25 July, 2012

Pemimpin Persatuan Pelajar UKM Perlu Kemahiran Baru

Pada 22 Jun lalu saya ada menulis di dalam blog ini tentang pemikiran lama dan budaya kronisme dalam berpersatuan di kalangan pelajar UKM. Ada beberapa email yang saya terima yang menyatakan pandangan mereka. Ada yang bersetuju bahawa budaya kronisme telah lama wujud dalam cara pelajar UKM berpersatuan. Ada juga yang tidak bersetuju kerana pada mereka kerana adanya budaya kronisme inilah persatuan dan kelab dapat terus survive. Terserah pada pembaca untuk menilainya sendiri.

Kali ini saya ingin kongsi pandangan saya tentang kemahiran berorganisasi dan juga perubahan yang perlu dilakukan oleh pemimpin persatuan pelajar UKM. Mungkin ada baiknya saya mulakan dengan sedikit latarbelakang terlebih dahulu.

Apabila UKM mula ditubuhkan pada awal 1970an, tiga fakulti yang menjadi kumpulan pertama ialah Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sastera dan Fakulti Sains. Bilangan pelajar UKM ketika itu tidak ramai. Setiap kali pengambilan baru hanya sekitar 150 orang sahaja.

Pelajar ini kemudiannya mula menubuhkan persatuan pelajar masing masing di fakulti dengan niat untuk menjalankan aktiviti serta menjaga kebajikan ahli masing masing. Persatuan ini kemudiannya bertambah selari dengan perkembangan bilangan fakulti dan jabatan pengajian di UKM. Kemudiannya JAKSA juga ditubuhkan di kolej kolej sebagai badan yang menjaga kebajikan para pelajar kolej kediaman.

Hari ini terdapat hampir 195 buah persatuan, kelab, urusetia dan Jaksa yang diwujudkan di UKM. Semua organisasi ini ditadbir urus oleh JPPEL yang bertindak di bawah arahan HEPA. Ada akta dan peraturan universiti yang dikaitkan dengan perjalanan organisasi pelajar ini. Pada era 1970an , organisasi pelajar UKM bergerak aktif bukan sahaja di dalam kampus malah kadang kala menjangkau hingga ke luar kampus bila berkaitan isu kemasyarakatan dan antarabangsa.

Maka tidak dinafikan bahawa kerangka organisasi, struktur jawatan dan governan persatuan pelajar UKM sangat taksub dan 'terkongkong' oleh kerangka lama organisasi pelajar yang diasaskan pada era 1970an lagi. Malah nama nama jawatan yang ada sekarang juga masih kekal dan terus digunakan sehingga ke hari ini. Ini tidak menjadi satu masalah dan boleh diteruskan tetapi ada isu lain yang lebih besar dan harus ditangani bersama oleh pemimpin persatuan pelajar UKM akibat perubahan yang berlaku dalam masyarakat.

Perubahan Masyarakat dan Impak pada Persatuan Pelajar UKM

Terdapat tiga perubahan besar yang menuntut pemimpin mahasiswa UKM supaya mula segera bermuhasabah  dan melihat semula objektif, halatuju dan cara mereka memimpin persatuan di bawah tanggungjawab mereka.

1. Impak globalisasi: istilah ini sangat biasa digunakan hingga kadangkala sudah tidak memberikan kesan kepada pemikiran sesetengah daripada kita. Biar saya permudahkan. Globalisasi boleh bermaksud dalam dua dimensi; fizikal dan maya. Secara fizikal, UKM telah menerima pelajar tempatan dan antarabangsa dari seluruh pelusuk dunia. Pelajar tempatan di era 1970 hampir kebanyakannya datang dari satu kelompok yang hampir sama. Misalnya pelajar ketika itu dari kumpulan ekonomi atasan dan sederhana. Jarang sangat dari kalangan yang sangat sangat miskin. Ketika itu untuk mendaftar sahaja sudah memerlukan wang yang agak besar. Tiada tabung biasiswa yang besar atau PTPTN seperti sekarang. Hari ini pelajar di UKM datangnya dari pelbagai kelompok. Ada yang kaya, sederhana dan miskin. Ada yang normal dan ada yang dari kalangan istimewa dan berkeperluan khas (OKU). Ada yang datang dari bandar besar, desa kampung dan sangat pendalaman. Mereka mempunyai nilai dan pemikiran yang berbeza antara satu dengan yang lain. Begitu juga dengan kehadiran pelajar antarabangsa di UKM yamg tidak ada satu masa dulu. Mereka juga membawa pemikiran budaya, nilai dan cara hidup mereka yang tersendiri ke UKM. Soalnya bagaiman pemimpin persatuan UKM menangani perubahn demografi ini di UKM. Apakah boleh diabaikan begitu sahaja seolah olah tiada perubahan yang berlaku? Atau sudah sampai masanya latihan intensif untuk mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan kepimpinan berkaitan menguruskan keperluan multi kumpulan mula diberikan pada kepimpinan persatuan pelajar UKM.

Secara maya, globalisasi menyebabkan pelajar UKM menerima bermacam maklumat sehingga mereka kadang kala tidak lagi memerlukan sekumpulan pelajar (persatuan pelajar) membantu mereka untuk mendapat penjelasan. Malah jika diteliti hari ini semua pelajar UKM sudah boleh mengemukakan pandangan dan aduan mereka terus kepada pihak pengurusan UKM tanpa perlu melalui persatuan pelajar lagi sebagaimana dahulunya. Kedua-dua perubahan ini (fizikal dan maya) menyebabkan bentuk organisasi persatuan pelajar yang diwujudkan sejak era tahun 1970an sudah tidak relevan sepenuhnya. Atau jika masih kekal, persatuan tersebut akan gagal mendapat keahlian dan kurang sokongan di dalam melaksanakan aktiviti aktiviti kerana tidak selari dengan citarasa serta kehendak kebanyakan pelajar UKM. Hari ini persatuan perlu diorganisasikan mengikut keperluan semasa. Maka tidak hairan bila saya sering mendengar keluhan pemimpin persatuan pelajar yang kesal kerana program mereka tidak ramai yang hadir dan sertai berbanding dahulu. jadi apakah kemahiran baru yang perlu ada pada pimpinan UKM. Misalnya bagaimana dengan pencernaan budaya inovasi, perundingan dan penghasilan lebih banyak role model dapat dijayakan.

