08 January, 2014

Graduan UKM: Bersediakah Untuk Berkata "Saya Masih Belum Bekerja?"

Beberapa hari lalu saya menerima senaskah Laporan Kajian Pengesanan Graduan UKM 2012. Dokumen ini adalah laporan tahunan yang diterbitkan oleh Pejabat Perhubungan Alumni UKM. Seingat saya, laporan ini bermula pada tahun 2007 ketika rakan saya Prof Madya Dr Ramli Omar (sekarang pengetua KAB) memegang amanah sebagai Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM yang pertama. Sejak itu, setiap tahun laporan ini akan dikeluarkan. Pada setiap tahun juga saya meneliti dan membaca laporan ini secara terperinci.
 
Apakah yang sepatutnya berlaku selepas dokumen ini dikeluarkan? Pada saya semua pihak di UKM khususnya fakulti dan kolej, perlu mengambil data data ini untuk dianalisis serta dicari jalan penyelesaian bagi beberapa isu yang ditimbulkan. Tetapi seingat saya, hal ini tidak pernah berlaku. Maksud saya secara konsisten pada setiap tahun. Tiada siapa pun peduli akan peri pentingnya dokumen ini.
 
Pada saya, dokumen Laporan Kajian Pengesanan Graduan UKM ini penting kerana ialah adalah input menyeluruh yang diperolehi dari semua pelajar yang bersedia untuk berkonvokesyen. Jumlah responden sangat besar iaitu seramai 6,789 orang. Mereka selaku graduan UKM 2012 telah memberikan input untuk digunakan bagi meningkatkan kualiti graduan selepas mereka.
 
Paling menarik untuk diteliti dalam dokumen ini ialah kadar graduan UKM 2012 yang telah bekerja dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian di UKM. Sebagai satu perbandingan, pada 2011, kadar graduan yang telah bekerja dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian di UKM ialah 62.21%. malangnya, kadar ini menurun pada 2012 kepada hanya 58.58%. Dan jika ditolak pelajar siswazah (PhD dan sarjana), peratus pra-siswazah yang telah bekerja dalam tempoh enam bulan selepas graduan jauh lebih rendah iaitu hanya 50.56%.
 
Maknanya, hanya separuh sahaja graduan prasiswazah UKM yang bergraduan pada 2012 telah bekerja selepas enam bulan tamat pengajian, dan peratus graduan prasiswazah wanita yang  tidak bekerja jauh lebih besar  berbanding graduan lelaki.
 
Jika kita tolak graduan bidang pengajian kritikal seperti perubatan, farmasi dan pergigian, kadar yang telah bekerja dari bidang sains sosial, pendidikan, sains, teknikal dan teknologi maklumat jauh lebih rendah lagi.
 
Satu perkara yang agak unik ialah bila diteliti status responden yang telah bekerja dengan tahap pencapaian akademik (di mukasurat 24 laporan), kita akan dapati bilangan pelajar yang berpencapaian rendah (PNGK 2.00-2.49) lebih ramai yang telah bekerja berbanding yang berpencapaian tinggi (3.67-4.00) atau (73.94% berbanding 43.82%)!
 
Jika angka dan kadar ini benar, dan jika responden memberikan input yang tepat, ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di sini! Bagaimana pula pelajar yang berprestasi rendah lebih ramai yang telah bekerja berbanding dengan pelajar yang berpencapaian tinggi? Atau sememangnya begitu?

Saya tidak percaya bahawa yang berpencapaian rendah telah memperolehi pekerjaan di bawah kelayakan akademik kerana data jenis pekerjaan (ms 31) menunjukkan 71.6% yang bekerja adalah dalam kategori profesional dan 68% graduan telah memperolehi gaji/pendapatan bulanan antara RM2000-RM5000.
 
Apa pun, paling utama kita kena akui prestasi kebolehpasaran graduan UKM masih kurang memberansangkan. Dengan kadar kebolehkerjaan hanya 50.56%, warga UKM khususnya pelajar harus mempunyai perancangan yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah ini.
 
Sebagai satu perbandingan, kadar kebolehpekerjaan graduan peringkat kebangsaan berdasarkan Laporan Kajian Pengesanan Graduan IPT 2010 oleh pihak Jabatan Pengajian Tinggi ialah 72%, dengan UTP di Tronoh mencatat kadar tertinggi iaitu 92% graduannya bekerja dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
 
UKM perlukan lebih banyak perancangan untuk menjana kebolehpasaran mahasiswanya. Isu komunikasi dalam bahasa Inggeris masih dianggap isu paling utama. Selain itu kurangnya jaringan dengan pihak majikan semasa tempoh pengajian juga menjadi cabaran pada pelajar UKM.
 
Bagaimana dengan program keusahawanan? Saya punya pandangan yang berbeza. Pada saya, tidak semua pelajar minat dengan keusahawanan. Keusahawanan bukan sesuatu yang boleh dilakukan oleh semua orang. Oleh itu program keusahawanan bukanlah penyelesaian jitu dalam mengekang isu kebolehpasran mahasiswa. ia sekadar satu sokongan atau alternatif semata mata.
 
Maka isu pemantapan bahasa kedua (bahasa Inggeris), isu membina jaringan dengan bakal bakal majikan seawal memulakan pengajian di UKM dan juga keupayaan menguruskan kemahiran melalui program pembangunan diri mesti diperhebatkan oleh para pelajar UKM.
 
Tanpa menafikan isu kebolehparasan juga ditentukan oleh prestasi ekonomi negara. Jika di era ekonomi berkembang dengan pesat, kadar kebolehpasaran meningkat begitu tinggi kerana pasaran kerja yang terbuka luas. Jika ekonomi menguncup dasn meleset, sebaliknya akan berlaku.
 
Apapun, persediana untuk bersaing mendapat pekerjaan mestilah bermula dari sekarang. Jika anda sebagai pelajar UKM tidak lakukan sekarang, anda perlu bersedia untuk mengisi ruang "Masih Tidak Bekerja" di dalam borang Kajian Pengesanan Graduan apabila anda berkonvo nanti. Apakah anda ada pilihan lain? Saya yakin pastinya tidak ada...