19 July, 2012

Impak Universiti Penyelidikan: Peranan Kolej Kediaman Akan Mula Berubah

Dilaporkan minggu lepas di dalam portal UKM News, pada sesi hadapan UKM telah menawarkan tempat untuk 2,513 orang pelajar pra siswazah. Ini bermakna kurang hampir seribu orang berbanding tahun lepas. Pada masa yang sama jumlah pelajar pasca siswazah akan ditingkatkan sekali ganda. Sebagai contoh dulu pelajar prasiswazah di Fakulti Pendidikan pernah mencapai 1600 orang manakala pelajar siswazah sekitar 500 sahaja. Pada semester ini, angkanya sudah terbalik dengan hanya 600 pelajar pra siswazah dan hampir 1400 pelajar siswazah. Perkara yang sama juga berlaku di semua fakulti lain. Institut pula hanya menerima pelajar siswazah sahaja. Semua senario ini adalah impak dari perlaksanaan agenda universiti penyelidikan (RU).

Di negara ini sekarang lima buah universiti telah di iktiraf sebagai RU iaitu UKM, USM, UM, UPM dan UTM. Secara rasmi UKM adalah universiti pertama diiktiraf sebagai RU walaupun pengumuman agenda RU yang pertama di lakukan di USM beberapa tahun yang lalu. UIA sedang dalam fasa terakhir untuk diiktiraf sebagai RU yang ke enam.

RU penting dalam konteks sebuah negara yang ingin maju ke depan. Selain menjadi peneraju penyelidikan, RU juga berperanan melahirkan graduan pasca siswazah yang berkemahiran dalam bidang penyelidikan. Sehingga kini negara kita mempunyai 22 buah universiti dan ratusan kolej universiti. Semua IPT ini menghasilkan puluhan ribu graduan setiap tahun. Maka menjadi tanggungjawab RU untuk meningkatkan potensi para graduan ini untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Apa impaknya agenda RU  pada kolej kediaman seperti di UKM? Saya ingin kongsi empat impak besar yang tidak dapat tidak akan dirasai oleh pengurusan kolej kediaman dalam menangani gelombang baru ini.

1. Kolej perlu bersedia membuka peluang penginapan yang lebih besar kepada pelajar siswazah: Kolej sejak sekian lama menguruskan pelajar pra siswazah. Malah satu ketika dulu hampir 100% pelajar yang tinggal di kolej adalah pelajar pra siswazah. Hari ini dan akan datang jumlah pelajar siswazah akan bertambah untuk menginap di kolej. Budaya dan keperluan pelajar pra siswazah dan pelajar siswazah adalah berbeza (tanpa menolak ada beberapa perkara yang masih sama). Pelajar siswazah secara umumnya lebih dewasa dari segi umur berbanding pra siswazah. Ada sebahagiannya telah bekerja dan berkeluarga. Sebahagiannya adalah graduan yang terus menyambung pelajaran sebaik tamat ijazah pertama. Oleh itu pihak kolej perlu bersedia meneliti keperluan pelajar siswazah yang akan mula memenuhi kolej kolej kediaman.

2. Aktiviti Pelajar Kolej Akan Berubah: Pertambahan bilangan pelajar siswazah secara langsung akan menyebabkan bentuk aktiviti pelajar di kolej kediaman akan berubah. Pengajian yang berteraskan penyelidikan menyebabkan kebanyakan masa pelajar siswazah akan tertumpu kepada aktiviti yang berteraskan program pengajian. Maka aktiviti aktiviti yang sekarang dianjurkan olej pelajar pra siswazah untuk pelajar di kolej akan menjadi sesuatu yang sukar disertai oleh pelajar siswazah. selain daripada bentuk dan konsep yang tidak selari dengan keperluan mereka, kadang kala aktiviti bukan berteraskan akademik adalah sesuatu yang kurang mendapat sambutan daripada pelajar siswazah. Acapkali mereka lebih berminat dengan aktiviti yang mengutarakan persoalan akademik (seminar, bengkel, penulisan etc) atau program santai tanpa dikaitkan dengan softskills seperti lawatan untuk rekreasi, program silaturahim etc.

3. Pemimpin dan Kepemimpinan Pelajar di kolej juga akan berubah: Pertambahan pelajar siswazah menyebabkan konsep kepemimpinan JAKSA atau MEP akan berubah. Akan ada pelajar siswazah yang memimpin JAKSA pada masa akan datang. Begitun juga dengan pemimpin persatuan, kelab atau urusetia di kolej kolej, hingga ketua blok juga akan mengalami perubahan ini.

4. Peranan felo juga akan berubah apabila perlu menguruskan pelajar siswazah (dalam dan antarabangsa). Selain perlu memiliki idea dan kemahiran berurusan dengan pelajar yang lebih dewasa, pihak pengurusan kolej dan para felo juga perlu memahami keperluan pelajar yang lebih dewasa berbanding pelajar pra siswazah yang sedang mereka uruskan sekarang.

Keadaan ini akan berlaku dalam masa terdekat. Semua kolej akan mula menerima lebih ramai pelajar siswazah. Jika dahulu peratus mereka adalah kecil, pada masa depan peratusan ini akan meningkat berkali ganda. Maka tidak dapat tidak, pengurusan kolej dan seluruh jenteranya harus lebih bersedia dengan cabaran baru ini.