2. Impak perubahan nilai politik dan kesaksamaan hak. Persatuan pelajar UKM yang ditubuh di era 1970an sangat terikat dengan pemikiran dan acuan kepolitikan luar kampus. Ketika itu istilah NGO dan 'tea party' mungkin kurang atau tidak pernah di dengari oleh sesiapa pun. Hari ini budaya kepolitikan telah berubah. Masyarakat baru sudah melihat politik dalam konteks demokrasi total dan bukan lagi demokrasi ala-feudalisme. Jika dahulu bila pak menteri atau sebarang orang yang berjawatan penting bertandang ke UKM, segala bentuk keraian dengan protokol yang kadang kala membazir diadakan. Hari ini sudah ada yang berubah. Malah kita dapat lihat betapa santainya YAB Perdana Menteri bila berjamu selera bersama pelajar di Teres Niaga UKM tahun lalu. Malah kehadiran Menteri dan Timbalan Menteri sekarang dilihat penting dan sentiasa dialukan sebagai menyokong mereka menjalankan tugas dan peranan mereka sebagai badan eksekutif untuk kelancaran pengurusan negara. Maka cara kerja persatuan pelajar yang kadangkala 'berlebihan' berprotokol di dalam menerima tetamu tidak lagi menjadi sesuatu yang diutamakan dan acara sedemikian mula dijauhi oleh pelajar terbanyak. Sebaliknya fokus utama ialah kepada menjayakan urusan kerja. Begitu juga dengan soal persamaan hak. Kalau dulu seorang presiden atau Yang Dipertua melihat diri mereka sebagai ketua yang memberikan arahan untuk dilaksanakan oleh anak anak buah, hari ini mereka harus melihat diri mereka sebagai 'pekerja' kepada kesejahteraan pelajar UKM.

3. Impak Kebolehpasaran: Penguasaan ekonomi dunia dalam era selepas millenium dilihat sebagai menjadi milik pihak swasta bukan lagi kerajaan. Kerajaan mula mengecilkan kakitangan baru manakala pihak swasta mula melebarkan pengambilan pekerja baru bagi memenuhi keperluan syarikat mereka. Sayrikat swasta mempunyai budaya kerja mereka sendiri dan kadangkala dikenali sebagai budaya korporat. Pengusaan budaya kerja korporat akan menjadi sesuatu yang sangat penting dan perlu dimulakan lebih awal sebelum seseorang masuk ke alam pekerjaan.Oleh itu pendedahan awal misalnya, komunikasi yang berkesan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah sangat kritikal. dan harus dimulakan di peringkat berpersatuan. Begitu juga kemahiran menyediakan kertas cadangan yang berkesan (pendek dan padat) dan cara berkesan membentangnya. Sebagai orang yang akan pemimpin syarikat, pelajar UKM juga perlu terdedah secara berterusan dengan amalan keberkesanan berorganisiasi, kemahiran membuat keputusan, kemahiran merancang halatuju dan pelan tindakan. Ini semua adalah elemen baru dan sangat penting diterapkan dalam kemahiran berorganisasi semasa berpersatuan di UKM. Malah trend terbaru menuntut kemahiran inovasi, kemahiran membuat engagement, kemahiran perundingan dan sebagainya. Tidak dapat tidak semua hal ini perlukan latihan yang berterusan dari unit yang diberikan  tanggungjawab memberikan latihan Kepimpinan dan Keberkesanan Organisasi di bawah JPPEL UKM.

Di dalam era baru ini pelajar UKM khususnya pimpinan persatuan pelajar UKM harus mula mengubah kerangka kerja dan cara mereka berorganisasi supaya selari dan memenuhi tuntutan perubahan yang sedang pesat berlaku dalam masyarakat di luar kampus.

23 July, 2012

PC Minggu Mesra Pelajar UKM Perlu Ada Persediaan Awal...

Saya ingin kongsikan satu rencana yang diterbitkan oleh York University tentang situasi yang dihadapi oleh setiap pelajar baru apabila mula belajar di universiti.

UKM akan menerima pelajar barunya pada minggu pertama september depan. Tentunya ini sesuatu yang mendebarkan para pelajar baru ini. Pengalaman ini juga turut pernah dilalui oleh semua PC. Tetapi sebagai satu perkongsian, elok jika setiap PC meningkatkan pengetahuan di dalam menguruskan pelajar baru nanti. Ramai PC tersalah anggap bahawa tugas sebagai seorang PC hanyalah memastikan jadual MMP berjalan dengan lancar. Andaianya, jika membantu semua pelajar baru supaya dapat mendaftar di kolej dan juga kursus di fakulti. Itu sudah memadai berperanan sebagai PC. 

Sebenarnya peranan PC jauh lebih besar. Selain soal pengurusan MMP yang sedia ada, seseorang PC yang baik akan memastikan 'adik-adik' yang baru mendaftar akan sejahtera hidupnya. Mereka perlu dibantu dan dibimbing sehinggalah mereka  dapat menguasai persekitaran baru di UKM. PC memikul tanggungjawab membantu pengurusan UKM untuk menjadikan kehidupan pelajar baharu sentiasa dalam sejahtera berada di UKM (sejahtera maknanya (3S)- seronok, selamat dan selesa). Terima kasih pada semua PC atas usaha dan sumbangan anda pada UKM dan pelajar baru...

