22 January, 2013

Bila Tun Dr. Mahathir Berbicara...

Menonton Bicara Minda Tun Dr. Mahathir bertajuk "Masa Depan Melayu dan Islam selepas PRU13" di Dewan Karangkraf melalui siaran Astro AWANI sepatutnya memberikan kita satu 'pencerahan minda'. Seperti biasa, sejak dahulu beliau akan memulakan ucapannya dengan  sejarah bangsa dan sejarah negara, khususnya berkaitan orang Melayu. Beliau tak akan terlepas  untuk menggunakan sejarah bangsa sebagai pembuka bicara.

Saya tak berhajat mengulas tentang politik semasa untuk kali ini, biarlah saya mengulas tentang hal lain, yang pada saya lebih penting dan lebih perlu diselesaikan oleh orang Melayu. Lebih lebih lagi pelajar Melayu.

Ada dua perkara yang menjadi buah bicara Tun Mahathir dalam rancangan tersebut, Pertama, tentang sikap, budaya serta perangai orang Melayu. Kedua, tentang survival orang melayu dan kemenangan Islam. Saya setuju dengan apa yang Tun ucapkan tentang sikap, budaya dan perangai orang Melayu. Saya ingin tambah, juga tentang tabiat buruk di kalangan orang Melayu. Orang Melayu (bukan semua tetapi kebanyakannya) pada pandangan Tun adalah orang yang malas. Saya rasa ramai yang tak setuju. Tetapi elok juga kita bermuhasabah... tiada salahnya.

Ambil sajalah pelajar melayu di UKM sebagai contoh. Jika anda seorang pelajar Melayu, cuba tanya pada diri sendiri apakah anda telah belajar bersungguh sungguh atau belajar ala kadar sahaja? Atau hanya benar benar menelaah pelajaran pada minggu minggu terakhir sebelum peperiksaan. Cuba tengok nota dan cara anda mengambil catatan di kuliah? Kemas dan lengkapkah? Bermutukah nota anda? Adakah  input tambahan nota telah dilakukan? Berapa pula buku tambahan yang digunakan untuk melengkapkan nota nota kuliah tersebut? Saya tak berani menjawab, tentu tuan badan sahaja yang tahu jawapannya.

Selain itu, berapa ramai pelajar (melayu khususnya) yang melakukan aktiviti LC secara bersungguh sungguh? Berapa pula yang cuba sedaya upaya melakukan penambahbaikan untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan atau kerja berpasukan mereka? Bagaimana dengan penguasaan bahasa Inggeris anda? Bagaimana pun dengan keupayaan melakukan 'public speaking' secara berkesan? Saya juga tidak mampu memberikan jawapan, anda sahaja yang tahu jawapannya.

Itu baru tentang perangai dan tabiat belajar untuk diri sendiri. Cuba tanya diri sendiri tentang budaya berkongsi ilmu. Berapa ramai rakan rakan yang anda telah 'ajar' ilmu yang anda kuasai kepada mereka. Apakah mereka berjaya mendapatkan ilmu yang anda berikan? atau anda lebih suka menyembunyikan ilmu supaya markah anda lebih baik daripada mereka? Tiada siapa yang tahu jawapannya kecuali anda.

Berapa pula perjumpaan anda secara bersendirian dengan pensyarah anda? bukan sekadar menyelinapkan tugasan yang 'separuh masak' di bawah pintu mereka tetapi membuat temujanji, bersedia dengan bahan dan maklumat, berjumpa dengan pensyarah dan berbincang dengan beliau? Jika ada, baguslah...

Adakah kita berpuashati dengan PNGK yang diperolehi? Sekadar 2.0, 2.5, 3.0 atau 3.5? Mengapa ada orang lain yang mendapat 3.8 atau 4.0? Apakah makanan mereka berbeza dengan kita? Apakah masa mereka 30 jam berbanding masa kita 24 jam sehari semalam? Jika kita tiada jawapan, nyata dan mengakulah sebenarnya budaya dan perangai malas sudah berakar di dalam diri kita. Lebih kronik sehingga kita sendiri sudah tidak dapat melihatnya lagi dan merasa marah dan tersinggung bila sifat malas dilabelkan pada kita.

