Laporan menunjukan jumlah kenderaan di UKM bertambah berkali ganda, ini menyumbang kepada pertambahan kemalangan di dalam kampus dari tahun ke tahun. Begitu juga dengan kes kecurian kenderaan khususnya motosikal.Lebih lebih lagi di minggu peperiksaan berlangsung. Sehingga kini berbagai pihak telah mengambil inisiatif mengekang masalah ini dari berlarutan. Pihak keselamatan berusaha meningkatkan kawalan kampus, pihak pengurusan kolej juga telah menguatkuasakan peraturan dan memberikan peringatan untuk memastikan keselamatan para penghuni kolej terjamin, pihak felo juga meningkatkan tahap kewaspadaan pelajar di blok masing masing. PMUKM juga dulunya telah mengadakan kempen keselamatan jalanraya dan kempen kunci pendua.
Semua pihak telah melaksanakan peranan masing masing sebaik mungkin, malangnya kes masih juga bertambah dari tahun ke tahun walaupun masih terkawal. Hal ini seperti tiada kesudahannya. Puncanya bila pelajar sendiri semakin ramai yang kurang sensitif tentang keselamatan diri sendiri dan barang barang kepunyaan mereka. Ada yang berkata, "saya telah melakukannya (ambil langkah keselamatan)", soalnya adakah ia dilakukan bila mereka hanya teringat untuk melakukannya atau melakukan kerana ia sudah menjadi satu habit atau kebiasaan. Ada beza yang besar antara keduanya. Tidak dinafikan ada juga pelajar yang telah menguruskan soal ini dengan baik, dan hasilnya mereka tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang pengajian di UKM. Tetapi pada yang tidak sensitif, laporan keselamatan dan kecurian yang telah diteliti menunjukan;
- Kebanyakan kes kemalangan berpunca daripada kecuaian pengguna kenderaan. Yang menjadi mangsa ialah penggunaan kenderaan yang paling 'kecil', samada pengguna motosikal atau basikal. Ada juga kes yang melibatkan pejalan kaki yang berjalan di bahu bahu jalan.
- Masih ramai pelajar yang tidak memiliki lesen memandu ( tiada insuran jalanraya) yang meminjam motosikal rakan rakan di dalam kampus. Apabila berlaku kemalangan, mangsa kemalangan terpaksa menanggung kos perubatan sendiri.
- Bagi kes kecurian, kebanyakan kes disebabkan pelajar tidak mengunci motosikal atau menggunakan kunci pendua. Bagi kes kecurian di kolej, kes berlaku bila penghuni keluar dengan membiarkan pintu bilik tidak berkunci. . Walaupun beberapa kolej telah memperkenalkan penggunaan selak berkunci, didapati kes kecurian berlaku bila selak berkunci tidak digunakannya.Aalasan yang diberikan, "leceh, sebab kena simpan banyak kunci!", "lambat kalau nak buka pintu bila balik kuliah!".
- Kebanyakan kes kecurian berlaku di blok lelaki berbanding blok wanita walaupun bilangan wanita yang menginap di kolej UKM lebih ramai,hampir 65%.
- Pelajar masih meletakkan barangan berharga di atas meja yang berhampiran tingkap yang di buka.
- Kurangnya interaksi antara ahli blok juga menyebabkan lebih mudah orang luar masuk ke blok pelajar. Melalui interaksi, sistem keselamatan dapat dibincangkan di kalangan ahli blok.
Pun begitu, kita sedia maklum sebaik mana pun tindakan telah dilakukan, akan masih berlaku kemalangan dan kecurian jika kita tidak berwaspada. Kemalangan boleh juga berlaku kerana lubang -lubang di jalanraya, hujan atau jalan berpasir. Kecurian juga masih boleh berlaku bila kita terlupa atau tersilap meletak laptop atau handphone kita di mana mana.
Sekurang kurangnya jika semua pelajar sensitif dengan keselamatan diri dan barangan berharga kepunyaan mereka, kes kemalangan dan kecurian di kalangan pelajar akan dapat dikurangkan pada tahap yang paling minima di UKM.
Penelitian juga menunjukkan wujudnya pola pola yang sama bagi kes kemalangan dan kecurian. Masa kecurian, jenis barangan yang dicuri, lokasi yang sama samada kawasan atau bilik. Begitu juga dengan pola pola berlakunya kemalangan dalam kampus. Mungkin satu kajian menyeluruh perlu diadakan untuk mendepani isu ini.