The W-curve and the first year of university

Based upon research done with students studying abroad, the W-curve is a predictable pattern of stages which any first year student can experience after arriving at university.
Initially, you may think you have made a mistake in going to university but knowing about the W-curve helps you see culture shock as part of a journey everyone goes through.
Emotions during the first year of university often follow a W-shaped curve

The honeymoon

The honeymoon starts before students first arrive on campus. Although they may also experience some nervousness, the overall feeling is generally one of excitement and positive anticipation. In Freshers' Week there is generally a strong sense of welcoming from the campus community. The initial sense of freedom new students feel is often exhilarating.
It is common though for students to begin to have some feelings of homesickness mixed in with all of the fun and energy of a new beginning.

Culture shock

As the newness of the college culture begins to wear off, new students begin to deal with the reality of all the adjustments they are going through: sharing living areas, meeting people from different backgrounds and cultures. Routine tasks that were taken for granted at home can become problematic chores. Working out where to shop, get a haircut or receive medical attention can create feelings of insecurity and frustration. The less rigid routine of university can also be unnerving.
Students are becoming self-sufficient, establishing identity, and accepting responsibility for their actions. First year students have many personal issues to deal with in addition to focusing on academic work: reworking relationships with parents, establishing new relationships with peers, dealing with conflicting values, separation and its resultant anxiety. It is a period of huge potentially positive change, but also a period of intense personal conflict and anxiety.

Initial adjustment

As initial adjustments are made, new students experience an upswing and sense of well-being having successfully managed issues that have come their way. They fall into a routine as they gain confidence in their ability to handle university life. They feel they have regained control and normality in their lives. Conflicts and challenges may still continue to come and go, but students are now feeling more in the swing of things.

Mental isolation

When students go home, they make comparisons between their university culture and their more familiar home culture. Strong feelings of homesickness begin to surface and it is a time of feeling caught between two worlds. University is still not as comfortable as home used to be but home is not as familiar as it once was.
You may not realize how much you miss home until you have been away for quite awhile. And even then, going home to visit can still leave you feeling homesick for a home environment that no longer seems to exist. Changes may have happened at home too, and not having been there on a day-to-day basis can be upsetting.

Acceptance, integration and connectedness

As you become more involved in university life, gain some history with new friends and get to know academic expectations, you begin to feel a better connection to the campus community. You begin to have a more balanced and realistic view of the university, seeing and integrating the good experiences with the challenges.

Tips for settling in

Take time for reflection

Build in some time every day to just chill out rather than bouncing from one event to the next constantly. It is important to get enough sleep, but also to relax with music, the paper, in a hot bath or doing whatever you like doing.
Taking time out lets you reflect on your new experiences. You may wish to use it to consider decisions about your course, who to spend time with or what to get involved in.

Expect it to be nerve-racking

Remember everybody is finding their feet, however cool and confident they may appear. You are surrounded by people from different backgrounds and of different nationalities, but the one thing everyone has in common is that they are surrounded by strangers and do not want to be rejected.
Anxiety at this stage is completely normal and if you do not find your lifetime friends in the first fortnight, you are certainly not alone. Having a few nerves does not mean you are going wrong.

Maximise the chances of finding people you get on with

Go to things you know you will enjoy. Do not feel you have to keep in with the crowd at all costs. If you have longed to explore different interests or change your image, but not had the chance, university is a great opportunity.

Do not beat yourself up

Do not worry if you are not always at ease socially, or if you say or do something you later regret. Learn whatever lesson is there for you, then forget about it and move on.

Do not bottle up problems

Talk to someone: either a friend, family member or one of the student support teams.

Be organised from the start

University life demands a high level of self-organisation because you have so much freedom. Think about how you divide up your time and get clear how many hours a week of academic work you need to put in. Doing so will help you to make the most of your free time.

Sumber:  https://www.york.ac.uk/students/support/

19 July, 2012

Impak Universiti Penyelidikan: Peranan Kolej Kediaman Akan Mula Berubah

Dilaporkan minggu lepas di dalam portal UKM News, pada sesi hadapan UKM telah menawarkan tempat untuk 2,513 orang pelajar pra siswazah. Ini bermakna kurang hampir seribu orang berbanding tahun lepas. Pada masa yang sama jumlah pelajar pasca siswazah akan ditingkatkan sekali ganda. Sebagai contoh dulu pelajar prasiswazah di Fakulti Pendidikan pernah mencapai 1600 orang manakala pelajar siswazah sekitar 500 sahaja. Pada semester ini, angkanya sudah terbalik dengan hanya 600 pelajar pra siswazah dan hampir 1400 pelajar siswazah. Perkara yang sama juga berlaku di semua fakulti lain. Institut pula hanya menerima pelajar siswazah sahaja. Semua senario ini adalah impak dari perlaksanaan agenda universiti penyelidikan (RU).

Di negara ini sekarang lima buah universiti telah di iktiraf sebagai RU iaitu UKM, USM, UM, UPM dan UTM. Secara rasmi UKM adalah universiti pertama diiktiraf sebagai RU walaupun pengumuman agenda RU yang pertama di lakukan di USM beberapa tahun yang lalu. UIA sedang dalam fasa terakhir untuk diiktiraf sebagai RU yang ke enam.

RU penting dalam konteks sebuah negara yang ingin maju ke depan. Selain menjadi peneraju penyelidikan, RU juga berperanan melahirkan graduan pasca siswazah yang berkemahiran dalam bidang penyelidikan. Sehingga kini negara kita mempunyai 22 buah universiti dan ratusan kolej universiti. Semua IPT ini menghasilkan puluhan ribu graduan setiap tahun. Maka menjadi tanggungjawab RU untuk meningkatkan potensi para graduan ini untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Apa impaknya agenda RU  pada kolej kediaman seperti di UKM? Saya ingin kongsi empat impak besar yang tidak dapat tidak akan dirasai oleh pengurusan kolej kediaman dalam menangani gelombang baru ini.