Pada masa yang sama saya juga menghormati pelajar Melayu yang cemerlang, bukan sahaja dalam akademik tetapi juga sukan, seni dan kepimpinan. Semoga mereka semua terus cemerlang.

Saya sebutkan hal ini kerana inilah contoh perkara perkara asas yang dikatakan oleh Tun di dalam ucapannya. Katanya ramai orang melayu malas, sangat suka pada yang mudah mudah dan kurang motivasi untuk mengambil bahagian dengan hal hal yang sukar dan baru kepada mereka. Bila dapat AP kereta import dijualkannya, bila dapat kontrak kerajaan dialibabakan sewenangnya. Bila dapat pinjaman untuk berniaga dijolikan sehingga lumat. Mungkin tidak semua, tetapi kebanyakanya begitulah.

Maka tidak hairanlah, ekuiti Melayu sejak DEB diperkenalkan masih jauh dari sasaran. Sudah lebih 40 tahun DEB dilaksanakan, ekuiti Melayu dikatakan meningkat dari 1% kepada 19%. Itupun jika ditolak hasil usaha PNB melalui segala jenis pelaburan amanah (ASB dan sebagainya), ekuiti melayu tak sampaipun 10%. Setelah lebih 40 tahun melaksanakan DEB!

Kita mungkin kecewa dan marah pada ramai orang bila DEB gagal membangunkan orang Melayu. Dari pemimpin politik Melayu hinggalah pada JKKK kampung. Semuanya menjadi sasaran amarah kita.  Tetapi marah tak selesaikan apa juga masalah. Yang penting perubahan sikap, perangai dan budaya dalam diri kita sendiri. Buang yang buruk dan ambil yang baik...Saya mungkin sekadar boleh terus menerus menulis..memberikan pandangan serta berkongsi nasihat. Tetapi hakikatnya perubahan datang dari dalam diri sendiri. Buat pelajar UKM, berubahlah menjadi lebih baik...lebih berjaya...lebih cemerlang..

Harap nanti jangan sampai dikatakan orang..Luncai terjun dengan labu-labunya..biarkan...biarkan...


16 January, 2013

Listen..Listen..Listen, Let Me Speak!

Tersenyum saya menonton video klip ini. Rupa-rupa masih ada orang yang belum melihat mahasiswa sebagai suara masyarakat yang harus dihormati. Saya tidak mahu terikat dengan pertikaian 'tidak puashati politik' pelajar tersebut dengan moderatornya. Saya juga tidak mahu tahu samada pelajar berkenaan sudah 'termakan' jerat pembangkang atau tidak. Saya tidak berada di dewan itu dan tidak tahu menahu sejauh mana ceramah atau dialog telah diadakan. Lagipun itu semua bukan urusan saya.

Tetapi saya 'terpukau' melihat gelagat moderator menjerit..listen..listen..listen.. sambil mengira dengan jari berapa jumlah perkataan 'listen' yang telah disebutnya. Juga terpana melihat gelagatnya menarik mikrofon menjauhi pelajar berkenaan. Apa yang sebenarnya yang cuba beliau lakukan?

Ini bukan persoalan politik. Jika Perdana Menteri DS Najib dengan begitu berani membuka langkah membenarkan HKR berlangsung, berani juga memansuhkan ISA dan bersedia pula meminda AUKU, tentunya atas semangat yang sama dan atas nama politik, si moderator yang kelihatannya seperti bersama parti  yang memerintah akan membenarkan pelajar berkenaan bercakap. Maka saya simpulkan perlakuannya bukan kerana politik. Sama sekali tidak.

Ini sebenarnya persoalan kemahiran individu si moderator, persoalan pengurusan emosi amarah dan keupayaan menguruskan konflik perorangan. Juga soal egoism yang agak berlebihan. Tidak lebih daripada itu. Saya tidak nampak apa yang cuba disebut oleh pelajar berkenaan sesuatu perkara yang baru, isu PTPTN satu Malaysia sudah mendengarnya malah Khairy dan Rafizi pun sudah mendebatkannya di TV Awani beberapa bulan lalu. Isu BERSIH juga bukan perkara baru, malah program HKR yang lebih terkini pun sudah selesai sepenuhnya.

