01 February, 2014

MENGAPA SAYA SOKONG PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)..?


1. Walaupun Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dikritik begitu hebat oleh para guru, ibubapa dan para pelajar, saya secara peribadi masih melihat perlaksanaan PBS sesuai di dalam sistem pendidikan negara.  Ada tiga alasan yang mewajarkan sokongan saya terhadap PBS;

2. Pertama, semua negara yang berada di tiga negara terbaik sistem pendidikan mereka melaksanakan pendekatan yang hampir sama dengan PBS. Mereka (misalnya Sweden) telah 20 tahun melaksanakan sistem ala-PBS.

3. Di tahun 1990an, ketika Malaysia dengan kebanyakan negara membangun bercakap soal pendidikan berteraskan teknologi dan ICT serta 'mengagungkan' langkah dan polisi pendidikan bagi mendepani globalisasi, sistem pendidikan di Sweden, Finland dan Norway tidak teruja dengan semua itu.

4. Mereka sudah menggerakan pendidikan berasaskan inovasi dan keusahawanan sebagai asas pembangunan pendidikan mereka. Mereka sejak 20 tahun lalu sudah menangkap dengan jelas bahawa mendepani globalisasi harus diperkukuhkan pendidikan inovasi dan keusahawanan pada setiap individu pelajarnya.

5. Walaupun pahit dan menghargai usaha generasi terdahulu, kita kena mengakui bahawa akibat kegagalan para pakar pendidikan dan pengubal dasar pendidikan negara, kita di Malaysia sudah ketinggalan 20 tahun di belakang negara terbaik di dunia dalam bidang pendidikan, walaupun secara infrastruktur pendidikan kita sudah semakin baik tetapi kita tidak boleh anggap prasarana pendidikan semata mata boleh menjamin kualiti pendidikan menjadi yang terbaik. Dasar pendidikan yang tepat dan berpandangan jauh juga sangat penting dilakukan.

6. Pengubal dasar pendidikan kita yang terdahulu nampaknya gagal dalam hal tersebut. Penilaian pendidikan secara berterusan ala-PBS telah terbukti berjaya di Sweden dan negara negara Scadinavia yang lain. Kita harus mengorak segera langkah atau kita akan terus ketinggalan.

7. Alasan kedua, dalam melaksanakan pendidikan yang murni, sebenarnya tiada istilah gagal. Yang ada ialah kemajuan. maka kita akan melihat ada pelajar yang kemajuannya sangat pantas (istilah lama pandai), ada yang sederhana kemajuan dan ada yang kemajuannya perlahan (dulu kita gunakan istilah lemah) dan ada yang perlu dibantu kemajuannya dengan kaedah pembelajarn yang betul (dulu kita gunakan istilah gagal).

8. Dulu istilah pandai, lemah atau gagal menjadi katakunci dalam penilaian. Semua ibubapa gembira bila anaknya mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan, kononnya anaknya sangat pandai, ada ini menyumpah dan kecewa dengan anak yang mendapat markah yang rendah.

9. Mereka ini juga di labelkan sebagai 'bodoh' oleh para guru. Malah dianggap gagal oleh sistem pendidikan. Saya menolak cara lama sistem pendidikan yang menilai pelajar dengan memberikan label berjaya, lemah dan gagal. saya menyokong PBS sebagai satu kaedah baru  yang memberi peluang pelajar memajukan diri secara berterusan.

10. Alasan ketiga, ilmu pengetahuan manusia sepatutnya  tidak dipecahkan secara berkotak kotak. Tetapi itulah yang berlaku. Secara sejarah, pemecahan amalan disiplin ilmu hasil pemikiran sekular pendidikan barat selepas revolusi industri.

11. Mereka di barat dahulunya telah mengasingkan ilmu ketuhanan dan hidup beragama dari ilmu kemanusiaan dan hidup berasaskan pemikiran kapitalis yang mementingkan modal. Kita warisi melalui pengekalan sistem pendidikan kolonial British.

12. Pemikir pendidikan kita tidak pernah mempertikaikan kewajaran kita mewarisi sistem pendidikan kolonial. Mereka sekadar mempertikai ilmu dalam kotak kotak disiplin sahaja. Misalnya matapelajaran sejarah harus dilihat dari kacamata tempatan dan bukan penjajah. maka ditukarkan Tuk Janggut, Tok Bahaman dan sebagainya sebagai pejuangan nasionalis Melayu yang dulunya dilabelkan sebagai pemberontak oleh British.

13. Jika adapun usaha untuk menolak pewarisan ilmu berasaskan disiplin barat ialah apa yang telah dilakukan oleh Prof Syed Naquib al Attas di dalam beberapa penulisan beliau di bawah tema 'Pengislaman Ilmu Barat". Pada saya, perlaksanaan PBS mempunyai pemikiran awal untuk melihat dan menilai potensi pelajar secara holistik. berbanding cara lama yang begitu rigid menilai secara berkotak kotak ilmu yang diajarkan disekolah.

14 Pada masa depan pelajar kita harus dididik menguasai ilmu secara holistik, menyeluruh dan mengunakan semua apa yang dikuasai untuk meningkatkan kemahiran inovasi, keusahawanan, moral dan pengurusan diri.

15. Mereka bukan lagi perlu mahir matematik, geografi, sejarah, bahasa Inggeris, ICT dan sebagainya secara terpisah pisah seperti sekarang (dunia negara ketiga masih kukuh dengan cara ini, negara membangun seperti Malaysia sedang berubah dan negara maju khususnya di Scaninavia telah berubah sepenuhnya).

16. Majikan syarikat Malaysia hari ini semakin ramai menerima para eksekutif dari negara maju. Mereka mempunyai kepercayaan bahawa eksekutif dari negara maju jauh lebih baik dari eksekutif tempatan. Paling kurang pun, para majikan lebih cenderung mengambil eksekutif tempatan yang mendapat pendidikan di negara maju.

17. Bayangkan 20 tahun lagi, jika kita tidak bersedia menyediakan sistem pendidikan yang kompetatif dengan negara maju, apakah negara kita akan hanya dipenuhi dengan eskpertariat dari negara maju yang mengemudikan syarikat syarikat besar di Malaysia semata mata dasar pendidikan tidak mampu menghasilkan kualiti sumber manusia yang diharapkan oleh sektor pekerjaaan?

18. Tentulah PBS masih banyak kelemahannya, khususnya dari sudut perlaksanaan, latihan guru dan teknikal. Ramai guru yang menolak PBS kerana beban tambahan kerja yang mereka terpaksa tanggung, ramai yang tidak bersedia dengan PBS kerana sudah selesa dengan sistem penilaian yang lama.

19. Ramai ibubapa yang menolak PBS kerana tidak memahami tujuan besar bagi meningkatkan potensi anak anak mereka. Mereka juga lebih selesa dengan sistem lama dan sudah sebati dan serasi dengan rutin harian mereka. Secara teknikal, PBS memang banyak kelemahan dan perlu segera ditambah baik. Jika tidak penolakan akan terus berlaku sehingga fokus dan tujuan asal yang baik sudah tidak dilihat lagi.