1. Kolej perlu bersedia membuka peluang penginapan yang lebih besar kepada pelajar siswazah: Kolej sejak sekian lama menguruskan pelajar pra siswazah. Malah satu ketika dulu hampir 100% pelajar yang tinggal di kolej adalah pelajar pra siswazah. Hari ini dan akan datang jumlah pelajar siswazah akan bertambah untuk menginap di kolej. Budaya dan keperluan pelajar pra siswazah dan pelajar siswazah adalah berbeza (tanpa menolak ada beberapa perkara yang masih sama). Pelajar siswazah secara umumnya lebih dewasa dari segi umur berbanding pra siswazah. Ada sebahagiannya telah bekerja dan berkeluarga. Sebahagiannya adalah graduan yang terus menyambung pelajaran sebaik tamat ijazah pertama. Oleh itu pihak kolej perlu bersedia meneliti keperluan pelajar siswazah yang akan mula memenuhi kolej kolej kediaman.

2. Aktiviti Pelajar Kolej Akan Berubah: Pertambahan bilangan pelajar siswazah secara langsung akan menyebabkan bentuk aktiviti pelajar di kolej kediaman akan berubah. Pengajian yang berteraskan penyelidikan menyebabkan kebanyakan masa pelajar siswazah akan tertumpu kepada aktiviti yang berteraskan program pengajian. Maka aktiviti aktiviti yang sekarang dianjurkan olej pelajar pra siswazah untuk pelajar di kolej akan menjadi sesuatu yang sukar disertai oleh pelajar siswazah. selain daripada bentuk dan konsep yang tidak selari dengan keperluan mereka, kadang kala aktiviti bukan berteraskan akademik adalah sesuatu yang kurang mendapat sambutan daripada pelajar siswazah. Acapkali mereka lebih berminat dengan aktiviti yang mengutarakan persoalan akademik (seminar, bengkel, penulisan etc) atau program santai tanpa dikaitkan dengan softskills seperti lawatan untuk rekreasi, program silaturahim etc.

3. Pemimpin dan Kepemimpinan Pelajar di kolej juga akan berubah: Pertambahan pelajar siswazah menyebabkan konsep kepemimpinan JAKSA atau MEP akan berubah. Akan ada pelajar siswazah yang memimpin JAKSA pada masa akan datang. Begitun juga dengan pemimpin persatuan, kelab atau urusetia di kolej kolej, hingga ketua blok juga akan mengalami perubahan ini.

4. Peranan felo juga akan berubah apabila perlu menguruskan pelajar siswazah (dalam dan antarabangsa). Selain perlu memiliki idea dan kemahiran berurusan dengan pelajar yang lebih dewasa, pihak pengurusan kolej dan para felo juga perlu memahami keperluan pelajar yang lebih dewasa berbanding pelajar pra siswazah yang sedang mereka uruskan sekarang.

Keadaan ini akan berlaku dalam masa terdekat. Semua kolej akan mula menerima lebih ramai pelajar siswazah. Jika dahulu peratus mereka adalah kecil, pada masa depan peratusan ini akan meningkat berkali ganda. Maka tidak dapat tidak, pengurusan kolej dan seluruh jenteranya harus lebih bersedia dengan cabaran baru ini.

17 July, 2012

Mendidik Anak: Cara Timur Atau Cara Barat?

Sepanjang hujung minggu ini, sempat 'curi masa' untuk menghabiskan buku yang dibeli tiga bulan yang lalu. Buku kecil tulisan Profesor Amy Chua dari Sekolah Undang Undang Universiti Yale memang telah lama dimasukkan dalam senarai 'mesti baca' untuk bulan Julai ini. Lebih lebih lagi ada dua buah buku baru yang sedang menanti untuk di baca sepanjang bulan ramadan nanti. Pertama oleh Seyyed Hossein Nasr, professor Islamic Studies dari George Washington University bertajuk 'Islam in The Modern World' dan buku kedua oleh John R. Bowen, Profesor Antropologi Agama dari Washington Universty yang bertajuk  "Why The French Don't Like Headscarves: Islam, The State and Public Space".

Buku kecil bertajuk Battle Hymm of The Tiger Mother oleh Profesor Amy Chua ini menarik kerana beliau adalah seorang pengamal undang undang di firma guaman di New York dan kemudiannya bekerja sebagai ahli akademik di sebuah sekolah undang undang di universiti yang hebat seperti Yale.

Juga menarik bila beliau menulis sebuah buku yang bukan dari bidang kepakarannya tetapi dari pengalaman hidupnya sendiri. Malah lebih menarik bila buku kecil ini mendapat perhatian hebat dari majalah besar seperti Time, FER dan Economists.

Perdebatan utamanya ialah cara mana lebih baik di dalam mendidik anak anak hari ini? Cara timur atau cara barat, secara khusus cara Chinese atau cara US? Perbincangan Amy Chua tidak terarah kepada kandungan pendidikan kepada anak anak, terserahlah samada untuk mendidik cara Islam atau apa juga. Apa yang beliau tekankan ialah soal pendekatan, budaya mendidik dan pemikiran kepada apa yang ingin dicapai dalam pendidikan.

Saya ambil satu contoh. Di dalam bab enam : The Virtous Circle, beliau menulis;
"What Chinese parents understand is that nothing is fun until you're good at it. To get good at anything you have to work, and children on their own never want to work, which is why it is crucial to overide their preferences. This often requires fortitude on the part of the parents because the child will resist; things are always hardest at the begining, which is where Western parents tend to give up. But if done properly, the Chinese strategy produces a virtuous circle. Tenancious practice, practice, practice is crucial for excellence; rote repetition is underated in America. Once a child starts to excel at something- whether it's math, piano or ballet- he or she get praise, admiration and satisfaction. This builds confidence and makes the once not- fun activity fun" (ms:29) 

Tulisan beliau mendapat kritikan hebat dari para pengkaji psikologi barat yang mempunyai tradisi psikologi perundingan dengan anak anak. Malah tulisan beliau dianggap telah mencabar tradisi masyarakat barat memdidik anak anak.

Pada masa yang sama ramai juga yang bersetuju pendekatan yang beliau gunakan. Lebih lebih lagi dalam persekitaran masyarakat hari ini yang memerlukan setiap individu cemerlang dan boleh berdikari pada peringkat yang semakin awal dalam kehidupannya.