Saya membayangkan kalaulah si moderator berkenaan benarkan pelajar tersebut bercakap untuk tiga empat minit lagi, semuanya sudah dilupakan sekarang. Cuba tinjau laman youtube, FB dan twitter pasca forum, orang bukannya bercakap isu PTPTN atau Bersih tetapi lebih tertawan dengan fenomena listen..listen..listen, let me speak. Juga kisah sampingan .."masalah binatang".

Saya bawakan isu ini sebagai refleksi diri. Juga sebagai satu tazkirah buat  rakan rakan yang menguruskan hal ehwal pelajar kerana ramai juga antara mereka yang menjadi pembaca tetap blog ini.

Tiga perkara yang ingin saya kongsikan;

Pertama, saya bersetuju dengan Tan Sri VC UKM tentang 'academic freedom'. Beliau konsisten sejak dulu menganjurkan warga UKM (pelajar dan kakitangan) supaya memahami konsep dan amalan 'academic freedom'. Beliau sering berkata "Berhujahlah dengan fakta yang diselidiki sendiri, jangan sekadar mendengar cakap cakap orang dan menjadi pak turut semata mata". Saya ingin membawa lebih dalam sedikit dengan memberikan makna tambahan bahawa 'academic freedom' juga memberikan maksud "hak dan tanggungjawab". Kita sebagai individu berhak bersuara tentang apa sahaja (tentunya dengan adab susila) dan pada masa yang sama harus mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang kita suarakan. Untuk bersuara tentunya mudah, tetapi untuk mengambil tanggungjawab kita harus bersedia dengan fakta dan bukti yang secukupnya. Maka dengan cara itu, amalan kebebasan bersuara atau kebebasan akademik akan benar benar memberi makna yang baik pada semua orang.

Kedua, pada setiap masa mahasiswa sentiasa berubah cara dan gaya pemikiran mereka. Dulu lain, sekarang lain. Menggunakan cara cara lama untuk menguruskan mahasiswa hari ini pasti tidak memberikan hasil yang diharapkan. Mengarahkan mahasiswa 'menutup mulut' semata mata kerana kita tidak suka mendengarnya, bukan lagi sesuatu yang diamalkan sekarang. Mungkin dulu sesuai, bukan hari ini.

Saya belajar di UKM pada era 1980an. Ketika itu lingkungan pengetahuan saya sekadar persekitaran dalam kolej. Sekali sekali kami keluar menjalankan khidmat masyarakat. Bekerja separuh masa juga sangat kurang, maklumlah Bandar Baru Bangi bukan seperti sekarang. Apa yang berlaku di kolej lain, hanya diketahui apabila bertemu rakan rakan setelah selesai berkuliah. Kisah IPT lain, dengar dengar sahaja.

Hari ini, apa yang  berlaku di IPT di utara, selatan, Sabah dan Sarawak di ketahui pada hari yang sama kejadian berlaku. Bukan sekadar dengar, malah boleh menonton dengan video sekaligus. malah apa yang berlaku diseluruh dunia pun boleh diketahui, semuanya dari atas katil pelajar bila wifi sampai ke bilik bilik penginapan pelajar. Maka sifat ketelusan, kebijaksanaa, persediaan serta sentiasa mendampingi mahasiswa mestilah menjadi 'darah daging' semua pegawai yang menguruskan soal kemahasiswaan. Semua pihak tidak boleh lagi main 'sembunyi-sembunyi' dengan mahasiswa. Apa yang perlu mereka tahu, harus dikongsi bersama.

Ketiga, semua pegawai hal ehwal pelajar harus mempunyai kekuatan dalaman di dalam menguruskan emosi masing masing. Mereka harus ikhlas, bersungguh sungguh dan komited dalam menguruskan hal ehwal kemahasiswaan. Saya yakin seseorang mahasiswa yang telah memperolehi maklumat yang lengkap, teratur dan sistematik dari pegawai pasti tidak akan melenting tidak tentu pangkal. Mereka sudah bijak membezakan yang baik dan yang buruk. Tetapi jika mereka tidak mendapat maklumat yang lengkap, telus dan jelas, pastilah mereka akan merasakan diri mereka tertipu dan diperbudakkan. Tetapi jika semua maklumat sudah dikongsikan, masih ada antara mereka yang melenting tidak tentu pangkalnya, abaikan sahaja perilaku mereka kerana mereka sebenarnya bukan ingin maklumat tetapi sekadar perhatian dan populariti politik.

