26 January, 2014

PERPADUAN IDAMAN RAKYAT MALAYSIA

  1. Semua rakyat Malaysia mengimpikan perpaduan. Dari pucuk kepimpinan, pekerja, ibubapa hinggalah anak anak, semuanya bila diajukan mahukah kepada perpaduan, pasti mereka akan berkata "saya mahukan perpaduan".
  2. Kita semua mengharapkan perpaduan menjadi satu realiti dalam kehidupan di negara ini.
  3. Kita semua inginkan orang Melayu, Cina, India, Iban, Bidayuh, Kadazan,Dusun dan seluruhnya berpadu sebagai rakyat Malaysia. Kita diajarkan melalui lagu Negaraku, Rukunegara, lagu lagu patriotik, sistem pendidikan dan berbagai lagi alat penyatuan untuk kita saling bersatupadu.
  4. Maka sejak merdeka pada 31 Ogos 1957, impian perpaduan inilah ditanamkan dalam minda dan perasaan setiap warga negara ini. Kita semua diasuh dan dididik supaya bersamalah untuk mencapai perpaduan.
  5. Persoalannya, adakah betul kita faham dan tahu apa itu perpaduan? Apakah negara kita ini boleh mencapai perpaduan? dan apakah kita sedang bergerak ke arah tersebut?
  6. Perpaduan bermaksud menjadi satu, homogen dan tidak berbeza. Mencapai perpaduan bermakna tiada lagi perbezaan antara kita. Tidak ada lagi bezanya Melayu, Cina atau India. Yang ada hanya orang Malaysia atau jika simboliknya bangsa Malaysia.
  7. Perpaduan bermakna kita semua sama. Tidak ada lagi istilah keistimewaan bagi orang melayu dan tidak ada lagi istilah bukan Melayu. Perpaduan membawa kita kepada satu yang secara realitinya tiada yang membezakan samada secara undang undang, dokumentasi dan status siapa kita. Maka ketika dan saat di mana semua pihak menerima persamaan tersebut, perpaduan tersebut tercapai.
  8. Sekarang kita tanyalah samada kondisi ini ada di dalam negara kita. Adakah kita semua sama secara statusnya? Adakah kita akan berkata tidak kepada pertanyaan tersebut kerana sejarah warga kita tidak sama. Jika orang melayu merasakan mereka lebih warga sifatnya dari orang Cina atau India maka kondisi ini telah melupuskan makna untuk mencapai maksud perpaduan (menjadi satu). Jika orang Cina merasakan bahasa ibundanya jangan sekali kali dipinggirkan, maka di manakah perpaduan yang ingin dikecapi?
  9. Mustahil di negara ini untuk hanya wujud satu agama, satu bahasa, satu budaya di Malaysia. Betul kita ada agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan, bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan, malah kita ada baju kebangsaan dan sekolah kebangsaan, tetapi jangan kita lupa kita juga membenarkan wujudnya segala macam kepelbagaian, bukan sekadar sekolah Cina dan Tamil sahaja malah cuti rasmi yang rencam di Malaysia juga sudah cukup menjelaskan kita tidak mampu mencapai perpaduan untuk menjadi satu.
  10. Jadi perpaduan yang kita idamkan adalah satu retorik semata mata. l;atar sejarah menjadikan rakyat kita rencam. Bukan sahaja sejarahnya berbeza, agama, bahasa, budaya, cara berfikir malah sifat sifat kemasyarakatannya juga berbeza antara Melayu, Cina, Indoia, Iban, Dusun dan sebagainya. Nyatalah kita tidak sama. Kita tidak ada keupayaan untuk mencapai perpaduan (menjadi satu) kerana kita tidak mahu atau bersedia untuk berkorban apa yang kita miliki sebagai identiti kita semata mata untuk perpaduan.
  11. Orang Melayu mahu kekal dalam alamnya, begitu juga Cina, India atau sebagainya. Kerencaman ini adalah realiti sosial masyarakat Malaysia. Kerencaman ini sekaligus membuktikan usaha usaha untuk menjadi perpaduan sebagai satu agenda yang ingin dicapai itu satu impian semata mata.
  12. Jika kita tidak boleh mencapai perpaduan, apa yang boleh kita katakan tentang rakyat Malaysia. jawapnya kita di Malaysia mempunyai cara lain selain menjadi satu (perpaduan). Kita mempunyai sifat hidup bersama secara berakomodasi (kekal dalam alam/budaya masing masing tetapi bersedia bertolak ansur dan menghormati alam/budaya kumpulan lain).
  13. Maka keupayaan untuk saling menghormati dan bertolak ansur ini yang sedang kita amalkan sekarang. Selagi mana sifat dan rasa hormat menjadi teras maka selagi itulah keamanan dinikmati oleh semua. Inilah RAHSIA yang perlu diketahui oleh semua rakyat kita di negara ini. Budaya menghormati dan bersedia untuk bertolak ansur dengan kepelbagaian ini.
  14. Di dalam keadaan kita semua hidup bersama, pasti akan timbul kontradiksi. pasti akan sekali sekala berlaku perbezaan pandangan, tindanlapis pendapat serta pertentangan idea. Oleh itu, kita harus menggalakan lebih banyak program "penyatupaduan" bukan untuk tujuan membina perpaduan yang satu tetapi membina kesepaduan yang menraikan kerencaman.
  15. Maka semua rakyat malaysia harus diberikan ilmu, pendidikan dan sejarah berkaitan kepelbagaian etnik agama, kelas sosial, bahasa dan sebagainya. perlaksanaan kelas bahasa mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan adalah satu contoh baik bagaiman usaha ini dilaksanakan.
  16. Perbincangan perbandingan agama di IPT juga adalah satu usaha yang seharusnya digalakkan. Begitu juga program silang budaya antara kaum dan etnik. Anak anak kita perlukan didikan tentang hal ini.
  17. Pendidikan ini bukan sekadar di bilik darjah. Pendidikan ini juga datangnya dari perilaku pemimpin politik negara. Sejauh mana ahli politik kita faham makna toleransi dan tolak ansur. Faham erti saling menghormati dan meraikan kepelbagaian ini. pendidikan juga datang dari media, dari ibubapa, dari guru dan dari ahli masyarakat yang lebih dewasa.
  18. Maka dalam keinginan mencapai kehidupan bersama, kita sudah lebih 50 tahun telah tersalah memahaminya. hari ini kita harus mulakan dengan memberikan makna yang tepat kepada sasaran kita..sebenarnya bukan perpaduan untuk menjadi satu tetapi kesepaduan meraikan kerencaman.