04 February, 2014

"UKM: Guardian of The Nation"


{I}
Apabila UKM ditubuhkan secara rasmi pada 18 Mei 1970, maka ter-absahnya Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bukan sekadar bahasa pengantar. Sejak itu juga, suara suara keraguan "mampukan bahasa Melayu pergi lebih jauh sebagai bahasa ilmu?" semakin pudar dan hilang.

Di era 1970an hingga akhir 1980an, para sarjana UKM dalam semua bidang ilmu sehati sejiwa bertungkus lumus menyakinkan masyarakat bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu.
Hari ini bahasa Melayu sudah pun diterima sepenuhnya sebagai bahasa ilmu. Tiada keraguan lagi.  Tinggal lagi sejauh mana sarjana UKM sekarang bersedia mempertahankan bahasa Melayu ini untuk terus kekal sebagai bahasa ilmu. Itu masih satu persoalan yang belum terungkap pada saya. Hari ini aspirasi dan semangat UKM sebagai simbol perjuangan bahasa Melayu itu tetap kekal walaupun semaraknya tidak lagi seperti dahulu. ATMA yang dulunya IBBKM, adalah satu nama besar dalam perjuangan bahasa Melayu di negara ini satu masa dahulu. Hari ini kita sedikit agak janggal untuk menyebut institut ini sebagai simbol perjuangan bahasa Melayu. Kerencaman iltizam organisasinya dengan berbagai KPI seperti melenturkan kejituan teras dan aspirasi kewujudan ATMA yang asal. Ini pandangan dari kaca mata luar. Dari dalam hanya mereka di ATMA sahaja yang lebih tahu. UKM dahulunya adalah Guardian of The Nation dalam konteks menjaga kemajuan bahasa Melayu dan memartabatkan budaya kebangsaan. Jika itu dahulu, Bagaimanakah  sifat dan bentuk UKM sebagai "Guardian of The Nation" pada hari ini dan masa depan?
+++


{II}
"Guardian of the Nation" kini satu mantra baru di UKM. Saya seperti juga warga UKM gembira dengan mantra ini. Ringkas tetapi maknanya sangat mendalam. Tahniah buat Naib Canselor ke 10 UKM yang memperkenalkannya kepada warga UKM dan di luar UKM. Menyebut sahaja mantra ini pun seperti sudah ada sesuatu yang menarik tentangnya. Semangat "Guardian of the Nation" memang setepatnya digunakan oleh UKM, apatah lagi sebagai sebuah universiti berstatus kebangsaan. Pasti mantra ini akan kekal beriringan dengan  nama UKM pada masa depan.