"Listen...listen..listen, Let me speak" adalah satu kisah yang menarik, untuk semua yang bertanggungjawab menguruskan mahasiswa mengambil iktibarnya. Jika di sekolah, para pendidik menganjurkan pengajaran dua hala, maka di universiti juga apatah lagi. Pada saya secara peribadi, apa pun tingkah laku dan perilaku mahasiswa, yang nakal atau yang baik, mereka adalah anak anak bangsa yang harus dididik dengan ilmu yang bermanafaat. Mereka harus dididik membezakan yang betul dengan yang salah...biarpun masa yang perlu kita ambil sangat panjang..bersabarlah...

Sekali lagi, tiba-tiba  saya ingin menonton kembali "..listen listen..listen..Let Me Speak..." Harapnya kali ini senyuman saya tidak lagi selebar sewaktu kali pertama menontonnya.


08 January, 2013

Relevankah Lagi Felo Kolej Kediaman UKM?

Saya bertuah kerana semasa diberikan tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah PPP (Akademik Kolej 2007-2010), dapat bekerjasama secara terus dengan semua felo kolej kediaman UKM. Saya diberikan amanah oleh pihak pengurusan tertinggi UKM untuk memperkasakan kolej kediaman, dan institusi felo kolej kediaman sangat relevan pada saya untuk menjayakan misi ini. Saya sambut cabaran ini kerana sejak dahulu sangat yakin dan percaya institusi felo kolej kediaman sangat penting dalam pembangunan serta kesejahteraan kehidupan pelajar dalam kampus (saya pernah menjadi felo dan ketua felo di Kamsis Dato Onn selama lima tahun) sehingga hari ini keyakinan saya masih kukuh seperti dahulu. Pada saya, jika kita ingin membangunkan konsep 'collegiality' atau rasa bersama kekolejan/keserakanan, institusi felo adalah teras utamanya.

Saya masih ingat ketika di PPP, saya telah membina satu kumpulan yang dinamakan sebagai JURULATIH FELO (singkatannya JUFELO) yang ahlinya di kalangan felo felo kolej yang mempunyai pengalaman serta kebolehan di dalam hal pembangunan pelajar. Semua kolej mempunyai wakil wakil mereka di dalam pasukan ini. Pasukan ini merupakan 'pemandu' kepada institusi felo. Mereka berjaya anjurkan Syarahan Umum Pembangunan Pelajar, menganjurkan berbagai Bengkel Pembangunan Felo dan Pelajar dan melakukan Penerbitan dan Lawatan Kerja anjuran PPP.

Ketika itu saya juga mempunyai misi untuk menjadikan felo sebagai 'pembimbing pembangunan pelajar' di UKM. Maksudnya felo bukan sekadar hanya tahu memberikan nasihat atau arahan sahaja kepada pelajar tetapi berkeupayaan  menganjurkan aktiviti bersama sama pelajar. Konsep felo 'turun padang' hanya benar benar berjaya bila felo juga melaksanakan aktiviti bersama pelajar.

Konsep felo sebagai 'penasihat projek' bukan amalan saya ketika itu. Maka itu saya menjadi teliti semasa menyediakan kriteria pemilihan untuk pihak UKM membuat lantikan seseorang felo. Saya sangat teliti supaya hanya felo yang berpengalaman, berkewibawaan dan berkebolehan sahaja yang dicadangkan supaya dilantik. pada saya felo sebagai 'pembimbing' sebenarnya lebih dihormati oleh para pelajar dari felo yang hanya sebagai 'penasihat' program semata mata.

Mobility Outbound Felo dan Pelajar Kolej UKM di Universiti Oxford
Saya juga sempat menjayakan program mobility outbound semasa di PPP dulu. Menariknya program mobility outbound ini juga memberi laluan untuk ramai felo kolej kediaman terlibat sama. Ramai felo bersama sama pelajar kolej masing masing berpeluang ke Oxford University, Southamton University, NUS, Mahidol University, Brisbane, ANU di Canberra dan beberapa buah universiti lain di China, Korea, New Zealand dan Indonesia.