Saya melihat Islam telah meletakkan asas yang kukuh di dalam pendidikan anak anak. Kesederhanaan menjadi asas dalam pendidikan anak anak muslim. Ambillah satu contoh, bagaimana Islam anjurkan mendidik anak anak supaya kekal disiplin bersolat. Bila anak anak belum ada disiplin dalam bersolat, mulakan dengan nasihat dan bimbingan, seterusnya dengan teguran dan nasihat dan jika masih berdegil barulah dengan kekerasan yang bertujuan untuk memberikan pendidikan (merotan).

Apa pun tidak salah samada ingin melihat cara timur atau cara barat di dalam mendidik anak kita asalkan niatnya mendapat kerehdaan Allah swt...dan didikan tersebut membawa kepada pembinaan seorang muslim yang baik.

JIka ada masa terluang, ambil masa dan bacalah buku kecil setebal 242 mukasurat ini..harganya hanya RM 35.00

16 July, 2012

Tazkirah 1: Fikirkan Semula "Mengapa Saya Belajar di Universiti?

Sekarang musim cuti semester di UKM. Hanya pada 2 September 2012 nanti, para pelajar baru akan mula mendaftar pengajian mereka. Seminggu kemudian pelajar lama pula akan mendaftar untuk meneruskan pengajian mereka. Buat masa ini kampus UKM sunyi seketika. Cuma tinggal sebilangan pelajar yang membuat pengajian semester pendek dan juga kumpulan pelajar yang membuat perkampungan untuk projek projek persatuan atau kelab masing masing. Selebihnya 'kebisingan' dalam kampus datangnya dari para kakitangan akademik dan pentadbiran yang sentiasa sibuk dengan tugasan masing masing.

Pada pelajar yang masih berpeluang membaca blog ini samada dalam kampus dan di rumah masing masing, elok dan ambil sedikit masa untuk memikir dan membuat penilaian semula tentang mengapa anda belajar di universiti? Mungkin soalan ini kadang kala tidak perlu difikirkan tetapi jika ada yang ingin merenung sejenak dan cuna mencari jawapan yang anda sendiri inginkan, usaha tersebut sebenarnya sesuatu yang bermakna.

Semua orang yang normal mentalnya akan bercita cita masuk ke universiti. Tanyalah sesiapa juga  jika ada antara pembaca yang kurang percaya. Keinginan ini pula bukan datang sekelip mata. Ia telah dibina sejak bertahun tahun lamanya. Malah ada ibubapa yang sudah merancang supaya anaknya masuk ke universiti sejak anaknya masih dalam kandungan lagi..Ada yang lebih awal, berbincang hal-hal ini semasa di alam percintaan lagi. Apa pun ini membawa satu makna yang sama iaitu semua orang ingin masuk ke universiti.

Kini anda sudah berada di universiti. Anda mungkin telah melepasi satu cabaran yang besar dalam kehidupan anda. Anda telah membawa kegembiraan pada ibubapa, saudara mara dan tentunya kepada diri sendiri. Cabaran seterusnya akan bermula di universiti. Cabaran menjadi seorang mahasiswa/i yang cemerlang. Ukuran cemerlang itu bukan sekadar berasaskan PNGK yang melebihi 3.67 semata mata tetapi juga berupaya meningkatkan potensi diri dalam hal hal yang sama pentingnya dengan kecemerlangan akademik.

Anda juga perlu cemerlang dalam pembangunan sahsiah, moral dan kerohanian. Begitu juga cemerlang dalam soal kemahiran berkomunikasi dan memiliki ciri kepimpinan yang tinggi. Malah lebih hebat jika kecemerlangan itu ditandakan dengan berupaya mewakili universiti, kolej atau fakulti di dalam acara sukan, kesenian, debat, inovasi, kesukarelawanan dan sebagainya.

Data pencapaian akademik pelajar di UKM secara umumnya menunjukkan lebih 60% pencapaian pelajar berada dalam lingkungan PNGK 2.5 hingga PNGK 3.33. Ini bermakna lebih separuh pelajar UKM sebenarnya berada dalam kumpulan yang sederhana. Trend yang sama juga berlaku dalam kebanyakan universiti lain di negara ini. Seolahnya seperti satu lumrah bahawa kumpulan yang sederhana adalah kumpulan yang paling ramai dalam komuniti. Anda mungkin bukan yang prestasi sangat lemah (bawah 2.0) tetapi kebanyakan dari pelajar yang prestasi rendah akan berada dalam kumpulan PNGK 2.0 - 2.5. Apakah anda salah seorang daripadanya?

Maka anda harus bertanya kembali pada diri anda, "inikah keputusan yang selayaknya untuk aku?". Apakah aku telah berusaha sebaik mungkin dengan berbagai cara untuk menjadi cemerlang dalam pengajian di universiti? Atau aku 'terlalai seketika" tentang peranan dan tanggungjawab aku selepas beberapa ketika belajar di universiti. Apakah aku sudah hilang fokus dan tertarik dengan perkara perkara lain di kampus? Apakah aku sedar kesilapan atas kelalaian ini? Apakahaku  patut kembali sedar dan insaf akan apa sebenarnya tujuan untuk aku belajar di universiti? Apakah azam untuk semester akan datang? Kepada siapa aku perlu minta bantuan dan bimbingan? Apakah anda terfikir semua persoalan ini? Jika belum, masa yang sesuai untuk mula berfikir sudah tiba dan anda belum terlambat.

Semua orang dijanjikan kejayaan di dunia dan di akhirat oleh Allah swt selagi mana ada iman, usaha, doa dan tawakkal. Kejayaan juga datangnya dari keikhlasan dan kesungguhan dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab.

Semoga tazkirah pendek ini membuka kembali pemikiran pelajar yang membacanya. Kembali beristiqamah dalam mencari kecemerlangan akademik dan  kecemerlangan insan dan mendapat keredhaan Allah swt.. Pada yang terlalai... Anda belum terlambat..

Wassalam....

