18 January, 2014

Sistem Nilai Dan Budaya Hidup Dalam Kampus Universiti

Universiti adalah gedung ilmu. Itulah mantra yang selalu kita dengar sejak kita kecil. Kita digambarkan bahawa universiti tempat terhimpunnya segala maklumat, laporan, buku, dokumen, tenaga pemikir dan ahli dalam pelbagai bidang ilmu. Jika ingin menjadi bijak pandai, tempatnya ialah di universiti.

Di universitilah, kita diberikan keyakinan sejak dahulu bahawa kita akan menjadi seorang yang pandai. Mantra ini kekal dalam pemikiran kita, malah menjadi mantra mustajab kepada mereka yang tidak berpeluang belajar di universiti. Ibubapa yang tidak berpeluang belajar di universiti sentiasa bercita cita anak anak mereka akan belajar di universiti.

Kita juga diberikan kepercayaan bahawa seseorang yang tamat pengajian dan keluar dari universiti akan hebat pemikirannya. Kita juga telah diberikan kepercayaan bahawa hasil penguasaan ilmu dalam pengajian di universiti, mereka ini pasti akan hebat perilaku dan adabnya, hebat emosinya serta hebat sahsiahnya.

Tetapi apabila perkara sebaliknya berlaku, bila sahsiah, perilaku dan pemikiran seseorang graduan universiti tidak lagi sehebat mantra yang selalu kita didengarkan, kita mula tertanya-tanya dan mencurigai apakah ilmu yang dipelajari menjadi.

Bila ada graduan universiti yang terlibat dengan rasuah, perilaku tidak bermoral dan ketirisan nilai murni dalam kehidupan beragama, kita jadi keliru. Apa sudah jadi dengan ilmu yang dipelajari di universiti.

Di barat, sejak awal abad ke 17, hal ini telah dibangkitkan. Khususnya selepas berlakunya revolusi perindustrian di Eropah. Mereka di barat juga telah melalui kekeliruan yang sama malah masih berlaku sehingga hari ini, mereka masih dalam kekaburan. Kita juga sama. Bila apa yang kita diyakinkan dan diberikan kepercayaan, tetapi yang berlaku sebaliknya. Kita juga jadi keliru. Bagaimana untuk kita memahami kekeliruan ini? malah lebih besar, bagaimana kita dapat menyelesaikan isu ini?

Salah satu yang sering ditegaskan ialah sesebuah universiti perlu beri keutamaan untuk bangunkan, kukuhkan dan amalkan sepenuhnya satu sistem nilai tinggi dalam hidup masyarakat kampus. Sistem nilai ini harus merentas semua kumpulan warga kampus. Dari pengurusan tertinggi hinggalah kepada yang terendah. Para pengurus universiti, ahli akademik, kakitangan pentadbiran, pekerja pekerja universiti, para pelajar dan para pelawat yang mengunjungi universiti.

Apakah sistem nilai tinggi? Paling mudah difahami ialah kehidupan yang menghormati fitrah. Sistem nilai tinggi meletakkan fitrah sebagai asas keputusan dan pengamalan. Misalnya, fitrah manusia suka pada kebersihan, bersederhana, cintakan keamanan, keadilan, menjunjung amanah, menghormati manusia lain dan seumpamanya. Secara kolektif, kita harus bersama untuk melaksanakan pendidikan kepada warga kampus untuk kembali kepada fitrah?

Ambil satu contoh mudah. Buang sampah ke dalam tong sampah adalah fitrah manusia yang sukakan kebersihan. Di universiti perilaku ini tidak perlu kepada papan tanda "Sila Buang sampah di dalam Tong sampah" sebagaimana adanya papantanda di luar kampus. Manusia kampus wajib di didik dan mengamalkan sistem nilai tinggi. Mereka dididik supaya tidak buang sampah merata rata bukan kerana adanya peraturan universiti yang berkata demikian tetapi kerana fitrah. kerana sifat manusia yang mempunyai sistem nilai tinggi sukakan kebersihan. begitu juga dengan pembaziran. Hari ini banyak bilik kuliah, bilik pelajar di kolej, hatta bilik bilik persyarah yang terbiar lampu terpasang dan penghawa dingin tidak dihentikan walaupun tiada penghuni di dalam bilik (termasuklah terpasang walaupun tanpa penghuni sepanjang cuti hujung minggu). Hakikatnya  Fitrah manusia tidak suka kepada pembaziran. Tetapi budaya pembaziran tetap berlaku.

Banyak lagi (sebenarnya tersangat banyak) contoh contoh perlunya ditingkatkan usaha warga kampus mengamalkan sistem nilai tinggi ini (bukan sekadar membawa maksud budaya makan beradab atau memakai pakai mengikut kesesuaian majlis sahaja).

Mematuhi peraturan jalanraya, menghormati perbezaan pandangan, meraikan majlis ilmu, keinginan meningkatkan kemahiran, menghormati pelanggan di kaunter perkhidmatan, tidak melakukan vandalisme terhadap harta universiti (buku perpustakaan, perabot bilik kediaman dan seumpamanya).

Itulah bezanya antara nilai nilai hidup di kampus universiti dengan persekitaran di kilang, pasaraya atau sebagainya. Universiti meletakkan nilai ilmu dalam pengamalan melalui sistem nilai tingginya.

Di universiti kita diajar menghormati seseorang kerana ilmunya, bukan kerana pangkat atau kekayaan. Di universiti kita diajar boleh berbeza pandangan, tetapi mencintai perbezaan tersebut. Tidak membenci atau berdendam dengan sesiapa pun yang berpandangan berbeza dengan kita. Di universiti kita diajar mencintai majlis ilmu, bukan majlis hiburan yang berlebihan.

Di universiti kita akan melihat semua orang sibuk membaca, berbincang di mana mana. Kita akan lihat semua orang sibuk menulis, merekacipta dan menjalankan inovasi. Semua orang saling bantu membantu, lengkap melengkapi untuk menyokong usaha orang lain.

Sehingga tibanya waktu itu, dimana ilmu menjadi tunggak sistem nilai tinggi, kita di universiti tidak lebih dari sebuah kilang pengeluar 'barangan' yang bernama graduan.