Sebanyak 26 program mobility outbound telah dijayakan oleh PPP dan HEPA ketika itu. Tulang belakangnya adalah pasukan felo yang bersama sama pelajar. Malah mereka bersama pelajar masing masing telah berjaya mengadakan pameran hasil mobility outbound mereka di Pusanika sebulan sekembalinya ke tanah air.

Saya yakin semua pelaksanaan ini bertujuan menjadikan felo sebagai badan 'pembimbing pelajar' yang terus relevan di UKM. Itu kisah dulu, saya fikir sekarang suasana sudah banyak berubah.

Sekarang, hampir kebanyakan urusan pelajar berkaitan kebajikan, program dan aktiviti, kesihatan, kauseling telah diuruskan secara teratur terus oleh unit unit di bawah JPPEL. Felo mungkin lagi tidak perlu tahu berapa pelajar miskin yang perlu bantuan kewangan kebajikan di kolej mereka kerana pelajar akan terus berurusan dengan unit kebajikan UKM. Begitu juga dengan urusan agihan zakat dan sebagainya. Felo di beberapa buah kolej juga semakin kurang 'bertugas' mendapatkan kunci pendua jika pelajar tertinggal kunci di dalam bilik kerana sudah banyak bilik pelajar kolej kediaman di UKM yang menggunakan sistem kunci 'bolt' yang mesti menggunakan kunci untuk membuka atau mengunci bilik.

Berbanding dulu, felo juga semakin kurang menghantar pelajar ke Hospital Kajang kerana selain kemudahan yang semakin baik oleh pusat kesihatan UKM, semakin banyak klinik di Bandar Baru Bangi. Semakin ramai pelajar yang mempunyai kereta dan  motosikal sendiri. Malah pasukan PBSM kolej kediaman juga sudah membuka bilik rawatan pada setiap malam untuk memberikan rawatan awal kepada pelajar yang memerlukan bantuan kesihatan. Felo semkin kurang dilibatkan dalam urusan kesihatan pelajar berbanding dulu.

Semua ini tidak ada ketika institusi felo diwujudkan lebih 30 tahun lalu. ketika itu hampir semua pelajar tiada kenderaan, maka felo adalah orangnya yang sering membawa pelajar ke hospital, satu satunya yang ada, adalah di Kajang. Sistem kunci tombol juga menyebabkan felo terpaksa berkali kali ke pejabat kolej pada setiap malam mengambil kunci untuk pelajar. Sekarang pun masih berlaku tetapi kadarnya sudah berkurang dengan banyak berbanding dulu.

Satu lagi peranan felo dulu ialah membimbing pelajar menganjurkan aktiviti. Hari ini, pelaksanaan LC menyebabkan seorang penyelia (kakitangan UKM) perlu di lantik membimbing pelajar. maka felo di kalangan pelajar pasca siswazah sudah tidak lagi menjadi pembimbing pelajar. Jika pun masih membimbing pelajar, itu atas minat dan keinginan felo sendiri. Semua projek LC akan mendapat bimbingan dan nasihat serta diberikan penilaian oleh penyelia projek masing masing.

Suasana yang telah berubah ini jika tidak difahami akan menyebabkan felo menjadi  'tidak relevan' lagi di UKM. Jika semua pelajar sudah boleh uruskan diri sendiri, jika sistem keselamatan kolej diperkemaskan dengan penggunaan kunci 'bolt' dan penyelia LC yang dilantik akan membimbing pelajar, apa lagi perlunya felo di kolej kediaman?

Semua tahu bahawa setiap felo dibayar saguhati RM300 sebulan dan disediakan penginapan 'fully furnished' oleh pihak UKM. Jika para felo tidak melakukan refleksi dan mengukuhkan 'kerelevanan' mereka, saya fikir akan sampai masanya nanti institusi ini akan dikecilkan saiznya, kalaupun tidak dimansuhkan terus. Saya harap perkara tersebut tidak berlaku. tetapi dengan 170 orang felo yang dibayar RM 300 sebulan (jumlahnya mencecah RM51,000 sebulan atau RM612,000 setahun!) tentunya isu relevan felo pada masa akan datang pasti akan sentiasa diteliti.