08 July, 2012

Pemikiran Semula Sistem Latihan Kepimpinan Pelajar di UKM


Kesempatan bersama dengan pemimpin pelajar IZISH dalam Bengkel "Leading Leadership" di Cherating hujung minggu ini membawa saya kepada satu kesimpulan yang penting tentang bagaimana seharusnya saya melihat dan menanggap pemikiran orang muda.

Selama ini dalam kebanyakan masanya, ramai orang mempunyai satu pandangan yang stereotype bahawa orang muda kurang pengalaman dan mereka tidak dapat membawa idea yang besar kepada pembangunan sesebuah organisasi.

Oleh kerana kuatnya mindset sebegitu, acapkali pandangan orang muda walaupun didengari, biasanya tinggal sebagai sesi perbincangan sahaja. Dalam konteks universiti misalnya, pandangan orang muda sentiasa akan di lihat kurang relevan apabila membicarakan agenda mentranformasikan universiti menjadi sebuah unversiti yang unggul. Orang muda akhirnya sekadar menjadi subjek kepada perubahan yang ingin dilakukan, tidak lebih daripada itu.

Saya seperti kebanyakan orang lain pernah juga dulu mempunyai pemikiran sedemikian. Tetapi hal ini telah berjaya saya tangani dengan sentiasa melihat idea orang muda sama pentingnya dengan idea orang lain yang lebih berpengalaman.

Tentunya juga di kalangan orang muda ini pun mempunyai tahap yang berbeza dari segi kualiti penaakulan dan kematangan mereka. Ada yang begitu tinggi hujah mereka dalam sesuatu hal yang besar, ada pun yang hampir tiada idea tentang hal hal yang sama. Misalnya jika kita membicarakan academic freedom, ada pelajar yang bukan sahaja boleh memahaminya secara harfiahnya sahaja tetapi lebih jauh melihatnya secara konstruktif. Tetapi ada yang pangsung tidak memahaminya.

Maka sudah sampai masanya pihak pembuat keputusan sesebuah organisasi membuka ruang yang lebih besar kepada penglibatan orang muda di dalam memberikan sumbangan idea untuk penambahbaikan organisasi. UKM misalnya telah memulakan Konvensyen Mahasiswa UKM sebagai platform penjanaan idea baru dari pemimpin pelajar. Kolej dan fakulti juga sebolehnya boleh juga memulakan agenda yang sama dalam kapasiti masing masing. Setuju dengan pandangan Perdana Menteri bahawa era masa kini, pihak  pengurusan organisasi bukan lagi pihak yang mengetahui semuanya. Kita kena berkongsi dengan semua pihak bekepentingan untuk menjadikan organisasi yang kita wakili terus maju ke hadapan.

Pada masa yang sama pemimpin pelajar juga harus bersedia mentranformasikan diri mereka sendiri. Mereka harus mula berlatih menjana idea yang lebih pragmatik, kemahiran berhujah yang lebih menyakinkan, kemahiran penyediaan kertas cadangan dengan sokongan fakta dan analisis yang lebih komprehensif dan semasa. Jika ini dapat dilakukan maka keberadaan mereka untuk menyumbang idea dalam sesebuah organisasi seperti UKM pasti akan lebih dirasakan. Dan mereka harus banyak membaca...

Atas sebab ini, saya cenderung mencadangkan modul latihan kepimpinan pelajar dan latihan tentang cara mereka memposisikan kepemimpinan mereka dalam kampus UKM perlu disemak dan ditambahbaik. Keperluan ini semakin mendesak jika kita melihat pesatnya perubahan yang sedang berlaku di dalam kampus dan di luar kampus.

Di dalam kampus tranformasi UKM untuk meletakkan UKM sebagai antara universiti terbaik di dunia menjelang 2018 sedang berjalan. Percambahan idea sebagai pengisian menjayakan impian ini sedang berlaku di peringkat tertinggi pengurusan, di fakulti, institut dan kolej kediaman. Soalnya bagaimana hal yang sama didedahkan kepada kepemimpinan pelajar di UKM. Apakah latihan, kursus, bengkel dan dialog yang telah dijalankan memberikan impak kepada pemimpin pelajar di UKM?

Perubahan di luar kampus juga sedang berlaku. Literasi politik, kesedaran pentingnya warga negara berpartisipati dalam agenda pembangunan sedang rancak berlangsung di seluruh pelusuk negara. Jika dulu pihak kerajaan sahaja yang menentukan semuanya apa yang boleh atau tidak boleh dibangunkan, hari ini rakyat juga sudah terdedah kepada menyuarakan pandangan dan tuntutan mereka.

Soalnya sejauh mana pemimpin mahasiswa UKM diberikan latihan untuk melihat perkembangan di luar UKM secara lebih objektif, tidak memihak berdasarkan kepartian politik tetapi lebih kepada mencari kebenaran yang terbaik untuk pembangunan rakyat dan negara.

Kursus pengajian di fakulti tidak menghidangkan 'menu' untuk menyediakan latihan kepimpinan ini pada para pemimpin pelajar. Mereka harus bersedia mencipta ruang dan mencari peluang sendiri untuk meningkatkan kepimpinan mereka. Ruang berpersatuan adalah antara yang terbaik di UKM. Dengan lebih 190 persatuan, kelab, Jaksa dan sebagainya, hampir 3000 pelajar UKM mendapat peluang meningkatkan kemahiran kepimpinan mereka di pelbagai peringkat jawatan yang diwujudkan.

Soalnya bersediakan pemimpin pelajar membuat perubahan dan bersedia menyumbang untuk menjadikan UKM sebagai sebuah universiti yang terbaik di negara ini dan di peringkat antarabangsa? Saya yakin di UKM, kita ada ramai pemimpin muda yang telah bersedia...

04 July, 2012

Dari Warung Mak Zain ke IZISH Corner: Liku Liku Membina Usahawan UKM



Setahun lalu, saya telah melontarkan idea pada Felo dan MEP ketika itu akan perlunya satu program keusahawanan dilaksanakan di IZISH. Seingat saya, usaha membangunkan pelajar berkaitan program keusahawanan di UKM, sejak sekian lama sering kali ia gagal dilaksanakan.

