(1) Dalam kerjaya saya, saya berpeluang meneliti tentang hubungan etnik di Malaysia. Tentang bagaimana hubungan ini terbentuk, berkembang dan berhadapan dengan cabaran dan ujian. Malaysia telah, sedang dan akan sentiasa diuji dalam hal ini. Dulu, kini dan juga pada masa akan datang. Hubungan etnik di Malaysia adalah antara fenomena kemasyakatan yang komplek di dunia. Ibarat satu makanan yang di dalam punya terlalu banyak ramuan. Sehingga kita sukar untuk memisahkan setiap satu ramuan tersebut. Inilah Malaysia, sebuah negara ramuan majmuk dalam bentuk dan rasanya yang tersendiri. dan sehingga kini, kita masih mampu bertahan.. soalnya sampai bila?
Biar saya permudahkan.
(2) Era sebelum dan semasa kerajaan Kesultanan Melaka, tidak ada istilah orang Cina dan India. Tidak juga ada istilah orang Arab atau yang lain. Yang ada ketika itu ialah istilah Melayu berasakan suku suku etnik. Ada Melayu Banjar. Melayu Bugis, Melayu Siak, Mandailing, Sumatera, Melaka,Kedah, Johor, Jawa dan sebagainya.
(3) Manakala yang datang dari negara China pula di panggil orang Canton, Kwantung, Peking, Hainan dan Hakka. Yang datang dari negara India dipanggil orang Goa, Ceylon, Tamil Nadu dan sebagainya. Ada juga yang datang dari Burma, Parsi dan Nepal. Istilah suku atau etnik diambil dari mana asalnya asal mereka. Belum wujud istilah kaum ketika itu.
(4) Bila British menjajah dan mentadbir negeri-negeri yang asalnya diperintah oleh etnik Melayu (Melayu Kedah, Melaka, Johor, Pahang etc), mereka mula perkenalkan istilah ras/kaum Melayu, Cina dan India mengikut fahaman mereka. Stamford Raffles adalah perancangnya. Kuasa Inggeris secara jelas mula membezakan kaum kaum melalui dokumen rasmi banci penduduk, dokumen undang-undang dan surat kuasa mereka, siapa itu Melayu, Cina dan India berasaskan dari mana asal mereka, bahasa, agama dan budaya mereka.
(5) Maka istilah dan kategori KAUM mula wujud semasa penjajahan Inggeris. Berasaskan kategori kaum inilah kemudiannya Inggeris mendaftarkan dan merekodkan nama nama sekolah Melayu, Cina dan Tamil di negara ini. Begitu juga diiktiraf rumah ibadat secara kaum identiti mereka dan diiktirafkan agama agama mereka. Melayu-Islam, Cina-Buddha dan India-Hindu. Dengan ini istilah KAUM (individu) berkembang menjadi proses PERKAUMAN.
(6) Bila Tanah Melayu mula mencapai kemerdekaan, lalu dibina dasar dasar yang secara jelas mengenalpasti kaum dan mengiktiraf perkauman ini. Sekolah vernakular diiktiraf sebagai sekolah Cina untuk kaum Cina, sekolah Tamil untuk kaum India dan sekolah Melayu untuk kaum Melayu. Inilah bentuk PEMERKAUMAN (institusi) yang paling awal terbentuk di negara ini.
(7) Pemerkauman bermaksud secara rasmi diiktiraf dan diwujudkan institusi untuk membina dan mengukuhkan identiti kaum tertentu secara eksklusif. Misalnya, diwujudkan identiti BUMIPUTERA-BUKAN BUMIPUTERA. Ini juga adalah satu proses pemerkauman di mana kaum kaum telah dikategorikan dan diinstitusikan melalui DEB.
(8) Hari ini, fenomena pemerkauman telah dikembangkan. Misalnya, apabila ada kajian akademik menunjukkan ada syarikat bukan Melayu dilaporkan tidak mahu menerima graduan Melayu. Atau ada syarikat Melayu yang tidak mahu menerima graduan bukan Melayu. Ini juga adalah satu bentuk pemerkauman. Tetapi jika ada keadaan bukan Melayu tidak berminat dengan kerja polis atau tentera, itu bukan satu pemerkauman. Kerana semua kaum digalakkan untuk sertai, cuma jika tidak berminat itu adalah pilihan individu.
(9) Apakah pemerkauman sesuatu yang negatif? Tidak juga. Misalnya apabila JHEOA ditubuhkan untuk menjaga kebajikan masyarakat orang asli, itu juga satu proses pemerkauman, yang positif. Apabila orang Melayu-bumiputera yang miskin (pada 1970 hanya ada ekuiti 2% dan orang Cina kuasai 60% kekayaan negara), dan diperkenalkan DEB untuk membantu mereka, ini adalah satu proses afirmatif (juga pemerkauman yang posiitif) dan perlu di lakukan. Tetapi jika Melayu atau Cina yang kaya dibantu melalui DEB, istilah affirmatif dan pemerkauaman positif sudah tidak terpakai lagi.
(10) Bagi Malaysia yang ingin maju selepas 2020, apakah isu kaum, perkauman dan pemerkauman ini akan terus membelenggu masyarakat kita? Saya fikir.. ya, ia akan terus wujud dan membelenggu minda kita.