Jika transformasi felo berjaya dilakukan, pelajar mendapat impak terbaik daripada peranan felo (misalnya mempunyai strategi di peringkat institusi felo dalam menguruskan isu kebolehpasaran, bahasa Inggeris, pembangunan akademik, keusahawanan, penguatkuasaan peraturan, kepimpinan dan 'celik politik' dan sebagainya), tentunya institusi ini akan terus dipertahankan.

Tetapi jika felo sendiri tidak tahu dengan jelas apa sumbangan mereka kepada kolej untuk masa depan (selain menguruskan kunci, menasihati aktiviti rutin pelajar, membantu pendaftaran pelajar masuk kolej), tentunya ini akan menjadikan institusi felo semakin tidak relevan lagi.

Apa pun, saya juga sedar dan punyai pengalaman bersama rakan rakan felo yang cekap dan jelas wawasan mereka tentang pembangunan pelajar, mereka juga boleh memberikan idea dan inovasi dalam memajukan pelajar, bersedia 'turun padang' bersama pelajar setiap masa dan tidak berkira untuk membantu pelajar .

Sehingga ada di kalangan felo ini yang sukarela menggunakan wang poket sendiri untuk menjayakan aktiviti bersama pelajar. Mereka ini saya sangat hargai dan hormati, mereka inilah sebenarnya saya anggap 'pejuang' kepada pembangunan pelajar di UKM..tetapi sayang...jumlahnya boleh dikira dengan jari..


06 January, 2013

LC...Apa Yang Saya Selalu Bayangkan.

Berkaitan LC atau kontrak pembelajaran di UKM, sejak dulu saya antara yang menyokong penuh pelaksanaan pembelajaran berasaskan 'student-centred' ini sebagai salah satu 'mode' baru untuk pembangunan pelajar di UKM. Pendidikan untuk pembangunan pelajar bermaksud pembelajaran yang dapat meningkatkan kemahiran diri, berorientasikan belajar melalui perlakuan dan perlu pelajar melakukan perulangan dan latihan sehingga benar benar mahir.

Misalnya, untuk pembangunan kemahiran komunikasi, pelajar perlu belajar apakah amalan terbaik dalam komunikasi, kemudian perlu melakukan sendiri dan kemudian melatih diri secara berulang ulang kali sehingga kecekapan komunikasi berada dalam diri masing masing. Tanpa latihan yang berulang ulang, seseorang sukar membina kemahiran diri.

Sebagai contoh, bolehkah dengan hanya sekali berlatih bercakap di depan khalayak (public speaking), seseorang pelajar sudah dianggap mempunyai kemahiran berkomunikasi? Tentulah tidak. Begitu juga, cukupkah dengan hanya sekali melakukan kerja secara 'team-work', kita sudah boleh menyatakan seseorang pelajar telah berkemahiran bekerja dalam satu pasukan. jawapannya tentulah tidak.

Dan begitulah juga dengan kemahiran lain seperti kemahiran membuat keputusan, kemahiran pembelajaran sepanjang hayat dan sebagainya. Kemahiran hanya diperolehi apabila pelajar melakukannya secara berulang kali. Semakin banyak latihan, maka akan lebih tinggi kemahiran yang diperolehi.

Atas prinsip inilah LC dulu telah dibentuk untuk dilaksanakan dalam aktiviti ko kurikulum kepada para pelajar. Melalui aktiviti yang berulang ulang yang di lakukan, diharapkan para pelajar akan dapat meningkatkan kemahiran dalam diri mereka secara berperingkat peringkat. Ada dua perkara penting yang harus diteliti di sini.

Pertama, bagaimana boleh kita katakan seseorang pelajar yang telah selesai mengikut aktiviti  berjaya meningkatkan kemahiran softskills jika tiada penilaian dilakukan untuk menentukan sesuatu projek telah berjaya atau tidak. Amalan sekarang yang dinilai ialah diri pelajar, kejayaan projek masih tidak diberikan penilaian. Bolehkah seseorang pelajar dikatakan berjaya meningkatkan softskillsnya jika projeknya telah gagal atau tidak mencapai objektif yang ditetapkan?