Ada dua sebab utama yang menyumbang kepada kegagalan ini. Pertama sikap pelajar yang menganggap keusahawanan bukan sesuatu yang menarik untuk disertai. Kedua, keusahawanan sering gagal kerana faktor peruntukan masa yang perlu diberikan untuk menjayakannya. Pelajar seringkali harus agihkan masa untuk belajar dan kegiatan lain semasa di kampus sedangkan menjalankan perniagaan memerlukan komitmen masa yang tinggi.

Sikap pelajar UKM seperti juga pelajar di IPT yang lain telah diasak tanpa sedar bahawa tempat yang paling sempurna untuk mereka bekerja selepas bergraduan ialah dengan bekerja dengan orang lain. Samada dengan jabatan kerajaan atau pun syarikat swasta. Tak kisahlah berapa gaji permulaan yang ditawarkan. Asalkan mereka boleh bekerja dengan orang lain. Itu maknanya menjadi graduan yang berjaya..

Bekerja sendiri walaupun memperolehi pendapatan yang memadai masih dianggap sesuatu yang tidak sempurna di mata graduan. Apatah lagi jika terpaksa berpeluh dan berkerja ibarat pekerja bawahan. Semuanya boleh membawa rasa malu yang sukar digambarkan oleh para graduan.Inilah persepsi yang walaupun makin longgar membalut pemikiran graduan tetapi tetap masih ada. Graduan sukar melepaskan pemikiran mereka dari 'balutan' ini sepenuhnya.

Ini juga sebenarnya menjelaskan mengapa program keusahawanan adalah antara program yang paling sukar berjaya dilaksanakan di UKM dan IPT lain.

Kerana sifatnya yang sukar jugalah saya membuka cabaran ini pada pelajar di IZISH. Berbekalkan bantuan awal dari kolej sebanyak RM 200 dan peruntukan awal JPPEL sebanyak RM500 (pembelian peralatan), sekumpulan pelajar IZISH membuka warung yang dipanggil 'Warung Mak Zain'. Malah nama inipun dikatakan oleh sesetengah warga IZISH kelihatan seperti tidak komersial pada awalnya.

Menunya juga yang mudah mudah sahaja. Jualan seperti fries, keropok, minuman panas dan sejuk dan sedikit roti canai. Paling menarik bila projek ini menambat hati Ybhg TNC HEPA. Sepanjang di buka, dalam kesibukan beliau, tiga kali beliau sudi datang bertanya khabar dan menjamu selera di warung ini. Malah turut sama berbesar hati membawa isteri dan anak anak beliau bersama. Kali terakhir beliau datang bersama Timbalan Pendaftar JPPEL pada malam penutup jualan Izish Corner di akhir sesi. Pada kami di IZISH, sepertinya projek ini sangat istimewa bagi beliau. Begitulah sokongan penuh yang telah beliau berikan pada pelajar yang ingin berusahawan di IZISH.

Semakin hari dengan sokongan felo penasihat Cik Norliza (terima kasih Liza dan rakan felo yang sering membantu), warung Mak Zin bertukar konsep dan namanya juga menjadi IZISH Corner. Menunya juga bertambah dengan citarasa yang semakin baik. Kini sudah ada nasi lemak, nasi goreng, nasi ayam, laksa, soto dan berbagai yang tidak sempat untuk saya ingat semua. Pilihan minuman juga semakin bertambah. Ini menunjukan kemahiran kreativiti dan inovasi pelajar berjalan dengan baik. Malah kumpulan 'peniaganya' juga bertambah menjadi empat kumpulan yang berselang seli berniaga pada setiap minggu. Jumlah ahli yang benar benar berniaga menjangkau hampir 30 orang yang berkongsi ruang masak yang sama pada setiap minggu.


Bilangan pelajar yang menjadi pelanggan juga bertambah, usahawan usahawan muda ini menjadi semakin inovatif dengan menyediakan konsep tempahan awal dan khidmat penghantaran melalui facebook dan sms. Keuntungan juga telah bertambah berlipat kali ganda. Malah modal awal telah berjaya diperolehi kembali dalam masa yang singkat.

Ini semua menjadikan para peserta projek semakin yakin diri bahawa perniagaan boleh mendatangkan pendapatan. Jika pada peringkat awalnya saya dan felo penasihat perlu memujuk pelajar untuk 'terus berjuang' untuk berniaga di warung Mak Zin, pada akhirnya mereka telah punyai kepercayaan sendiri bahawa apa yang mereka lakukan adalah suatu pengalaman yang sangat berharga.

Semangat mereka bertambah tinggi. Jika dulu alasan tiada masa, sibuk dengan urusan lain dan penat, kini semua alasan sebegitu telah hilang. Mereka mula bijak mengaturkan masa, memberikan keutamaan dan semakin strategik. Jika dahulu mengambil pesanan dari pelanggan dalan keadaan yang malu malu, kini mereka sudah boleh berkomunikasi dengan baik dan menyakinkan dengan pelanggan.
Mereka sudah melalui satu pengalaman yang bersifat 'hands on' bukan lagi sesuatu yang bersifat seminar, kursus atau simulasi. Mereka kini telah benar benar berniaga.

Bagi meningkatkan semanagt ini, pihak pengurusan kolej telah siap membina satu gelanggang badminton yang boleh digunakan sebagai ruang berniaga pada malam hari. Lampu dan skrin besar akan dipasang untuk menggalakan perniagaan mereka berkembang. Malah cabaran baru telah saya lontarkan untuk mereka mula berfikir untuk berniaga di luar IZISH atau jika ada persediaan rapi, mulakan perniagaan di luar kampus.

Jika dulu mereka bermula dengan warung Mak Zain yang berubah menjadi Izish Corner dan Izish Catering, apakah sangat mustahil untuk mereka memulakan perniagaan berkonsepkan katering, kafe atau kopitiam di luar kampus? Pada saya tiada yang mustahil..tentunya dengan berkat usaha, tawakal dan doa yang bersungguh sungguh pada yang Esa.