Guardian of the Nation boleh membawa banyak maksud, bergantung pada perspektif pengucapnya. Guardian boleh sahaja membawa maksud pegawal, penjaga, penaung, pemegang amanah, penyimpan atau pelindung. Semuanya tepat bergantung kepada apakah konteks bila digunakan. Saya suka menggunakanya sebagai membawa maksud pelindung dan penunjuk haluan. UKM pada saya adalah pelindung identiti bangsa dan budaya Malaysia dan penunjuk jalan kepada kemajuan negara Malaysia.Oleh itu pada saya biarlah makna Guardian of The Nation untuk UKM dikongsi secara bersama mengikut pemahaman masing masing tanpa perlu tidak diberikan satu makna top-down dan homogenous. Biarlah setiap warga UKM meneliti, memikir dan menterjemahkan makna Guardian of The Nation" mengikut keinginan dan keazaman masing masing. Apa yang pasti, pada akhirnya semua warga UKM akan merasai 'roh' UKM adalah sebuah institusi yang melakarkan semangat Guardian of The Nation.Bagaimana semangat Guardian of The Nation ini dapat dipupuk dalam jiwa warga UKM? Secara akademik, beberapa pemikir dalam bidang nasionalisme, patriotism dan negara bangsa telah meneliti konsep "sense of belonging" atau rasa kesepunyaan ini. Bacalah buku buku seperti. Anthony Smith (1996), Eriksen (1997), Gellner (1983), Anderson (1997) dan Kymlicka (2002) yang menulis soal memupuk rasa sayang, bangga dan cinta pada sesuatu institusi, sesebuah bangsa mahupun sesebuah negara. Membaca semua bahan bahan penulisan mereka dan ramai pengkaji yang lain pasti membuka minda kita untuk memahami asas asas 'kesepunyaan yang boleh dipupuk dalam warga UKM.
Saya permudahkan sahaja iaitu;
1. Pengukuhan Jatidiri Warga melalui pengetahuan sejarah UKM dan sumbangan UKM yang lalu.
Setiap warga UKM harus mula memahami sejarah penubuhan UKM dan bagaimana kisah ini bermula di awal awal tahun 1930an. Pelajar baru misalnya harus diberikan maklumat sejarah UKM sebagai langkah permulaan menjadi penyumbang kepada Guardian of The Nation di sepanjang pengajiannya. Kita perlu lebih banyak ruang di UKM untuk diletakkan papan papan maklumat dalam pelbagai bentuk mengisahkan tentang UKM, tentang sumbangan UKM dan tokoh tokoh UKM. Kita harap adanya taman taman dan lanskap terbuka di dalam UKM yang mengisahkan sejarah penubuhan UKM dengan rekaan yang kreatif (tentunya dengan tajaan pihak luar atau alumni untuk pembinaannya).
2. Perkongsian ilmu dan kemudahan UKM dengan masyarakat dan pemain industri.
Sebagai sebuah institusi yang ingin diingati sebagai "Guardian of the Nation", kita harus mula berfikir dan menganjak paradigma kita bahawa UKM adalah milik rakyat seluruhnya. Ini permulaan kepada keterbukaan kita di UKM menerima ahli masyarakat sebagai tanda kita di UKM diamanahkan sebagai 'penjaga bangsa". Ilmu kita tidak boleh berhenti di dalam jurnal penyelidikan. Mesti terus kepada menyelesaikan isu dalam masyarakat sebagai hasil akhir penyeldikan tersebut. Jika pelajar menganjurkan aktiviti pula, tidak boleh lagi sekadar ingin beraktiviti di dalam kampus sahaja tetapi mestilah di kongsi dalam masyarakat, sekurang kurangnya di sekitar Bangi.
3. Penjenamaan UKM sebagai Guardian of The Nation harus melalui penyebaran maklumat UKM secara agresif di media. Kita, warga UKM  tidak boleh mengesahkan bahawa UKM adalah "Guardian of The Nation". Yang boleh mengesahkannya ialah masyarakat di luar UKM. Sangat perlu secara agresif segala sumbangan dan maklumat di dalam UKM disebar-luaskan ke dalam masyarakat. Media konvensional (suratkhabar, televisyen dan majalah) walaupun masih boleh digunakan, bukanlah kaedah yang paling berkesan selain kosnya yang mahal. UKM harus mula mencari medium medium baru berkos murah untuk menyebarkan aktiviti UKM. Blog, FB, twitter dan seumpamanya masih boleh dianggap separa konvensional hari ini. Kita perlukan mediun yang lebih maju dan berkesan dari ini semua. Paling berkesan ialah penjenamaan mantra Guardian of The Nation ini bila dilakukan "dari mulut ke mulut". Setiap warga UKM harus faham dan fasih menerangkan UKM sebagai Guardian of The Nation kepada sesiapa sahaja di luar UKM.
4. Perkongsian Segala Pencapaian UKM dengan masyarakat luar kampus.
Di UKM, secara tradisi semua kejayaan kita kita raikan di dalam kampus. Jarang dan hampir tidak berlaku kita kongsi kejayaan kita di luar kampus. samada  di komuniti bandar, di kampung atau di balai raya perumahan. Kita masih dengan cara lama, kejayaan kita, urusan kita. Kita harus berubah, kepada cara cara baru meraikan pencapaian UKM misalnya "Ini kejayaan kita, UKM dan anda!
5. Penglibatan Alumni UKM.
Guardian of the Nation perlukan bukti bukti yang jelas bahawa UKM benar benar begitu sifatnya. Di UKM kita sudah ada 163,000 alumni. Bagaimana mantra ini dapat dikuasai dan disebarkan oleh alumni bahawa UKM benar benar Guardian of The Nation. Alumni UKM adalah bukti bukti paling nyata akan hal ini. Jika semua alumni ikutserta, tidak lama untuk mantra ini benar benar sebati dalam pemikiran masyarakat Malaysia. Soal mengapa UKM perlu menjadi Guardian of The Nation tidak perlu kita debatkan lagi. Kita juga tidak perlu mempertikaikan apa itu Guardian of the Nation untuk UKM. Apa yang perlu kita lakukan bersama di UKM samada pihak pengurusan, pensyarah, kakitangan dan pelajar ialah menjawab soalan bagaimana masyarakat boleh memperakui bahawa UKM adalah Guardian of The Nation sesegera yang mungkin.