Analoginya, jika dua peniaga melakukan perniagaan secara berasingan, seorang berjaya membuat keuntungan manakala seorang lagi gagal mendapat keuntungan, bolehkah kita kata kedua dua peniaga tersebut mempunyai kemahiran yang sama. Jawapnya tentulah tidak. Tentunya peniaga yang berjaya telah memperolehi peningkatan keupayaan yang jauh lebih banyak berbanding peniaga yang gagal. Begitulah jika dua kumpulan pelajar menyertai pertandingan debat, tentunya kumpulan yang menjadi juara akan menerima kemahiran/kesan yang lebih besar berbanding kumpulan yang tersingkir di pusingan lebih awal.

Maksudnya, adalah sangat penting kejayaan atau kegagalan sesuatu projek dijadikan kayu ukur di dalam memberikan penilaian berkaiatan kemahiran kepada para pelajar yang mengikuti LC.

Perkara kedua ialah fokus kepada hasil pembelajaran. Amalan sekarang seseorang pelajar yang mengikut sesuatu projek  (mendapat pengiktirafan LC) akan memperolehi 1, 2 atau 3 kredit. Maksudnya  kredit diberikan berasaskan jam national penglibatan pelajar. Misalnya jika pelajar anjurkan khidmat masyarakat, maka jam notional dikira berasaskan semua perkara (masa mesyuarat, pemasaran, perasmian dan sebagainya). Semua masa penglibatan ini akan dijumlahkan dan jika melebihi atau sama dengan 40 jam national maka nilai kreditnya ialah 1 kredit.

Oleh itu, jika seseorang pelajar terlibat dengan hanya 3 projek yang bernilai 3 kredit setiap satu per semester, jumlah kreditnya sudah 9 kredit. Maka tidak perlu lagi beliau aktif beraktiviti di semester seterusnya kerana kredit yang diperolehi sudah mencukupi 8 kredit. Jika seseorang pelajar aktif di semester 1, 2, dan 3, maka mulai  semester 2 di tahun dua, beliau tidak perlu lagi beraktiviti. Menarik bukan!

Sebab itu saya punyai pandangan yang berbeza tentang hal ini. Sepatutnya kredit diberikan berasaskan kepada jumlah masa pencapaian hasil pembelajaran dan bukannya jumlah masa sesuatu projek. Misalnya bagi melengkapkan hasil pembelajaran kemahiran komunikasi, seseorang pelajar perlu melibatkan diri dengan beberapa aktiviti yang beliau nyatakan dalam kontrak pembelajarannya lebih awal untuk meningkatkan kemahiran komunikasi. Jadi untuk melengkapkan satu kredit, seseorang pelajar perlu melalui 40 jam notional kemahiran komunikasi. Mungkin 40 notional jam ini boleh diperolehi dengan melibatkan diri dengan 5 atau enam aktiviti.

Maka untuk melengkapkan semua 7 softskills dengan mencapai 8 kredit, seseorang pelajar mungkin perlu melibatkan lebih dari sepuluh projek.  Misalnya bagi projek A, jam notional hasil pembelajaran komunikasi ialah 10 jam, projek B- 8 jam, projek C- 12 jam, projek D-10 jam. Jumlah semuanya ialah 40 jam bersamaan 1 kredit kemahiran komunikasi.

Melalui kaedah ini, pelajar akan berupaya melakukan latihan berulang ulang kali untuk meningkatkan kemahiran komunikasi masing masing. Hal yang sama juga untuk kemahiran kemahiran yang lain, sehinggalah selesai semua 8 kredit telah dicapai.

Pelaksanaan LC hanya akan benar benar berjaya jika keinginan untuk meningkatkan kemahiran datangnya dari pelajar sendiri. Proses latihan yang berulang ulang kali merupakan satu kaedah pembelajaran yang sangat efektif di dalam meningkatkan softskills..LC tidak akan berjaya jika tujuan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti sekadar untuk melengkapkan 8 kredit semata mata...