02 July, 2012

Perlunya Pemikiran Baru Dalam Kursus JAKSA di UKM

Saban tahun tanpa gagal, semua kolej kediaman UKM akan menganjurkan kursus JAKSA. Berbagai nama digunakan untuk kursus ini. Selain nama asalnya kursus organisasi JAKSA, terdapat juga kolej menamakan kursus kepimpinan JAKSA, Sanggar Kerja JAKSA dan sebagainya. Apapun nama yang diberikan isi kandungan program sebenarnya hampir sama sahaja.

Sejak dahulu tiga teras utama kursus ini ialah;
1) mendedahkan pimpinan JAKSA yang baru dilantik dengan sistem governance UKM dari peringkat atas hinggalah ke peringkat paling dasar. Dikaitkan juga dengan aspek hala tuju, falsafah dan tranformasi UKM. Turut didedahkan dengan prosedur terkini dan peraturan yang berkaitan dalam penganjuran aktiviti.

2) meningkatkan semangat kerja berpasukan (team building) di kalangan ahli JAKSA.

3) Merancang aktiviti untuk dianjurkan oleh setiap JAKSA pada sesi hadapan.

Tujuan teras ini kekal sejak dahulu dan dilihat masih relevan dengan keperluan JAKSA pada hari ini. Bagaimanapun, ada perlunya beberapa pemikiran baru diberikan pada pasukan JAKSA kolej kediaman di dalam kursus seperti ini. Misalnya jika dulu tiada FB dan email, yang melambatkan aduan penyelengaraan dan kerosakan, hari ini semua aduan boleh terus dihantar oleh pengadu kepada pihak TNC HEPA, JPP dan unit perumahan. Malah hari ini kepengetuaan juga selalu berhubung dengan pelajar melaui FB.

Apakah JAKSA harus tidak berubah dan kekal seperti dahulu? Isu kebolehpasaran misalnya semakin mencengkam graduan, apakah yang sepatutnya JAKSA lakukan untuk membantu pada pelajar UKM yang akan bergraduan di dalam menghadapi situasi sektor pekerjaan yang tidak menentukan dalam masa sekarang dan masa depan. Isu literasi politik semakin diperlukan oleh para pelajar. Isu hak asasi, isu kepenggunaan, isu kesihatan dan sebagainya juga perlu ditanggani oleh JAKSA pada hari ini. Bagaimanakah semua hal ini atau sebahagian daripadanya dapat digabungjalin dalam kursus JAKSA?

IZISH sendiri akan menganjurkan kursus seumpamanya ini di Cherating Pahang pada 6-8 Julai 2012. Bagaimanapun tahun ini ada perubahan format dan pengisian yang cuba dilakukan untuk memantapkan lagi pasukan MEP yang akan memimpin pelajar IZISH pada sesi depan. Kursus yang bertemakan "LEADING LEADERSHIP' akan  dibahagikan kepada tiga fasa utama;

1. Fasa Pra Kursus: Modul Percambahan Idea (2-5 Julai bertempat di IZISH)
Fasa ini akan memberi peluang untuk ahli MEP dengan bantuan Felo dan ALP (mantan  MEP dan pengarah projek MEP) mencari maklumat tentang tiga perkara.
      i) Aktiviti aktiviti pelajar yang dianjurkan oleh 100 buah universiti terbaik di dunia.
     ii) Aktiviti pelajar yang dianjurkan oleh universiti penyelidikan dan IPTS terkenal dalam negara.
    iii) Saranan, kehendak dan keperluan kemahiran graduan yang selalu diutamakan oleh majikan.

2. Fasa Kursus : Modul Pembinaan Pasukan di Cherating Pahang pada 6-8 Julai 2012)
Fasa ini akan mendedahkan pelajar kepada i) Apa itu MEP/JAKSA? ii) bagaimana berfungsi sebagai MEP/JAKSA? Malah kali ini majlis felo IZISH telah berjaya menerbirkan satu buku "MANUAL PENGANJURAN AKTIVITI JAKSA KOLEJ" hasil dari bengkel felo kolej kediaman yang telah diadakan di Hotel Residence baru baru ini. Manual ini akan memberikan bimbingan yang lebih sistematik kepada semua ahli JAKSA yang dilantik untuk menjadi seoarang JAKSA dan bersedia untuk menganjurkan program di kolej.

3. Fasa Pasca Kursus: Modul Strategi dan Perancangan Aktiviti 
Fasa ini akan memberikan tumpuan kepada perbincangan apakah aktiviti aktiviti yang dikategorikan sebagai berimpak tinggi untuk IZISH. Selain itu sesi penyediaan proposal projek juga akan dijalankan. Turut diselaraskan ialah strategi pemasaran dan penjanaan kewangan untuk membiayai projek, sesi pembentangan projek oleh MEP kepada Felo dan kepengetuaan. Hasil akhirnya ialah semua projek hasil dari idea pelajar akan diperhalusi, ditambahbaik dan seterusnya bersedia untuk dihantar ke JPPEL untuk tujuan kelulusan. Manakala bagi yang akan memohon untuk LC, pelajar akan berurusan dengan pihak PAP. Hasil akhir yang kedua ialah TAKWIM penganjuran aktiviti Kolej yang akan dicetak dan diedarkan kepada semua pelajar yang akan mendaftar di IZISH pada sesi depan. Semoga takwim ini akan membantu semua pelajar merancang masa mereka dengan lebih baik.

Melihat kepada semua usaha dan perancangan ini, diharapkan aktiviti pelajar di IZISH pada sesi depan bukan sahaja akan lebih teliti dan terancang malah akan benar benar memenuhi makna "aktiviti pelajar berimpak tinggi".

Terima kasih rakan rakan felo, juga pada semua Ahli Lembaga Pengarah MEP dan diucapkan selamat memimpin buat pasukan MEP IZISH 2012-2013...


p/s : 2.30 pagi...Sejurus sebelum bermulanya pertandingan akhir antara Sepanyol dan Itali....