal ini perlukan latihan yang berterusan dari unit yang diberikan tanggungjawab memberikan latihan Kepimpinan dan Keberkesanan Organisasi di bawah JPPEL UKM.
Di dalam era baru ini pelajar UKM khususnya pimpinan persatuan pelajar UKM harus mula mengubah kerangka kerja dan cara mereka berorganisasi supaya selari dan memenuhi tuntutan perubahan yang sedang pesat berlaku dalam masyarakat di luar kampus.