04 July, 2012

Dari Warung Mak Zain ke IZISH Corner: Liku Liku Membina Usahawan UKM



Setahun lalu, saya telah melontarkan idea pada Felo dan MEP ketika itu akan perlunya satu program keusahawanan dilaksanakan di IZISH. Seingat saya, usaha membangunkan pelajar berkaitan program keusahawanan di UKM, sejak sekian lama sering kali ia gagal dilaksanakan.

Ada dua sebab utama yang menyumbang kepada kegagalan ini. Pertama sikap pelajar yang menganggap keusahawanan bukan sesuatu yang menarik untuk disertai. Kedua, keusahawanan sering gagal kerana faktor peruntukan masa yang perlu diberikan untuk menjayakannya. Pelajar seringkali harus agihkan masa untuk belajar dan kegiatan lain semasa di kampus sedangkan menjalankan perniagaan memerlukan komitmen masa yang tinggi.

Sikap pelajar UKM seperti juga pelajar di IPT yang lain telah diasak tanpa sedar bahawa tempat yang paling sempurna untuk mereka bekerja selepas bergraduan ialah dengan bekerja dengan orang lain. Samada dengan jabatan kerajaan atau pun syarikat swasta. Tak kisahlah berapa gaji permulaan yang ditawarkan. Asalkan mereka boleh bekerja dengan orang lain. Itu maknanya menjadi graduan yang berjaya..

Bekerja sendiri walaupun memperolehi pendapatan yang memadai masih dianggap sesuatu yang tidak sempurna di mata graduan. Apatah lagi jika terpaksa berpeluh dan berkerja ibarat pekerja bawahan. Semuanya boleh membawa rasa malu yang sukar digambarkan oleh para graduan.Inilah persepsi yang walaupun makin longgar membalut pemikiran graduan tetapi tetap masih ada. Graduan sukar melepaskan pemikiran mereka dari 'balutan' ini sepenuhnya.

Ini juga sebenarnya menjelaskan mengapa program keusahawanan adalah antara program yang paling sukar berjaya dilaksanakan di UKM dan IPT lain.

Kerana sifatnya yang sukar jugalah saya membuka cabaran ini pada pelajar di IZISH. Berbekalkan bantuan awal dari kolej sebanyak RM 200 dan peruntukan awal JPPEL sebanyak RM500 (pembelian peralatan), sekumpulan pelajar IZISH membuka warung yang dipanggil 'Warung Mak Zain'. Malah nama inipun dikatakan oleh sesetengah warga IZISH kelihatan seperti tidak komersial pada awalnya.

Menunya juga yang mudah mudah sahaja. Jualan seperti fries, keropok, minuman panas dan sejuk dan sedikit roti canai. Paling menarik bila projek ini menambat hati Ybhg TNC HEPA. Sepanjang di buka, dalam kesibukan beliau, tiga kali beliau sudi datang bertanya khabar dan menjamu selera di warung ini. Malah turut sama berbesar hati membawa isteri dan anak anak beliau bersama. Kali terakhir beliau datang bersama Timbalan Pendaftar JPPEL pada malam penutup jualan Izish Corner di akhir sesi. Pada kami di IZISH, sepertinya projek ini sangat istimewa bagi beliau. Begitulah sokongan penuh yang telah beliau berikan pada pelajar yang ingin berusahawan di IZISH.

Semakin hari dengan sokongan felo penasihat Cik Norliza (terima kasih Liza dan rakan felo yang sering membantu), warung Mak Zin bertukar konsep dan namanya juga menjadi IZISH Corner. Menunya juga bertambah dengan citarasa yang semakin baik. Kini sudah ada nasi lemak, nasi goreng, nasi ayam, laksa, soto dan berbagai yang tidak sempat untuk saya ingat semua. Pilihan minuman juga semakin bertambah. Ini menunjukan kemahiran kreativiti dan inovasi pelajar berjalan dengan baik. Malah kumpulan 'peniaganya' juga bertambah menjadi empat kumpulan yang berselang seli berniaga pada setiap minggu. Jumlah ahli yang benar benar berniaga menjangkau hampir 30 orang yang berkongsi ruang masak yang sama pada setiap minggu.


Bilangan pelajar yang menjadi pelanggan juga bertambah, usahawan usahawan muda ini menjadi semakin inovatif dengan menyediakan konsep tempahan awal dan khidmat penghantaran melalui facebook dan sms. Keuntungan juga telah bertambah berlipat kali ganda. Malah modal awal telah berjaya diperolehi kembali dalam masa yang singkat.

Ini semua menjadikan para peserta projek semakin yakin diri bahawa perniagaan boleh mendatangkan pendapatan. Jika pada peringkat awalnya saya dan felo penasihat perlu memujuk pelajar untuk 'terus berjuang' untuk berniaga di warung Mak Zin, pada akhirnya mereka telah punyai kepercayaan sendiri bahawa apa yang mereka lakukan adalah suatu pengalaman yang sangat berharga.

Semangat mereka bertambah tinggi. Jika dulu alasan tiada masa, sibuk dengan urusan lain dan penat, kini semua alasan sebegitu telah hilang. Mereka mula bijak mengaturkan masa, memberikan keutamaan dan semakin strategik. Jika dahulu mengambil pesanan dari pelanggan dalan keadaan yang malu malu, kini mereka sudah boleh berkomunikasi dengan baik dan menyakinkan dengan pelanggan.
Mereka sudah melalui satu pengalaman yang bersifat 'hands on' bukan lagi sesuatu yang bersifat seminar, kursus atau simulasi. Mereka kini telah benar benar berniaga.

Bagi meningkatkan semanagt ini, pihak pengurusan kolej telah siap membina satu gelanggang badminton yang boleh digunakan sebagai ruang berniaga pada malam hari. Lampu dan skrin besar akan dipasang untuk menggalakan perniagaan mereka berkembang. Malah cabaran baru telah saya lontarkan untuk mereka mula berfikir untuk berniaga di luar IZISH atau jika ada persediaan rapi, mulakan perniagaan di luar kampus.

Jika dulu mereka bermula dengan warung Mak Zain yang berubah menjadi Izish Corner dan Izish Catering, apakah sangat mustahil untuk mereka memulakan perniagaan berkonsepkan katering, kafe atau kopitiam di luar kampus? Pada saya tiada yang mustahil..tentunya dengan berkat usaha, tawakal dan doa yang bersungguh sungguh pada yang Esa.